Jumlah tulang rusuk lelaki & perempuan sebenarnya sama! Dan 5 lagi mitos yang korang percaya bulat-bulat

Korang pernah dengar tak pasal persatuan Flat Earth? Ianya satu komuniti di mana mereka percaya bahawa bumi ni leper dan bukannya bujur. Lepas tu ada golongan yang tak percaya dengan pemanasan global, mereka rasa ia merupakan fenomena alam semula jadi dan bukannya akibat perbuatan manusia.

Nak lagi best ada orang percaya bahawa kerajaan dunia kena control dengan Reptilian, iaitu sekumpulan ‘makhluk asing separuh cicak separuh manusia’ dan objektif utama mereka adalah untuk menjatuhkan kita semua (tolong jangan minta kami tulis pasal artikel ni, pelik sangat).

Itu semua benda yang terang-terang mengarut, jadi pelik jugak bila ada orang yang percaya. Tapi macam mana pulak dengan benda yang bila dengar macam sahih… tapi sebenarnya mitos? Nak tau apa contoh-contohnya? Ikut artikel kat bawah ni, bermula dengan…

1. Jumlah tulang rusuk lelaki dan perempuan adalah sama

Bagi penganut Kristian dan Islam, kita selalu dengar kisah Hawa yang dicipta dari tulang rusuk kiri Nabi Adam. Kisah ni telah menyebabkan mitos yang tulang rusuk kiri lelaki kurang satu dari wanita, mula dipopularkan pada Zaman Pertengahan di Eropah yang obses dengan cerita Bible. Malah bila ada saintis yang sanggah fakta ni, jadi kontroversi terus!

Dalam konteks Islam pulak, cerita ini mempunyai beberapa versi iaitu: wanita ibarat tulang rusuk, wanita tu adalah tulang rusuk, dan wanita diperbuat dari ulang rusuk.

ribs tulang rusuk
Kita tengah cakap pasal tulang rusuk dalam badan tau bukan ribs makanan tu. Gambar dari vietworldkitchen.com dan zonesa.blogspot.com

Sebenarnya secara saintifik, lelaki dan perempuan mempunyai bilangan tulang rusuk yang sama iaitu 24 (namun dalam sesetengah kes, ada je orang yang tak cukup atau terlebih tulang rusuk).

 

Belah kiri tu lelaki dan belah kanan tu perempuan. Gambar dari biologyclermont.info

Kalau korang perasan, bila ada gambar awek dekat Facebook ke Instagram ke mesti ada yang komen “Bergetar tulang rusuk kiri saya, cia cia cia” hahaha. Untuk pick up line boleh lah tapi dari segi saintifik, ia adalah salah. Fikir macam ni je, kalau jari korang putus adakah jari anak korang yang akan lahir nanti pun takde juga? Haa macam tu lah.

2. Kita tak menggunakan hanya 10% daripada otak kita

Ini merupakan mitos yang famous kat serata dunia. Kononnya Albert Einstein sendiri yang pernah bagi kenyataan ni (sebenarnya tak). Lagi satu teori adalah ia datang dari kajian pyschologist Williams James, tapi sebenarnya dia cakap “sebahagian kecil” je bukan 10% seperti yang diheboh-hebohkan.

Malah beberapa kajian moden oleh doktor pakar yang menggunakan MRI (mesin scan badan) berpendapat bahawa kita sebenarnya menggunakan hampir 100% kuasa otak dalam aktiviti harian. Samada jaga atau tidur, otak kita kekal aktif. Waktu tidur, otak kita berfungsi untuk membuang toxin badan, belajar & menghafal kerja-kerja fizikal, dan banyak lagi. So mitos 10% tu memang confirm mengarut.

Ni lah MRI scanner. Kalau ada mesin mandi macam ni kan senang, baring je dah boleh mandi…Gambar dari video youtube, tekan sini untuk tonton.

Selain tu, ada jugak saintis yang menpersoalkan mitos ni atas dua faktor. Yang pertama, macam mana nak kira dengan tepat bahawa kita hanya menggunakan 10% kuasa otak. Lagi satu, walaupun neuron (sel elektrik otak) tu tak kasi arahan kat badan, ia tetap akan terima signal dari neuron lain. Pendek cerita, hampir seluruh otak kita ni sentiasa berfungsilah.

Dan kalau dilihat dari segi logik pula, berat otak kita hanya merangkumi dari 3-5% dari berat badan kita tapi menggunakan 20% tenaga (oksigen dan glukosa) badan. So tak mungkin lah kalau otak tu hanya berfungsi 10% je. Lepas ni kalau ada orang nak pertahankan mitos ni korang campak je artikel ni kat mereka haha.

