- 45Share sekarang!
- Email5
- Facebook40
- Share
Di Malaysia, antara perkara yang paling mengujakan adalah makanan kita. Kita mempunyai pelbagai jenis makanan yang sedap. Mana taknya, Malaysia sendiri merupakan negara yang berbilang kaum. Jadi kita boleh jumpa pelbagai jenis makanan daripada kaum Melayu, Cina, India dan lain-lain.
Kita even boleh jumpa juga makanan fusion yang menarik! Tapi kalau korang nak tahu, ada beberapa makanan yang amat sinonim dengan negeri-negeri di Malaysia ni. Kira kalau sebut je nama makanan tersebut, orang akan terus fikirkan tentang sesuatu negeri itu. Sebab tu kali ni kitorang nak bawakan kepada korang tentang makanan special yang berasal daripada negeri-negeri di Malaysia.
Tapi sebelum tu…
Adakah Nasi Lemak layak menjadi makanan kebangsaan Malaysia?
Korang tahu tak masa nak hari Malaysia sebelum ni, ada satu isu yang tiba-tiba dibangkitkan di media sosial. Dikatakan ada mereka yang mempertikaikan Nasi Lemak tak layak menjadi makanan kebangsaan kita, alasannya adalah Nasi Lemak ni bukanlah makanan warisan dari negeri mereka.
Isu itu sekaligus telah membangkitkan kemarahan netizen-netizen Malaysia yang lain, ia seakan-akan individu yang membangkitkan isu itu sengaja ingin melakukan provokasi. Tapi pendapat masing-masing lah kan, cuma rasanya Nasi Lemak tu memang layak jadi makanan kebangsaan kita. Sebab pergi je mana-mana negeri, confirm akan jumpa punya.
Tapi kan, kalau lah kita buat pertandingan untuk pilih hidangan apa yang layak mendapat gelaran makanan kebangsaan tu, ini mungkin serba-sedikit contender yang kuat untuk menjadi juara! Ini calon-calonnya…
1. Nasi Kerabu, makanan warisan Kelantan
Kita mulakan dengan salah satu makanan ikonik daripada Pantai Timur negara iaitu Nasi Kerabu! Siapa je yang tak pernah makan Nasi Kerabu ni kan, kalau ada yang tak boleh makan tu maybe korang antara orang yang paling rugi kat dalam dunia. Nasi Kerabu ni sangat unik kerana nasinya yang berwarna biru, ia dihidangkan sekali dengan ulam, sambal kelapa, sambal cili dan juga budu.
Itu kalau yang biasa lah kot, kalau yang special sikit dia akan tambah sekali dengan lauk seperti keropok, telur masin, ikan goreng, ayam goreng dan yang paling sedap, daging bakar. Kalau dapat tu memang senyum seminggu lah. Nasi Kerabu ni mendapat warnanya yang biru tu daripada bunga telang, ini dimasukkan lagi dengan beberapa rempah yang lain sehingga dapat nasi yang digemari ramai tu.
Sekarang ni, tak perlu pun pergi ke Kelantan untuk hanya mendapatkan Nasi Kerabu, dekat KL or Selangor pun korang boleh dapat. Cuma nak dapat yang betul-betul sedap tu, korang kena lah pandai cari ye.
2. Nasi Dagang, jiran Nasi Kerabu yang berasal dari Terengganu
Ini lagi satu makanan unik daripada Pantai Timur, Nasi Dagang. Ia merupakan makanan kebanggaan negeri Terengganu tau! Tapi kat Kelantan pun banyak je Nasi Dagang ni, cuma ia memang sinonim dengan Terengganu. Yang membuatkan makanan ini unik adalah nasinya yang merupakan campuran beras biasa dan juga beras pulut.
Itu menyebabkan Nasi Dagang ni mempunyai tekstur melekit sedikit. ia dihidangkan sekali dengan kari ikan tongkol, telur rebus dan juga acar timun. Dengan adanya semua tu kat atas pinggan korang, confirm berselera punya makan. Even penulis yang tengah menulis pasal ni pun dah terliur.
Sama juga macam Nasi Kerabu, Nasi Dagang ni pun boleh je dijumpai di KL dan Selangor, cuma nak dapat yang betul-betul authentic tu agak susah lah. Nak senang, pergi terus ke Terengganu tu, dah boleh merentas negeri dah pun kan.
3. Mee Kolok, makanan kebanggaan negeri di bawah bayu
Mungkin dekat Sarawak ada lagi banyak makanan yang unik dan sedap, tapi ada satu makanan yang memang kalau sebut je nama dia terus orang akan teringat akan negeri Sarawak. Ia adalah Mee Kolok, mee yang sangat popular di Sarawak lebih-lebih lagi di Kuching.
