
Malaysia mengalami peningkatan populasi warga emas yang ketara, dan keadaan ini memberi tekanan besar kepada ahli keluarga yang menjaga mereka. Golongan doktor telah memberi amaran bahawa penjagaan pesakit demensia (nyanyuk) sedang menjadi krisis kesihatan utama di negara ini – tetapi isu ini masih kurang diberi perhatian.
Menurut Dr. William Lee Wei Kiat, Pakar Perubatan Dalaman dan Geriatrik di Oriental Melaka Straits Medical Centre, sementara negara ini menuju ke arah masalah demografi yang serius, ramai penjaga keletihan dan menghadapi masalah kekurangan bantuan.
Kini, dianggar terdapat antara 200,000 hingga 216,000 rakyat Malaysia yang menghidap demensia, dan menurut Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing), jumlah ini dijangka meningkat kepada 668,000 orang menjelang tahun 2050.
Namun begitu, kemudahan dan tenaga pakar masih sangat terhad. Hanya lebih kurang 60 pakar geriatrik berkhidmat di seluruh negara. Ini bermaksud seorang pakar untuk setiap 10,000 warga emas. Akibatnya, ramai pesakit demensia tidak dapat dikesan awal dan disalah anggap sebagai proses penuaan biasa.
Cabaran Nyata di Depan Mata
Dr. William berkongsi pengalamannya tentang seorang pesakit, “Uncle Chan”, berusia 70 tahun yang menghidap demensia tahap sederhana.
Semasa sesi rawatan, Uncle Chan tiba-tiba bangun dan menjerit tentang “hantu” sebelum cuba keluar dari bilik. Anak saudaranya cuba menahannya, lalu keadaan menjadi kecoh sehingga Dr. William dan jururawat datang menenangkan mereka.
Selepas itu, anak saudaranya berkata:
“Saya risau dia takkan pulang. Ibu bapa saya dah terlalu penat, dan tiada siapa lagi yang boleh membantu.”
Dr. William sedar, ramai keluarga menghadapi situasi seperti ini – berjuang sendirian, tanpa sokongan mencukupi.
Menjaga pesakit demensia bukan mudah. Ia memerlukan pemantauan sepanjang masa, kesabaran tinggi dan kekuatan emosi. Pada peringkat pertengahan penyakit, pesakit mungkin merayau tanpa arah, berhalusinasi, atau bertindak agresif.
Dalam kes Uncle Chan, walaupun dia mempunyai 10 adik-beradik, akhirnya hanya sepasang suami isteri yang memikul tanggungjawab untuk menjaganya.
Warga Emas Semakin Ramai, Risiko Semakin Tinggi
Malaysia dijangka menjadi negara tua menjelang 2030, apabila 15% rakyat berusia 60 tahun ke atas. Menjelang 2026, Malaysia akan menjadi masyarakat “super tua”.
Kini, dianggarkan 9% warga emas menghidap demensia, dan bagi mereka yang berumur lebih 80 tahun, seorang daripada tiga orang akan mengalaminya, menurut Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan.
Malangnya, kebanyakan keluarga hanya mendapatkan bantuan apabila keadaan sudah kritikal.
Impak terhadap ekonomi jaga besar. Pada tahun 2022, MyAgeing melaporkan demensia (termasuk Alzheimer) menelan belanja negara antara RM7.9 bilion hingga RM8.5 bilion, atau hampir 0.5% daripada KDNK. Kos ini termasuk rawatan perubatan, kehilangan produktiviti, serta penjagaan tidak berbayar oleh ahli keluarga yang terpaksa mengurangkan waktu bekerja atau berhenti kerja untuk menjaga ibu bapa mereka.
Seruan Agar Negara Bertindak Segera
Pelbagai pihak turut berkongsi kebimbangan ini.
Ahli Parlimen Sim Tze Tzin mencadangkan penubuhan Kementerian Warga Emas untuk memberi fokus kepada isu penuaan.
Cheah Tuck Wing daripada Gabungan Berhubung Penuaan Malaysia pula menggesa kerajaan mempercepatkan pelaksanaan Rang Undang-undang Warga Emas, kerana keletihan penjaga boleh membawa kepada keretakan keluarga dan pengabaian warga emas.
Sementara itu, Profesor Datuk Norma Mansor dari Universiti Malaya menekankan bahawa perlindungan terhadap warga tua memerlukan kerjasama kerajaan, sektor swasta dan komuniti.
Negara lain sudah lebih ke depan. Sebagai contoh, Singapura dan Jepun telah melaksanakan pelan tindakan kebangsaan untuk demensia. Malaysia pula telah merangka Pelan Tindakan Demensia Kebangsaan sejak 2019, namun pelaksanaannya masih belum menyeluruh dan kekurangan dana.
Aspek penting seperti saringan awal, penjagaan komuniti dan pendidikan awam masih lemah.
Hidup Lebih Lama, Hidup Dengan Bermakna
Malaysia perlu bergerak ke arah konsep “penuaan aktif” yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) – iaitu menggalakkan kesihatan fizikal, penglibatan sosial dan pembelajaran sepanjang hayat.
Dr. William. kata
“Kita bukan sekadar mahu orang hidup lebih lama, tetapi hidup dengan bermakna. Kita perlukan dasar yang membolehkan warga emas berdikari, bukan sekadar bertahan hidup.”
Untuk keluarga yang menjaga pesakit demesia, beliau menasihatkan agar mendapatkan bantuan profesional, termasuk rundingan perubatan, perancangan penjagaan jangka panjang dan membina rangkaian sokongan.
Dr. William jelaskan:
“Demensia bukan sebahagian biasa daripada penuaan. Ada rawatan yang boleh memperlahankan penyakit ini jika dikesan awal. Selagi kita anggap demensia sebagai masalah keluarga semata-mata, kita akan gagal. Ini adalah isu kesihatan awam”
Namun, perubahan besar mesti bermula dalam masyarakat.
Malaysia perlu bertindak segera – dengan melatih lebih ramai tenaga profesional, memperluas perkhidmatan penjagaan, menggubal dasar sokongan, dan meningkatkan kesedaran orang ramai. Jika tidak, beban masyarakat menua akan menjadi terlalu berat untuk ditanggung pada masa depan.
