- 36Share sekarang!
- Email0
- Facebook36
- Share
Dah nak hampir 2 tahun kita tak sambut raya, tapi kali ni dengan kelonggaran SOP serta tiada sekatan lagi, semua balik kampung. Semasa perjalanan balik kampung, semestinya kita akan pasang radio atau mengaktifkan bluetooth untuk mendengar lagu-lagu raya sebab nak tambah feel lagi untuk beraya.
Pastinya lagu-lagu raya lama akan menjadi pilihan utama kita kan? Ibarat pepetah ‘tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas’. Tiap-tiap tahun lagu-lagu raya lama ni tak bosanlah kalau dengar, telinga kita ni dah berdamai dengannya.
Sebenarnya dalam lagu-lagu raya yang lama ni, ada satu yang ditulis sebagai tanda mogok. Pelik, tapi ia memang benar!
Mogok kerana isu kenaikan gaji di Malay Film Productions (MFP)
Pada tahun 1950 Persatuan Artis Filem Malaya (PERSAMA) hasil cetusan idea dan sokongan para wartawan iaitu:
- Abdullah Hussain.
- Usman Awang.
- Hassan Hashim.
Presiden PERSAMA ialah P.Ramlee manakala setiausahanya ialah Salleh Ghani dan Jamil Sulong pula sebagai bendahari. PERSAMA ni terdiri dari barisan pelakon, pekerja-pekerja belakang takbir filem Malay Film Productions (MFP) (milik Shaw Brothers).
Selama beberapa tahun mereka bekerja, satu isu telah timbul di mana pekerja-pekerja di MFP menerima gaji yang sama walaupun telah 5 hingga 7 tahun bekerja. Ia telah menimbulkan kemarahan antara mereka.
P. Ramlee telah melancarkan mogok dan turut diusahakan oleh setiausahanya, Salleh Ghani pada 16 Mac 1957 di hadapan Studio Jalan Ampas bagi menuntut gaji. Dikatakan lebih dari 120 orang yang menyertai mogok ini.
Semasa mogok berlangsung, sekumpulan jawatankuasa PERSAMA telah bertandang ke Kuala Lumpur untuk mendapat sokongan Tunku Abdul Rahman. Hasil kunjungan itu, Datuk Senu Abdul Rahman (Menteri Penerangan dan Penyiaran) telah dihantar ke Singapura bagi menyelesaikan isu gaji ni. Di sini, kita boleh lihat peranan pemimpin yang dimainkan oleh presiden demi menjaga kebajikan rakan artis dan kepentingan industri perfileman tanah air.
Akhirnya, mogok ini telah menyebabkan gaji pelakon dinaikkan. Akan tetapi, ia tak berhenti di sini saja!
Lagu raya ditulis dalam masa 10 minit semasa majlis kutip dana
Pada 7 April 1957, PERSAMA mengadakan lagi satu mogok, masih memperjuangkan perkara yang sama, iaitu menuntut kenaikan gaji, tapi mogok kali ni tak ekstrem sangat. Mogok ini juga berlarutan sehingga Hari Raya Aidilfitri yang masa tu jatuh pada 1 Mei 1957.
Bagi mengumpul dana dan membantu para pekerja yang sedang mogok, mereka menganjurkan konsert “Malam Suka Duka“. P. Ramlee dan Jamil Sulong (pengarah filem dan penulis lagu) masa konsert ni berlangsung telah menggubah sebuah lagu raya baru bertajuk “Selamat Hari Raya” untuk dinyanyikan semasa konsert amal tersebut.
Menurut penulis liriknya, Jamil Sulong:
“Lagu ‘Selamat Hari Raya’ ditulis khas untuk Persatuan Artis Malaya atau PERSAMA. Lirik lagu ini saya tulis dalam masa 10 minit sahaja. Kisahnya, ketika itu artis dan pekerja di Studio MFP Jalan Ampas mengadakan mogok. Jadi, dalam majlis sambutan Aidilfitri tahun itu, kerana mahu memungut dana persatuan, PERSAMA mengadakan pertunjukan pentas di Taman Hiburan Happy World. Sedang saya menolong kawan-kawan membuat persiapan, P. Ramlee datang menyerahkan sekeping kertas yang ada nota suku kata sebuah lagu dan menerangkan bahawa nota itu untuk lagu pembukaan pertunjukkan pada malam itu dan saya mesti menyiapkannya sebelum pertunjukkan bermula. Keadaan memaksa, maka saya menyiapkan lirik lagu itu dalam waktu singkat. Hinggalah kini lagu ini masih berkumandang pada setiap kali Hari Raya menjelma.” – Jamil Sulong, dipetik dari blog Datuk Jamil Sulong.
