Dapatkan game “Operasi Korupsi” kitorang kat sini!
Reputasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memang dah lama dipersoalkan, dan jadi lebih parah pada tahun 2022 bila Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki, didedahkan memiliki jutaan saham dalam syarikat tersenarai, sekali gus mencetuskan persoalan konflik kepentingan.
Beliau kemudian nyatakan yang saham-saham tu sebenarnya dibeli oleh adiknya bagi pihak beliau, yang membawa kepada isu urus niaga proksi. Dalam usaha mempertahankan beliau, tiga timbalannya keluarkan kenyataan bersama menyifatkan kontroversi tu sebagai serangan politik untuk menjatuhkan kredibiliti SPRM, sambil tegaskan sokongan penuh terhadap ketua diorang.
Kalau kita ingat benda ni dah selesai, rupanya tak. Terbaharu, isu ini kembali hangat selepas laporan oleh Bloomberg yang mendakwa pegangan saham tersebut lebih besar dan lebih kompleks daripada yang difahami sebelum ini. Azam menafikan sebarang salah laku, dan tegaskan yang dia dah buat pengisytiharan aset mengikut peraturan, dan nyatakan saham tu dah dilupuskan. Beliau juga ambil tindakan undang-undang terhadap Bloomberg atas dakwaan laporan yang mengelirukan.
Dengan semua drama ni, timbul satu soalan yang agak logik. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jaga orang lain supaya tak rasuah, tapi siapa pula yang jaga SPRM?
Rupanya masa SPRM ditubuhkan dulu, mekanisme semak dan imbang memang dah disediakan sekali. Ada lima badan pemantau luar yang digambarkan sebagai bebas diwujudkan serentak. Banyak juga tu. Jadi kali ni kita kenal satu per satu, bermula dengan yang disebut dalam berita baru-baru ini.
1. Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR)
Disebabkan semua badan ni tak ada logo, jadi korang layan je lah gambar-gambar random yang kami letak. Badan ni ditubuhkan di bawah Akta SPRM 2009 (Akta 694), dengan Yang di-Pertuan Agong melantik ahli-ahlinya daripada orang-orang yang “telah berkhidmat cemerlang dalam sektor awam atau mencapai kecemerlangan dalam profesion mereka”, atas nasihat Perdana Menteri. Menariknya, Ketua Pesuruhjaya SPRM pun jadi ahli secara automatik sebab jawatannya.
Apa yang LPPR buat secara asasnya adalah pastikan SPRM jalankan kerja anti-rasuah dengan baik. Diorang bagi nasihat kepada SPRM tentang masalah rasuah di Malaysia dan strategi SPRM untuk tangani isu itu, semak laporan tahunan SPRM, pastikan SPRM ada cukup sumber, dan lain-lain lagi. Diorang juga bagi komen tentang prestasi SPRM kepada badan pemantau lain, iaitu JKMR.
2. Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR)
Macam LPPR, JKMR juga ditubuhkan di bawah akta yang sama, namun Yang di-Pertuan Agong melantik anggotanya daripada kalangan ahli politik; senator dan ahli Dewan Rakyat yang tidak ada dalam pentadbiran., dan juga bukan ahli LPPR. Pelantikan ni masih lagi atas nasihat perdana menteri.
Fungsi jawatankuasa ni adalah untuk menyemak komen LPPR terhadap prestasi SPRM termasuk laporan tahunan SPRM dan menasihati Perdanan Menteri dalam segenap aspek masalah rasuah di Malaysia.
Ringkasnya, diorang akan sediakan laporan tahunan yang ada cadangan dan saranan untuk memperkasakan SPRM serta melawan rasuah kat Malaysia, yang kemudian dibentangkan oleh Perdana Menteri di Parlimen.
3. Jawatankuasa Aduan
Jawatankuasa Aduan juga ditubuhkan di bawah akta yang sama dengan dua badan sebelum ni, tapi ahlinya dilantik oleh Menteri Dalam Negeri, daripada ahli-ahli Dewan Undangan dan tokoh masyarakat yang bukan ahli mana-mana daripada empat badan pemantau lain.
