- 8.8KShare sekarang!
- Email103
- Facebook8.6K
- Share
Siapa sangka Kelantan yang digelar sebagai Negeri Serambi Mekah ini pernah menjadi pusat pelacuran terbesar di Tanah Melayu. Mungkin korang terkejut dengan kenyataan ini, tetapi sebenarnya ia benar-benar berlaku pada tahun 1950-an.
Tidak dinafikan pengajian ilmu agama dan sekolah pondok di sana pada masa itu sangat berkembang pesat tetapi pelacuran pada masa itu juga berleluasa sehingga Kelantan digelar sebagai Paris of Malaya. Jadi, kenapa ia digelar sebegitu? Mari kami huraikan dengan lebih panjang mengenai topik ini.
Paris of Malaya yang bermaksud kota pelacur di Kelantan
Pada awal 1950-an, dilaporkan pusat pelacuran di Kelantan sangat berleluasa, sehingga ada antara pelacur ini yang dilatih seawal usia 12 tahun. Mereka ini bukan sahaja berasal dari Kelantan malah, seluruh Semenanjung Tanah Melayu (kini Malaysia). Mesti korang tertanya-tanya macam mana boleh muncul para pelacur ini? Haaa… gejala ini terjadi kerana perkahwinan bawah umur mengakibatkan perceraian pada usia muda yang mendorong mereka ke lembah pelacuran.
Diberi nama Paris of Malaya kerana pada masa itu Paris juga digelar sebagai kota pelacur, tetapi orang Paris pada masa itu sangat marah apabila disamakan dengan Kelantan. Mereka menyatakan bandar Paris masih menjadi bandar yang mempunyai tinggi budaya malah, kalau nak borak pasal kota pelacur, London lagi hebat. Korang boleh tengok keratan akhbar mengenai isu ini di bawah:
Hal ini telah dibongkarkan oleh seorang pegawai kebajikan British yang bernama Josephine Foss. Beliau menyatakan bahawa ibu-ibu ayam yang menindas anak-anak gadis menjadi pelacur ini akan mendapat ganjaran yang lumayan antaranya dapat tinggal di hotel mewah.
Namun, kenyataan Josephine ini ditentang oleh orang-orang Melayu pada masa itu kerana dia dianggap sengaja menimbulkan ketegangan masalah sosial dalam kalangan masyarakat. Tapi sebenarnya, isu ini pernah dibincangkan dalam sidang dewan undangan negeri.
Seorang ahli dalam sebuah jawatankuasa, Nik Mohamed Ali, telah melaporkan isu pelacuran yang berleluasa kerana kanak-kanak terjebak dalam pelacuran. Dia mencadangkan supaya pihak berkuasa (Majlis Agama Islam Kelantan) tidak menghukum tetapi, memberikan peluang pekerjaan lain kepada para pelacur.
“Pelacuran tidak dapat dibendung dengan mengirim pelacur ke penjara. Mereka seharusnya diberi pekerjaan.” – Nik Mohamed Ali, petikan dari Malaysiakini.
Pendapat ini juga dipersetujui oleh ahli politik dari Parti Perikatan (sekarang namanya BN), Inche Yaacob Awang kerana beliau sendiri malu dengan Kelantan sehingga digelar Paris of Malaya. Beliau juga menyalahkan para isteri kerana meminta cerai apabila bergaduh dengan suami.
“Pelacuran di sini menjadi semakin teruk. Di mana sahaja seseorang melintasi seluas negeri ini, seseorang akan menemui pelacur dari Kelantan.” – Inche Yaacob Awang, petikan dari Malaysiakini.
Namun, pendapat Yaacob itu ditentang oleh isterinya sendiri, Che Halimah, kerana dia tak boleh salahkan wanita sahaja, sebab lelaki lebih bertanggungjawab dalam menangani isu cerai.
“Ramai wanita menjadi pelacur kerana mereka harus mencari sesuatu untuk hidup, lebih-lebih lagi jika mereka mempunyai anak dan telah diceraikan oleh suami mereka.” – Che Halimah, petikan dari Malaysiakini.
Abdullah Munshi melihat pelacur berkemban dan rambut bersanggul
Seorang penulis tersohor Alam Melayu, Munshi Abdullah, pernah pergi ke Kelantan dan terkejut dengan pusat pelacuran yang dianggap normal di Kelantan (Negeri Serambi Mekah). Beliau juga berjumpa dengan pelacur yang berkemban, rambut bersanggul dan memakai bunga melor yang berjuntai sampai ke lutut. Korang boleh tengok petikan di bawah mengenai isu ini:
“Shahadan maka adalah saya lihat dalam negeri Kelantan itu terlalu banyak perempuan jalang. Maka apabila petang hari, datanglah ia dekat-dekat perahu segala dagang, berjalan berduyun-duyun. Ada pun pakaiannya itu berkemban sahaja dengan tiada berbaju; dan rambutnya bersanggul lintang sangkut. Maka dipakainya bunga melor berumbai-umbai, panjangnya sampai ka lututnya.