3. Cracking knuckles tak menyebabkan penyakit serius

Ada setengah orang panggil ketaq jari dan ada yang sebut bunyi tulang tapi kalau korang tau nama betul untuk ‘aktiviti’ ni bagitau lah ye. Ia merupakan satu aksi di mana jari akan ditekan/tarik dan akan mengeluarkan bunyi, ia dipercayai boleh menyebabkan arthritis dan beberapa penyakit lain.

Tu lah cracking knuckles, gambar dari giphy.com

Korang tak perlu risau sebab ada banyak kajian kata yang cracking knuckles ni tak memudaratkan, saintis kata kenapa ia berbunyi adalah sebab gas yang ada kat dalam bahagian tulang meletup bila kita ‘kacau’ kawasan tersebut. Ia tak terhad kat jari je, ada yang buat kat pinggang, kaki, leher, dan beberapa tempat lain.

Tapi ada satu kajian pada tahun 1990-an mengatakan bahawa cracking knuckles ni boleh menyebabkan kekurangan cengkaman tangan dan lebam tapi teori tu habis kat situ je, takde kajian susulan yang dijalankan.

Bagi sesetangah orang, aktiviti meletupkan tulang-belulang ni adalah sebahagian dari dunia perubatan malah ada yang siap buka klinik. Klinik jenis kiropraktik ni ada kat seluruh dunia terutama sekali negara-negara barat dan jangan terkejut kalau kami kata kat Malaysia pun ada juga. Kat sini kami ada video contoh macam mana kiropraktik berfungsi:

So kalau korang nak try atau dah malas sangat nak buat sendiri mungkin boleh set appointment? Selamat meletupkan jari!

4. Lidah sebenarnya takde bahagian-bahagian rasa

Ingat tak sebelum belajar subjek Reproduction masa Form 3, korang kena belajar basic sains time sekolah rendah dan salah satu topik tu adalah pecahan rasa kat lidah yang kononnya ia ada 4 rasa basic iaitu pahit, manis, masam, dan masin. Sebenarnya tu semua salah!

Gambar dari 2dayfm.com.au

Mitos ni bermula apabila saintis German, D.P.Hanig, menulis satu kajian yang dia buat pada tahun 1901. Dalam laporan tu, dia telah buat eksperimen deria rasa kat beberapa sukarelawan dan telah meringkaskan bahawa lidah kita terbahagi kepada beberapa bahagian. Kemudiannya, seorang saintis Harvard telah menafsirkan kertas kajian tersebut secara membuta-tuli dan hasilnya, sehingga kini kita pun percaya dengannya.

Pada tahun 1970-an ada saintis telah membuat teori dengan kajian tersebut,dan mereka mendapati ianya sebenarnya tak masuk akal. Malah saintis telah jumpa satu deria rasa baru kat lidah kita dan kedudukan deria rasa tersebut bersepah-sepah kat lidah, bukannya terletak kat satu bahagian je (macam yang kita belajar dulu tu). Kalau korang tertanya-tanya, rasa yang kelima tu adalah Umami iaitu rasa daging.

Terima kasih kepada deria rasa Umami, kita boleh layan ribs kambing ni. Gambar dari vietworldkitchen.com

So kalau dah jumpa pada tahun 1970-an, kenapa ia masih diajar kat sekolah? Secara jujurnya kami taktau kenapa, dan mitos ni masih dipercayai ramai.

5. Bercukur takkan buat rambut korang lagi tebal

Mesti mak atau member korang pernah cakap “kalau nak rambut tebal, awak kena cukur dulu” dan stigma tu telah berkeliaran sejak dari dulu lagi sampai sekarang. Kepercayaan ni tak terhad kat rambut je malah janggut, misai, dan juga bulu. Seperti yang korang boleh agak, mitos ni pun tipu (kalau tak tipu takdenya kami nak masukkan kat dalam list).

Jadilah macam Chewbacca, guna produk untuk dapat bulu dan rambut yang tebal (Kami tak ditaja oleh mana-mana produk kecantikan, gambar sekadar hiasan).

Masa kami buat research, kami tak dapat jumpa dari mana asal usul mitos ni datang tapi kalau kita tanya mak kita memang kepercayaan tu dah lama ada. Malah pada tahun 1928, sekumpulan saintis ada tulis satu buku pasal mitos perubatan dan salah satu topik dalam buku tu adalah pasal ketumbuhan rambut dan bulu di badan kita.

