Hilang 4 batang gigi ketika perlawanan menentang Pakistan. Pasukan ini bawa hoki negara ke piala dunia!

UPDATE 24/10/17: Kejohanan Hoki Piala Asia 2017 dah pun tamat. Buat pertama kalinya dalam sejarah hoki negara, kita muncul sebagai naib juara selepas tewas tipis kepada pasukan India. Disebalik kehebatan ni, banyak jugak kisah-kisah pahit getir pemain yang kita dengar. Faizal Saari, pemain tengah negara patah 4 batang gigi ketika perlawanan menentang Pakistan yang berpihak kepada Malaysia. Manakala Fitiri Saari pulak terpaksa balik Malaysia masa kejohanan sebab nak tengok anaknya yang kritikal di hospital. Memang salute kepada pasukan hoki ni.

Faizal Saari upload gambar kat Insta. Imej dari FB Arena Hoki Malaysia.

Korang pun tahu, pasukan ni jugaklah yang berjaya melayakkan diri ke piala dunia buat kali kelapan! Kelayakkan secara automatik ni kerana Malaysia berjaya mendapat tempat ke-4 pada kejohanan Liga Hoki Dunia (Peringkat Separuh Akhir di London).

Steady! Imej dari Fb Faizal Saari (Pemain Hoki Malaysia)

Pergh, kita dah lapan kali masuk Piala Dunia? Sebenarnya sukan hoki ni memang sangat rapat dengan rakyat Malaysia sejak dari dulu lagi, malah kita dah mula main sebelum merdekat lagi! Jom kita ikuti pasal sejarah hoki kat Malaysia, bemula dengan…

Pasukan hoki Olimpik India datang lawan kelab hoki tempatan sebelum negara merdeka

Hoki mula dimainkan secara berperaturan pada tahun 1886 di London, England. Pada 30 November 1898 (12 tahun kemudian), perlawanan hoki pertama yang diadakan secara rasmi di Malaysia di antara pasukan Harris’ XI dan Whitley’s XI di Kuala Lumpur.

Beberapa kelab sukan tempatan macam Tamilians’ Physical Cultural Association (TPCA), Selangor Malays dan Selangor Chinese Recreation Club mula melakukan perlawanan hoki peringkat kelab di Kuala Lumpur pada tahun 1931. Permainan hoki di Malaysia mencapai taraf antarabangsa apabila pasukan hoki Olimpik dari India datang ke Malaysia bertemu pasukan Malayan XI pada tahun 1932. Malangnya pasukan kita dibelasah dengan jaringan 7-0. Tapi waktu tu kita memang baru lagi, lawan juara dunia pulak tu.

Hoki india banyak bagi semangat kat kita. Gif dari Giphy

Semangat bermain hoki kita disemarakkan lagi dengan kejayaan pasukan India di Olimpik dengan lima kejayaan berturut-berturut. India menjadi juara sejak Olimpik 1928 di Amsterdam, Belanda hingga Olimpik 1952 di Helsinki, Finland. Akhirnya, sukan hoki diletakkan kat peringkat tertinggi di negara ni apabila Malayan Championship mula dipertandingkan.

Seawal tahun 1954, Persatuan Hoki Malaysia (kini Konfederasi Hoki Malaysia) telah dibentuk yang mana diketuai oleh Herman Marie De Souza dan beberapa orang lain iaitu:

Presiden: Herman Marie De Souza
Setiausaha: Kandiah Aryaduray
Penaung (The supremo of Malaya): Sir Gerald Templer
Penaung (Pesuruhjaya Tinggi Persekutuan Tanah Melayu): Sir Donald MacGillivray

Kemunculan hoki di negara kita sejak sebelum merdeka ni membuktikan yang sukan ni sangat rapat dengan rakyat Malaysia, termasuklah di kalangan orang-orang elit.

Tun Razak bergambar dengan pasukan wanita 1975. Imej dari The Star.

Masuk separuh akhir hoki Piala Dunia waktu hari jadi Tun Razak

PM Malaysia kedua iaitu Tun Abdul Razak memang minat sangat hoki. Dia dah join main hoki waktu belajar undang-undang kat London.

Beberapa tahun selepas merdeka, Tun Razak dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri bila Parti Perikatan menang pilihan raya tahun 1959 . Apa yang menarik, Tun Razak dipilih sebagai Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) beberapa bulan sebelum merdeka pada Mac 1957. Dia terus pegang jawatan tersebut hingga tahun 1976.

