Kumpulan Ukays mula popular sebab lagu ciptaan guru vokal Andy Lau ni?

Selepas beberapa bulan, akhirnya bekas pemain dram Ukays, Akel Zainal disahkan terbunuh di Syria bersama isteri serta anaknya. Turut terbunuh adalah anggota kumpulan Daesh dari pelbagai negara. Dilaporkan rumahnya di Barghouz, Syria terkena serangan bom dari udara pada Mac 2019.

Mungkin ramai tak tahu, Akel ni dah sertai Daesh sejak tercetusnya konflik di Syria hingga menjadi pemimpinan kanan Daesh bagi merekrut ahli baru dari Asia Tenggara. Pada Oktober 2014, dia aktif merekrut pelajar wanita IPTA untuk ke Syria hingga bekas pelajar KUIS, Syamimi Faiqah lari ke negara tu untuk berkahwin dengannya.

Imej dari Youtube Jom Viral

Di sebalik kisah Akel ni, kami sebenarnya nak menulis semula sejarah kumpulan muzik Ukays yang pernah dia sertai sebelum berubah ke arah tu. Ini kerana Ukays ada kumpulan terkenal sebaris dengan Wings dan Search sewaktu era mereka. Namun, Akel bukanlah ahli asal kumpulan Ukays. Ini sejarah terasasnya Ukays…

Bila Ukay tambah S jadi Ukays, baru album mereka meletup

Album pertama kumpulan Ukay. Imej dari Pecah Otak Blogspot

Kumpulan ni tertubuh pada tahun 1986 dengan nama Ukay. Anggota terawalnya adalah Zul (Vokal), Well (gitar), Din (gitar bes) dan Ali (dram). Album pertama kumpulan ni berjudul Tinggal Irama diterbitkan pada tahun 1991 oleh Saari Amri yang merupakan seorang komposer muda waktu tu. Namun, jualan album tak laku sebab vokal yang kurang mantap.

Kemudian, Saari Amri membuka syarikat baru bersama rakannya, Ridhuan Abu Bakar yang diberi nama Mekar Production. Dari sini, Ukay menjadi artis pertama Mekar Production. Waktu ni, Ukay tak ada lagi vokalis sebab kebanyakannya tak menepati cita rasa Saari Amri.

Sehinggalah Saari menjemput Amir daripada kumpulan Analisa untuk menjadi vokal utama Ukay. Kemasukan Amir menyebabkan nama kumpulan itu bertukar dari Ukay kepada Ukays. Melalui Ukays, lahir album bertajuk ‘Mencari’ pada Februari 1992. Namun, jualannya hanya sekadar 15,000 unit sahaja. Saari Amri selaku syarikat penerbitan terpaksa menanggung rugi.

Album ni meletup jualannya. Imej dari Carousell

Namun, semua kegagalan ini akhirnya menemui jalan penamatnya pada tahun 1994, apabila album kedua Ukays bertajuk Bisa Berbisa menemui pasaran. Sebanyak 400,000 unit terjual menjadikan ia album paling banyak terjual hinggalah rekod itu dipecahkan oleh kumpulan Raihan melalui album Puji-Pujian.

Hampir kesemua lagu di dalam album ni adalah hasil gubahan Saari Amri dengan pelbagai penulis lirik. Apa yang menarik, hampir kesemua lagu dalam album ni menjadi hit dan kerap dimainkan di radio.

Inilah hasil tangan Saari Amri yang mungkin ramai tak tahu. Tanpa Saari Amri, Ukays mungkin tiada apa-apa menurut Amir bekas vokalis Ukays. Sebelum sembang pasal kumpulan Ukays lagi, elok kita kenali Saari Amri yang bukan calang-calang ni…

“Pernah satu tahap, saya terpaksa mengemis, meminta makanan di kawasan Jalan Chow Kit…”

Waktu muda mudi remaja. Imej dari Wiki

Saari Amri ni bukanlah anak seorang elit pemuzik, dia berasal dari keluarga miskin. Dia ni pernah bekerja sebagai pemanjat kelapa pada umur 12 tahun. Beberapa tahun lepas tu, dia berpindah ke Singapura untuk bekerja sebagai buruh kontrak. Kat sanalah, dia bercampur dengan ramai kawan serta mula berjinak-jinak dengan bermain gitar. Waktu tu dia ada juga buat lagu sendiri. Kawan-kawan kat sana nampak bakat dia dan minta dia cuba nasib di KL.