Kat dalam buku tu, mereka kata cukur rambut dan bulu tak menggangu kadar ketumbuhan, membuang bahagian sel rambut yang mati (kita boleh nampak) dan takkan kacau sel rambut yang hidup (kita tak nampak sebab sel tu kat dalam kulit). Pada tahun 1970 pula, saintis telah mencuba teori ni dengan buat experiment di mana sekumpulan lelaki akan cukur kaki sebelah saje dan lagi sebelah tu dibiarkan. Last last mereka jumpa bahawa kadar ketumbuhan tu sama je, takde beza.

Sama je, gambar dari orlandohairtransplant.org (gambar tersebut tak melambang produk kat dalam link ni)

Tapi… ada kebenaran sikit kat dalam mitos ni. Untuk lelaki yang baru akil baligh (puberty), lepas cukur rambut ia akan tumbuh lagi tebal tapi ni bukan sebab cukur tau. Ada banyak faktor yang menyebabkan benda ni terjadi seperti hormon dan kesihatan.

Tapi mesti ada antara korang yang cakap “Eh mana ada! Saya cukur pastu tumbuh lagi tebal kot!”. Ok berdasarkan pakar kesihatan, lepas kita cukur rambut atau bulu yang tumbuh tu ia akan nampak lebih kasar dan gelap so ni secara tak sengaja membuatkan ia nampak lagi tebal (sedangkan tak).

Okay, cukup dengan mitos badan. Macam mana dengan mitos lain pula?

6. Tutup air cond tak semestinya boleh save minyak

Ini merupakan salah satu mitos yang famous dikalangan rakyat Malaysia terutama sekali pemandu kereta. Kisahnya kalau korang nak save minyak kereta, korang kena tutup air cond dan buka tingkap. Ikut logik ia sepatutnya save minyak sebab enjin kereta tak perlu guna kuasa yang banyak.

Ya, memang betul tapi ia bergantung kepada jenis kereta dan kelajuan juga. Untuk kereta sedan macam Proton Saga, teknik ni menjadi kalau korang kat kawasan bandar atau kawasan yang kena banyak berhenti tapi kalau drive kat highway pada kelajuan lebih kurang 90 km sejam, korang kena tutup tingkap dan buka air con.

Buat macam Akak Rihanna ni, tutup tingkap buka air con je. Gambar dari giphy.com

Ada beberapa kajian mengatakan bahawa kalau korang buka tingkap time tengah laju, enjin kereta akan bekerja lebih sebab nak maintain kelajuan korang, dan lagi satu adalah kereta jadi lebih berat sebab tak aerodynamic atau bak kata budak-budak motor “tak potong angin”. Malah pada kelajuan yang tinggi, enjin tak menggunakan kuasa yang banyak untuk mengendali air cond so time kat NKVE tu korang tekan je minyak (berhati-hati dan ikut peraturan jalan raya tau!).

Dua jurutera terkenal dari rancangan Mythbuster pernah test teori ni. Tapi kali ni mereka menggunakan kereta SUV macam Pajero atau Range Rover. Time experiment tu mereka telah menggunakan model SUV yang sama dan mendapati bahawa SUV yang buka tingkap tu pergi lagi jauh. So kesimpulannya, korang kena tengok jenis kereta apa yang dipandu serta situasi jalanraya tersebut.

Tengok jenis dan kelajuan kereta, korang mungkin kena tutup/buka tingkap untuk jimat minyak. Gambar dari toyotaofclermont.com dan carlist.my

Mitos akan tetap tersebar

Mungkin ada yang tertanya-tanya kenapa mitos macam ni boleh tersebar, ya salah satu sebabnya ialah kerana korang yang terlalu mudah terpedaya, bila dah percaya datang pula keinginan untuk menjaga orang di sekeliling so kita pun mula sebarkan mitos-mitos ni.

Tapi ada sebab lain juga iaitu penyebaran melalui media. Tak semua mitos ni share melalui mulut orang, ada yang terbaca kat Internet atau nampak kat TV dan ni telah mendatangkan “Sleeper Effect” di mana teori tu kata lagi lama kita simpan info tu lagi senang kita nak percaya tak kisah lah sumber tu datang dari mana.

Sama juga macam kisah deria rasa lidah dan cukur rambut tu, walaupun dah terbukti salah tapi orang ramai masih percaya dengan teori tersebut. Jadi betul lah apa kajian ni kata, iaitu seseorang individu takkan ubah mindset dia kalau ideologi sesuatu benda dah lama tertanam kat dalam diri. So sebelum sebar cerita atau ‘nasihat’ pastikan ada kesahihan ye.

About Adly Kiddy 83 Articles
Layari Spotify atau Apple Music dan dengar lagu Selesta - Resistance