Waktu muda main hoki, dah veteran jadi PM. Imej dari The Star.

Zaman keemasan hoki Malaysia juga dikatakan terjadi waktu Tun Razak jugak. Pada tahun 1975, Malaysia terpilih untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia Hoki edisi ke-3. Edisi pertama dibuat di Barcelona, Sepanyol manakala edisi kedua kat Amstelveen, Belanda. Hebat Malaysia kan? Edisi ketiga dah jadi tuan rumah.

Kehebatan Malaysia terbukti masa ni apabila berjaya mengalahkan juara Piala Dunia edisi kedua iaitu Belanda dengan jaringan 2-1 di perlawanan akhir peringkat kumpulan. Kemenangan ni telah membawa Malaysia melangkah ke peringkat separuh akhir. Apa yang menarik, perlawanan Malaysia melawan Belanda tu berlangsung pada pagi 10 Mac yang merupakan tarikh ulang tahun kelahiran ke-53 Tun Abdul Razak (1970-1976).

Aksi Fook Loke waktu Piala Dunia 1975. Imej dari Harian Metro.

Kemenangan ni telah dilaporkan oleh Tan Sri P. Alagendra (Timbalan Presiden MHC) kepada Tun Razak selaku Presiden waktu tu. Tun Razak punyalah gembira dan anggap ia sebagai hadiah hari jadi dia.

“Laporan pada keesokannya menyatakan Perdana Menteri berkata ‘Ia adalah hadiah hari jadi terbaik daripada pemain hoki’. – Petikan dari Harian Metro

Malaysia kemudiannya kalah dengan India pada peringkat separuh akhir dengan jaringan 3-2. Dalam penentuan tempat ketiga dan keempat pula, Malaysia tewas kepada Jerman Barat dengan jaringan 4-0. Walapun dapat tempat keempat, Tun Razak telah mengadakan satu majlis makan malam dengan pemain-pemain kat Lake Club, Kuala Lumpur. Tun siap bagi hadiah RM150 setiap seorang dengan jam emas Omega.

K fine Sir Balasingam. Tahniah. Imej dari The Star.

Satu-satunya kejohanan hoki bertaraf antarabangsa menggunakan nama invididu dari Malaysia

Selain Tun Razak, sukan hoki ni telah menarik minat seorang lagi orang kenamaan Malaysia iaitu Sultan Azlan Shah. Bukan setakat minat ok, Sultan Azlan Shah pernah mewakili pasukan hoki Perak sebelum dilantik menjadi Naib Presiden Persatuan Hoki Malaysia (sekarang Konfederasi Hoki Malaysia) pada tahun 1973.

Pada tahun 1983, idea dari Sultan Azlan Shah telah menyebabkan penganjuran sebuah pertandingan hoki yang mendapat pengiktirafan Persatuan Hoki Antarabangsa (FIH). Kejohanan itu dinamakan sebagai Piala Sultan Azlan Shah. Apa yang membanggakan, ia adalah satu-satunya kejohanan hoki peringkat antarabangsa yang menggunakan nama individu sebagai nama kejohanan.

Mana satu Sultan Azlan Shah ni? Imej dari Galeri Sultan Azlan Shah.

Piala Sultan Azlan Shah ni mulanya dibuat dua tahun sekali, kemudiannya bertukar menjadi setahun sekali pada tahun 1998 setelah ianya terbukti semakin popular dan berkembang. Walaupun macam tu, Malaysia belum pernah menjadi juara kejohanan ni walaupun menjadi tuan rumah untuk setiap edisi.

Sultan Azlan Shah memang bersungguh-sungguh, malah dia dilantik menjadi Naib Presiden Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) pada tahun 1992 hingga tamat dua penggal, di samping menubuhkan Yayasan Hoki Malaysia sebab nak bagi biasiswa kepada pemain untuk melanjutkan pelajaran.

Yayasan itu memberi tumpuan kepada tiga objektif utama iaitu pemberian biasiswa untuk pemain melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi, faedah persaraan serta kebajikan jika berlaku kematian atau kemalangan. – Petikan dari Mstar.

Imej dari Media2

Format hoki Piala Dunia bertukar bila Malaysia jadi tuan rumah kali kedua

Selain usaha orang-orang besar, kerajaan Malaysia juga tak pernah meminggirkan sukan ni. Malaysia pernah jadi tuan rumah sukan Komanwel 1998. Buat pertama kalinya dalam sejarah sukan Komanwel, hoki telah dipertandingkan.

