- 5.3KShare sekarang!
- Email50
- Facebook5.3K
- Share
Walaupun kita akan tamatkan tahun 2019 tak lama lagi, kontroversi yang dikaitkan dengan Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) masih lagi jadi perhatian.
Terbaru, gabungan dua persatuan tu – Dong Jiao Zong akan mengadakan persidangan pertubuhan Cina pada 28 Disember ni untuk membantah pelajaran tulisan Jawi di sekolah rendah vernakular.
Rancangan Dong Jiao Zong ni bukan kecil-kecil sebab gabungan tu juga ajak lembaga pengelola dan persatuan ibu-bapa dan guru (PIBG) SRJKC pulangkan balik garis panduan pelajaran tulisan Jawi kepada Kementerian Pendidikan sebagai tanda bantahan.
Walaupun dapat bantahan dari pelbagai pihak, termasuklah daripada Perdana Menteri, Dr Mahathir sendiri – nampaknya Dong Jiao Zong tetap tegas nak adakan persidangan tu. Jadinya, apa kata kita luangkan masa sikit dengan menyelami sejarah panjang pertubuhan penuh kontroversi ni…
Dong Zong dan Jiao Zong muncul sebagai tindak balas dasar pendidikan kerajaan British
Sebenarnya, sistem pendidikan berasingan di Malaysia (sebelum 1963 – Persekutuan Tanah Melayu) memang dah wujud sejak zaman penjajahan British lagi, dengan adanya Sekolah Melayu, Sekolah Inggeris, Sekolah Cina dan Sekolah Tamil. Bila tamatnya Perang Dunia Kedua (pada 1945), British mula nak menyatukan sistem pendidikan dengan menjadikan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar di sekolah.
Hal ni jugalah yang dicadangkan oleh Laporan Barnes pada Jun 1951. Tapi laporan ni dapat bantahan yang cukup keras dari kumpulan pendidikan Cina, sebab ia dilihat mengancam kelangsungan bahasa Cina. Makanya pada tahun sama Jiao Zong dah ditubuhkan untuk mempertahankan bahasa ibunda Cina di negara ini.
“…Kerajaan British ingin menghapuskan pendidikan Cina melalui Laporan Barnes, menyebabkan guru-guru sekolah Cina terpaksa bersatu hati untuk mencari jalan penyelesaian.
Maka, Jiao Zong ditubuhkan bagi menghadapi keadaan yang genting.” – Jiao Zong Jianjie, dipetik dari jurnal terbitan Universiti Malaya (UM).
Jiao Zong masa tu cukup lantang menentang penggunaan bahasa Inggeris dan bahasa Melayu di sekolah Cina dan penentangan tu bertambah lagi, bila British perkenalkan Ordinan Pelajaran 1952 yang cuba mengkanunkan dasar pendidikan kebangsaan.
Menjelang tahun 1954, Dong Zong pula ditubuhkan untuk membela nasib para pendidik Cina. Seterusnya Dong Zong dan Jiao Zong terus bekerjasama sebagai benteng melindungi pendidikan Cina di Malaysia sehinggalah sekarang.
Tapi bila berbicara tentang Dong Jiao Zong ni, kita tak boleh lepas dari bercerita tentang kisah perjuangan tokoh pendidikan dan Pengerusi pertama Jiao Zong, Lim Lian Geok. Ini kerana…
Demi pendidikan Cina, kerakyatan Lim dilucutkan
Lim Lian Geok dilahirkan pada 19 Ogos 1901 di Fujian, China dan berasal daripada keluarga cendekiawan. Lepas ambil kursus perguruan di China (tapi tak sempat habis), Lim berhijrah ke Tanah Melayu dan mula menjadi guru di sebuah sekolah di Kuala Lumpur pada tahun 1935.
Dia cukup aktif dalam gerakan pendidikan Cina sampaikan dia jadi antara pengasas dan Pengerusi pertama Jiao Zong (1950 – 1960). Usahanya mempertahankan pendidikan Cina di Tanah Melayu masa tu bertambah lagi bila dia dapat kerakyatan pada September 1951.
Dan bila Ordinan Pelajaran 1952 diperkenalkan, Lim jadi antara orang ke depan yang cuba memansuhkan ordinan ini. Marahnya Lim dengan projek penubuhan sekolah kebangsaan ni sampaikan dia kemukakan memorandum kepada Presiden Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang melawat Tanah Melayu pada 1954.
Dalam memorandum tu, Lim melalui Jiao Zong mendesak supaya Ordinan Pelajaran 1952 dimansuhkan dan minta supaya bahasa Melayu, Cina dan Tamil digunakan sebagai bahasa pengantar di sekolah.
