CV korang ada berapa muka surat? Cuba tengok apa lebih 20 PERATUS rakyat Msia cakap!

Dari masa kita kecik-kecik lagi, mesti ada orang akan tanya – apa cita-cita awak bila dah besar nanti? Untuk yang dah dewasa, kitorang kat Soscili tertanya pula… macam mana rakyat Malaysia biasanya cari kerja? Apa yang menyebabkan diorang pilih kerja yang diorang dapat tu? Dan apa taktik-taktik diorang untuk bersedia sebelum temu duga? Jadi…

Kami bekerjasama dengan Mudah.my untuk tahu perangai rakyat Malaysia waktu cari kerja! ?

Kalau korang tak tahu, Mudah.my bukan je laman web untuk jual beli barang. Sebenarnya, korang juga boleh gunakannya untuk cari kerja melalui Mudah Jobs – iaitu, platform penyenaraian kerja di mana terdapatnya lebih 6 RIBU jawatan kerja, daripada lebih 20 JENIS sektor dan industri yang tersenarai.

Ambik kau, boleh cari kerja ikut jenis sepenuh masa, separuh masa, kontrak, dan macam-macam lagi! Tangkapan skrin dari Mudah.my.

Baru-baru ni kitorang berpakat sekali lagi dengan kawan-kawan kita di Mudah.my, kali ni dengan tujuan menjalankan Survey Cari Kerja untuk tau lebih pasal perangai rakyat Malaysia masa mintak kerja. Terkejutnya kitorang, ramai betul yang ambik survey ni. Antaranya…

  • Jumlah responden: 1,149 orang
  • Tempoh survey: 20 Mac – 14 April 2019
  • Umur responden: Paling ramai adalah responden berumur 21-29 tahun (57%), diikuti dengan responden 30-39 (31%), serta juga geng berumur 40 ke atas (10%).
  • Jantina responden: Peliknya, lagi ramai wanita (53%) berbanding dengan lelaki (46%) walaupun pembaca kita biasanya lagi ramai lelaki dari wanita.
  • Lokasi responden: Lebih separuh (60%) daripada responden kita berasal dari zon tengah, iaitu KL, Selangor dan Putrajaya, diikuti oleh 12% zon utara (Perlis, Pulau Pinang, Kedah, Perak), 11% zon selatan (Johor, Melaka, Negeri Sembilan), 11% Malaysia Timur (Sabah, Sarawak), dan 6% negeri-negeri Pantai Timur (Kelantan, Terengganu, Pahang)
  • Tahap pendidikan: Separuh (50%) daripada responden survey ni memiliki tahap pendidikan di peringkat ijazah, diikuti dengan 22% pemegang diploma, 12% budak sekolah (lulus SPM dan ke bawah), dan 7% di peringkat Master’s.

Ok, sekarang korang dah tau semua tu, meh kita tengok hasil kajian survey bermula dengan…

1. Laki lagi pentingkan penampilan diri daripada perempuan!

Biasanya, kalau kita bayangkan kedua-dua jantina bersedia sebelum keluar rumah, mesti kita ingat wanita yang akan sibuk sikat rambut, buat makeup ?, dan pikir baju apa ? yang diorang nak pakai. Namun, bila kitorang tanya responden kita macam mana diorang biasa bersedia sebelum temu duga, kitorang perasan dua perbezaan mengejutkan antara para lelaki dan perempuan yang mengambil survey kita.

Markah bonus kalau korang boleh teka apa yang mengejutkan dalam kotak-kotak ni.

Manakala responden lelaki nampaknya lebih 7 KALI GANDA lagi berkemungkinan akan memotong rambut atau membuat facial sebelum temu duga berbanding dengan perempuan (15% vs 2%), wanita pula hampir 2 kali ganda lebih berkemungkinan akan bersedia dengan berlatih memberi jawapan depan cermin sebelum temu duga diorang berbanding dengan lelaki (24% vs 13%).

Nampaknya, ni lah cara bersedia untuk temuduga yang betul, kerana ikut nasihat kawan-kawan kitorang kat Mudah.my:

Berlatih menjawab soalan temuduga dengan rakan anda. Ini akan memberi kamu keyakinan ketika dalam temuduga dan akan memberi penumuduga kamu gambaran pertama yang baik.