Mula-mula mencuba, kebanyakan syarikat rakaman tolak mentah-mentah. Duit simpanan habis, dia balik kampung. Lepas tu datang balik KL untuk mencuba sampai satu tahap dia terpaksa mengemis di Jalan Chow Kit.

“Mengenangkan kembali zaman susah dulu, saya memang sedih. Pernah satu tahap, saya terpaksa mengemis, meminta makanan di kawasan Jalan Chow Kit semata-mata untuk meneruskan hidup. Mujurlah ada yang bersimpati.”- Saari Amri, petikan dari Berita Harian

Hinggalah satu hari apabila syarikat rakaman NSR menerima lagu ciptaannya berjudul Pandang Pertama yang dinyanyikan Rohana Jalil. Waktu tu dia masih meneruskan hidup dengan bekerja kilang di Cheras. Semuanya berubah apabila lagu ‘Pasti’ ciptaannya yang dinyanyikan kumpulan Mega menjadi hits. Dari situlah, bos syarikat rakaman BMG Records menawarkannya kerja di bahagian stor pada mulanya, hingga memegang jawatan pengurus syarikat rakaman tersebut.

Saari Amri dan album serta anugerah yang diterimanya. Imej dari Muzik Kita

Kemudian, semua serba menjadi apabila lagu ciptaanya banyak yang menjadi hits termasuk yang dinyanyikan oleh Wings, Spring, Ukays, Ziana Zain, Slam dan lain-lain. Menurutnya, 600 lagu ciptaannya yang sudah berada dalam dunia industri hiburan.

Apa yang paling menggemparkan, penyanyi popular Hong Kong, Andy Lau pernah menjemputnya pada tahun 2000 untuk menjadi guru vokal selama dua minggu.  Waktu tu Andy Lau dalam persediaan menyanyikan lagu Mandarin yang diterjemahkan kepada Bahasa Melayu bertajuk ‘Adakalanya Menghiris’.

Begitulah, kisah Saari Amri salah seorang orang penting penubuhan kumpulan Ukays. Namun, jodohnya dengan kumpulan ni penuh dengan ranjau dan duri. Ini kerana…

Kumpulan Ukays bertukar nama lagi, hampir sejuta album terjual termasuk di Indonesia

Sekalipun album Bisa Berbisa terjual 400,000 unit, kumpulan Ukays tetap ada masalah apabila ahli kumpulan minta royalti lebih daripada perjanjian. Mengikut perjanjian asal hanyalah RM0.50 untuk satu album. Untuk memenuhi permintaan, bayaran royalti dinaikkan oleh Mekar Production dengan RM0.75 bagi satu album terjual. Tapi, ahli kumpulan tetap tak berpuas hati. Kalau nak dikira secara kasar, maknanya royalti yang diterima adalah,

RM 0.75 x 400,000 unit= RM 300,000

Tak cukup juga? Pada waktu tu, ahli kumpulan Ukays terdiri daripada Amir (vokal), Amy (gitar), Well (gitar), Din (gitar bes) dan Ali (dram). Konflik ni menyebabkan hanya Amir dan Amy sahaja tinggal dan ahli lain bla dari kumpulan tersebut. Maka, Mekar Production mencari ahli baru dan menemui Amirol (dram), Olley (gitar bes) dan Daniel (gitar). Kemasukan ahli baru ni juga dah menukar nama kumpulan tu daripada Ukays kepada U.K’S.

Tinggap tiga huruf je. Imej dari Musik Kapan Lagi

Melalui U.K’S, sekali lagi Saari Amri menerbitkan beberapa album termasuk Tajam Menikam pada tahun 1995 yang sangat laku dan menjadi. Terjual sebanyak 280,000 unit di Malaysia dan melebihi 700,000 unit yang terjual di Indonesia. Macam album sebelum ni, hampir kesemua lagu dalam album ni keluar di radio dan menjadi popular.

Walaupun berada di kemuncak, masalah dalaman timbul lagi. Ini menyebabkan kumpulan U.K’S menarik diri dari Mekar Production milik Saari Amri dan berpayung di bawah Ambang Klasik TV3. Waktu ni Saari Amri memujuk Amir untuk bersamanya dan Amir bersetuju. Manakala, baki lain kumpulan U.K’S terus bergerak dengan vokalis baru, Rahmad Mega.

