Dr Maszlee ada 10 Pegawai Khas. Apa je kerja diorang sebenarnya?

Baru-baru ni kecoh kes Syed Saddiq yang dikatakan melantik Numan Afifi, aktivis LGBTQ sebagai pegawai akhbar dia. Tambahan lagi, Tun M buat keputusan untuk tamatkan khidmat 17,000 khidmat staf lantikan politik yang terdiri daripada pegawai menteri kerajaan terdahulu. Dr Maszlee Malik pun kena kecam sebab lantik sampai 10 pegawai khas untuk kerja dengan dia. Adoi macam-macam isu yang membabitkan pegawai menteri ni! Tu belum cerita yang masuk penjara lagi.

Kalau nak tahu, menteri dan timbalan menteri boleh melantik beberapa orang sebagai Setiausaha Sulit Kanan, Pegawai Khas dan memacam lagi untuk membantu diorang buat kerja kementerian dan hal ehwal politik. Baru-baru ni pula, Tun M telah memutuskan pada mesyuarat kabinet bahawa menteri serta timbalannya hanya boleh melantik 2 orang saja pegawai khas untuk jimat kos.

Tapi apa sebenarnya fungsi dan kerja pegawai khas ni pun? Dan korang tahu tak ramai tau ahli politik bermula sebagai pegawai khas macam…..

KJ ngan Azmin dulu pun Pegawai Khas tau!

Untuk jadi salah satu, boleh sama ada melalui lantikan kerajaan atau lantikan politik. Lantikan kerajaan ni macam biasalah kena melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), manakala lantikan politik ni merupakan kenalan kepada menteri tersebut sama ada kawan, geng parti politik dan sebagainya. Tang ni yang jadi kontroversi sikit tu sebab kelayakan dia diragui! Macam ramai pertikai bila DS Nazri Aziz lantik anak sendiri jadi pegawai khas beliau. Nepotisme? Kalau nak tahu, ramai je ahli politik yang bermula sebagai pegawai khas, contohnya KJ dan Azmin Ali.

Imej dari Free Malaysia Today.

Pegawai khas, atau Special Officer (SO) dalam bahasa omputeh ni mempunyai skop kerja yang meluas sikit. Tugas mereka takde deskripsi dan selalunya bersifat ad hoc. Contohnya ada pegawai khas yang jadi pegawai perhubungan, penulis ucapan, pakar polisi, penyelidik atau tukang buat cappucino (Yang last tu gurau jelah! #JanganKecam).

Tapi KJ ni lain macam sikit. Kalau korang baca The Khairy Chronicles nukilan Raja Petra, dia dakwa yang KJ ni walaupun hanya SO yang berumur 28 tahun, dia banyak pengaruh Pak Lah untuk buat keputusan sebagai seorang PM. Sampai dikatanya Pak Lah ni hanya boneka kepada KJ. Fuh sampai camtu dituduhnya! Tak cukup tu, Yahaya Ismail, wartawan politik siap tulis buku bertajuk Khairy Jamaluddin: Bakal PM? kerana percaya betapa kuatnya pengaruh KJ terhadap Pak Lah ketika itu.

Buku The Khairy Chronicles. Imej dari anotherbrickinwall.blogspot

Kalau korang nak tau pasal Azmin pulak, dia menjadi SO terus lepas dia habis belajar kat US. Malah, dia sebenarnya ditugaskan oleh papa angkatnya, Tun Mahathir untuk menjadi SO kepada Anwar Ibrahim ketika hanya berumur 23 tahun! Dia kemudian menjadi setiausaha sulit kepada Anwar Ibrahim ketika beliau menjadi Menteri Pendidikan, Menteri Kewangan dan TPM. Masa Anwar dipecat, Azmin nekad memilih untuk jadi geng Anwar dan bersama-sama mengasaskan Parti Keadilan Rakyat. Berbaloi la jugak pilihan dia tu, kini dah jadi menteri dalam kabinet kerajaan baru PH.

Jadi sekarang kita tahu tugas dan fungsi jawatan SO ni secara kasar, mesti kita nak tahu berapa gaji mereka? Yelah kerja ngan menteri mestilah banyak kan?

