- 130Share sekarang!
- Email0
- Facebook130
- Share
Bila kita nak bercerita bab bersalin zaman sekarang ni semuanya moden, hantar hospital semua dah kira settle dari bab perubatan, pembedahan, penjagaan dan macam-macam lagi lah. Tapi tu semua adalah sewaktu bersalin je, bagaimana pula dengan waktu selepas bersalin kan?
Lepas bersalin ni biasanya akan ada sesi berpantang, apa tu berpantang? Ia adalah proses penjagaan lepas bersalin yang melibatkan pelbagai rutin yang perlu diikut oleh ibu yang baru lepas bersalin, zaman sekarang punya berpantang boleh je request hospital untuk hantar nurse datang rumah. Tapi zaman dulu (kira tradisional lah) mana ada buat macam tu semua, selain bertunku, banyak lagi benda lain yang dorang buat dulu-dulu untuk ibu baru lepas bersalin ni. Nak tahu dorang buat apa? Teruskan membaca artikel ini.
WHO mengiktiraf aktiviti berpantang
Berpantang, semua orang tahu tentang ayat tu tapi apa je yang orang faham tentang intipati ayat berpantang tu kan. Orang zaman sekarang pun bukan cakna sangat tentang berpantang ni lagi-lagi pasangan muda, sampai ada yang ambil mudah benda ni. Walaupun sekarang ni orang ramai lebih prefer cara yang lebih moden, tapi cara penjagaan tradisional ni pun masih dikira relevan. Ia disebabkan berpantang ni pun memberi pelbagai manfaat kepada ibu yang baru lepas bersalin.
Basically, tujuan berpantang ni adalah untuk menyembuhkan dan memulihkan tenaga dan kesihatan wanita yang baru lepas bersalin dalam tempoh tertentu. Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO) pun dah nyatakan yang tempoh berpantang harus dimulakan sejam selepas bersalin (awal betul) untuk mendapatkan kesan pemulihan yang terbaik. Pakar Kesuburan dan Sakit Puan Dr. Pravin Peraba juga ada sebut yang berpantang juga sangat bagus untuk mengelakkan penyakit-penyakit lain yang boleh memudaratkan ibu-ibu bersalin.
“Saya berpendapat, berpantang adalah penting meskimun zaman semakin maju dan terdapat pelbagai teknologi canggih namun ia tidak mampu untuk membuatkan sel-sel badan pulih tanpa perlu melalui proses pemulihan selepas sembilan bulan mengandung dan bersalin. Pengaliran darah yang baik amat penting dan antara aktiviti yang disarankan adalah berjalan-jalan serta senaman ringan. Berurut selepas bersalin adalah pilihan kepada ibu yang baru bersalin tetapi bukan wajib,” Pakar Kesuburan dan Sakit Puan, Dr. Pravin Peraba, petikan dari Harian Metro
Kebiasaannya, tempoh amalan berpantang pula adalah sekitar 10 hingga 45 hari tapi kadang-kadang ia boleh mencecah sampai 100 hari (baru lah dapat cuti lama) bagi mereka yang mempunyai kesan sampingan selepas bersalin yang agak teruk. Yang menariknya, setiap kumpulan etnik utama di Malaysia iaitu Melayu, Cina, India serta pribumi di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak mempunyai cara berpantang yang berbeza dipengaruhi oleh agama dan adat resam masing-masing. Namun segala info berpantang yang kitorang nak bagitahu lebih kepada cara tradisional orang melayu sebab nak bagitahu semua banyak sangat lah pula.
Ibu bersalin akan ‘disalai’ untuk mengecutkan urat yang bengkak
Kita tengok pula pada prosedurnya secara ringkas, untuk orang melayu ni semuanya mesti melibatkan urutan. Bukan urut sahaja, ada prosedur lain iaitu bertungku, mandi teresak dan pemakaian barut. Ada lagi satu yang betul-betul rare, ia dipanggil amalan berdiang atau bersalai yang mungkin sangat susah untuk dilihat pada zaman sekarang. Segala prosedur ni perlu dititikberatkan tempoh dan masa yang sesuai (untuk dilakukan), teknik amalan, tatacara amalan, bahan-bahan yang digunakan dan kebaikan amalan tersebut.
Bagi urutan selepas bersalin, mostly ibu-ibu akan melakukan urutan selepas bersalin kerana ia merupakan salah satu elemen penting dalam perubatan tradisional orang Melayu. Urutan tradisional untuk ibu bersalin ni melibatkan urutan seluruh badan beserta urutan khas di bahagian payudara dan perut. Ia juga dikatakan sebaik-baiknya dilakukan pada waktu pagi atau petang, tidak pula pada tengahari kerana dipercayai urat akan menjadi keras pada waktu tersebut. Urutan itu selalunya akan mula dilakukan tiga hari selepas bersalin, bagi tempoh urutan pula adalah mengikut kepada condition seseorang itu kerana paling minimum adalah tiga hari sahaja tetapi ia boleh berlanjutan sehingga 40 hari.
Yang kedua adalah bertungku, selalu je kita dengar bertungku ni tapi maksud sebenarnya tu yang ramai tak tahu. Bertungku ni merupakan sejenis urutan (point massage/acupuncture) yang menggunakan batu panas untuk melancarkan darah. Selalunya tukang urut tradisional akan menggunakan batu sungai, batu itu akan dipanaskan di atas api sebelum ia dibalut dengan kain (selalunya kain batik) bersama-sama dengan herba-herba terpilih. Selepas itu, tukang urut akan menungku bahagian perut, peha, punggung, belakang diikuti dengan betis dan tapak kaki (macam best je).