____
Maka ada pula yang memakai bunga melor berkarang, dengan berbagai-bagai jenis rupanya; ada yang seperti siku keluang, dan ada berkerawang terlalu indah perbuatannya; tiada pernah saya lihat dalam Melaka atau Singapura karangan bunga yang demikian itu bagusnya.” – Petikan dari buku Kisah Pelayaran Abdullah.
Bukan itu sahaja, isu ini turut diketengahkan oleh lagenda penulis dan wartawan Malaysia, A. Samad Ismail, dalam buku “Temasha Tinta (1966)” pada bahagian cerpen yang bertajuk “Kesah Chinta di Kota Bharu”. Baiklah, mari kami huraikan cerpen ini.
Cerpen ini mengisahkan tentang seorang wartawan muda bernama Nasir yang ditugaskan mengikuti rombongan Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman ke Kota Bharu untuk melihat usaha kerajaan Persekutuan memujuk kerajaan PAS dengan menawarkan pembukaan tanah rancangan.
Pada malam Nasir sampai di situ, dia hanya dapat meniduri seorang pelacur yang bergigi emas dan rambutnya berbau minyak makan yang dilumur bunga rampai agar tidak terlalu busuk (dapat pelacur tua agaknya). Dia gelisah kerana tidak mendapat pelacur yang memuaskan nafsunya sejak tiba di Kota Bharu.
Nasib baik menimpa Nasir kerana nafsu kuda dia akhirnya puas apabila dia berjumpa dengan pelacur berbadan gempal ketika mendapat tugas di kawasan pedalaman. Mari kami berikan sedikit petikan dari cerpen tersebut:
“Mereka naik bersama2 dan Nasir lega melihat Taib tidak ada di-dalam bilek-nya. Mereka bergolek di-katel dan sebentar lagi Nasir melepaskan kemarahan-nya dan kerunsingan-nya saperti sa-ekor binatang buas, menggigit dan mencakar, hingga wanita itu mengeloh dan mengerang tetapi menyerah bulat kapada tenaga muda yang memulas dan menghempas-nya di-katel.
____
Bila wanita itu pulang, Nasir terlentang di-katel, badan-nya berpeloh dan mata-nya termengah2 tetapi merasakan kepuasan yang melapangkan kepala-nya dan dada-nya. Taib pulang, melihat Nasir maseh berbogel di-katel-nya, tidor dengan lenyak-nya.” – Petikan cerpen dari FMT.
Kini keadaan telah berubah dan semuanya tinggal sejarah
Apabila Kelantan diambil alih oleh PAS sejak 21 Oktober 1990, agama Islam lebih berkembang. Semasa Tok Guru Nik Aziz memimpin Kelantan, banyak inisiatif yang dilaksanakan sehingga digelar “Kerajaan Menerajui Perubahan“. Antaranya, beliau telah menutup premis-premis judi dan panggung wayang di Kelantan, manakala hotel dan kedai tidak dibenarkan menjual dan menyajikan arak di tempat awam kerana ia akan membawa kita ke lembah maksiat.
Justeru, Enakmen Kawalan Hiburan Negeri 1998 diperkenalkan bagi menerapkan nilai keislaman dalam setiap persembahan, serta mengelak amalan khurafat dan tahyul seperti hiburan wayang kulit, makyong, main puteri dan sebagainya.
Apa yang pasti, perkara yang jadi di Kelantan berpuluh tahun lalu – kini cuma tinggal sejarah. Dengan penguatkuasaan undang-undang dan penerapan nilai-nilai Islam, aktiviti pelacuran bukanlah perkara yang normal lagi dalam masyarakat. Namun, sejarah tetap mengajar kita untuk sentiasa berjaga-jaga dan menuju ke arah pedoman yang lebih baik.
Kalau korang suka artikel ini, korang mungkin berminat untuk baca:
- Rusuhan Natrah 1950: Air mata anak Belanda yang dirampas dari keluarga Melayu
- Peristiwa berdarah Memali: Ini dua cerita berbeza antara penduduk kampung & kerajaan
- Kisah kemunculan Mat Kilau: Kenapa ada ahli sejarah yang masih belum percaya?
- 8.8KShare sekarang!
- Email103
- Facebook8.6K
- Share