Kenapa Selangor selalu ada masalah dengan setinggan?

Kalau korang membesar kat bandar antara tahun 80-an hingga 2010, kawasan setinggan ni dah jadi macam pemandangan biasa kat pinggir kota. Rumah-rumah dibina rapat-rapat. Ada rumah kayu, ada rumah batu. Lorongnya pula sempit, kadang cuma muat sebiji motosikal atau kereta lalu. Korang akan nampak wayar elektrik berselirat dan paip air yang ditarik dari rumah ke rumah.

Kawasan ni selalunya ‘tumbuh’ kat tanah rizab, tepi landasan kereta api, atau mana-mana tanah kosong yang terbiar. Orang luar mungkin skeptikal dan cop kawasan ni ‘sarang’ masalah, tapi bagi orang yang tinggal kat situ, itulah satu-satunya tempat untuk orang teruskan hidup.

filem setinggan
Kalau korang nak gambaran lebih jelas, boleh tengok filem ‘Setinggan’ (1981) memang sebijik macam tu suasananya. Imej IMDb

Sebenarnya, komuniti ni bukan muncul tiba-tiba je. Kebanyakannya hasil daripada penghijrahan penduduk luar bandar yang berhijrah ke bandar masa zaman Dasar Ekonomi Baru (DEB) dulu. Masa tu bandar tengah pesat membangun, kawasan industri mula dibuka, jadi ramai yang datang sebab nak cari kerja dengan harapan dapat keluar dari kemiskinan.

Tapi masalahnya, perumahan kos rendah yang kerajaan sediakan masa tu tak cukup pun nak tampung semua orang yang datang serbu bandar. Dengan gaji yang sekadar cukup makan, akhirnya ramai yang pilih untuk bina rumah sendiri atas tanah kosong yang ada masa tu.

Sulaiman Court, rumah pangsa pertama negara di Jalan Tuanku Abdul Rahman. Dibina pada 1957. Imej harithsidek

Bertahun-tahun lamanya diorang hidup dalam komuniti macam ni. Anak-anak membesar, rumah bertambah, kawasan sekeliling pun berubah. Tapi disisi undang-undang, status tanah yang diorang duduki tu kekal dianggap sebagai pendudukan tanpa geran.

Bila bandar makin berkembang, nilai tanah makin melambung, kawasan yang dulunya tak dipandang ni mula jadi rebutan pihak berkuasa dan pemaju. Banyak kawasan setinggan masuk dalam pelan pembangunan bandar yang akan ‘hilangkan’ kawasan setinggan ni. Masa ni lah selalunya…

Konflik antara kerajaan, pemaju dan penduduk tercetus

Sesetengah kawasan yang hari ini dicop sebagai setinggan sebenarnya ada sejarah yang panjang. Contohnya Kampung Jalan Papan, yang dah wujud sejak tahun 1939, semasa zaman penjajahan British. Kawasan ini berkembang sebagai penempatan buruh dan komuniti bandar semasa zaman Darurat. Maksudnya, kampung ni tak muncul secara tiba-tiba atau dibina secara senyap. Penduduk dah tinggall kat situ selama beberapa generasi, lama sebelum kawasan sekelilingnya berubah menjadi bandar moden.

Selepas merdeka, kerajaan negeri membenarkan penduduk terus tinggal dan bagi Lesen Pendudukan Sementara (LPS). LPS adalah dokumen rasmi yang dikeluarkan pihak berkuasa negeri, yang membolehkan individu menduduki tanah kerajaan untuk satu tempoh yang biasanya setahun bagi tujuan seperti pertanian, perniagaan kecil, atau tapak rumah sementara, tanpa memberikan hak milik tetap.

Lesen ini kena diperbaharui setiap tahun, dan bagi Kampung Jalan Papan, ramai keluarga dapat LPS dari tahun 1960-an hingga akhir 1980-an. Dengan lesen ini, penduduk dapat terus menetap secara sah tanpa dituduh sebagai menceroboh tanah kerajaan.

