- 785Share sekarang!
- Email11
- Facebook774
- Share
Mesti ada antara kita yang dapat SMS dari kerajaan, tapi tak baca atau abaikan je, kan? Contohnya tiga rakan kerja kami yang dapat SMS ni:
Bila kami tanya kenapa diorang abaikan, salah seorang menjawab:
“Saya cuba Google, tapi tak faham, lepas tu tanya la kawan. Kawan cakap, boleh dapat duit. Saya tanya macam mana nak dapatkan duit tu. Diorang kata ‘tak tau’, so takpe la.” – Rakan sekerja kami yang blur sotong
Sebenarnya tak juga, sebab mySalam ni bukanlah skim bantuan kewangan secara langsung macam ePemula. Lepas kami jelaskan manfaat-manfaat skim mySalam kepada rakan kerja kami, dia pun rasa rugi sebab tak mendaftar. Jadi, apakah fungsi skim ni sebenarnya?
mySalam dan PeKa merupakan skim-skim insurans komprehensif PERCUMA untuk golongan B40
Insurans sekarang dah jadi satu keperluan, tapi bukan semua orang mampu membeli pelan insurans. Jadi, mySalam dan PeKa diwujudkan untuk menampung kos rawatan dan memberikan bantuan kewangan kepada golongan B40 (mereka yang mempunyai pendapatan isi rumah RM4,580 ke bawah).
Kalau pandang sepintas lalu, manfaat mySalam dan PeKa nampak macam sama, tapi sebenarnya ada sedikit perbezaan antara dua skim ni:
- mySalam ditawarkan kepada mereka yang berumur 18 ke atas, dan penerima akan menerima elaun wad sebanyak RM50 sehari dan wang sehingga RM8,000 sekiranya disahkan menghadapi mana-mana penyakit kritikal yang tersenarai
- PeKa B40 pula ditawarkan kepada mereka yang berumur 40 ke atas, dan menampung kos saringan, kos peralatan perubatan sehingga RM20,000, serta kos pengangkutan sehingga RM1,000.
Yang paling menarik, kedua-dua skim tersebut diberikan secara percuma, dan manfaatnya pun setanding dengan pelan insurans yang berbayar! Contohnya, mySalam memberikan bantuan kewangan untuk 45 penyakit kritikal, manakala kebanyakan insurans biasa hanya merangkumi 39 penyakit kritikal sahaja. Setakat tahun 2021, skim mySalam sahaja pun dah membelanjakan lebih RM180 juta untuk merawat 125 ribu penerima bantuan ni.
Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, kami telah menghubungi salah seorang penerima bantuan yang menceritakan pengalamannya.
Sabri bin Sabu menjalani pembedahan lutut tanpa membayar satu sen pun
Sabri bin Sabu, 65, merupakan seorang peniaga dari Perlis yang telah bertahun-tahun menderita akibat sakit lutut. Pada tahun 2017, beliau menjalani pembedahan lutut pada kaki kirinya. Tapi tak lama kemudian, lutut kanannya pun mula sakit:
“”Minyak lutut dah kering! Nak lipat, duduk sembahyang pun tak boleh. Dia jem.” – Sabri bin Sabu
Beliau terpaksa membatalkan niat untuk membuat pembedahan lutut kanan kerana tak mampu membayar kos rawatan tersebut, iaitu RM5,500. Pada masa yang sama, beliau juga tak mampu bekerja kerana sakit lutut. Satu hari, doktor beliau memperkenalkan Encik Sabri kepada skim PeKa B40. Dengan harapan baru, beliau pun pergi ke sebuah klinik kerajaan untuk konsultasi, lalu menjalani pembedahan lutut. Seluruh proses tersebut selesai dalam masa dua minggu, dan segala kos ditanggung penuh oleh skim tersebut.
Mengikut Encik Sabri, walaupun lutut beliau tak mampu pulih sepenuhnya, sekurang-kurangnya beliau gembira kerana tidak lagi hidup dalam kesakitan:
“Tak sama la. Tu yang saya dapat kad OKU tu. Saya nak buat kerja berat, tak boleh la. Sembahyang, duduk kat bangku la. Doktor kata kita buat ni, hanya hilang sakit je. Kalau nak serupa lama, takdak la. Nak bengkok pun tak boleh. Kalau nak berjalan pun, tak boleh jauh-jauh la.” – Sabri bin Sabu
Pendek kata, Encik Sabri sangat berpuas hati sampailah…
Beliau dah jadi duta tak rasmi untuk PeKa dan mySalam
Semasa di hospital, Encik Sabri ada berborak dengan pesakit-pesakit lain. Alangkah terkejutnya bila dapat tahu ramai pesakit lain yang tak pernah dengar tentang mySalam dan PeKa ni. Setelah mendapat bantuan ni sendiri, beliau menegaskan yang orang lain PATUT ambil tahu tentang skim-skim tersebut:
“Rakyat ni, dia tak tau. Saya pernah jumpa pesakit, dia cakap dengan saya: “buat ni melalui apa? Duit pencen ke apa?”. Saya kata PeKa, dia tanya PeKa tu apa? Jadi saya cerita macam tu la.
Sebab depa dok mintak bantuan, kata takda, sebenarnya ada. Saya dulu pun saya tak tau.
Saya ucapkan terima kasih sebab dapat buat rawatan lutut. Saya mintak PeKa ni diteruskan.” – Sabri bin Sabu
Apabila kami bertanya jika Encik Sabri ingin menyampaikan pesanan kepada mereka yang masih was-was tentang skim-skim seperti mySalam dan PeKA, jawapannya seolah-olah ditujukan kepada staf Soscili yang kami sebutkan tadi:
“Saya nasihatkan kepada yang was-was tu: selalu bertanya. Kadang-kadang kita ni, kalau tanya orang yang tak tau, jadi maklumat yang dia bagi tu, lain.” – Sabri bin Sabu
Kalau bab inisiatif-inisiatif kerajaan ni, kadang-kadang persepsi buruk boleh mengaburkan mata kita dari melihat manfaat yang boleh kita pergunakan. Bukan sesetengah golongan je yang layak menerima manfaat – ramai antara kita yang layak mendapat moratorium, pembiayaan perniagaan kecil dan sederhana, pelepasan cukai, subsidi dan lain-lain.
Boleh dikatakan, pengumuman Bajet 2023 yang bakal dibentangkan pada bulan Oktober ni menjanjikan banyak lagi manfaat untuk semua golongan. Jadi, pastikan kita bagi perhatian kepada pengumuman nanti dan menyemak laman web rasmi dari semasa ke semasa supaya tak terlepas manfaat-manfaat yang ditawarkan.
- 785Share sekarang!
- Email11
- Facebook774
- Share