- 1.3KShare sekarang!
- Email5
- Facebook1.3K
- Share
Bila cakap pasal orkestra, perkara pertama yang terlintas di fikiran korang mesti sekumpulan koir lengkap berpakaian tuksedo menyanyi dengan suara Ning Baizura kan? Tak pun, korang imagine ahli muzik tengah main biola, piano dan selo.
Orkestra ialah sekumpulan besar ahli muzik yang bermain pelbagai alat muzik bersama-sama dan diketuai oleh seorang konduktor yang tangan dia selalu gerak-gerak tu. Jadi apa yang korang bayangkan tu betul.
Cuma, korang mesti tak sangka yang Malaysia pun ada kumpulan orkestra sendiri siap pernah bertanding dalam Asean Consonant lagi! Dan apa yang buat mereka ni sangat gempak adalah bila mereka menggunakan alat muzik tradisional seperti gamelan dan seruling! Pakaian pun pakai baju tradisional yang kita selalu pakai time raya je.
Dapat inspirasi nak tubuhkan orkestra tradisional Malaysia sebab pergi kursus di Korea Selatan
Pada tahun 2007, Encik Bahizal Abu Bakar yang kini merupakan Penolong Pendaftar Fakulti Pengurusan Seni dan Budaya di ASWARA telah dihantar pergi ke Korea Selatan untuk kursus pembangunan muzik tradisional Asia oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan. Program tu diketuai oleh dua orang profesor (musicologist) terkenal Korea. Masa kat sana, Bahizal gunakan peluang yang ada ni untuk belajar dengan lebih mendalam pasal sistem digunakan orang Korea untuk bangunkan muzik tradisional dorang.
Balik je dari Korea Selatan, Bahizal bentangkan kertas proposal dia dengan beberapa penggiat muzik tradisional tempatan tentang hasrat yang terbuku di hatinya. Dia memang semangat betul nak tubuhkan kumpulan orkestra tradisional ni. Yelah, siapa lagi nak martabatkan budaya kita kalau bukan orang Malaysia sendiri.
Bahizal juga terangkan macam mana Korea Selatan mengekalkan muzik tradisional dorang. Ada dua kaedah yang Korea Selatan guna untuk kembangkan muzik tradisional dorang iaitu :
Pemuliharaan: mengekalkan keaslian bentuk muzik tradisional dorang dari semua segi seperti teknik permainan alat, bentuk alat muzik, jumlah pemuzik dalam satu-satu ensemble, bentuk muzik yang dimainkan serta bahasa yang digunakan.
Pembangunan: menumpukan kepada pembaharuan yang boleh dilakukan terhadap muzik Korea.
Untuk mencapai rancangan yang menggunakan dua kaedah tersebut, kerajaan Korea Selatan menaja sepenuhnya kumpulan orkestra kebangsaan Korea Selatan (tradisional). Penggiat muzik dan ahli akademik muzik tradisional diberi ruang khas kat Pusat Nasional Seni Persembahan Tradisional Korea untuk dorang buat kajian, penerbitan buku-buku akademik, penerbitan CD dan DVD, laman web dan untuk dorang buat persembahan tradisional di sebuah panggung khas kat tempat tu.
Dorang juga melakukan pembaharuan kepada muzik Korea dengan menerapkan sistem muzik Barat (Orkestra Simfoni) dalam muzik dorang. Nota muzik tradisional Korea diubah untuk pemuzik dorang mudah baca dan boleh sesuaikan dengan not-not muzik Barat.
Sedikit pengenalan untuk korang yang mungkin tak tahu apa itu not muzik Barat, not muzik Barat ialah perkataan seperti Do Re Mi Fa So La Ti Do yang biasa kita tengok dalam rancangan realiti pertandingan mencari penyanyi baru macam Akademi Fantasia (AF) dan Mentor. Simbol dia pula seperti huruf G besar tapi bukan G. Untuk lebih faham tentang not muzik Barat, bolehlah klik link ni. Bezanya dengan not muzik tradisional Korea adalah pada perkataan dan simbol. Jadinya pembaharuan muzik dibuat supaya mudah ahli muzik tradisional Korea dapat menyesuaikan senia mereka dengan muzik Barat.
Ahli muzik juga telah diajar dari awal menggunakan not muzik Barat di Pusat Pengajian Seni Korea. Penggubah muzik Korea (komposer) juga telah didedahkan dengan teknik penulisan muzik Barat tapi identiti muzik tradisional Korea masih dikekalkan. Orkestra Kebangsaan Korea ditubuhkan pada 1994 dan sejak itu telah mengadakan pelbagai bentuk konsert di serata dunia.
Hasil dari inspirasi berada di sana, proposal yang dibentangkan oleh Bahizal mendapat persetujuan ahli muzik tradisional Malaysia dalam meeting dorang. Encik Ruslan Harun dah berjaya reka prototaip rebab moden yang sesuai dimainkan ikut not muzik Barat dan Encik Yazid Zakaria pula dah kumpulkan beberapa pemuzik tradisional yang boleh baca not muzik Barat untuk diserapkan dalam kumpulan orkestra ini.
Konduktor orkestra tradisional Malaysia yang pertama
Untuk pilih ketua bagi sebuah organisasi atau kumpulan yang baru bertatih dalam dunia baru mestilah pilih seseorang yang berpengalaman supaya kumpulan tu boleh bertahan lama. So dorang telah sebulat suara memilih Encik Yazid Zakaria sebagai konduktor pertama. Hasilnya, kumpulan Okestra Tradisional Malaysia (OTM) masih bertahan sampai sekarang.