Masalah mula timbul pada awal 1990-an bila kerajaan negeri mula buat ukuran tanah kat kawasan kampung untuk dijual balik kepada penduduk. Penduduk diminta memberi kerjasama dan membayar RM70 seorang kepada juru ukur. Tapi lepas bayaran dibuat, tak ada maklumat lanjut diberikan kepada penduduk. Cadangan perumahan kos rendah atau penempatan semula kekal tidak pasti dan tidak dimuktamadkan sampai sudah.

Resit perkhidmatan ukur tanah. 

Pada pertengahan 1990-an, tanah Kampung Jalan Papan diserahkan kepada TPPT Sdn Bhd,sebuah syarikat milik Bank Negara Malaysia yang ditugaskan untuk mengurus tanah bermasalah bagi tujuan pembangunan dan penempatan semula. Penduduk dimaklumkan tentang cadangan perumahan murah, tetapi pelaksanaannya tidak pernah dimuktamadkan. Kehidupan diorang terus berjalan seperti biasa, seolah-olah tiada perubahan berlaku.

Keadaan mula menjadi tegang pada tahun 2005 apabila Pejabat Tanah Klang mengeluarkan notis pengusiran kepada beberapa ratus keluarga, dengan tawaran pampasan RM7,000. Sebahagian penduduk berpindah, tetapi ramai menolak sebab jumlah pampasan jauh daripada mencukupi bagi diorang yang telah menetap bertahun-tahun kat situ. Pada tahun berikutnya, beberapa rumah dirobohkan dan penduduk membawa kes ini ke mahkamah. Tidak lama kemudian, tanah itu dijual kepada pemaju, Melati Ehsan Sdn Bhd.

Antara 2010 hingga 2018, rundingan diteruskan dengan pelbagai tawaran, termasuk rumah kos rendah dan penempatan alternatif. Tapi tawaran ini hanya diberikan kepada peneroka asal, sedangkan kampung telah berkembang dan jumlah penduduk bertambah. Benda ni menyebabkan rundingan terus berlarutan tanpa ada penyelesaian muktamad.

Dari 2020 hingga 2025, notis pengosongan dikeluarkan semula dan mencetuskan bantahan penduduk, namun proses perobohan tetap diteruskan. Video yang tular menunjukkan penduduk membantah, berlaku pergelutan dengan polis, serta penahanan aktivis, selain rakaman beberapa rumah dirobohkan ketika masih berpenghuni walaupun penduduk dimaklumkan hanya rumah kosong akan terlibat.

Kenapa masalah ni masih tak selesai walaupun dah lebih 30 tahun?

Untuk menjawab persoalan ini, kita perlu faham terlebih dahulu struktur undang-undang tanah di Malaysia. Di bawah Kanun Tanah Negara yang berkuat kuasa sejak 1965, pemilikan tanah ditentukan sepenuhnya melalui pendaftaran rasmi atau pengeluaran geran oleh kerajaan negeri. Tanpa geran, walau selama mana pun seseorang itu menetap kat sesuatu kawasan, tanah tersebut secara undang-undang masih bukan milik diorang.

Terjemahan seksyen 340(1) National Land Code 1965 yang nyatakan hanya tanah yang didaftarkan saja yang dikira sebagai hak milik

Dalam perkara ni, undang-undang sebenarnya agak jelas. Kalau seseorang tu memasuki dan duduki tanah tanpa kebenaran serta tanpa pengetahuan tuan tanah, diorang dianggap sebagai penceroboh atau setinggan. Jadi, tuan tanah berhak dapatkan perintah mahkamah untuk usir penduduk tanpa kewajiban menyediakan pampasan.

Tapi situasi macam Kampung Jalan Papan sedikit berbeza daripada kes pencerobohan tanah yang biasa terjadi. Penduduk kat kampung ni tak masuk secara haram. Kewujudan diorang diketahui dan dibenarkan oleh pihak berkuasa negeri. Malah diorang dapat LPS yang sahkan diorang tak menceroboh dan juga dapat keperluan asas macam elektrik, air dan alamat.

