Cakap pasal kes hilang ni, dah memang terlampau banyak kes yang wujud. Sama ada bermotifkan jenayah atau tak, ada yang berjaya diselesaikan, dan ada juga yang kekal misteri sampai sekarang.
Kes kali ni agak pelik sikit berbanding kes kehilangan lain. Kalau sorang dua je hilang, memang misteri. Tapi macam mana kalau seluruh pasukan bola baling yang terdiri dari 23 orang hilang dan menjadi bualan satu dunia!
Perlawanan persahabatan antara Sri Lanka dan Jerman
Kisahnya bermula pada 2004, di mana sebuah pasukan bola baling dari Sri Lanka telah terpilih untuk berangkat ke Jerman untuk program perlawanan persahabatan. Program sebegini memang adalah benda biasa yang dianjurkan oleh Asian-German Sports Exchange Program (AGSEP), sebuah organisasi yang ditubuhkan untuk mendedahkan golongan muda di Sri Lanka kepada budaya lain melalui acara sukan. Jadi, mereka mengadakan lawatan antara Sri Lanka dan Jerman untuk perlawanan persahabatan.
Masa ni, pasukan Jerman menjemput pasukan bola baling Sri Lanka untuk ke Wittislingen, sebuah bandar di selatan Jerman dengan semua persiapan dibantu oleh organisasi AGSEP. Sebelum kejohanan bermula, pasukan bola baling Sri Lanka sempat bertemu datuk bandar, mengambil gambar dan makan malam bersama geng bola baling Jerman.
Tiba hari kejohanan, pasukan bola baling dari Jerman dan Sri Lanka memulakan perlawanan persahabatan di mana ia berakhir dengan Sri Lanka tak berjaya menjaringkan walaupun satu gol.
Tapi, pasukan Jerman langsung tak ketawakan pasukan Sri Lanka. Mereka siap bagi kata-kata semangat untuk terus maju jaya, dan bercerita Jerman dulu bukanlah hebat pun, dan semuanya melalui praktis. Kemudian sebagai pasukan tuan rumah, mereka siap ajak pasukan Sri Lanka makan malam dan sepanjang malam, mereka tak cakap pasal sukan pun mungkin untuk jaga hati pasukan Sri Lanka.
Tapi keesokan harinya…
Seluruh pasukan bola baling Sri Lanka hilang tanpa dengan jejak
Pasukan Jerman menunggu pasukan Sri Lanka untuk breakfast bersama-sama, tapi mereka tak tunjuk batang hidung pun. Jadi mereka pun pergi check pasukan bola baling tu di bilik mereka, dan nampaknya… 16 pemain bola baling dan 8 jurulatih Sri Lanka hilang!
Yang tinggal cumalah kenangan, kit sukan, kasut dan kemeja-T kotor, bersama sekeping surat perpisahan meminta Jerman menghalalkan makan minum selama mereka berada di Jerman dan ucapan terima kasih kepada Jerman atas layanan baik. Surat tu juga memberitahu yang mereka akan ke Perancis.
Disebabkan rasa tanggungjawab atas kehilangan pasukan Sri Lanka tu, pihak Jerman sebagai tuan rumah kemudiannya membuat laporan polis dan melaporkan pada Sri Lanka. Tapi mereka lagi terkejut bila dapat tahu yang…
Sri Lanka tak pernah ada team bola baling!?
Perkara tu disahkan oleh Presiden Persatuan Olimpik Sri Lanka, Hemasiri Fernando yang mengatakan sukan popular di Eropah tu tak begitu dikenali pun di negaranya. Apatah lagi kewujudan badan persekutuan bola baling di Sri Lanka.
Jadi pihak Jerman kemudiannya melakukan soal siasat, siapa sebenarnya atlet Sri Lanka ni, dan apa sebenarnya tujuan diorang buat macam tu?
Siasatan dilakukan terperinci. Pemangku Duta Besar Jerman ke Sri Lanka, Heidi Jung, kemudian mengeluarkan statement di mana pasukan yang terdiri daripada 23 orang tu dah berjaya memperdayakan Kedutaan Jerman di Sri Lanka untuk mengeluarkan visa lawatan pada mereka selama sebulan.
Malah mereka yang terlibat dalam mengesahkan kesemua dokumen tu mengatakan yang mereka tak jumpa apa-apa yang mencurigakan untuk menolak dari mengeluarkan visa pada pasukan bola baling negara tersebut.
Disebabkan pembongkaran penipuan ni, mereka kemudiannya menuding jari kepada penganjur rumah sukan, iaitu Dietmar Doering, pengasas AGSEP.
Pengasas AGSEP yang merupakan warganegara Jerman sendiri menjadi kambing hitam
Dietmar Doering, pengasas AGSEP yang dituduh mewujudkan pasukan palsu bola baling kebangsaan Sri Lanka tu merupakan bekas pemain pingpong profesional yang mengetuai pasukan pingpong kebangsaan Jerman. Dia pertama kali mengembara ke Sri Lanka pada 1981 untuk bercuti dan akhirnya berkahwin dengan orang Sri Lanka disebabkan minat yang sama, iaitu sukan.
