- 323Share sekarang!
- Email9
- Facebook314
- Share
Sebelum ni, negara kita pernah digemparkan dengan kes pembunuhan abang kepada pemerintah tertinggi Korea Utara, Kim Jong-nam di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) pada 2017. Tapi sekarang ni, nampaknya ada khabar angin yang lebih menggemparkan apabila Pemerintah Tertinggi Korea Utara sendiri, Kim Jong-un didakwa sedang dalam keadaan kritikal selepas menjalani pembedahan kardiovaskular.
Khabar angin tu bertambah kuat lagi apabila Jong-un dilaporkan tak datang ke majlis memperingati hari ulang tahun kelahiran pengasas Korea Utara yang juga datuknya, Kim Il Sung pada 15 April lalu. Dengan khabar angin ni, mahu atau pun tidak, pemerhati politik dunia sudah pasti akan berspekulasi tentang siapa yang akan menggantikan Jong-un kalau jadi apa-apa kepada pemimpin tu.
Dan disebabkan Korea Utara diperintah oleh Dinasti Kim sejak ditubuhkan pada tahun 1948, maka orang yang dapat perhatian sekarang sudah semestinya…
Kim Yo-jong: Adik perempuan Kim Jong-un yang mengiringi abangnya ke mana sahaja
Sejak dua tahun kebelakangan ni, adik perempuan Jong-un, Kim Yo-jong selalu kelihatan di samping abangnya dalam banyak acara dan lawatan. Antara yang paling menonjol adalah apabila Yo-jong datang ke Korea Selatan dan bersalaman dengan Presiden negara itu ketika sambutan pembukaan Sukan Olimpik Musim Sejuk 2018.
Dipercayai lahir pada tahun 1987, Yo-jong dikatakan sangat rapat dengan Jong-un dan kedua-duanya sama-sama belajar di Berne, Switzerland. Dikhabarkan yang Yo-jong dah berkahwin dengan anak Choe Ryong-hae, salah seorang ahli politik berkuasa di Korea Utara (nanti kita cerita).
Sebelum dilantik memegang jawatan tinggi dalam parti, Yo-jong dikatakan bertugas di bahagian propaganda parti untuk melindungi imej abangnya. Masa itulah dia jadi penasihat politik dan ketua kakitangan tak rasmi abangnya sampai sekarang. Lepas tu, Yo-jong dilantik sebagai Naib Pengarah Jawatankuasa Pusat Parti Pekerja yang sekaligus menguatkan kedudukan politiknya.
Dan disebabkan anak-anak Jong-un masih lagi kecil, maka kemungkinan besar yang pemerintahan negara tu akan diberikan kepada Yo-jong sekiranya berlaku apa-apa kepada abangnya.
“Dia (Kim Yo-jong) adalah pewaris takhta semula jadi, kerana rejim keluarga Kim lebih merupakan dinasti daripada republik. Satu perkara yang dilakukan Kim untuk dirinya sendiri dan prospek pelestarian rejim adalah bahawa dia adalah entiti terkenal, baik di dalam mahupun di luar Korea Utara.” – Lee Sung-yoon, pakar Korea Utara. Dipetik dari The New York Times.
Bagaimanapun, ada juga yang menganggap agak sukar sebenarnya untuk Yo-jong memegang jawatan tu disebabkan elit patriarki di negara tu sangat tebal dan susah untuk diorang terima pemimpin wanita muda yang tak berpengalaman.
“Peranan Yo-jong kemungkinan akan terbatas kepada pemangku sahaja. Bukan hanya kepemimpinan lelaki-dominan, tetapi juga orang biasa di sana akan menentang pemimpin wanita.” – Yoo Ho-yeol, pakar Korea Utara. Dipetik dari BloombergQuint.
Dan sebab itulah, ada nama kedua yang dijangka boleh jadi saingan kepada Yo-jong.