Namun, apabila kitorang tanya apa para responden kita sanggup buat untuk dapatkan kerja idaman diorang, hampir separuh lelaki (49%) berkata diorang sanggup tukar penampilan diri berbanding dengan 31% perempuan, manakala hampir separuh perempuan (49%) berkata diorang lebih sanggup sambung belajar selama dua tahun tanpa bergaji berbanding dengan hanya 39% lelaki.

Sebenarnya, diorang tak perlu pun korbankan gaji kalau nak sambung belajar. Kat Mudah Jobs, ada je banyak jawatan kerani, admin, dan pembantu yang boleh didapati secara part-time kalau diorang minat bekerja sambil belajar. Kan semua pun win-win macam tu?

Agaknya pasal ni kot terdapat lagi ramai pelajar perempuan dekat IPT berbanding lelaki. Tangkapan skrin dari Astro Awani.

Namun, ini mungkin salah satu sebab kenapa lebih SATU SUKU responden perempuan (26%) berkata diorang biasa dapat jawapan daripada syarikat dalam masa KURANG SEMINGGU selepas ditemuduga berbanding dengan hanya 16% bilangan responden lelaki. Tetapi, bukan tu je perbezaan antara dua golongan ni. Lagi satu yang kitorang perasan adalah…

2. Kadang-kadang, memang kena guna cable untuk dapatkan kerja juga…

Salah satu soalan yang kitorang tanya berkenaan dengan cara paling biasa orang guna untuk hantar permohonan kerja ke suatu syarikat. Tiga jawapan yang menerima bilangan responden paling ramai termasuklah 1. melalui emel (71%), 2. melalui laman web syarikat tu (17%), dan 3… melalui orang dalaman (4%)!

Saya, Wan Mohd Daud Bakar, terima jawatan kerja ini dengan gaji…” Imej dari The Star.

Antara lelaki dengan perempuan, kitorang mendapati bahawa lelaki merupakan lebih DUA KALI GANDA akan cuba guna orang dalaman untuk hantar permohonan kerja kepada suatu syarikat (5.2%) berbanding dengan perempuan (2.5%). Di samping itu, lelaki juga lebih berkemungkinan akan berkata bahawa ketiadaan cable tu merupakan salah satu halangan diorang biasa hadapi bila mencari kerja (35%) berbanding dengan hanya 23% perempuan.

Kalau kita tengok dalam golongan responden dari tahap pendidikan yang berbeza pula, budak sekolah (kelulusan SPM dan ke bawah) hampir LIMA KALI GANDA (10.9%) lebih berkemungkinan akan cuba mendapatkan kerja melalui orang dalaman berbanding dengan golongan responden dengan kelulusan tahap kolej dan ke atas (2.5%).

Nampaknya cara ni berkesan juga kerana pemohon budak sekolah lebih berkemungkinan akan dapat jawapan daripada syarikat dalam masa kurang dua minggu berbanding dengan pemohon pelajar kolej dan ke atas (74% vs 66%), manakala pemohon dengan kelulusan kolej dan ke atas lagi berkemungkinan hanya mendapat jawapan dalam masa sebulan atau lebih berbanding pemohon budak sekolah (34% vs 25%).

Haha, saya dapat kerja lagi laju dari awak.” Imej dari McDonald’s.

Mungkin juga, ada yang tak dapat jawapan sebab tak gigih check email/fon diorang untuk panggilan dari syarikat yang diorang apply tu. Kata Mudah.my:

Selepas memohon untuk suatu jawatan, pastikan awak semak emel awak dengan kerap dan menjawab setiap panggilan yang awak terima. Sebabnya, kalau suatu syarikat itu ingin menghubungi awak, awak akan menerima panggilan dari nombor-nombor yang tak dikenali. Jadi ia elok kalau awak jawab panggilan-panggilan itu walaupun ia sebenarnya daripada telemarketer.