Beliau pernah bertugas sebagai pemuzik, komposer dan eksekutif muzik di Petronas Performing Arts Group (PPAG) selama 17 tahun sejak tahun 1993 lagi. PPAG ni merupakan satu inisiatif Petronas untuk membangunkan dan mempromosi muzik tradisional kita. PPAG sendiri dah lakukan lebih 50 persembahan di Malaysia dan luar negara.
Beliau juga dah banyak kali mewakili negara ke festival antarabangsa seperti Malaysian Jazz Festival (1993) dan ASEAN Symphony Band di Bangkok (1994). Karya beliau pernah memenangi anugerah Cameronian Arts Award dalam kategori Best Original Composition pada tahun 2002.
Selain itu, beliau kerap juga jadi pengarah muzik untuk teater muzikal dan konsert muzikal. Pencapaian yang paling membanggakan ialah beliau merupakan orang Melayu pertama diberi peluang untuk memimpin orkestra tradisional Cina sebagai konduktor.
Semasa Konsert Amal Maharaja, beliau telah dijemput sebagai komposer jemputan serta pernah juga memimpin orkestra tradisional Cina sempena festival antarabangsa orkestra muzik Cina pada tahun 2008.
Sampai sekarang beliau masih bergiat aktif sebagai konduktor orkestra tradisional Malaysia dan mengajar di sekolah-sekolah bagi memberi pendedahan awal kepada anak muda.
Konsert yang disertai Orkestra Tradisional Malaysia (OTM)
Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) yang mempunyai seramai 86 ahli di bawah naungan Istana Budaya telah membuat persembahan pertama kalinya masa kat Esplanade, Singapura bersempena dengan program Titian Budaya Malaysia-Singapura pada tahun 2008.
Walaupun kumpulan ni dah lama ditubuhkan tapi dorang hanya menjadi rasmi pada Februari 2010. Masa ni baru dorang nak buat persembahan pratonton dengan menjemput semua rakan media untuk perkenalkan OTM. Ahli kumpulan dorang terdiri dari pelbagai kaum serta alat muzik tradisional, juga dorang guna alat muzik dari pelbagai kaum.
“OTM cukup unik. Ia menggabungkan pelbagai kaum di Malaysia. Kumpulan orkestra di luar negara hanya memaparkan satu kaum sahaja. Atas dasar itu, kita menjangkakan OTM akan mendapat tempat yang baik bukan sahaja dalam kalangan rakyat tempatan malah dunia.” – Datuk Mohammed Mohd. Daud, Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan). Dipetik dari Utusan.
Kumpulan orkestra ini terbahagi kepada lima seksyen iaitu seksyen alat bertali yang digesek seperti erhu dan gaohu. Seksyen kedua, alat bertali yang dipetik seperti gambus, sitar, pipa dan sape. Ketiga, alat bergong seperti gamelan dan caklempong. Keempat alat bertiup seperti seruling dan serunai. Akhir sekali, seksyen kelima adalah alat perkusi seperti geduk.
Bagi yang nak jadi ahli muzik OTM pula korang kena lalui uji bakat dulu sebelum boleh diserap masuk ke dalam kumpulan ini. So, bukan calang-calang oranglah yang boleh join orkestra ni. Bukan semudah ketuk kompang je. Bayangkan, gubahan lagu dihasilkan lepas buat kajian selama setahun bagi mengenal karakter sesebuah alat muzik.
Kalau korang masih ingat, perenggan atas ada cerita pasal alat muzik tradisional yang diubah sebab nak sesuaikan dengan not muzik Barat. Contohnya seperti alat muzik Rebab. Hasil dari usaha tersebut, kumpulan orkestra ini mampu memainkan lagu-lagu Barat seperti Phantom of The Opera dan Michael Jackson.
Kumpulan orkestra ini pernah melakukan persembahan masa Festival Muzik Kuala Lumpur 2011. Festival ni diadakan bagi memberi peluang kepada pemuzik dan penghibur baru untuk menunjukkan bakat. Artis lama seperti Dayang Nurfaizah dan artis baru iaitu Najwa Mahiaddin pun join sekali. OTM pula jadi pengiring muzik untuk persembahan dorang.
Korang pun mesti tak sangka yang Konsert Wings Takkan Melayu Hilang Di Dunia yang pernah menjadi sebutan orang ramai dulu juga menggunakan khidmat orkestra tradisional Malaysia (OTM) sebagai pengiring muzik. Banyak lagi konsert yang OTM dah join dan yang paling membanggakan bila OTM turut sertai konsert C ASEAN Consonant yang diadakan bertujuan untuk memperkenalkan muzik dan budaya antara negara-negara ASEAN.
Usaha ni harus diberi perhatian terutama sekali golongan muda
Golongan muda sekarang ni lebih minat lagu-lagu K-pop, The Chainsmoker dan metal. Lagu moden ni semua berpandukan muzik Barat sehinggakan muzik tradisional kita dipinggirkan. Tanpa ada pelapis muda, muzik tradisional kita akan terus tenggelam ditelan zaman.
Apa salahnya kepada penggemar muzik di luar sana untuk kembangkan lagi bakat yang ada dengan belajar bermain alat muzik tradisional juga. Korang boleh belajar kat IPTA atau IPTS seperti Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA). Uji bakat terbuka juga diadakan bagi ahli muzik yang sudah sedia pandai dan berpengalaman dalam bidang muzik.
Penggubah muzik juga bolehlah mula bereksperimen membuat lagu yang bersesuaian dimainkan dengan alat muzik tradisional sebab buat lagu guna alat muzik gitar dah terlalu mainstream. Inilah masanya korang buat kelainan dan buat pendengar kagum dengan muzik ciptaan korang.
- 1.3KShare sekarang!
- Email5
- Facebook1.3K
- Share