Sebenarnya, gaji mereka bukan kementerian yang bayar pun…

Berbalik kepada cerita kerajaan nak pecat 17,000 staf lantikan politik tadi, korang mesti terkejut sebab ramai harem kan? Kalau sorang derma RM1, dah lepas buat duit hantaran weh! Kami sempat berbual dengan En Hisyam, yang pernah menjadi SO kepada DS Najib, dan ini katanya:

“SO untuk DS Najib saya rasa lebih dari 20 orang, saya pun tak pernah jumpa kesemua SO beliau. Tapi semua ada tugas yang penting.” – En Hisyam ketika diinterviu SOSCILI.

Kami tak reka tau! En Hisyam ni memang wujud. Ni kad dia bagi. Imej dari SOSCILI.

Bukan hanya kerajaan lama, tapi kerajaan PH pun kena kecam. Apabila diketahui bahawa Dr Maszlee telah melantik seramai 10+ SO, beliau dihentam kerana dianggap bercanggah dengan kenyataan Tun M yang nak jimat kos. Tapi tak sampai 24 jam kemudian, direktori KPM di-edit semula, di mana SO lantikannya terus lesap. Sampai sekarang beliau tak komen lagi hal ini.

Kejap ada, kejap takde. Dah macam Chipsmore. Imej dari Twitter.

Lagi yang menjadi tanda tanya adalah gaji staf lantikan politik ni siapa bayar? Duit cukai kita ke duit poket menteri tu sendiri? Kalau nak tahu, gaji SO lantikan politik akan dibayar oleh GLC yang bernaung di bawah kementerian tu. Contohnya kalau mamat ni SO untuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Malaysia (KPDNKK), gaji beliau akan dibayar oleh SSM, Bank Rakyat dan lain-lain kerana dikatakan membantu GLC tersebut secara tidak langsung dari aspek perhubungan dan sebagainya.

Selain tu, timbul isu salah guna kuasa bagi surat sokongan untuk keluarga mereka. Contoh nak dapat tender kerajaan, dapatkan Mak Ngah bantuan JKM dan bermacam lagi. Malah, kabinet juga telah melarang menteri dan timbalan menteri untuk mengutuskan surat sokongan. Macam baru-baru ni ada Pemimpin Pemuda Bersatu dikatakan telah salah guna surat sokongan untuk peroleh 80 lot bazar di Jalan Masjid India, lepas tu jual dengan harga cekik darah!

The Rock baru nak buka bazar jual protein shake. Imej dari Meme Generator

Selain itu, tugas mereka juga dilihat banyak bertindan dengan tugas setiausaha-setiausaha menteri. Kata tugas buat ucapan, tapi tu kan kerja Setiausaha Akhbar? Kata jaga pergerakan, tu kan kerja Setiausaha Sulit? Jadi apa je kerja SO kat pejabat hari-hari?

Kami interviu En. Kok Hin seorang penganalisis politk dari Penang Institute, iaitu sebuah think tank kerajaan negeri Pulau Pinang. Beliau juga hairan mengapa kita tak boleh ikut sistem di US di mana mereka ada pembantu politik, penasihat politik, staf kempen dan staf pejabat yang mempunyai tugasan masing-masing yang jelas.

“Di US, setiap pegawai mempunyai tugas yang jelas tapi di Malaysia, tugas pegawai itu banyak bertindan antara pegawai yang lain. Mereka perlu ada pemisahan yang jelas supaya lebih telus serta mempunyai akauntabiliti untuk tugasan mereka.” – Kok Hin ketika diinterviu SOSCILI.

Selain itu, beliau rasa SO yang dibayar dengan duit GLC patutnya buat kerja melibatkan kementerian, dan bukan tolong urusan politik. Sebab nanti tak adil la dekat ahli politik yang bukan menteri sebab mereka mana ada SO. Lagipun urusan politik kan orang kat bahagian dan cawangan boleh tolong. 

Haaa tu Diva AA dah volunteer nak tolong. Imej dari Malaysian Gazette.

Orang kerja SO ni sebab nak kejar glamor ke?