Fungsi diorang ni adalah pastikan aduan salah laku terhadap pegawai SPRM ditangani dengan baik. Salah laku kat sini bermaksud diorang taSk urus aduan jenayah. Diorang juga kenal pasti kelemahan dalam prosedur kerja SPRM yang mungkin akan dapat aduan, dan cadangkan penyelesaian.
4. Panel Penilaian Operasi (PPO)
Berbeza dengan tiga entiti sebelum ni, penubuhan PPO tak disediakan di bawah Akta SPRM. Ahli-ahlinya dilantik secara pentadbiran oleh Perdana Menteri daripada pakar yang mewakili profesion berkaitan dan yang boleh mencerminkan kualiti integriti dan bebas SPRM.
Fungsi diorang ni lebih kepada memastikan takde perkara mencurigakan dalam siasatan SPRM. Diorang teliti statistik siasatan yang dimulakan SPRM, menyoal pegawai SPRM pasal kertas siasatan yang ambil masa lebih setahun, menerima laporan bila suspek dapat jaminan lebih daripada enam bulan, bagi nasihat penambahbaikan berdasarkan siasatan yang selesai, dan buat cadangan kepada LPPR untuk perbaiki operasi siasatan SPRM.
5. Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR)
Sama seperti ORP, badan ini juga tidak ditetapkan di bawah undang-undang dan ahli-ahlinya dilantik secara pentadbiran oleh Perdana Menteri. Ahli-ahlinya terdiri daripada orang yang boleh mewakili pelbagai pertubuhan masyarakat sivil dan organisasi.
Ada sedikit drama daripada badan ini berkaitan kes Azam Baki ni. Seorang ahli, Prof Dr Edmund Terence Gomez, dilaporkan meletak jawatan sebagai protes terhadap tindakan panel yang dianggap tak bertindak. Langkah ini kemudiannya ditegur oleh pengerusi sebagai “menggunakan panel untuk agenda politik”.
Secara umumnya, fungsi PPPR adalah membantu SPRM supaya masyarakat menolak rasuah. Contohnya, bagi nasihat kepada MACC tentang aktiviti pendidikan awam, amalan terbaik dalam pelaksanaan program anti-rasuah, bantu SPRM dapatkan sokongan daripada masyarakat dan media… tapi bila difikir balik, kenapa badan ini sebahagian daripada mekanisme semak dan imbang SPRM? Sebenarnya…
Macam mana lima badan ni nak jaga SPRM?
Mekanisme semak dan imbang wujud supaya kuasa tak tertumpu pada satu individu atau kumpulan saja. Tapi berdasarkan ringkasan pendek lima badan ni, yang digambarkan sebagai mekanisme semak dan imbang SPRM, korang akan nampak ada masalah kat sini. Semua ahli badan ni, sama ada secara langsung atau tak langsung, dilantik oleh Perdana Menteri, sama macam Ketua Pesuruhjaya SPRM tu sendiri. Dalam dunia sempurna, mungkin ni tak jadi masalah, tapi pengalaman kita sendiri dengan skandal 1MDB tunjukkan yang susunan ni boleh dan kononnya memang pernah disalahgunakan.
Azam Baki pernah berkata dia tak akan letak jawatan sebab dia dah ‘serahkan diri; untuk disiasat oleh panel-panel SPRM, dan tegaskan yang dia ‘tak akan menari ikut rentak mana-mana parti dengan agenda politik tertentu’.
“Saya teguh dan akan tetap pada pendirian untuk tidak meletak jawatan kerana tiada keperluan untuk saya berundur. Hanya satu individu, yang paling layak untuk menamatkan tugas saya, iaitu Yang di-Pertuan Agong. Selain itu, saya tidak peduli tentang tuntutan mana-mana pihak.”
– Azam Baki, dipetik oleh MalaysiaKini
Tapi bila kita tau macam mana panel-panel ni berfungsi sekarang, memang ramai yang tak mudah percaya dengan kenyataan tu. Sekurang-kurangnya, bukan 50 pertubuhan masyarakat sivil dan beberapa lagi pihak yang minta Perdana Menteri lancarkan siasatan bebas terhadap isu ni.
________________________________________________________________________________
Nak dapatkan boardgame terbaru kami? Isi pautan google form kat bawah ni untuk kami contact korang bila dah release nanti:
https://forms.gle/1MTRCMZksYgcJwD68