Imej dari Harian Metro

Saari Amri terus menerbitkan album U.K’S berjudul Cuma Aku Yang Hidup pada tahun 1997. Ia terjual sebanyak 100,000 unit. Pada tahun 2000, Amir bersama ahli baru U.K’S iaitu Akel (gitar), Awie (gitar), Neil (gitar bes) dan Faizul (dram) menjayakan album berjudul Pijar Kasmaran. Kali ni tiada hasil tangan Saari Amri, cuma album ni diterbitkan olehnya.

Kami bila baca ni pun keliru, mana satu kumpulan U.K’S yang sebenar waktu ni. Sama ada pasukan Amir + Saari Amri atau Amy + ahli kumpulan U.K’S lain.

Konflik tak henti, apabila U.K’S tak dibenarkan nyanyi lagu U.K’S

Kumpulan Ukays tanpa Amir. Imej dari Youtube Music Lyric

Pada tahun 2015, isu berkaitan kumpulan U.K’S kembali timbul apabila Amir bekas vokalis kumpulan ni rasa tak puas hati apabila U.K’S kembali aktif di bawah Amy (gitaris). U.K’S siap keluar album baru berjudul Kembali Berbisa terbitan syarikat UK’s Record Entertainment milik Amy sendiri. Dalam album tu ada enam lagu baru yang turut dinyanyikan oleh vokalis jemputan. Beberapa ahli kumpulan asal U.K’S turut diketengahkan kecuali Amir.

Amir dikatakan tak puas hati sebab dia tak diundang untuk nyanyi lagu baru kerana baginya kumpulan tu sinonim dengan suaranya. Amy terus bersuara dalam hal ni,

“Dia tak boleh kata Amir adalah UK’s atau UK’s adalah Amir. Dia boleh guna nama UK’s di hujung namanya tetapi dia tidak boleh dakwa UK’s adalah miliknya,”- Amy, petikan dari Harian Metro

Pada tahun yang sama, ada perancangan untuk membuat konsert ‘reunion’ di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur. Namun, Saari Amri dah bertindak memohon perintah mahkamah agar kumpulan U.K’S yang baru ditubuhkan semula oleh Amy tak dibenarkan menyanyi lagu ciptaannya. Saari mengatakan dia tak boleh tahan sabar apabila dia dan Amir dipersalahkan kerana terbubarnya kumpulan tersebut. Dia juga kesian kerana peminat ramai tertipu kerana peminat ingat Amir akan jadi vokalis, tetapi Amy yang nyanyi serta dah merosakkan lagu.

“Semua kesalahan dilakukan mereka sewaktu timbul konflik sehingga menyebabkan Uk’s terpaksa bertukar nama tetapi yang dipersalahkan adalah saya.

Mereka melang­gar kontrak, saya yang disaman. Waktu itu disebabkan tidak mahu memanjang cerita dan turun naik mahkamah, maka saya diam­kan saja. Kalau ikutkan saya yang sepatutnya saman mereka,”- Saari Amri, petikan dari Harian Metro

Imej dari Amy Ukay Blogspot

Amir yang juga memberi respon bahawa dia setia bersama Saari Amri dan kekal bergerak solo. Baginya, tindakan Saari ni kerana dia tak berpuas hati dengan Amy yang hidupkan kumpulan U.K’S tanpa anggota asal dan lebih menonjolkan dirinya berbanding kumpulan tersebut.

Begitulah konflik yang berlaku, namun kumpulan U.K’S yang dihidupkan oleh Amy ni tetap mendapat perhatian peminat apabila lagu-lagu baru mereka menang carta radio dan mendapat jutaan tontonan di Youtube.

Industri seni dan hiburan sentiasa berkonflik, tapi ia menghargai bakat seseorang

Penggiat dalam industri hiburan sebenarnya mempunyai ujian dan cabaran yang tersendiri. Mereka juga tak terlepas dari sebarang konflik yang kadang kala seperti tidak berpenghujung. Namun, industri ni juga adalah ruang untuk seseorang yang sekalipun tiada pendidikan formal muzik, tapi mampu menaikkan industri ini juga. Itulah yang dilakukan oleh Saari Amri yang mempunyai formula tersendiri dalam mencipta lagu.

“Setiap lagu yang dihasilkan datangnya daripada hati kerana saya percaya, pendengar boleh rasa dan menjiwai karya yang dihasilkan secara jujur. Sebab itu, lagu yang dicipta sebegitu mudah diterima dan menjadi popular.”- Petikan dari Berita Harian

Antara lagu dari hati Saari Amri. Imej dari FMC Music

 

About A. Zahid Amran 207 Articles
Selamat datang semua. Ini masa kita. Tunduk berhemah. Bukannya lemah - FT