Seterusnya adalah mandi teresak, nama yang agak vogue tu tapi sebenarnya ia adalah mandian air rebusan herba (bukan untuk minum ye). Orang di Kelantan lah selalu panggil mandi teresak ni, aktiviti mandi teresak ni selalunya dilakukan selepas berurut dan bertungku untuk memaksimumkan kesan dan manfaatnya. Pelbagai herba seperti daun mengkudu, daun nilam, daun kunyit, serai wangi dan banyak lagi akan direbus bersama sebelum digunakan sebagai air mandian. Salah satu kebaikkan mandi teresak adalah ia dapat mengharumkan dan menghilangkan bau hanyir pada badan orang lepas bersalin, banyak lagi sebenarnya tapi kitorang bagi satu je la dulu.
Untuk amalan pemakaian barut pula, sebenarnya ia cuma nama yang style sikit lah untuk pemakaian bengkung. Penggunaan barut ni dikatakan untuk mengembalikan kelangsingan badan seperti sebelum mengandung dan bersalin, sebab lepas bersalin ni mestilah badan akan sedikit menggeleber kan. Dikatakan juga tukang urut akan menyapu ramuan herba di perut ibu (untuk mengempiskan perut) sebelum membalut dengan kain (secara ketat) yang berukuran tiga hingga lima ela. Tapi zaman sekarang dah banyak barut atau bengkung moden, seperti barut bercangkuk, barut berpelekat (velcro), barut berzip dan macam-macam lagi.
Yang terakhir adalah berdiang dan bersalai, sangat jarang dijumpai zaman sekarang tetapi katanya masih ada yang melakukannya. Ia merupakan amalan yang menggunakan haba dari bara api untuk memanaskan (dah macam bbq lah pula) badan ibu selepas bersalin. Bagi amalan berdiang, ibu akan baring mengiring membelakangi bara api dan untuk amalan bersalai pula ibu akan baring secara terlentang di atas katil kecil yang dibawahnya terletak bara api. Badan si ibu akan dilumuri minyak panas, kunyit dan lada hitam sepanjang aktiviti itu berlangsung.
Macam biasalah, orang dulu-dulu buat semua tu mesti untuk manfaatnya kan dan antara manfaat aktiviti ‘bakar-bakar’ ni adalah ia dapat menyihatkan badan, mengecutkan urat yang bengkak dan meringankan tubuh badan. Tapi dah macam memasak dah siap letak kunyit dengan lada hitam, mungkin punca berdiang dan bersalai ni jarang dilakukan adalah kerana ia agak bahaya dan boleh merisikokan nyawa ibu selepas bersalin. Walaubagaimana pun, itu lah serba sedikit penerangan ringkas (ada banyak lagi sebenarnya) tentang prosedur tradisional bagi penjagaan ibu selepas bersalin.
Suami tak boleh melakukan hubungan in-team dengan isteri
Bukan sahaja amalan penjagaan tradisional perlu dilakukan, pantang larang juga perlu diambil berat semasa mengikut segala prosedur yang telah ditetapkan. Macam biasalah, kehidupan Melayu tradisional ni memang banyak melibatkan nasihat orang lama dan juga pantang larang. Ada tiga perkara umum dalam petua dan pantang larang yang perlu dijaga semasa berpantang, iaitu pemakaian, aktiviti harian dan hubungan suami isteri.
Untuk pemakanan, banyak juga si ibu kena jaga bagi membolehkan proses pemulihan berjalan dengan baik. Menurut amalan perubatan tradisional Melayu, ibu selepas bersalin harus sentiasa berada dalam keadaan yang hangat dan disebabkan itu mereka dinasihati untuk memakan makanan berunsur panas seperti masakan yang mempunyai halia dan lada hitam. Pada masa yang sama mereka harus mengelakkan makanan berunsur sejuk seperti timun dan tembikai. Tu zaman dulu lah, kalau macam sekarang doktor lebih menggalakkan makanan yang seimbang dan menyihatkan.
Bagi aktiviti harian pula, ibu-ibu selepas bersalin dilarang untuk melakukan aktiviti lasak atau kerja-kerja rumah dan even menyapu rumah pun tak boleh sebab semasa berpantang, mereka dikatakan harus mendapatkan rehat yang cukup. Senang cerita, mereka tidak digalakkan membuat kerja-kerja berat lah sebab badan mereka tu masih lagi lemah.
Seterusnya adalah hubungan suami isteri, ini antara benda yang paling kena jaga sebab ini untuk menjaga luka dalaman ibu selepas bersalin. Hal ini kerana rahim si ibu berisiko untuk ‘koyak’ dan berlaku pendarahan jika terjadinya hubungan suami isteri berlaku sebelum habisnya pantang. Dikatakan pasangan suami isteri perlu mengelakkan hubungan kelamin at least seratus hari. Yang si suami pun jangan lah gatal-gatal sangat, isteri korang tengah sakit tu.
Cara tradisional atau moden, kedua-duanya penting
Mungkin orang zaman sekarang merasakan berpantang ni merupakan kaedah ‘kuno‘, sehinggakan mereka tidak mahu melakukannya dan mengambil mudah tentang perkara itu. Tetapi, ramai berpendapat berpantang selepas bersalin tu (tak kira moden atau tradisional) adalah perkara yang wajib.
Tidak salah pun untuk melakukan cara tradisional, itu semua adalah warisan turun-temurun dari nenek moyang kita semua. Kita hanya mengambil yang dirasakan baik dan tolak perkara yang dirasakan agak mengarut tu, siapa lagi nak memelihara amalan berharga ni selain diri kita sendiri. Dalam pada itu, jangan lah pula menolak perubatan moden hanya kerana ingin mengikut cara tradisional sahaja kerana zaman sudah berubah dan haruslah kita memanfaatkan perkara yang ditawar oleh era moden.
- 130Share sekarang!
- Email0
- Facebook130
- Share