Tapi kalau korang nak tau cara-cara berkesan lain yang kitorang belajar dari Mudah.my untuk apply kerja, korang kena tau…

3. Ramai pemohon kerja terlebih optimistik dengan peluang yang diorang ada

Bila kitorang tanya para responden kita pasal jawatan terakhir yang diorang telah pohon, hampir SATU SUKU (24%) menjawab yang diorang tak mencukupi syarat kelayakan tempat kerja tu pun! Sebenarnya, ikut kata member kitorang kat Mudah.my, ini merupakan langkah yang bijak kerana ia lagi elok kalau korang apply je lebih-lebih untuk pekerjaan walaupun korang rasa tak mampu.

Biasanya, setiap jawatan akan menerima lebih daripada 30 permohonan, jadi jangan la putus asa kalau tak dipanggil untuk temuduga. Ada juga pemohon yang pernah menghantar aplikasi untuk lebih 50 jawatan sebelum mendapat satu panggilan temuduga.

Erk… camane nak jawab ni. Imej dari Syaisya.

Tambahan pula, dalam golongan-golongan responden yang memberi jawapan ni, perbezaan terbesar dapat dilihat antara golongan responden dari negeri-negeri Pantai Timur (Kelantan, Terengganu, Pahang) berbanding dengan responden dari zon Tengah (KL, Selangor, Putrajaya) dan zon Utara (Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak). Berbanding dengan responden dari zon Tengah dan zon Utara (<20%), responden dari negeri-negeri Pantai Timur lebih DUA KALI GANDA (43%) lagi berkemungkinan telah memohon jawatan kerja di mana syarat kelayakan diorang tak mencukupi.

Agaknya boleh paham la juga – pada hujung tahun lepas, beberapa pakar ekonomi telah menjangka bahawa peluang pekerjaan akan berkurang pada tahun ni, dan ia juga diumumkan bahawa lebih 2,000 pekerja tempatan di negeri-negeri Pantai Timur telah kehilangan kerja akibat penggantungan projek Laluan Rel Pantai Timur kebelakangan ni.

Kalau korang nak tau, kerja-kerja yang diiklankan kat Mudah Jobs akan memberitahu pengalaman dan tahap pendidikan yang diperlukan untuk jawatan tu. Sebabnya, kalau tau keadaan ekonomi dah macam ni, korang kena la guna setiap kelebihan dan cuba segala cara yang korang boleh untuk dapatkan kerja yang korang nak tu.

Kat Mudah, jantina, gaji, dan segala syarat kelayakan pun diorang akan bagitahu. Tangkapan skrin dari Mudah.my.

Tapi, sambil kitorang tengah bincang cara terbaik nak buat tu…

4. Ada yang berhenti kerja kerana gangguan hantu… dan ada yang sanggup guna bomoh untuk dapatkan kerja?? ?

Memang tak terpisah la rakyat Malaysia daripada fenomena hantu-hantu dan mistik-mistik yang terdapat dalam budaya kita ni. Salah satu bukti untuk benda ni dilihat apabila kitorang tanya pasal faktor-faktor yang boleh menyebabkan orang tinggalkan tempat kerja diorang.

Haaa, takut tak? Takut tak tengok graf? Takut tak?

Daripada 936 responden yang menjawab soalan ni, faktor-faktor terbesar yang disebut termasuklah gaji yang terlalu rendah atau selalu masuk lambat (64%), bos yang garang atau tak berguna (47%) dan kerja yang terlalu stress (40%). Namun antara jawapan yang diberi, kitorang terkejut bila tahu 6% responden berkata bahawa GANGGUAN MAKHLUK HALUS juga merupakan antara faktor yang boleh menyebabkan diorang tinggal tempat kerja diorang!

Bukan sekadar tu – bila kitorang tanya para responden kita apa diorang sanggup buat untuk dapatkan kerja idaman diorang, 3 peratus daripada 936 responden yang menjawab soalan ni berkata diorang sanggup guna bomoh! ?

Korang tak tau – Raja Bomoh pakai sut sekali dengan tie hari tu sebab dia ada temu duga kerja lepas tu. Imej dari Coconuts KL.

