- 20Share sekarang!
- Email2
- Facebook18
- Share
Kalau korang rajin perhati logo kat kapal terbang, mungkin korang pernah tengok logo Malaysia Airlines (MAS) macam dalam gambar ni:
Pernah tak korang terfikir benda apa tu sebenarnya? Kalau korang cakap “Hak alah, wau bulan kan?”, korang tak bersendirian dalam anggapan tu, tapi mungkin korang cuma separuh betul.
Ramai sangka benda ni adalah wau bulan, tapi…
Sekilas Google, rata-rata mengatakan yang benda ni adalah wau bulan, termasuklah pihak Malaysia Airlines sendiri.
Jadi memang wau bulan lah kan? Tapi kalau korang bandingkan bentuk ekor logo tersebut dengan wau bulan, agak berbeza sebenarnya. Kalau korang perasan, ada dua jenis bulan kat reka bentuk wau bulan: bulan sabit kat ekor, dan bulan penuh kat pinggang.
Ekor dan pinggang wau dalam logo MAS tak ada ciri-ciri tersebut. Mungkin ni hanyalah pilihan reka bentuk bagi menampakkan yang wau ni laju, tapi menurut satu pandangan yang popular…
Logo MAS sebenarnya dari bentuk wau kucing
Selain wau bulan, ada banyak lagi jenis wau kat Malaysia yang berbeza gaya, sejarah, dan asal usul.
Tiga daripada wau-wau ni diiktiraf Majlis Pelayang Malaysia sebagai wau tradisi Malaysia, iaitu wau bulan, wau kucing, dan wau jala budi. Berdasarkan bentuk pinggang dan ekor wau kucing dan bagaimana dada wau kucing lebih lebar dari ekor, memang jelas yang logo MAS adalah berdasarkan wau kucing.
Wau kucing dinamakan sempena bentuk ekornya yang seakan-akan kepala kucing jika diterbalikkan, dan menurut petikan dari brosur Bahagian Pemuliharaan Kraftangan Malaysia,
“Wau Kucing merupakan salah satu daripda tiga wau rasmi kebangsaan. Wau ini begitu sinonim dengan Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) kerna kewujudannya diiktiraf oleh syarikat penerbangan tersebut dan dijadikan lambang korporat mereka.”
– petikan dari Informasi Kraf Malaysia.
Tapi walaupun dari segi bentuk memang jelas ini memang wau kucing, kenalah tanya tuan badan untuk dapat kepastian. Dan lepas kami hubungi pihak MAS untuk tanya, nampaknya…
MAS sendiri bagaikan kurang pasti dengan identiti korporat mereka
Walaupun tak penting, tapi nak cakap jugak yang susah nak telefon MAS ni, jadi kami e-mel je. Setelah satu hari bekerja, diorang balas dengan bagi link kepada post Facebook yang kami paparkan kat atas.
Namun begitu, post Facebook tersebut juga ada informasi yang bercanggah dalam ruangan komen. Ada orang bertanya betul ke wau bulan, sebab rupanya lebih kepada wau kucing. Setelah bertanya pada jabatan yang terlibat, mereka menyahihkan yang logo tersebut direka berdasarkan “Wau Kuching”.
Posting MAS tersebut, bagaimanapun, masih wujud hingga hari ini tanpa sebarang pembetulan.
Sumber paling sahih yang kami jumpa – buku terbitan Perbadanan Muzium Negeri Kelantan – pun kurang jelas dalam menerangkan isu ini, dengan mengatakan yang “wau” (bukan “wau bulan”) dijadikan lambang penerbangan Malaysia.
Jadi kami nak cilok ayat terakhir dalam screenshot tersebut dan katakan yang tak kisahlah logo MAS ni wau bulan, wau kucing, atau wau kikik sekalipun: untuk sebuah elemen budaya tradisional Melayu diangkat sebagai identiti syarikat penerbangan tempatan dan dilihat dari serata dunia, agak stylo sebenarnya.
- 20Share sekarang!
- Email2
- Facebook18
- Share