- 1.4KShare sekarang!
- Email74
- Facebook1.3K
- Share
Dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-52 baru-baru ni, salah satu perkara yang dibangkitkan adalah tentang pertikaian Laut China Selatan. Status Laut China Selatan ni memang sensitif sangat, sebab ia melibatkan tuntutan bertindih antara negara-negara ASEAN, dan China sekali.
ASEAN juga lahirkan kebimbangan tentang ketegangan yang semakin memuncak akibat banyak kapal perang yang masuk ke Laut China Selatan. Kebimbangan ni mungkin ada kaitan dengan tindakan China baru-baru ni yang melancarkan beberapa peluru berpandu di laut berkenaan. Amerika Syarikat (AS) dalam reaksinya menganggapnya sebagai “membimbangkan”.
Lebih awal dari tu, aktiviti pesawat strategik China di Kepulauan Paracel – Laut China Selatan dah membangkitkan kemarahan Vietnam. Walaupun pulau tersebut dah ditawan oleh China pada tahun 1974, Vietnam masih menganggap pulau itu miliknya.
Tapi di sebalik konflik yang timbul di Laut China Selatan, Malaysia juga baru-baru ni dah buat satu tindakan yang membangkitkan tanda tanya di kalangan pemerhati antarabangsa…
Setelah 14 tahun, Malaysia adakan latihan ketenteraan terbesar di Laut China Selatan
Pada awal Julai lalu, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dah melaksanakan latihan ketenteraan di Laut China Selatan. Latihan yang dikenali sebagai Eksesais Kerismas tu adalah latihan ketenteraan terbesar dalam sejarah TLDM setelah 14 tahun tak dilaksanakan.
Apa yang lebih menarik, lepas je latihan tu tamat, ia diikuti pula dengan Eksesais Taming Sari yang melibatkan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Kedua-dua latihan ni dah melibatkan lebih daripada 3,000 anggota tentera.
Malah, latihan tu juga lancarkan tembakan misil Exocet MM40 Block II dari Kapal Diraja (KD) Kasturi dan misil Sea Skua dari helikopter Super Lynx TLDM. Kalau korang nak tahu, Exocet sebelum ni digunakan oleh Argentina dalam Perang Falklands 1982 dan berjaya memusnahkan HMS Sheffield milik Britain. Ia turut digunakan masa Perang Iraq-Iran 1980-an.
Sea Skua juga mula masuk dalam perkhidmatan pada tahun 1982 dan pernah digunakan dalam Perang Teluk 1991. Ia berjaya memusnahkan 15 bot peronda Iraq dalam perang tersebut. Kini, selain Malaysia, Sea Skua turut digunakan oleh United Kingdom (UK), Bahrain, Jerman, Korea Selatan, Brazil dan Turki.
Bagi Panglima TLDM, Laksamana Datuk Mohd Reza Sany, tembakan misil tu membuktikan keupayaan sebenar kuasa tempur TLDM kepada masyarakat dan negara serantau, selain menunjukkan pelaburan rakyat membeli aset ketenteraan bukanlah sia-sia.
“Ini menunjukkan keupayaan TLDM bagi memastikan kedua-dua sistem peluru berpandu itu berfungsi dengan baik dan bersedia menghadapi sebarang ancaman walaupun telah berkhidmat lama.” – Katanya dipetik dari Utusan.
Walaupun begitu, tindakan Malaysia lancarkan latihan ketenteraan ni dah dapat perhatian dunia khususnya di kalangan pemerhati antarabangsa.
- Pertama – latihan ni dibuat di Laut China Selatan yang dianggap sebagai perairan sensitif
- Kedua- beberapa minggu sebelum tu, China dah melancarkan peluru berpandu dari beberapa terumbu di Laut China Selatan.
Ada penganalisis kata, tindakan Malaysia tu ada kena mengena dengan tindakan China. Menurut Geostrategis, Azmi Hassan, setiap tindakan di perairan sensitif Laut China Selatan akan dibaca oleh pihak yang terkesan dengan cara berbeza.
Contohnya, tindakan Amerika Syarikat (AS) dengan program bebas pelayaran di Laut China Selatan untuk pastikan perairan tu tak terganggu ditafsirkan oleh China sebagai cubaan AS untuk menghalang pengaruhnya di Asia Pasifik.