Sebenarnya zaman internet sekarang, tak payah la nak susahkan diri sangat guna bomoh untuk cari kerja. Kalau korang tengok senarai kerja yang ada kat Mudah Jobs tu, korang siap boleh tapis kerja-kerja yang ada mengikut gaji, lokasi, dan jenis lagi tau! Tapi bercakap pula pasal isu nak cari kerja ni, suatu lagi fakta menarik kitorang dapat tahu adalah…

5. Hampir 9 peratus rakyat Malaysia rasa resume/CV diorang patut ada 4 muka surat… atau LEBIH?!

Nampaknya, walaupun ramai pakar rekrut bersetuju bahawa bilangan muka surat ideal untuk resume atau CV adalah tak melebihi 1 atau 2 muka surat, masih ada sebilangan rakyat Malaysia yang tak tau benda ni atau sengaja buat tak tau ?.

Daripada 1,144 responden yang menjawab soalan kita mengenai bilangan muka surat yang diorang rasa adalah sesuai untuk satu resume/CV, lebih daripada 20 PERATUS (257 orang) berkata bahawa 3 muka surat atau lebih adalah sesuai. Daripada 257 orang ni, hampir 6 peratus jawab diorang berasa 5 MUKA SURAT ATAU LEBIH adalah sesuai untuk resume/CV diorang. Agaknya diorang kena letak nama moyang diorang, nama kucing diorang, nama tadika, nama jiran, dengan nama siapa-siapa lagi sekali.

Laaaaa, tu ke tadika yang dia pergi.

Antara golongan responden yang suka resume/CV dengan 4 muka surat atau lebih, terdapat seramai 44 responden lelaki dan 23 responden perempuan, bermaksud terdapat hampir DUA KALI GANDA bilangan lelaki berbanding perempuan dalam golongan ni. Namun, antara golongan berumur berbeza pula, orang berumur 40 dan ke atas nampaknya hampir TIGA KALI GANDA lebih berkemungkinan mempunyai resume/CV dengan 4 muka surat atau lebih (20%) berbanding dengan golongan responden berumur bawah 40 (7%), mungkin sebab dah kerja lama la tu.

Yang lucunya pula, para responden dengan kelulusan tahap kolej atau pra-universiti lebih DUA kali ganda lagi berkemungkinan akan mempunyai resume/CV dengan 4 muka surat (13%) berbanding dengan para responden dengan kelulusan diploma dan ke atas (6%). Kitorang pun hairan… apa benda agaknya yang diorang letak kat dalam resume/CV diorang tu?

6. Semakin berusia seseorang itu, semakin kurang perasaan sayang keluarga diorang ?

Ok, takda la seteruk tu. Tapi, salah satu penemuan yang buat kitorang garu kepala masa meneliti hasil kajian ni adalah bila kitorang tanya pengorbanan yang para responden kita sanggup lakukan untuk dapatkan kerja idaman diorang. Antara jawapan yang mendapat bilangan responden tertinggi termasuklah 1. memindah negara (66%), 2. menyambung pelajaran selama dua tahun tanpa bergaji (43%), dan 3. menukar penampilan diri (40%).

Kalau dapat kerja yang tanggung penerbangan first class ke luar negara… mungkin takda siapa yang tak nak kot. Imej dari Wira Nurmansyah.

Namun, salah satu jawapan yang juga mendapat bilangan responden yang ramai adalah meninggalkan pasangan atau anak dengan syarat diorang hanya dapat jumpa mereka setahun sekali, iaitu dengan bilangan 149 orang (atau 16% daripada 936 responden yang menjawab soalan ni).

Mengejutkan lagi, kitorang perasan bahawa semakin berusia golongan responden yang menjawab, semakin tinggi kemungkinan diorang akan sanggup meninggalkan pasangan atau anak diorang demi mendapatkan kerja idaman diorang (6% umur 18-20, 13% umur 20an, 19% umur 30an, dan 25% umur 40 dan ke atas).

“Okay yang, abang pergi kerja dulu. Jumpa tahun depan ye.” Imej dari Conversational.