Dalam kes macam ni, penduduk sebenarnya ada asas untuk cabar pengusiran sebab diorang bukan menceroboh tanah tu tanpa pengetahuan tuan tanah. Biasanya, mahkamah akan galakkan rundingan antara penduduk dan tuan tanah, contohnya pampasan atau penempatan semula. Masalahnya, proses ni jarang berjalan dengan lancar. Penduduk lama bercampur dengan yang baru masuk, jadi sukar nak tentukan siapa yang layak dapat pampasan.

Keadaan ini pernah berlaku dalam kes Kampung Chubadak Tambahan di Kuala Lumpur. Pada tahun 2000, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa penduduk kampung tersebut bukan setinggan dan bukan penceroboh. Diorang diiktiraf sebagai penduduk yang menduduki tanah dengan kebenaran pihak berkuasa negeri, dan sebarang pemindahan mesti disertakan dengan pampasan yang mencukupi. Namun, pada tahun 2008, DBKL tetap menyenaraikan Kampung Chubadak Tambahan sebagai kawasan setinggan di bawah Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020, dan proses pembersihan mula dijalankan pada 2013.

Corak yang sama boleh nampak kat banyak kawasan lain. Bila sesuatu penempatan diklasifikasikan sebagai setinggan dan tanah tu dibangunkan oleh pemaju, biasanya pemaju kena sediakan rumah kos rendah atau tempat tinggal alternatif untuk penduduk, sama ada melalui PPR atau program lain. Sebab tu, pemaju selalunya nampak macam pihak yang bertanggungjawab penuh tapi sebenarnya tu dasar kerajaan negeri.

 Sumber: Dewan Selangor

Kenapa isu setinggan terus berulang walaupun ada dasar penyelesaian

Sekilas pandang, isu setinggan dan peneroka bandar ini nampak macam ada penyelesaian yang mudah, tetapi realitinya jauh lebih rumit. Pada awal tahun 2000-an, beberapa kerajaan negeri melaksanakan program Setinggan Sifar dengan sasaran untuk menghapuskan setinggan sepenuhnya menjelang tahun 2005.

Melalui dasar ini, kebanyakan komuniti setinggan dan peneroka bandar dipindahkan ke Program Perumahan Rakyat atau rumah kos rendah, dan diberikan pampasan sama ada dalam bentuk subsidi perumahan atau bayaran tunai sekitar RM7,000. Pada peringkat awal, pendekatan ini memang kelihatan berkesan. Banyak kawasan berjaya dikosongkan dan pembangunan baru mula dijalankan.

Rumah PPR banyak dibina oleh kerajaan untuk menggantikan kawasan setinggan. Imej FMT

Dalam banyak kes, pendudukan ini tidak berlaku secara senyap atau tanpa pengetahuan pihak berkuasa. Ia berlaku dengan toleransi kerajaan untuk tempoh yang panjang, malah diiktiraf secara tidak langsung melalui penyediaan utiliti dan alamat rasmi. Keadaan ni meletakkan penduduk dalam kedudukan yang serba tidak jelas, bukan sepenuhnya setinggan, tetapi juga tak pernah dilindungi undang-undang sebagai pemilik sah.

Pengusiran paksa sepatutnya jadi pilihan terakhir kepada setiap konflik antara pemaju dan penduduk. Alternatif lain macam pengiktirafan pendudukan atau penempatan semula yang munasabah patut diberikan dulu. Kalau pemindahan memang tak boleh dielakkan, proses tu kena jelas dengan ada rundingan awal, notis yang munasabah dan pampasan yang setimpal kepada penduduk. Tanpa pampasan atau penempatan yang sesuai, setiap pengusiran cuma akan cipta konflik baharu yang akhirnya kerajaan kena selesaikan dan terus berulang tanpa ada noktah.

About Hafiz Sabran 30 Articles
"Badan sihat, otak....ooootakkk....otakkkkkkkkk"