- 405Share sekarang!
- Email16
- Facebook389
- Share
Prestasi sukan Malaysia kat peringkat antarabangsa bukan calang-calang sebenarnya. SOSCILI pernah tulis pasal team bola sepak dari sekolah Negeri Sembilan yang menang tempat ketiga dalam kejohanan bola sepak remaja dunia!
Bukan tu je, pasukan hoki negara kita dah lapan kali masuk piala dunia. Apa yang lagi power pasal team ni adalah setiap sorang ada kerja tetap sebenarnya – daripada polis, cikgu, dan pembaca meter TNB! Kiranya hoki ni hobi je buat dorang. Orang lain hisap shisha waktu hujung minggu, tapi dorang main hoki. Cuma hisap shisha tak dapat la masuk piala dunia.
Yang sedihnya, pencapaian hero-hero negara ni tak berapa didendangkan, mungkin sebab sukan-sukan ni semua tak sepopular bola sepak ataupun badminton yang mainstream.
Malah, apa yang kami nak ceritakan dalam artikel ni adalah satu lagi pencapaian team Harimau yang sangat membanggakan, tapi ramai yang tak tau pun kewujudan sukan ni, iaitu…
Team Malaysia bertanding dalam sukan Powerlifting di peringkat Asia!
Mungkin korang tertanya-tanya, hapa ke jadah powerlifting ni, atau kalau diterjemah secara kasar, angkat kuasa? Okay kalau korang masuk gym, mungkin korang pernah nampak pergerakan yang penuh dengan testoreron seperti di bawah:
Nampak macam acara biasa yang dipamerkan oleh abang-abang sado (atau sado-sado wannabe) kan? Tapi kalau korang terfikir pasal Arnold Schwarzenegger, Malik Noor, atau Sazali Samad, itu sukan bodybuilding. Fokus orang yang masuk bodybuilding adalah untuk mendapatkan badan yang paling cantik berketak-ketak selepas digilap minyak.
Tapi berbeza bagi sukan powerlifting, fokus dorang adalah untuk jadi sekuat yang boleh. Jadi tak kiralah perut dorang boroi ke kempis ke heksagon ke, objektif yang utama adalah berapa kilo besi yang dorang boleh angkat.
Dalam pertandingan powerlifting, ada tiga jenis gerakan yang dipertandingkan:
1. Deadlift
2. Squat
3. Bench press
Jadi berbalik kepada team kita tadi, baru-baru ni empat atlit dari Malaysia join pertandingan Asian Classic Powerlifting Championship kat India. Ini merupakan kali pertama team powerlifting Malaysia bertanding di peringkat antarabangsa! Kiranya team kita underdog gila, negara lain tak kenal pun. Jadi ramai yang terkujat bila…
Kita menang 1 emas, 5 perak, dan 5 gangsa!
Kalau dalam sukan tinju ada heavyweight, featherweight, dan bantamweight; pertandingan powerlifting pun macam tu jugak la. Dorang akan bertanding mengikut kategori berat badan masing-masing.
Jadi pertandingan Asian Classic Powerlifting Championship ni berlangsung sepanjang 4 ke 9 Disember 2017 di Kerala, India. Team Harimau hantar empat peserta iaitu Carmille Wong, Gee Ci Long, Kelvin Yeoh Han Pin, dan Syazwan Elias. Dan pemenangnya adalah…. *gendang berguling*
Gee Ci Long (kategori bawah 59kg): Menang perak keseluruhan, perak deadlift, perak bench press
Carmille Wong (kategori bawah 63kg): Menang gangsa keseluruhan, emas squat, gangsa deadlift, gangsa bench press
Kelvin Yeoh (kategori bawah 74kg): Menang gangsa keseluruhan, perak squat, perak bench press, gangsa deadlift
Syazwan Elias (kategori bawah 83kg): Menang tempat keenam, serta memenangi hati dan kasih sayang team mate dia
Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul
Korang boleh klik kat sini untuk tau rekod yang dicapai oleh semua atlit. Tapi untuk menggambarkan betapa beratnya beban yang dipikul oleh dorang (secara harafiah), jom kita tengok pencapaian Gee Ci Long. Dengan berat badan 59kg, dia berjaya deadlift 215kg, hampir empat kali ganda berat badan dia!
Di sebalik pencapaian ni semua, banyak peluh, keringat, dan air mata yang telah mengalir, Bagi Carmille dan Syazwan, kedua-dua dorang ada kerja tetap, jadi selagi boleh, dorang akan carik masa untuk training. Nak seribu daya, tak nak seribu dalih!
“(Saya punyai) kerja tetap dari pukul 9 pagi ke 6 petang 5 hari seminggu, (jadi) persediaan memang memerlukan disiplin.
Saya masih sempat meluangkan masa selepas kerja sebanyak 2-3 jam, 4 hari sekali, lepas tu kena sediakan makanan untuk saya dan suami pada hari-hari rehat.
Nasib baiklah saya ada pasangan yang juga dalam sukan yang sama, membantu saya dalam latihan dan persediaan sebelum pertandingan ini sebab dia memang faham akan dedikasi dan masa yang diperlukan.” – Carmille Wong, dalam interview dengan SOSCILI.
(Dan suami Carmille adalah… Gee! #naw #relationshipgoals)
Bagi Gee, dia dah berhenti kerja untuk jadi atlit sepenuh masa. Untuk pertandingan ni je, dia berlatih sebanyak dua kali sehari. Memang patut la jadi orang kedua paling kuat kat Asia!
“Harapan saya takdelah tinggi mana sebab dah lama berehat selepas lama berehat. Tapi dapat tempat kedua keseluruhan dan memecahkan segala rekod peribadi saya memang sangat mengejutkan.” – Gee Ci Long, dalam interview dengan SOSCILI.
Kelvin pulak seorang coach powerlifting kat sebuah gym bernama Badger Fitness. Kalau nak belajar dengan coach Kelvin boleh tengok video dia berleter panjang lebar (sorry coach video ni je yang jumpa, public kan la Instagram tu).
Tahun depan, kita akan hantar team ke peringkat dunia!
Oleh kerana ini kali pertama team Malaysia pergi bertanding dalam sukan powerlifting, masing-masing semua pakai duit sendiri je untuk pergi ke India, lebih kurang RM4 ribu seorang. Tapi nampaknya semua tu sangat berbaloi.
“Kami sertai kejohanan ini sebagai underdog sebab ini pertandingan antarabangsa kami yang pertama. Pesaing-pesaing kami pun tak tahu apa yang boleh diagak tentang kami. Team Malaysia telah membuktikan yang kita merupakan antara yang terkuat di Asia.” – Presiden Malaysian Association for Powerlifting (MAP), Dayalan Jeevan, dipetik oleh Bernama.
Dorang bercadang untuk menghantar lebih ramai atlit ke pertandingan peringkat dunia di Kanada untuk tahun 2018. Kami berharap dorang akan dapat bantuan kewangan daripada pihak yang berkaitan. Sebab dah ternyata, dorang bukan sahaja boleh angkat besi, tapi juga angkat nama Malaysia di peringkat antarabangsa.
Dan… bagi korang yang teringin nak join powerlifting, ini antara gym yang korang boleh usha:
- Honey Badgers kat Petaling Jaya
- The Outlaw kat Subang
- Hale Athletics kat Kelana Jaya
- 405Share sekarang!
- Email16
- Facebook389
- Share