- 137Share sekarang!
- Email23
- Facebook114
- Share
Transgender adalah satu keadaan dimana seseorang rasa jantina biologinya tidak selari dengan jiwanya. Senang kata, kalau dia lahir sebagai lelaki, tapi dia rasa dia seorang perempuan atau sebaliknya. Fenomena ini meletus bila Bruce Jenner, pemenang pingat emas Olimpik 1976 acara decathlon buat pembedahan untuk tukar jantina lelaki kepada perempuan pada tahun 2015.
Kisah Caitlyn Jenner sedikit sebanyak sudah mempengaruhi golongan transgender di Malaysia. Kalau dulu golongan transgender di Malaysia hidup dalam kegelapan, nak keluar pun sorok-sorok, siang duduk dalam rumah, malam baru meriah. Tapi lepas ‘lahirnya’ Caitlyn, hidup golongan transgender terus berubah.
Walaupun baru sekarang transgender berani hidup secara terbuka, sebenarnya golongan transgender ni dah wujud sejak sekian lama. Buktinya…
Kerana nak bantu isteri, suami sanggup jadi model perempuan untuk dilukis
Lili Elbe dilahirkan sebagai seorang lelaki bernama Einar Magnus Andreas Wagener di Valje, Denmark pada 28 Disember 1882. Waktu umur 18 tahun, dia sambung belajar di Royal Danish Academy of Fine Arts yang terletak di Copenhagen. Dekat situlah dia bertemu Gerda Gottlieb, seorang junior yang dia jatuh cinta. Mereka pun bercinta dan kahwin pada tahun 1904.
Lepas habis belajar, mereka berdua bekerja sebagai pelukis. Einar memilih kerjaya sebagai pelukis landskap. Sebagai pelukis, Einar ni boleh kata hebat jugalah. Dia pernah terima anugerah berprestij Neuhausens pada tahun 1907 dan karyanya dipamerkan di Vejle Art Museum, Denmark dan Salon d’Automme, Perancis.
Isteri Einar, Gerda pula kerja sebagai pelukis illustrasi buku cerita dan majalah fesyen. Bukan calang-calang orang juga Gerda ni. Dia punya kerja disiarkan dalam majalah fesyen terkenal macam Vogue dan La Vie Parisienne. Zaman sekarang pun, orang hebat je boleh kerja majalah Vogue.
Majalah fesyen zaman dulu bukan macam yang ada zaman sekarang. Dulu, gambar-gambar semua lukis guna tangan. Nak siapkan majalah fesyen pula banyak kerja kot. Nak dijadikan cerita, suatu hari, Gerda patutnya lukis gambar pelakon terkenal Anna Larssen, tapi boleh pula Anna tak datang. Gerda pun runsing lah. Nak cari model lain dengan cepat, memang tak dapat dah.
Nak tak nak, dia perlu juga siapkan kerja dia. Jadi, Gerda terpaksa ambil langkah drastik yang tak pernah dibuat orang. Sebab takde arah sangat, dia terpaksa suruh suami sendiri jadi model! Mungkin sebab kesian dekat isteri, Einar pun okay je lah. Jadi Einar pun disolek cantik, pakai sarung kaki, rambut palsu, dan baju berjenama. Sudah siap semua, Gerda pun tak cakap banyak, terus mula melukis. Tanpa diduga, Einar rasa sangat selesa.
Rakyat Denmark terkejut dan raja negara itu batalkan perkahwinan mereka
Illustrasi ‘perempuan misteri’ Gerda jadi sangat popular atau viral. Semua orang tanya, siapakah gadis yang bermata bundar, bibir munggil, dan rambut pendek dalam lukisan Gerda tu? Terkejut beruk semua orang bila dapat tahu yang ‘gadis’ tersebut adalah Einar, suami Gerta. Waktu itu masyarakat Denmark adalah konservatif, jadi mereka tak dapat terima tindakan Einar yang nak jadi perempuan.