Tambahnya, dalam kes TLDM lancarkan peluru berpandu di Laut China Selatan, ia mungkin dibaca secara berlainan oleh negara-negara lain seperti Vietnam, Filipina dan China. Ia mungkin dilihat sebagai cara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mempamerkan kekuatan di Laut China Selatan.
“Asasnya, saya bersetuju ATM mempamerkan kekuatan kerana ia adalah isyarat tersirat hal kedaulatan Laut China Selatan yang kita tidak akan kompromi dan Eksesais Kerismas dan Taming Sari adalah salah satu landasan mempamerkan kekuatan.” – Azmi Hassan, katanya kepada SOSCILI.
Tapi apa yang pasti, pertikaian di Laut China Selatan tetap menjadi perkara yang cukup sensitif di rantau ini. Lebih-lebih lagi bila…
China tuntut lebih 80% Laut China Selatan
Laut China Selatan adalah salah satu laluan air tersibuk di dunia. Masalahnya, selain adanya tuntutan bertindih antara negara-negara ASEAN, China pula menuntut lebih 80 peratus laut ini. Manakala, Vietnam menuntut kedaulatan Pulau Paracel dan Kepulauan Spratly.
Lebih menambahkan keresahan, bila China memperkenalkan garis U atau Nine Dash Line yang dilakar dalam semua peta rasmi negara itu. Garisan yang terbentang sejauh 2,000 km dari Tanah Besar China tu merangkumi Kepulauan Spratly dan ke perairan berdekatan dengan Indonesia – Malaysia. Bagaimanapun, garisan tersebut tak pernah diiktiraf oleh pihak antarabangsa.
Dalam usaha China menjadikan Kepulauan Spratly miliknya, negara-negara ASEAN turut menuntut beberapa pulau di kepulauan itu. Malaysia sendiri menuntut 7 gugusan kepulauan di Spratly, antaranya –
- Ardasier Reef (Terumbu Ubi)
- Dallas Reef (Terumbu Laya)
- Erica Reef (Terumbu Siput)
- Investigator Shoal (Terumbu Peninjau)
- Louisa Reef (Terumbu Semarang Barat Kecil )
- Mariveles Reef (Terumbu Mantanani)
- Swallow Reef (Pulau Layang-Layang)
China mengatakan tuntutan terhadap Spratly kerana ada hubungan sejarah, tapi Malaysia pula kerana Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) dan pelantar benua (continental shelf) selaras dengan undang-undang laut antarabangsa – Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS).
Nak tahu apa dia benda ni?
- Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ): Kawasan pesisir pantai dan dasar laut dalam jarak 200 batu nautika dari pantai negara (air surut di pantai). Negara mempunyai hak dan bidang kuasa menjelajah, mengeksploitasi, memulihara dan menguruskan sumber-sumber asli yang hidup dan yang tak hidup.
- Pelantar benua (continental shelf): Tanah dasar laut dalam jarak 200 batu nautika dari pantai negara (air surut di pantai). Selalunya diguna untuk perlombongan minyak.
Pada tahun lepas saja, China semakin mengukuhkan peguasaannya di Laut China Selatan bila beberapa pesawat pengebom strategik negara tu mendarat di pulau tuntutan bertindih yang didudukinya – Pulau Woody.
Pesawat H-6K tersebut adalah pesawat pengebom jarak jauh moden era Kesatuan Soviet, Tupelov Tu-16. Pesawat itu boleh terbang sejauh 3,500 km dan capaiannya meningkat antara 4,000 hingga 5,000 km jika membawa misil jarak jauh.
“Penempatan pesawat pengebom H-6K di pulau-pulau tuntutan bertindih adalah signifikan kerana ia memberi isyarat bahawa jet China berupaya menyerang mana-mana sasaran di Asia Tenggara termasuk Filipina, Indonesia, Malaysia selain Jepun dan Guam jika perang berlaku.” – Dipetik dari Kosmo.
Tindakan China ni sebenarnya ada kaitan langsung dengan kepentingan Laut China Selatan itu sendiri. Ini kerana, sekitar 2/3 bekalan tenaga Korea Selatan, 60% bekalan tenaga Taiwan dan Jepun, serta 80% import minyak mentah China dibawa melalui Laut China Selatan.
Selain tu, lautan ini juga adalah jalan komersial utama menghubungkan Asia dengan Eropah dan Afrika. Satu pertiga dari perkapalan global melaluinya, dengan jumlah dagangan antarabangsa sebanyak US$3.37 trillion!
