- 884Share sekarang!
- Email19
- Facebook865
- Share
Nampaknya, sebahagian besar rakyat Malaysia dapat menarik nafas lega selepas Perdan Menteri, Muhyiddin Yassin mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 beberapa hari lalu. Melalui pakej berkenaan, kerajaan dah mengumumkan bantuan wang secara one-off kepada golongan B40 dan M40 dari antara RM500 hingga RM1,600.
Pelbagai lagi inisiatif juga dimumkan khususnya kepada industri kecil dan sederhana (PKS), kakitangan awam, kakitangan perubatan, pasukan keselamatan dan sebagainya. Tapi rupa-rupanya, bukan Malaysia je yang umumkan pakej rangsangan ekonomi ni. Sebabnya, boleh dikatakan sebahagian besar negara-negara dunia pun mengumumkan perkara yang agak sama.
Mungkin kita boleh mula dulu dengan negara kuasa dunia…
1. Amerika Syarikat: Umumkan pemberian cek antara USD200 sampai USD2,400 kepada rakyatnya
Ketika arikel ni ditulis, jumlah kes COVID-19 di Amerika Syarikat (AS) dah mencecah lebih 140 ribu kes dan dah mengakibatkan lebih 2 ribu kematian. Disebabkan keadaan yang semakin serius, AS dah mengisytiharkan pelaksanaan jarak-sosial (social distancing) sehingga 30 April 2020.
Malah, Dewan Senat AS juga dah sebulat suara meluluskan pakej rangsangan bernilai kira-kira USD2 trilion pada Rabu lepas, sebagai usaha memastikan kelangsungan eknomi negara Uncle Sam tu. Menariknya, antara yang diluluskan tu termasuklah pemberian cek kepada individu dan pasangan yang terjejas.
- USD1,200 (RM5,224) kepada individu yang berpendapatan sehingga USD75,000 (RM322,366) setahun
- USD700 (RM3,015) kepada individu yang berpendapatan sehingga USD85,000 (RM365,348) setahun
- USD200 (RM861) kepada individu yang berpendapatan lebih USD95,000 (RM409,226) setahun
- USD2,400 (RM10,338) kepada pasangan yang berpendapatan kurang USD150,000 (RM646,147) setahun.
Selain tu, pakej tu juga memperuntukkan 10 hari cuti sakit berbayar penuh untuk pekerja syarikat, yang mempunyai jumlah pekerja 500 atau kurang. Dalam masa sama, kerajaan AS turut meningkatkan insurans pengangguran sebanyak USD600 (RM2,584) selama 13 minggu atau lebih kurang 4 bulan – untuk setiap orang.
“Walaupun insurans pengangguran biasanya tidak meliputi orang yang bekerja sendiri – freelancer, kontraktor dan pekerja gig – rang undang-undang datang dengan ‘bantuan pengangguran pandemik’ langkah yang akan melibatkan insurans kepada pekerja tersebut.” – Dipetik dari The Guardian.
2. Hong Kong: Bagi HK$10,000 kepada setiap penduduknya yang terkesan
Pada akhir Februari lalu, Hong Kong dah mengumumkan peruntukan berjumlah sekitar USD10 bilion untuk diberikan kepada penduduk wilayah autonomi itu. Melalui dana berkenaan, setiap penduduk tetap wilayah berkenaan yang terjejas akan menerima sekitar HK$10,000 (RM5,553) daripada kerajaan.
Antara syarat yang ditetapkan adalah, pemohon mestilah berumur 18 tahun ke atas, isi rumah berpendapatan rendah dan dah tinggal di Hong Kong sekurang selama 7 tahun. Bagaimanapun, sebahagian ahli ekonomi berpendapat pemberian wang tu tak akan menolong ekonomi Hong Kong sangat, sebab kemungkinan besar penduduk akan menyimpannya dari membelanjakannya.
3. Singapura: Rakyat yang bekerja sendiri layak dapat S$3,000
Pada 26 Mac lalu, kerajaan Singapura dah mengumumkan Pakej Penjagaan dan Sokongan melibatkan peruntukan sebanyak S$4.6 bilion. Selaras dengan pengumuman tu, setiap rakyat Singapura berumur 21 tahun ke atas akan menerima wang secara one-off daripada kerajaan bernilai antara S$900 (RM2,721), S$600 (RM1,814) dan S$300 (RM900) berdasarkan pendapatan mereka.
Selain tu, mereka yang memiliki lebih dari satu hartanah juga akan menerima S$300 (RM900), tanpa mengira pendapatan mereka. Ibu bapa, dengan sekurang-kurangnya seorang anak berusia 20 tahun ke bawah pula, masing-masing akan menerima tambahan S$300.