“Lim cuba mendapatkan sokongan luar untuk memaksa kerajaan British menggugurkan projek sekolah kebangsaan.” – Dipetik dari jurnal terbitan UKM.
Akhirnya, British pun memperkenalkan aliran kebangsaan dan vernakular dalam dasar pendidikan negara. Perjuangan Jiao Zong ni sebenarnya boleh berjaya sebab pertubuhan tu dapat sokongan kuat dari masyarakat Cina dan MCA ketika itu.
Selain tu, Lim juga menjalankan kempen untuk menjadikan bahasa Cina sebagai salah satu bahasa rasmi Persekutuan Tanah Melayu. Ini kerana, Lim percaya satu-satunya cara untuk mempertahankan status pendidikan Cina adalah dengan menuntut kedudukan sah bahasa Cina itu sendiri.
Bagi Lim, bahasa Cina patut diangkat sama taraf dengan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi di negara ini. Hal itu patut atas dasar kepertanggungjawaban orang Cina yang telah menjadi rakyat setia negara ini dan kerana itu, bahasa Cina patut diiktiraf sebagai salah satu bahasa rasmi negara untuk membalas ketaatan mereka kepada negara.
Menjelang kemerdekaan, muncul pula Jawatankuasa Razak 1955, yang kemudiannya menerima sekolah rendah Cina sebagai sebahagian dari sistem kebangsaan, tapi tidak untuk sekolah menengah Cina. Lepas merdeka, diperkenalkan pula Laporan Rahman Talib (1961) yang sekali lagi nak jadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan.
Tapi seperti mana yang dijangka, Lim dan Jiao Zong sekali lagi membantah dan ketika itu menyeru sekolah menengah Cina supaya tak akur dengan laporan itu. Ini kerana, dia berpendapat sekolah Cina sebenarnya dah penuhi tanggungjawab mereka kepada negara dengan mengajar bahasa kebangsaan sebagai satu mata pelajaran
dan dengan menggunakan isi kandungan kurikulum yang sama.
“Beliau mempertikaikan perakuan Rahman Talib untuk menggunakan bahasa kebangsaan bagi memupuk kesedaran nasional dalam kalangan pelajar…
Beliau mendesak jemaah pengurus sekolah menengah Cina agar tidak akur dengan Laporan Rahman Talib dan menyeru mereka agar berdikari demi mengatasi masalah mereka.” – Dipetik dari jurnal terbitan UKM.
Bagaimanapun, selaras dengan peredaran masa, banyak sekolah menengah Cina tak ikut nasihat Lim dan buat keputusan untuk bertukar ke sekolah aliran kebangsaan kerana desakan untuk mendapatkan bantuan kerajaan.
Akan tetapi, pergeseran antara Lim dengan kerajaan tak dapat dibendung lagi dan akhirnya pada tahun 1961, kerakyatan Lim dilucutkan. Sesulan itu, Lim meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Jiao Zong dan akhirnya dia meninggal dunia pada tahun 1985. Selepas kematiannya, Lim disanjung sebagai Zu Hun (Roh Bangsa) atas perjuangannya mempertahankan pendidikan Cina.
Dalam hal ni ada dua perbezaan antara kerajaan Perikatan dan Lim dalam isu pendidikan dan bahasa. Bagi kerajaan, asas pembinaan negara bangsa di Malaysia haruslah ditegakkan dengan Bahasa Kebangsaan (bahasa Melayu), sedangkan Lim pula menganggap bahasa kebangsaan sebagai alat untuk komunikasi antara kaum saja dan perkembangan bahasa lain tidak sepatutnya disekat.
Tapi apa yang pasti, pelbagai usaha yang Dong Jiao Zong dah buat untuk memartabatkan pendidikan Cina di Malaysia, antaranya…
Cuba menubuhkan Universiti Merdeka, tapi ditolak
Pada tahun 1967, Parlimen dah meluluskan Akta Bahasa Kebangsaan yang sekaligus membuatkan Kementerian Pelajaran menetapkan sesiapa yang nak lanjutkan pelajaran ke luar negara kena ada SPM atau STPM. Hal ni dah buatkan pelajar-pelajar sekolah menengah persendirian Cina tak ada peluang nak lanjutkan pelajaran ke Taiwan, Hong Kong atau Singapura sebab diorang tak ada SPM.
Jadinya, setahun lepas tu Dong Jiao Zong pun anjurkan kongres dan tertubuhlah Merdeka University Berhad yang akan menguruskan sebuah universiti yang dinamakan sebagai Universiti Merdeka. Tapi penubuhan universiti yang menggunakan bahasa Cina sebagai bahasa pengantar ni dah menerima banyak bantahan.