“US Energy Information Administration menganggarkan kawasan itu mengandungi sekurang-kurangnya 11 bilion tong minyak dan 190 trilion kaki padu gas asli.
Anggaran lain adalah setinggi 22 bilion tong minyak dan 290 trilion kaki padu gas.” – Dipetik dari South China Morning Post.
Tapi keadaan ni bertambah merumitkan bila mana…
Amerika Syarikat turut sama mempertaruhkan pengaruh
Dalam mendepani tuntutan bertindih Beijing terhadap Laut China Selatan, ASEAN juga berdepan dengan usaha perluasan pengaruh oleh kuasa dunia – Amerika Syarikat (AS). Usaha AS terhadap Laut China Selatan dibuat bagi menjamin kepentingan negara tu dalam menentukan kapal dagang dan kapal perang bebas belayar di perairan Laut China Selatan.
Perkara ni dapat dilihat bila mana datangnya kapal perang China dan AS di Laut China Selatan. Penganalisis berpandangan, senario ni berlaku kerana China dan AS mahu menunjukkan keupayaan ketenteraan dan pengaruh geopolitik masing-masing.
AS juga dapat sokongan kuat dari sekutunya seperti United Kingdom dan Jepun. Hal ni dapat kita lihat bila mana tentera laut UK dah mengadakan latihan ketenteraan bersama tentera laut AS buat kali pertamanya di Laut China Selatan pada Januari tahun ini.
Sekutu AS, Jepun turut menyertai negara tu dalam latihan ketenteraan pada Jun lepas membabitkan kapal perang terbesar negara matahari terbit itu.
Hal inilah yang membangkitkan kebimbangan Malaysia, sampaikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir tegaskan – mana-mana kapal perang tak sepatutnya ada di Laut China Selatan. Tapi nampaknya, apa yang Dr Mahathir kata tu taklah diikut sangat, sebab banyak je kapal perang masuk ke Laut China Selatan.
Sebab itulah ASEAN baru-baru ni sekali lagi mengingatkan tentang pentingnya menghormati prinsip ‘non-militarization’ di Laut China Selatan. ASEAN juga menegaskan tentang perlunya meningkatkan kepercayaan dan keyakinan bersama, menahan diri dari melakukan pendudukan dan mengelakkan tindakan yang boleh merumitkan keadaan.
“Hal pendudukan pula, ASEAN berpegang kepada status quo iaitu tiada negara boleh melakukan pendudukan terbaru. Dalam hal ini, penambakan terumbu oleh China umpamanya bertentangan dengan konsep status quo ASEAN.” – Azmi Hassan, katanya kepada SOSCILI.
Malaysia tak akan tunduk dengan sesiapa
Walaupun Malaysia terlibat secara langsung dalam pertikaian di Laut China Selatan, ia tak bermakna Malaysia akan condong kepada mana-mana kuasa besar. Ketika mana dunia menyambut tindakan AS terhadap Huawei, Malaysia mengambil pendirian lain.
Ketika mana Malaysia dikatakan condong kepada China, Malaysia pula membeli dron pengawasan daripada AS. Media melaporkan, Malaysia membeli 12 dron perisikan dan pengawasan daripada AS berharga sekitar US$19 juta (RM79.3 juta).
Selain Malaysia, beberapa negara ASEAN lain pun beli dron tu, seperti Indonesia (8 buah), Filipina (8 buah) dan Vietnam (6 buah).
“Dron itu akan mempunyai keupayaan pengumpulan perisikan yang lebih besar yang berpotensi membendung aktiviti China di rantau ini (Laut China Selatan).” – Dipetik dari South China Morning Post.
Sementara tu, Malaysia sampai hari ni masih lagi gunakan nama Laut China Selatan, sedangkan beberapa negara ASEAN lain dah pun mengubah nama laut tersebut. Vietnam menamakannya sebagai Laut Vietnam Timur, Filipina (Laut Filipina Barat) dan Indonesia (Laut Utara Natuna). Ada cadangan supaya Malaysia namakan Laut China Selatan sebagai – Laut Malaysia Raya.
Tapi sampai ke hari ni, nampaknya kita masih kekal dengan Laut China Selatan. Korang rasa, patut ke Malaysia tukar nama laut sensitif ni?
Take Our Poll
- 1.4KShare sekarang!
- Email74
- Facebook1.3K
- Share