Ketika ni, pencapaian pasukan hoki negara memang boleh tahan jugak bila kita berjuang kat gelanggang sendiri. Malaysia masuk pusingan akhir sebelum tewas kepada Australia dengan jaringan 4-0, jadi team kita dapat pingat perak. Selepas tu, sukan hoki sentiasa tersenarai dalam setiap edisi sukan Komanwel.

Kesian Wira. Imej dari Utusan.

Pada tahun 2002, Malaysia sekali lagi dipilih menjadi tuan rumah Piala Dunia edisi ke-10 di mana sebelum ni edisi ke-3 pada tahun 1975.

Kali ni, format kebiasaan Piala Dunia seperti sebelum ni telah berubah. Macam sebelum ni, negara yang akan terpilih ke piala dunia hanyalah 12 telah berubah kepada 16 negara. Oleh kerana Malaysia mempunyai cuaca yang agak panas dan lembap, setiap pasukan dibenarkan mempunyai 18 pemain di mana sebelum ni hanya 16 pemain.

Syling sempena Piala Dunia 2002. Imej dari Malaysian Coin.

Malangnya, Malaysia gagal ulang pencapaian tahun 1975 untuk layak ke separuh akhir sebab berada kat tempat ketiga peringkat kumpulan. Malaysia ketika itu ketinggalan dua mata kepada Korea Selatan yang dapat tempat kedua.

Cikgu, polis dan pembaca meter TNB bawa Malaysia ke Piala Dunia 2018

Selepas menjadi tuan rumah pada tahun 2002, Malaysia gagal melayakkan diri sebanyak dua kali berturut-turut ke piala dunia edisi 2006 dan 2010. Sampailah satu hari di bulan Ramadhan tahun 2017, rakyat Malaysia dikejutkan dengan berita bahawa Malaysia berjaya layak ke Piala Dunia 2018 secara automatik lepas kalahkan India diperingkat suku akhir di Kejohanan Liga Hoki Dunia (Separuh Akhir-London)!

Perlawanan menentang India dilaporkan penuh dengan suspense dan drama bila team kita menang tipis dengan jaringan 3-2. SOSCILI pun pergi contact salah seorang pemain kebangsaan iaitu Nabil Fiqri Mohd Noor (midfielder) untuk bertanya macam mana diorang boleh tahan macam-macam tekanan waktu lawan team gergasi India ni.

“Tekanan memang dirasai untuk bertemu dengan mereka tetapi 2 hari sebelum pertemuan kami telah meneliti setiap aspek kekuatan & kelemahan pasukan India.” – Nabil Fiqri ketika dihubungi Soscili.

Nabil Fiqri ni lah yang kami contact tu. Imej dari The Star.

Kata Nabil lagi, team kita dengan kerjasama pakar penganalisis video pergi buat analisa beberapa video perlawanan yang telah direkodkan. Antaranya adalah perlawanan Malaysia melawan India di Piala Sultan Azlan Shah dan lain-lain, dan juga video pertemuan team India dengan team lain waktu kat London.

Waktu diorang melangkah masuk ke padang sebenarnya memang dah bersedia sangat-sangat. Matlamat diorang juga jelas untuk mendapatkan kemenangan supaya Malaysia layak ke piala dunia. Nabil mengakui yang setiap orang ada cara tersendiri untuk mengatasi tekanan dan dia pula hanya banyak berzikir dan berselawat.

Mesti ramai tertanya-tanya bagaimana dengan mengalahkan India di Liga Hoki Dunia boleh melayakkan negara kita ke Piala Dunia? Kalau korang nak tahu, sistem kelayakan untuk ke Piala Dunia 2018 ni lain sikit untuk menentukan 16 pasukan terpilih. Secara ringkasnya macam ni (klik sumber PDF):

1) Tuan rumah: India (1 pasukan)
2) Juara peringkat benua: 5 pasukan

Juara di Africa 11 th Africa Cup for Nations
Juara di America 5 th Pan American Cup
Juara Asia 10th Asian Cup
Juara di Europe 16 th EuroHockey Nations Championship
Juara di Oceania 10th Men’s Oceania Cup

3) Liga Hoki Dunia: 11 pasukan teratas
Di sebabkan Malaysia dapat tempat keempat, kita automatik tergolong 11 pasukan teratas. Jadinya, Malaysia antara pasukan terawal yang layak ke Piala Dunia 2018.