Choe Ryong-hae: Orang nombor 2 dalam hierarki kerajaan Korea Utara
Nampaknya, nama Presiden Presidium Majlis Tertinggi Rakyat, Choe Ryong-hae pun tak lepas dari pandangan penganalisis. Ini kerana, berdasarkan hierarki kerajaan Korea Utara sekarang, Ryong-hae berada di kedudukan kedua dan lebih utama jika nak dibandingkan dengan ‘menantunya’, Kim Yo-jong.
Majlis Tertinggi Rakyat adalah badan perundangan tertinggi di Korea Utara. Manakala, Presidium pula menjalankan kuasa perundangan ketika majlis tertinggi tadi berehat. Presidium ni berkuasa membentuk atau membubarkan kementerian, mengesahkan perjanjian dengan negara lain, mengadakan pilihan raya untuk Majlis Tertinggi Rakyat, memberikan pengampunan dan sebagainya.
Perkara ni meletakkan kedudukan Ryong-hae sebagai yang nombor dua paling berkuasa selepas Kim Jong Un. Berdasarkan laporan, Ryong-hae mula berkhidmat dalam angkatan Tentera Rakyat Korea pada 1967, sebelum memegang pelbagai jawatan dalam kerajaan.
Tapi, perjalanan politiknya taklah lancar sangat sebab dia pernah dituduh rasuah pada tahun 1997 dan hampir dijatuhi hukuman mati pada tahun 1998. Tapi, Ryong-hae lepas tu selamat – bila adik perempuan Kim Jong-il masuk campur. Kedudukan Ryong-hae kemudiannya dipulihkan sepenuhnya pada 2006 dan dia kembali dalam kerajaan.
Jadi dengan perkembangan terbaru, nama Ryong-hae pun nampaknya mula dibangkitkan sebagai salah seorang yang ada kemungkinan boleh menggantikan Kim Jong-un. Tapi perkara tu dah pasti sukar, sebab tu bermakna dia akan menamatkan Dinasti Kim.
Abang Jong-un dan anaknya mungkin akan mainkan peranan
Seperti yang dikatakan awal tadi, Korea Utara terbina dengan teras Dinasti Kim dan nampaknya hanya keluarga Kim saja yang boleh memerintah negara tu. Sebab itulah, bila Jong-un dikhabarkan dalam keadaan tak baik, ada pemerhati berpendapat yang kemungkinan besar abangnya, Kim Jong Chol akan kembali ke Korea Utara.
Berbeza dengan Kim Jong-un dan Kim Yo-jong, Kim Jong Chol seorang yang tak terlibat dalam kepimpinan negara, sebaliknya hidup di luar negara dan mencari ketenangan dengan bermain muzik. Walaupun begitu, ada penganalisis kata yang Jong Chol masih ada hubungan baik dengan adik-beradiknya dan boleh mainkan peranan dalam keadaan yang tak dijangka.
Dalam masa sama, anak Jong-un paling sulung dipercayai berumur 10 tahun juga kemungkinan boleh mainkan peranan nanti. Tapi cumanya, dia perlukan bimbangan politik kalau dipilih sebagai pemerintah generasi ke-4.
“Kim Yo-jong kemungkinan tidak akan mengambil alih pucuk pimpinan tetapi dapat membantu membina rejim sementara sebagai broker kuasa sehingga anak-anak (Jong-un) membesar, dan Kim Jong Chol mungkin akan kembali membantu untuk sementara.” – Go Myong-hyun, penyelidik di Institut Kajian Dasar Asia di Seoul. Dipetik dari Al-Jazeera.
Tapi akhirnya, seperti mana yang kita tahu – tak ada yang mustahil dalam politik, apatah lagi dalam sistem yang sukar difahami di Korea Utara. Segalanya boleh berlaku dan mungkin yang terbaiknya, kita tunggu dan lihat je nanti.
- 323Share sekarang!
- Email9
- Facebook314
- Share