Bila tertanya sama ada golongan yang lebih berusia ni dah hilang segala perasaan sentimental, kitorang terfikir mungkin anak-anak diorang ni dah besar sikit dan tak memerlukan perhatian sepenuh masa seperti yang diperlukan oleh kanak-kanak kecil.

Namun, korang tak perlu kot nak buat pengorbanan sebesar tu semata-mata untuk dapatkan pekerjaan yang sesuai dengan korang. Kat Mudah Jobs, korang boleh je cari jawatan yang terbuka berdekatan dengan korang sama ada korang duduk Kota Bharu ataupun Johor Bahru. Kan Mudah macam tu? ?

7. Kakitangan kerajaan rupa macam idealis betul

Apabila kitorang bezakan para responden mengikut jenis tempat kerja diorang (korporat, startup, kerajaan, GLC, dan perniagaan kecil), kitorang perasan beberapa trend menarik yang membezakan kakitangan kerajaan daripada kakitangan dari jenis-jenis tempat kerja yang lain.

Haaa, beratur elok-elok dulu, sekarang Soscili bagitau. Imej dari The Vocket.

Pertama, kakitangan kerajaan merupakan tiga, empat, dan lima kali ganda kurang berkemungkinan mendapat jawapan selepas temu duga (5%) berbanding dengan pekerja GLC (15%), korporat (23%), dan startup (26%). Terdapat dua sebab berpotensi benda ni berlaku.

Satu, kalau korang tahu seramai 7.5 JUTA calon telah memohon untuk jawatan kerajaan melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dan hanya sekitar 200 ribu pemohon yang dilantik antara tahun 2011-2015, mungkin ni adalah sebabnya diorang kurang kemungkinan dapat jawapan selepas temu duga. Atau dua, ia suatu kemungkinan juga bahawa kesusahan kakitangan kerajaan untuk dapat jawapan selepas temu duga di tempat kerja lain adalah antara sebabnya Malaysia mempunyai nisbah jumlah kakitangan awam berbanding penduduk yang TERTINGGI di Asia Pasifik.

Nasib baik pun. Kalau tidak, tak tau berapa lama kena tunggu kat kaunter kerajaan. Imej dari Cilisos.

Walaubagaimanapun, ini mungkin sebabnya juga kakitangan kerajaan merupakan dua kali ganda lebih berkemungkinan akan solat hajat sebelum temu duga (17%) berbanding dengan pekerja korporat (8%), dan mengapa diorang juga merupakan golongan responden yang paling tinggi kemungkinan akan berlatih temu duga depan cermin (24%).

Walau apapun, niat diorang memang boleh dipuji kerana lebih 20% (setiap 1 daripada 5 responden) pekerja kerajaan berkata bahawa kebolehan berbakti kepada masyarakat merupakan faktor terpenting ketika memilih kerja, berbanding dengan hanya 7% pekerja korporat, 4% pekerja startup, 7% kakitangan GLC, dan 3% peniaga kecil.

Syukur ada orang-orang macam ni yang berkhidmat untuk pembangunan negara kita. Imej dari Berita Harian.

Nampaknya memang payah betul nak cari kerja. Tapi…

Dari survey ni, kita boleh lihat bahawa terdapat beberapa tabiat yang dikongsi oleh rakyat Malaysia, tak kira jantina, umur, tahap pendidikan dan lain-lain. Namun, masih terdapat juga banyak kepelbagaian dalam jawapan yang kami terima daripada para responden kami, contohnya cara-cara diorang bersedia sebelum temu duga, bagaimana diorang biasa cari jawatan kerja, dan sebab-sebab utama diorang hantar permohonan ke sesuatu tempat kerja.

Dan sebab ini lah Mudah telah menyediakan perkhidmatan Mudah Jobs di mana kitorang boleh cari kerja yang bersesuaian dengan kita, tak kira kelayakan, kemampuan, atau juga keperluan kita.

Korang tekan je kerja jenis apa yang korang minat, dan Mudah akan tapiskan semua jawatan terbuka untuk korang. Tangkapan skrin dari Mudah.my.

Jadi, korang tunggu apa lagi? Cuba la cari kerja idaman korang melalui Mudah Jobs sekarang!