Menjelang tahun 1969 lagu “Selamat Hari Raya” ni telah dirakam semula dan dipopularkan oleh Ahmad Jais. Siapa yang tak tahu lagu ni, boleh dengar dengan tekan video di bawah:
Haa amacam tahu kan lagu ni? Tak sangka kan lagu ni sebenarnya ditulis semasa mereka mogok. Baiklah, kita sambung cerita mogok PERSAMA tadi!
Sekali lagi, Datuk Senu Abdul Rahman dihantar ke Singapura untuk merundingkan perkara ini. Isu ini juga dibantu oleh Singapore Amalgamated Trade Union (SATU). PERSAMA menerima lagi kemenangan apabila pihak majikan berjanji untuk menaikan gaji dan menukar waktu bekerja kepada 8 jam saja kerana sebelum ni waktunya bebas. Isu waktu bekerja ni telah disuarakan oleh SATU.
Namun, P. Ramlee enggan bertemu dengan bekas majikannya itu dan sampai sekarang masih tak tahu kenapa dia buat macam tu. PERSAMA ni tak lama pun kerana ia telah dibubarkan pada 1960.
LAGU KLASIK “SELAMAT HARI RAYA” INI DITULIS SEMASA MOGOK PROTES TAHUN 1957
P. Ramlee tulis lagu ini sebagai tanda solidariti dengan pekerja-pekerja yang mogok. Baca cerita dalam thread di bawah. #SelamatHariRaya pic.twitter.com/SuspCLWA1A
— Fahmi Reza (@kuasasiswa) June 3, 2019
Pembubaran PERSAMA juga merupakan pengakhiran bagi zaman P. Ramlee. Semua artis di bawah naungan persatuan itu telah menyertai SATU dan penyertaan mereka mendapat sambutan hangat kerana mereka berjaya menerima kenaikan gaji.
Kena ingat, langit tak selalu cerah tau kerana disebalik berita gembira kenaikan gaji, terdapat satu perkara buruk berlaku, iaitu kegiatan berpersatuan di kalangan artis sudah menjurus ke arah bentuk yang tidak sihat. Nak tahu kenapa? Penyertaan SATU menyebabkan pergerakkan artis dan industri perfileman berbaur politik.
Filem Showtime 1958 mengadaptasikan semula kisah ni
Tahu tak baru-baru ni seorang pengarah filem Anwardi Datuk Jamil telah menghasilkan sebuah filem bertajuk Showtime 1958. Filem terbitan Nafalia Corporation ni dibintangi oleh:
- Shah Iskandar.
- Amai Kamaruddin.
- Fatin Afifah.
- Bell Ngasri.
- Mubarak Majid.
Apa yang korang baca di atas ni akan ada dalam filem ni nanti kerana ia merupakan satu adaptasi daripada isu mogok kerana gaji oleh PERSAMA tu la.
Filem ni telah terpilih mewakili Malaysia bersama filem-filem dari seluruh dunia bagi kategori Filem Cereka di festival filem berprestij antarabangsa, Cardiff International Film Festival yang telah berlangsung dari 24-27 Oktober 2020 di Cardiff Bay, Wales.
Mesti korang tertanya-tanya, bila filem ni ditayangkan? Ia akan menjadi filem untuk hari raya pertama nanti dan akan ditayangkan di Netflix. Jadi, set reminder dalam Netflix supaya waktu raya pertama nanti boleh layan filem ni.
Ermmm… yang takde Netflix tu, beli je yang pakej murah takpun, guna yang trial. Jangan beli yang haram!
[PENAFIAN: Artikel ni tidak ditaja atau dibayar oleh mana-mana pihak. Sekian, terima kasih dan Selamat Hari Raya Aidilfitri!]
- 36Share sekarang!
- Email0
- Facebook36
- Share