Sebab itu, Einar dan Gerta pindah pergi Paris pada tahun 1912. Dekat situ, Einar dapat hidup sebagai perempuan dengan terbuka. Kalau jumpa kawan-kawan, Gerta akan kenalkan Einar sebagai kakak kandungnya yang bernama Lili. Mereka selalu hadiri pesta keramaian bersama-sama. Lili dan Gerta kekal bersama sehingga perkahwinan mereka dibatalkan oleh Raja Denmark, Christian X, bila Einar dah sah jadi perempuan pada tahun 1931.
Selepas 5 pembedahan, baru sah jadi perempuan
Walaupun Einar dapat hidup sebagai perempuan di Paris, Einar masih rasa derita sebab dia rasa macam terperangkap di dalam tubuh seorang lelaki. Dia pernah cuba nak bunuh diri pada 1 Mei 1930. Tapi, dia tak jadi nak teruskan benda itu sebab dia jumpa seorang doktor yang boleh jadikan dia perempuan.
Doktor itu adalah bapa transeksualisme, Dr. Magnus Hirschfield yang berkhidmat di German Institute of Sexual Science, Berlin. Dr. Kirschfield adalah doktor yang bertanggungjawab dalam melakukan pembedahan castration, iaitu pembedahan buang testikel Einar.
Lepas itu, semua pembedahan dilakukan oleh Dr. Kurt Warnekros di Dresden Municipal Women’s Clinic. Pembedahan kedua yang dilakukan ke atas Einar adalah pemindahan ovari pada bahagian abdomen. Lepas tu ada pembedahan pembuangan zakar yang dipanggil penectomy. Akhir sekali, Einar jalani pembedahan pindahkan uterus dan pembentukan faraj.
Lepas jalani 5 pembedahan, Einar akhirnya telah sah jadi seorang perempuan. Oleh itu, dia pun tukar nama secara rasmi. Nama rasmi barunya adalah Lili Ilse Alvanes. Dia pun tinggalkan kerjaya melukis sebab dia rasa itu kerjaya Einar, bukan Lili. Walaupun sudah berjaya menjadi seroang perempuan, Lili masih belum berpuas hati. Kerana Lili hendak jadi seorang ibu dan sanggup lakukan apa sahaja untuk mencapai impian itu.
Lepas perkahwinan mereka dibatalkan oleh Raja Denmark, Lili dan Gerda pun bawa haluan sendiri. Lili jalinkan hubungan dengan pengedar barangan seni bernama Claude Lejeune dan mereka bercadang untuk berkahwin.
Tetapi, rancangan mereka tak kesampaian sebab Lili alami penolakan organ lepas pembedahan pemindahan uterus. Uterus yang dipindahkan tidak dapat diterima oleh sistem imun Lili lalu menyebabkan jangkitan kuman dan serangan jantung yang membawa maut. Lili Elbe meninggal dunia pada 13 September 1931.
Akibat pengalaman melihat ibu menderita, rasa keliru tentang jantina mula timbul
Waktu Dr. Warnerkros jalankan pembedahan pemindahan ovari pada Einar, dia jumpa ovari yang kecut dan tak berfungsi di dalam abdomen Einar. Sebab Einar ada ovari, ini menunjukkan yang Einar memang lahir sebagai seorang hermaphrodite atau khunsa, iaitu seorang yang ada dua organ seks. Untuk lelaki pun dia ada, untuk perempuan pun dia ada. Mungkin sebab itu lah, dia rasa selesa bila dapat pakai baju dan solekan perempuan. Kerana itu adalah sebahagian daripada dirinya.
Untuk dapat maklumat pasal transgenderisme, kami ada interviu Megat (bukan nama sebenar), seorang doktor berusia 35 tahun yang rasa jantina biologinya tak selari dengan jiwanya. Megat ni anak bongsu daripada 6 orang adik beradik yang semuanya lelaki. Sepanjang hidup, Megat lihat ibunya diperlakukan macam kuli batak oleh ayah dan adik-beradik yang lain.
“Saya seorang perempuan kerana lelaki semua celaka…Habis semua kerja mak kena buat. Seluar dalam pun mak basuh. Bapak dengan abang-abang tahu perintah je. Bila suruh tolong, cakap itu semua kerja perempuan.”- Megat, ketika diinterviu SOSCILI.