Kami juga berpeluang bersembang dengan Azzam YaniNaib Presiden bagi Alumni Felo Perdana untuk bertanya pendapatnya tentang jawatan pegawai khas. Felo Perdana ni merupakan projek Kementerian Belia dan Sukan di mana anak-anak muda berpeluang untuk menjadi intern kepada menteri. Beliau berkata:

“Saya tak berapa setuju menteri lantik ramai sangat SO sebab akan ada banyak layer dan ada felo yang tak pernah langsung jumpa menteri dia, dan hanya buat kerja ofis seperti fotostat dan sebagainya. Saya bernasib baik dapat Tok Pa sebab SO beliau hanya ada 2 orang dan mereka pun beri saya kerja yang saya rasakan bermakna.” – Azzam Yani ketika diinterviu SOSCILI.

Saudara Azzam bersama Tok Pa. Imej dari fon Azzam.

Walau bagaimanapun menurutnya, Felo Perdana juga telah banyak membantu kementerian dengan signifikan. Contohnya, Yulni Anuar yang pernah menjadi felo kepada bekas Menteri KPDNKK, DS Hamzah Zainudin bertanggungjawab mencadangkan Kad Diskaun 1 Malaysia supaya diselaraskan agar lebih efisien. Sebab dialah korang dapat diskaun kat The Chicken Rice Shop tau?

Tambahan lagi, Azzam juga menekankan Felo Perdana ini memberikan situasi win-win di mana felo boleh menimba pengalaman dan menteri boleh mendapat tenaga kerja yang berpendidikan dan fresh. Beliau juga rasa lebih molek jikalau menteri tu pilih bekas felonya sebagai SO-nya sendiri.

“Menteri patut mempertimbangkan untuk melantik bekas felonya sebagai SO kerana lebih telus sebab kita tahu kelayakan dia dan lebih bersifat neutral. Ini lebih baik dari melantik kroni yang kredibilitinya boleh diragui.” – Azzam ketika diinterviu SOSCILI.

Tetapi beliau bukanlah membenci SO, cumanya perlu terdiri daripada orang yang membuat kerja mereka dan tidak mencuri tulang kerana secara tak langsung, mereka ni terima duit rakyat.

Macam kucing ni nak curi tulang. Imej dari Giphy.

Mesti ramai antara kita yang sangka kerja SO ni kaya sebab dulu tengok berita si Hilman Idham, SO Azmin Ali sampai ada jam tangan RM 87,000 dan bini pakai beg LV. Begitu juga dengan ‘bekas’ SO Zuraida Kamaruddin, Datuk Adam Rosly yang dikatakan ada banglo RM 7 juta. Sebenarnya kerja SO takdela masyuk seperti yang digembar gemburkan orang luar.

“Kami juga ada sistem gred dan gaji siling yang kami boleh dapat masa tu hanyalah takat RM5000 je, terus terang masa saya buat bisnes dulu saya boleh dapat lagi banyak dari ni.” – En Hisyam ketika diinterviu SOSCILI.

Imej dari Meme Generator.

Mereka juga takde ruang khas dalam kementerian dan waktu kerja dia bukannya macam kita 9 sampai 5. Kadang-kadang 2-3 pagi kena terpacak depan rumah menteri tolong buat kerja. Dah macam doktor pula ada on-call ni!

“Kerja sebagai SO ni memang tak free, sangat memenatkan dan jadual dia tak tentu. Senang cite bila jadi SO, kena serah diri kepada menteri tu.” – Kok Hin ketika diinterviu SOSCILI.

Perlu diingat, menteri ni merangkap ketua kementerian, ahli parlimen, pegang jawatan parti di peringkat pusat, pengerusi atau penasihat GLC, seorang ayah dan juga suami. Jadi, wajarlah dia nak ambil beberapa pegawai khas yang dirasakan sesuai.

Contohnya, DS Najib Razak memang ada banyak SO ketika menjadi PM dan tiap-tiapnya membantunya menguruskan projek-projek seperti pembinaan MRT, Klinik 1 Malaysia, Sijil Latihan 1 Malaysia (SL1M), Transformasi Nasional 2050 (TN50) dan bermacam lagi. Kalau terdapat hanya seorang je untuk pantau, memang seminggu dah boleh kena darah tinggi! Jadi beliau memerlukan SO untuk menjadi medium perhubungan supaya kerja pentadbiran dapat dipermudahkan.