Kumar dan trofi anugerah. Imej dari NST.

Walaupun dapat tempat keempat, penjaga gol pasukan negara Kumar Subraniam (S. Kumar) telah menerima anugerah penjaga gol terbaik sepanjang kejohanan! Kisah pasukan negara semakin menjadi inspirasi bila orang tahu yang Kumar ni sebenarnya bekerja sebagai pembaca meter TNB. Begitu juga pemain negara yang lain yang mempunyai kerja tetap masing-masing seperti yang ditulis oleh Bazly Azmi wartawan Astro Arena.

Apakah pekerjaan Sukri Mutalib? Dia seorang cikgu.
Apakah pekerjaan Muhammad Razie Abd Rahim. Dia seorang polis.
Apakah pekerjaan Faiz Helmi Jali? Dia seorang penuntut Universiti Malaya. – Petikan dari Stadium Astro

Bazly turut menyatakan mereka ni kebanyakan datang ke pusat latihan naik motor kapcai je.

Ni confirm tak pandai main hoki. Gif dari Giphy

Waktu SOSCILI contact Nabil, kami juga sangat terkejut bila dia kata yang dia bekerja sebagai polis dan merupakan bekas pelajar UPM jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains (Agri Business). Kami pelik jugak, macam mana diorang semua boleh boleh fokus bermain hoki walaupun ada kerja tetap.

“Sewaktu saya belajar saya sentiasa diberi sepenuh sokongan oleh pihak Universiti Putra Malaysia untuk membahagikan waktu belajar & latihan yang fleksibel. Sama juga apabila saya bekerja saya diberi sokongan sepenuhnya oleh PDRM untuk menjalani latihan bersama pasukan kebangsaan.” – Nabil Fiqri ketika dihubungi Soscili.

Pasukan Malaysia mula digeruni dunia

Selain team hoki lelaki negara, tak lupa juga buat skuad hoki negara yang berjuang di Liga Hoki Dunia di Brussels, Belgium. Walaupun tak mendapat tempat teratas, masih ada pencapaian yang membanggakan sebab salah seorang pemain, Hanis Nadiah Onn  menerima anugerah Asia’s Most Promising Player . Dia dapat anugerah tersebut ketika  berusia 21 tahun!

Cantik pastu pandai main hoki. Imej dari Online Daily.

Kejayaan pasukan hoki negara telah mendapat respon yang sangat baik dari semua rakyat Malaysia. PM Najib pun sembat mengucapkan tahniah melalui twitternya.

“Syabas kepada pasukan hoki kita, berjaya layak ke Piala Dunia 2018 selepas tewaskan India di suku akhir Liga Hoki Dunia di London,” kata Najib dalam catatan di laman Twitter.

Kami sempat juga menghubungi pakar sejarah dari Universiti Malaya iaitu Prof. Khoo Kay Kim untuk mendapatkan reaksi dia mengenai kejayaan ni. Dia mengatakan pasukan hoki negara dikenali sebagai pasukan terbaik dunia pada tahun 1975 dan lepas tu agak kurang sedikit.

“Nampak sekarang sudah banyak berubah, dan tak lama lagi saya harap pasukan kita mencapai kejayaan di sukan Olimpik” – Prof. Khoo Kay Kim ketika dihubungi Soscili.

Macam ni lah gerunnya diorang pada Malaysia. Gif dari Giphy.

Skuad hoki negara telah gagal ke Olimpik untuk empat kali berturut-berturut termasuk Olimpik di Rio, Brazil 2016. Penampilan terakhir skuad hoki negara adalah pada tahun 2000 di Sydney, Australia. Apa pun pasukan Speedy Tigers bakal menggegarkan Piala Dunia 2018 yang turut diakui penyerang hoki Argentina, Lucas Villa.

“Malaysia sebuah pasukan yang sedang meningkat naik dan melayakkan diri ke Piala Dunia.” – Petikan dari Stadium Astro

So harapnya lepas ni lagi ramai rakyat Malaysia yang bagi support team hoki kita, memang bukan calang-calang orang!

About A. Zahid Amran 207 Articles
Selamat datang semua. Ini masa kita. Tunduk berhemah. Bukannya lemah - FT