Bukan setakat ayah dan abang-abang, kawan-kawan pun fikir perkara yang sama. Pernah sekali ada seorang kawan ajak Megat main badminton, Megat tolak sebab nak bantu ibu jemur kain. Selain penderitaan fizikal, Megat juga tengok ibunya menderita secara mental bila bapanya ada perempuan lain atas alasan ibunya tidak pandai bergaya.
“Hancur hati mak. Mak tak tunjuk, tapi saya tahu. Dua minggu bapak tak balik rumah. Tiba-tiba dia balik, memekak sebab mak tak masak. Sakit gila hati waktu itu. Ikutkan hati, nak lempang je!”- Megat, ketika diinterviu SOSCILI.
Sebab kasihan dekat ibu, Megat pun buang ego lelaki yang selalunya tinggi macam KLCC dan bantu ibunya buat ‘kerja-kerja perempuan’ sampai dia habis sekolah menengah. Lepas sekolah menengah, dia sambung belajar dalam bidang perubatan di ibu kota.
“Waktu saya sambung belajar, 3 orang abang saya masih tinggal di kampung dengan bapak dan mak. Ikutkan hati, nak je saya bawa mak sekali pergi universiti. Tak nak dah mak jadi kuli. Mak dah tua. Orang lain pula babil tak reti bahasa.”- Megat, ketika diinterviu SOSCILI.
Akibat pengalaman pahit melihat ibunya menderita, Megat rasa yang dirinya memang bukan seorang lelaki. Sebab dia langsung tak ada apa-apa persamaan dengan lelaki lain, terutamanya ayah dan abang-abangnya.
“Saya tak ingat bila saya tahu yang saya bukan seorang lelaki. Mungkin dari kecil sebab dari kecil saya dah tengok mak derita. Tapi yang pasti, perasaan itu makin kuat waktu saya remaja. Saya benci lelaki, dan saya tak nak jadi lelaki.”- Megat, ketika diinterviu SOSCILI.
Senario macam inilah yang dipanggil trauma yang boleh menyebabkan kondisi psikologi Gender Dysphoria. Kondisi ini adalah kecelaruan identiti jantina. Seseorang yang mengalami Gender Dysphoria akan rasa tak selesa dengan jantina biologi mereka. Mereka rasa benci rupa sendiri atau, macam kes Megat, tak suka peranan jantina tersebut.
Penyakit keturunan yang akan menyebabkan kemaluan yang besar dan mirip kemaluan lelaki
Seperti kebanyakan kondisi psikologi, Gender Dysphoria boleh terjadi apabila berlakunya trauma. Faktor biologi yang pertama adalah congenital adrenal hyperplasia (CAH) , iaitu penyakit keturunan yang berkait dengan kelenjar adrenal. Orang yang mengalami CAH ni ada kadar hormon kortisol yang rendah tapi mempunyai kadar hormon testosteron yang tinggi. Bagi pengidap CAH lelaki, ia akan menyebabkan tumbesaran yang pantas dan mencapai akil baligh pada usia muda.
Kalau perempuan yang mengidap CAH, mereka akan lahir dengan kemaluan yang besar dan mirip kemaluan lelaki. Sebab kadar testosteron dalam badan mereka tinggi, mereka akan membesar dan mana dia akan mempunyai ciri-ciri seorang lelaki macam wajah bersegi dan tubuh bacan sasa. Ada juga yang sampai tumbuh janggut dan misai. Bayangkan jika perkara ni jadi dekat kau orang.
Punca Gender Dysphoria yang kedua adalah interseks. Interseks ini maksudnya seseorang dilahirkan dengan kombinasi jantina lelaki dan perempuan. Kombinasi ini boleh jadi dari segi kromosom atau biologi.
Biasanya, manusia ada kromosom XY bagi lelaki, dan XX bagi perempuan. Tapi, ada juga manusia yang ada kromosom XXY, iaitu kombinasi kedua-dua kromosom jantina tersebut. Kondisi ini dipanggil sindrom Klinefelter. Orang yang mengidap Klinefelter akan ada organ seks lelaki, tapi ada ciri-ciri fizikal perempuan macam tumbuh buah dada.