Malah dia percaya yang sukan dapat menyatukan banyak pihak tak kira apa pun latar belakang mereka. Jadi dari situ juga dia dapat idea untuk menghimpunkan rakyat dari negara asalnya dengan anak angkatnya – Sri Lanka melalui sukan. Dari situlah wujudnya AGSEP.
Pada masa kehilangan pasukan Sri Lanka, Doering sendiri tak menang tangan apabila dihubungi oleh pelbagai pegawai dan juga wartawan dari seluruh dunia tentang kes tersebut.
Lebih menggerunkan, ada laporan yang menuduh pasukan bola baling tu ada kaitan dengan pertubuhan pengganas Tamil dan mereka berjaya diseludup ke Jerman. Pengganas yang dimaksudkan tu adalah LTTE yang pernah terlibat dalam pembunuhan 141 orang dalam masjid pada 1990.
Doering bagaimanapun menepis tuduhan tersebut. AGSEP cumalah penganjur, dan pegawai di kementerian sendiri sebenarnya yang suruh AGSEP berhubung dengan Wijenayaka, jurulatih pasukan Sri Lanka yang dipilih kementerian tu.
Kes kemudian disiasat kembali dan kesimpulan yang dibuat adalah ‘pasukan bola baling Sri Lanka’ ni rupa-rupanya dicipta sendiri oleh kumpulan tersebut dan mungkin ada orang dalam terlibat. Mereka juga cuma mempergunakan Jerman untuk dapatkan visa ke negara tersebut supaya dapat lari ke Itali, di mana kat situ memang ada komuniti Sri Lanka yang lari mendapatkan suaka di sana.
AGSEP terlepas dari tuduhan sebab ada bukti kukuh di mana sepanjang tahun 1989 hingga 2004, program Doering merupakan satu kejayaan besar di mana Sri Lanka bermain menentang Jerman dalam ratusan kejohanan dalam pelbagai sukan di mana mereka akan bergilir-gilir menjadi tuan rumah. Pada masa lain, orang Sri Lanka akan terbang ke Jerman.
Cumanya penipuan yang terjadi ni bermula pada tahun 2003, di mana Doering menerima panggilan daripada pengarah di Kementerian Sukan Sri Lanka untuk mengadakan perlawanan pasukan bola baling dengan pasukan kebangsaan Jerman. Lagipun dia tak syak apa-apa walaupun dia pelik jugalah semasa kali pertama dia jumpa team bola baling tu, mereka semua pakai sut dan bukannya pakaian gim seperti atlet sukan lain.
Melalui program AGSEP ni juga, Kementerian Sukan Sri Lanka telah mengupah jurulatih bola baling bernama Athula Wijenayaka untuk mewujudkan pasukan bola baling kebangsaan Sri Lanka yang terdiri daripada 23 lelaki Sri Lanka.
Wijenayaka, jurulatih pasukan bola baling Sri Lanka yang sebenarnya terlibat dalam pemalsuan ni kata yang dia ada beberapa minggu je untuk prepare pemain Sri Lanka untuk perlawanan persahabatan mereka dengan Jerman. Latihan diadakan beberapa kali seminggu, di mana para pemain mempelajari asas-asasnya.
Disebabkan bola baling bukanlah permainan biasa di Sri Lanka, jadi takde sorang pun yang ada pengalaman main bola baling. Diorang cuma belajar asas permainan je, supaya nampak konfiden dan tak nampak curiga dari mata Doering dan pegawai Jerman yang lain.
Walaupun terluka, Doering dah pun memaafkan kumpulan ‘atlet’ tersebut
Disebabkan kes ni, AGSEP yang dah wujud selama 15 tahun dan tak pernah ada masalah terpaksa disenaraihitam oleh Kedutaan Jerman. Malah sejak kejadian tu juga, dah takde pasukan yang dapat visa dari Jerman. Manakala semua ‘atlet’ Sri Lanka tadi pula berjaya sampai di Itali dan mendapat suaka, di mana mereka tak boleh diusik oleh pihak Jerman, mahupun Sri Lanka.
Bagaimanapun sedekad selepas kes tu, ada antara ‘atlet’ Sri Lanka tu pulang ke negara mereka sebab ada yang tak dapat kerja, ada yang rindu kampung halaman, dan ada juga yang balik sebab anak sakit. Ada antara mereka yang meminta maaf sebab penipuan yang dah menjejaskan kredibiliti pengasas AGSEP tersebut.
Doering sendiri pada asalnya nak bawa mereka semua ke mahkamah sebab dan mencalar kredibilitinya dan menampakkan dia macam orang bodoh. Tapi selama bertahun-tahun, dia kemudian cuba memaafkan ‘pasukan bola baling Sri Lanka’ tersebut atas apa yang dilakukan mereka sebenarnya bukanlah berniat jahat, tapi sebab mereka terpaksa menanggung keluarga mereka yang terdiri dari hampir 10 orang setiap satu keluarga, malah mereka selalu menghantar duit setiap bulan kepada keluarga mereka.
Walaupun matlamat tak menghalalkan cara, tapi Doering dah redha bila faham kenapa mereka semua menipu. Disebabkan kemiskinan yang melanda, mereka perlu menggalas tanggungjawab yang lebih besar untuk diri dan keluarga, iaitu sebuah kelangsungan hidup.