Yang menariknya, terdapat pelbagai variasi Mee Kolok ni. Korang boleh makan secara kering dan boleh juga menikmatinya berkuah, yang pasti kelazatannya tidak akan berubah. Ini disebabkan Mee Kolok ini dihidangkan sekali dengan daging (ayam pun boleh) dan sayuran, dari segi rasanya pula kitorang tak boleh nak terangkan sebab ia agak unik.
Dalam erti kata lain, korang kena rasa sendiri Mee Kolok ni, baru korang tahu kesedapannya macam mana.
4. Laksa Johor, hidangan berbeza tapi masih digelar sebagai laksa
Bila bercerita tentang laksa, mesti kita akan terfikir tentang mee beras yang warna putih tu semua kan. Kira tu laksa yang biasa lah tu, tapi kalau kat Johor, dorang ada laksa dorang sendiri yang diberi nama sempena negerinya sendiri iaitu Laksa Johor. Apa je beza Laksa Johor ni dengan laksa-laksa lain dalam Malaysia ni? Sebenarnya perbezaannya sangatlah banyak.
Even bahan paling penting iaitu mee dia tu pun sangat lain, ini kerana mee dalam Laksa Johor ni menggunakan spaghetti sebagai bahan utama. Kenapa guna spaghetti pula? Dikatakan ia dsebabkan oleh pengaruh barat kerana kerabat diraja negeri Johor mempunyai kacukan dengan orang putih sikit.
Kan orang barat suka makan spaghetti ni, jadi ia di Melayu kan dengan menukar sos spaghetti mereka dengan kuah laksa sehingga terciptanya Laksa Johor. Perbezaan yang lain pula adalah kuah laksa tu sendiri, Laksa Johor punya kuah pekat gila beb. Untuk bahagian rasa pula, mungkin itu korang boleh kaji sendiri dengan try makan hidangan ni kat mana-mana.
5. Nasi Kandar, makanan kegilaan ramai di kedai mamak
Kita kembali ke nasi balik, Nasi Kandar ni antara makanan yang satu Malaysia ada. Pergi je mana-mana kedai mamak dalam negara ni, pasti akan jumpa Nasi Kandar ni, dengan pelbagai pilihan lauknya. Selalunya Nasi Kandar ni dihidangkan dengan nasi putih dan lauk-pauk seperti ayam goreng, ikan, daging, sayuran dan banyak lagi. Namun, yang paling penting adalah kuah campur!
Oh ye, Nasi Kandar ni dikatakan berasal daripada Pulau Pinang dan sejarahnya memang sangatlah lama sebenarnya. Korang pernah terfikir tak kenapa Nasi Kandar mendapat namanya itu? Dikatakan perkataan ‘Kandar’ tu adalah berasal kata kerja mengangkat, mengendong atau membawa yang digunakan di utara. Ini kerana, Pulau Pinang pada zaman dulu ramai buruh pekerja india muslim.
Ada juga antara mereka yang menjual nasi beserta dengan ayam goreng dan kuah kari kepada buruh tu semua, cara menjualnya adalah dengan ‘kandar’ bekas yang diisi dengan hidangan menggunakan kayu. Dari situ lah katanya ia mendapat gelaran sebagai Nasi Kandar, yang pasti, kalau korang pergi Pulau Pinang tu confirm Nasi Kandar menjadi pilihan utama!
Takkan lah sebab makanan pun kita nak bergaduh
Mungkin ada yang merasakan sajian makanan dari negeri mereka lebih superior daripada makanan yang lain, sekaligus lebih layak menjadi makanan kebangsaan Malaysia. Sebenarnya, isu tersebut tak patut naik pun. Bila kita hidup dalam negara yang berbilang bangsa ni, sepatutnya kita meraikan kesemua jenis makanan yang ada.
Jangan salahkan Nasi Lemak disebabkan gelarannya sebagai makanan kebangsaan, sebab gelaran tu pun diberi oleh orang dari luar negara. Ini disebabkan seluruh Malaysia ada Nasi Lemak ni, kalau tengok kat luar negara pun, memang dah cukup sinonim dah Nasi Lemak dengan Malaysia ni.
Jadi nasihat kitorang, kita semua patut meraikan kepelbagaian makanan yang ada dalam negara. Janganlah bangkitkan isu kecil yang sampai boleh memecah belahkan keluarga Malaysia, Kita adalah satu.
- 45Share sekarang!
- Email5
- Facebook40
- Share