Interseks dari segi biologi adalah macam yang dihidapi oleh Einar, iaitu hermaphrodite atau khunsa. Einar kan ada organ seks dua jantina. Biasanya, orang khunsa akan ada testikel dan juga ovari. Kita yang lahir normal ini mungkin akan kata semua ini merepek dan akan rasa yang kecelaruan identiti jantina adalah mainan emosi semata-mata.
“Rasanya macam terpaksa buat kerja yang kau benci. Tak nak buat, tapi terpaksa sebab nak duit. Macam itu lah saya rasa. Tak nak jadi lelaki tapi terpaksa, sebab saya ada testis. Saya rasa rimas dan lemas. Saya tak mahu jadi macam ini lagi.
Saya pun nak bebas, nak gembira jadi diri sendiri. Tapi tak boleh. Jadi setiap hari saya berdoa, agar Tuhan cepat-cepat matikan saya, supaya penderitaan ini terhenti.”- Megat, ketika diinterviu SOSCILI.
41% transgender yang bedah akan mula rasa murung dan cenderung membunuh diri
Kami tanya Megat kalau dia ada terfikir nak buat pembedahan tukar jantina, macam Einar. Perasaan ada tu ada, tapi bila dia fikirkan pasal mak dia, dia tak jadi nak buat. Tambah Megat, dia takut nanti lepas dah buat pembedahan, dia tiba-tiba menyesal. Ya lah, hati manusia ini cepat berubah. Dengan kemajuan teknologi perubatan, risiko kegagalan pembedahan amat rendah. Boleh kata 98% daripada pembedahan akan berjaya.
Dari segi perubatan rendah risikonya, tapi risiko pembedahan perubahan jantina dari segi psikologi adalah tinggi. Tukar jantina bukan perkara kecil. Bukan boleh buat main-main. Bila dah buat, tak boleh patah balik. Selain perubahan fizikal yang ketara, hormon pun berubah macam gila. Perubahan hormon tersebut akan ada kesan besar kepada emosi.
Bila sebut pasal menyesal, selalunya rasa menyesal tak akan datang dengan serta merta. Lepas 10-15 tahun, barulah terbit rasa menyesal dan waktu itu sudah terlambat untuk buat apa-apa. Sebab itu, 41% daripada transgender yang buat pembedahan perubahan jantina rasa murung dan cenderung untuk bunuh diri.
Memang agama tak terima transgenderisme, perlu bantu mereka selesaikan masalah ini
Tak dinafikan, transgenderisme ditegah oleh beberapa agama seperti Islam, Kristian, dan Yahudi. Tapi, tak bererti kita boleh sesuka hati benci dan keji mereka sebab kita sendiri pun tak tahu apa yang mereka lalui. Mana tahu, mereka alami trauma, atau memang lahir sebagai khunsa? Tak pun mereka ada penyakit CAH, sebab tu mereka celaru pasal jantina. Mana kita tahu kan?
Kalau kau orang rasa macam ada masalah Gender Dysphoria, cepat-cepat dapatkan rawatan sebab ada macam-macam cara untuk tangani masalah ini. Contohnya, boleh ambil hormon sintetik gonadotropin. Hormon sintetik ini akan stabilkan identiti jantina sebab ia ransang pembentukkan hormon daripada organ seks. Untuk lelaki, gonadotropin akan ransang hormon testosteron manakala bagi wanita pula hormon estrogen.
Langkah paling baik adalah jumpa pakar. Kondisi macam ini memang boleh rawat dan memang dah ada pesakit sembuh lepas dirawat oleh pakar psikologi di Universiti Islam Antarabangsa (UIA). Kau orang boleh terus hubungi bahagian psikologi UIA. Kalau nak pergi Klinik Psikiatri di hospital kerajaan pun boleh. Walau apa pun, kita harus ingat yang kita adalah manusia yang tidak akan lari daripada cacat cela. Jadi tak usahlah kita mengkeji sesama manusia.
- 137Share sekarang!
- Email23
- Facebook114
- Share