Malah, setiap rakyat negara itu (berusia 21 tahun dan ke atas) yang tinggal di 1 bilik – 2 bilik flat HDB, dan tak miliki lebih dari satu hartanah akan menerima Baucer Runcit tambahan bernilai S$200 (RM600). Manakala, pekerja bergaji rendah dan yang bekerja sendiri juga akan dapat S$3,000 (RM9,072) di bawah skim Workfare Income Supplement.
4. Thailand: Beri ฿5,000 sebulan kepada pekerja tak formal selama 3 bulan
Pada 25 Mac lepas, Thailand dah mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonominya yang melibatkan peruntukan bernilai ฿200,000 bilion. Melalui jumlah itu, dianggarkan 3 juta pekerja tak formal di negara Gajah Putih itu akan menerima tunai ฿5,000 (RM660) sebulan selama tiga bulan. Pekerja tak formal tu termasuklah seperti pekerja sementara, pekerja kontrak dan pekerja sendiri yang tak dilindungi oleh sistem keselamatan sosial.
Bagaimanapun, dilaporkan kerajaan Thailand menerima empat kali ganda permohonan untuk bantuan ni, tersasar dari apa yang dijangka. Sehingga 30 Mac, sistem kerajaan dah menerima lebih kurang 14 juta permohonan, sampai buatkan sistem tu terkendala.
Selain tu, kalau ฿5,000 tu masih tak cukup, mereka juga ditawarkan pinjaman kecemasan sebanyak ฿10,000 (RM1,320) seorang dan hanya akan dikenakan caj faedah 0.10% sebulan. Pinjaman tu juga boleh diambil sehingga dua setengah tahun dan tanpa penjamin. Manakal ฿2 bilion lagi akan diperutukkan kepada kedai-kedai pajak yang dikendalikan kerajaan dengan kadar faedah pinjaman tak lebih 0.125% sebulan.
5. Jepun: Mungkin akan beri 200,000 Yen kepada setiap isi rumah
Buat masa sekarang, kerajaan Jepun masih merancang Pakej Rangsangan Ekonomi negara tu yang dianggar melibatkan 56 trillion Yen atau sekitar USD502 bilion. Peruntukan tu nanti dijangka akan melibatkan pemberian wang tunai kepada isi rumah yang terjejas akibat penularan COVID-19.
Menurut laporan Japan Times, kerajaan Jepun merancang untuk memberikan setiap isu rumah yang terjejas sebanyak 200,000 Yen atau sekitar RM7,960. Bagaimanapun, ketika artikel ni ditulis – rancangan ni belum lagi diluluskan.
Jepun juga dianggarkan akan alami kerugian akibat kegagalan negara tu menerima jumlah pelancong untuk Olimpik 2020 yang terpaksa ditangguhkan. Dalam pada itu, ada juga di kalangan rakyat Jepun yang menggesa kerajaan supaya membuat bajet tambahan kedua bagi menyokong industri hotel dan pengangkutan yang dijangka akan mengalami kerugian teruk akibat penangguhan Olimpik.
Dunia mungkin berdepan kegawatan ekonomi yang teruk
Seperti mana yang kita boleh nampak, peruntukan yang cukup tinggi dah diumumkan oleh negara-negara ni – termasuklah Malaysia bagi menangani COVID-19. Pakar ekonomi, Prof Dr Barjoyai Bardai berkata, dunia bakal menghadapi kegawatan dan kemelesetan ekonomi paling teruk dalam sejarah akibat COVID-19. Hal ni disebabkan, penutupan dan pengehadan pergerakan yang dilaksanakan di serata dunia – menyebabkan kira-kira 3 bilion penduduk dunia terkurung.
“Walaupun teknologi dunia semakin canggih tetapi perpindahan ke dunia maya ini tidak lengkap sehingga menyebabkan dunia dan ekonomi menjadi lumpuh kerana had pergerakan.” – Katanya kepada Sinar Harian.
Bagi Tabung Kewangan Dunia (IMF) pula, mereka menjangkakan pandemik ni akan mencetuskan kemelesetan ekonomi global dan kesannya lebih buruk daripada krisis kewangan pada 2008. Pengarah Urusannya, Kristalina Georgieva berkata, pemulihan keadaan ni dijangka hanya akan berlaku pada tahun 2021 dan untuk sampai ke tahap tu, negara – negara perlu menguatkan sistem kesihatan.
“Kesan ekonomi teruk dan akan menjadi lebih teruk. Tetapi jika penularan virus itu cepat terhenti, pemulihan akan lebih pantas dan lebih kuat.” Katanya dipetik dari Reuters.
Jadinya, dengan mengambil perhatian terhadap apa yang dikatakan oleh pakar dan badan dunia- kita sebagai rakyat Malaysia perlulah berjaga-jaga dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
- 884Share sekarang!
- Email19
- Facebook865
- Share