Tapi disebabkan kerajaan nak dapatkan undi dalam PRU-1969, kerajaan dah meluluskan penubuhan universiti ni. Bagaimanapun, penubuhannya ditangguh bila berlakunya peristiwa hitam 13 Mei, dan pada 1978 – kerajaan buat keputusan untuk tolak penubuhan Universiti Merdeka.
Hal ini menyebabkan syarikat Universiti Merdeka Berhad membawa kes ini ke mahkamah, tapi ditolak pada 1982 – kerana menggunakan bahasa Cina sebagai bahasa pengantar adalah bercanggah sama sekali dengan kedudukan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.
Tapi usaha Dong Jiao Zong tak terhenti di situ, dan akhirnya diorang berjaya juga bila…
“Pada tahun 1990, Kementerian Pelajaran telah meluluskan permohonan untuk menubuhkan Kolej Selatan yang terletak di Skudai, Johor, pada tahun 1997, meluluskan permohonan Kolej New Era yang terletak di Kajang, Selangor; dan meluluskan Kolej Han Chiang di Georgetown, Pulau Pinang pada tahun 1999.” – Dipetik dari jurnal terbitan UM.
Isu tentang UEC yang sampai sekarang belum selesai
Pada sekitar tahun 1960-an juga, kerajaan dah meluluskan Akta Pendidikan 1961. Menurut akta tu, mana-mana sekolah menengah Cina yang menerima bantuan kewangan kerajaan kena ditukarkan kepada sekolah menengah jenis kebangsaan yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar.
Akibatnya, hampir 60% sekolah menengah Cina akur dengan akta tu, kecuali beberapa buah sekolah menengah yang tetap bertegas. Menjelang tahun 1970-an, Dong Jiao Zong dah menyokong gerakan menghidupkan kembali Sekolah Menengah Persendirian Cina (Du Zhong) yang dipelopori oleh komuniti Cina di Perak.
“Gerakan tersebut mencapai kejayaan yang cemerlang. Dong Jiao Zong telah menubuhkan ‘Jawatankuasa Du Zhong Malaysia’ untuk merancangkan polisi pendidikan, sukatan pelajaran, sistem peperiksaan bersama Du Zhong, sumber tenaga pengajar dan sebagainya.” – Dipetik dari jurnal terbitan UM.
Hal ni jugalah yang kemudiannya memperkenalkan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) untuk pelajar-pelajar Du Zhong. Dr Mahathir masa jadi Menteri Pelajaran ada memerintahkan peperiksaan ni dibatalkan sebab ia mencipta satu sistem pendidikan lain dan merosakkan perpaduan negara.
Tapi perintah tu tak berjaya dan UEC pun tetap berjalan di Malaysia sejak tahun 1975 sampailah sekarang. Walaupun kerajaan tak pernah mengiktiraf peperiksaan ni, tapi ia dah dibuat secara meluas di Du Zhong, malah mula diterima di beberapa universiti luar negara.
Dan bila tiba PRU-14 lepas, sama ada PH atau BN, kedua-duanya meletakkan pengiktirafan UEC dalam manifesto masing-masing. Walaupun begitu, sehingga ke hari ini kerajaan masih belum buat keputusan sama ada nak mengiktiraf peperiksaan ni atau tidak.
Hakikatnya, banyak lagi isu pendidikan kita yang belum selesai
Dari apa yang kita baca ni, dapatlah kita simpulkan yang masalah pendidikan di negara ni dah muncul sejak sebelum merdeka lagi. Ia juga bertambah parah bila keputusan-keputusan yang dibuat tu dipengaruhi dengan kepentingan politik semasa.
Dalam masa sama, kita juga berdepan dengan masalah ketidakyakinan masyarakat terhadap sistem pendidikan kebangsaan, sampai kita boleh nampak ramai yang menghantar anak-anak mereka ke – sekolah swasta, sekolah antarabangsa, maahad tahfiz dan sebagainya.
Malah, dalam satu laporan terbitan International School Consultancy (ISC), Malaysia adalah negara yang paling ramai pelajarnya belajar di sekolah antarabangsa berbanding dengan negara-negara Asia Tenggara lain. Apa yang pasti, medium bahasa dalam sekolah ini pun tak menggunakan bahasa Melayu, tetapi bahasa Inggeris.
Itu belum lagi kita berbicara dalam soal isu pendidikan kanak-kanak keciciran, orang asli, anak tanpa dokumen dan sebagainya. Jadinya, bagaimana nasib pendidikan kita di Malaysia ni, siapa yang bertanggungjawab dan apa seterusnya?
- 5.3KShare sekarang!
- Email50
- Facebook5.3K
- Share