Imej dari diylol.com

Satu lagi faktor adalah teknologi di mana sekarang, semua benda kita nak cepat dan padat. Dulu kalau nak komunikasi kena surat-menyurat, sekarang siap boleh video call lagi! Ini menyebabkan banyak kerja perlu disiapkan dalam masa yang singkat. Jadi menteri yang merupakan seorang insan biasa, memang perlukan SO untuk menyampaikan maklumat dengan lebih cepat sementara menteri tu boleh fokus untuk perkara lain pula.

Mungkin sebab Dr Maszlee lantik 10 SO dulu adalah sebab beliau masih baru dalam arena ini, malah kementerian dia juga merupakan gabungan Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pendidikan terdahulu. Maka kerja makin berlambak dan tak hairanlah beliau nak lantik sampai ramai SO.

Imej dari Meme Generator.

Kita juga dapat menemu bual Syed yang merupakan bekas SO kepada DS Ahmad Maslan dan juga kini adalah koordinator bagi Barisan Nasional Youth Volunteers (BNYV) Selangor

“Kalau menteri tu dikelilingi oleh orang yang excel, ini semestinya akan bantu menteri untuk buat keputusan lebih baik dan mantap. Kami juga bertindak sebagai pemudah cara kementerian yang melancarkan urusan pentadbiran” – Syed ketika diinterviu oleh SOSCILI.

Syed bersama DS Ahmad Maslan. Imej dari Facebook.

Namun tak dinafikan, kerja SO ni ada kelebihan dia. Mereka berpeluang jumpa orang-orang hebat Malaysia dalam bidang politik mahupun korporat yang semestinya boleh membantu mereka kelak kalau nak buat bisnes atau masuk politik. Selain itu, mereka juga boleh ikut menteri ni jalan-jalan bila ada lawatan kerja ke luar negara. Sape tak nak kan? Tapi selalunya SO ni memang merupakan orang yang sudah berjaya.

“SO ni selalunya memang well connected people dan memang berjaya dalam bidang sendiri. Mereka menjadi SO ni sebab mahukan pengalaman politik dan pengalaman mentadbir yang boleh digunakan nanti” – Kok Hin ketika diinterviu SOSCILI.

Menteri juga tahu, takde faedah pun lantik SO curi tulang. Nanti dia sendiri kena kecam.

Sebagai seorang menteri dan juga timbalan menteri, dia haruslah pandai memilih pegawainya yang jenis buat kerja. Sekiranya salah pilih, dia akan dipersalahkan sebab orang tengok SO ramai, tapi kerja tak jalan. Pegawai menteri juga harus kena bersungguh-sungguh tolong nampak function kerana mereka perlu tahu, kalau menteri tu dipecat atau kalah PRU, mereka juga akan kehilangan kerja. Jadi sistem saling bergantung ni harus berjalan lancar kalau dua-dua nak terus bekerja. Bersatu teguh, bercerai lingkup.

Imej dari Meme Generator

Kesimpulannya, kerja SO ni bukanlah mudah dan semewah yang disangkakan. Sampai kekadang mereka ini juga digelar butler terhormat! Tugasan mereka tidak menentu sampai takde masa untuk famili. Sampai ada yang terpaksa hantar anak untuk dijaga oleh ibu ayah mereka sendiri.

“Pada yang kata SO tak buat kerja, cuba ikut SO kerja sehari pun jadila. Tengok betapa telefon tak boleh off, power bank kena penuh. Kekadang ada antara kami mendapat tekanan stress sampai darah tinggi dan sakit jantung.” – En Hisyam ketika diinterviu SOSCILI.

Jadi macam mana korang rasa? Perlu ke pegawai khas ni? Kalau perlu berapa ramai yang optimum? Tepuk kepala lutut, tanya kepala otak. Tapi tak kiralah kerja apa pun kan, kita kerja kenalah amanah supaya duit gaji kita tu 100% halal acewah!

About Afiq Jamsari 11 Articles
Hotel yang sama, Harga yang sama?