- 110Share sekarang!
- Email6
- Facebook104
- Share
Bila tiba je hari raya musim pilihan raya, ramai orang akan teruja. Kalau korang nak tahu, kita dah lalui banyak Pilihan Raya Kecil (PRK) sejak Pakatan Harapan jadi kerajaan. Kecuali kerusi DUN Rantau – semua wakil rakyat yang dipilih masa Pilihan Raya Umum (PRU14) meninggal dunia menyebabkan PRK terpaksa diadakan. Disebabkan benda ni, ada cadangan supaya calon-calon yang nak bertanding dalam pilihan raya perlu adakan pemeriksaan kesihatan.
Bagi yang mungkin tak terlalu biasa dengan sistem pilihan raya kat Malaysia – calon-calon yang bertanding dalam pilihan raya ni ada dua jenis. Jenis yang pertama adalah orang yang bertanding dalam pilihan raya dengan platform parti politik dan ada jugak yang bertanding atas tiket bebas. Selalunya individu yang bertanding atas tiket parti politik akan ada lebih banyak jentera.
Calon bebas pulak, pergerakan diorang selalunya terbatas sebab kekurangan duit dan sumber. Disebabkan benda-benda ni, diorang mungkin akan ada aksi-aksi pelik untuk tarik perhatian orang. Inilah yang kitorang nak ceritakan hari ni, contohnya…
1. Calon bebas DUN Rantau guna pengepit kain di mulut
Sekarang ni tengah panas dengan PRK DUN Rantau. Salah seorang calon yang bertanding –Malar Rajaram, buat bantahan dengan menyepit mulut dan katanya dia akan teruskan bantahan larangan bercakap yang dikenakan parti politik ke atas calon pilihan raya, mengatakan kini orang boleh berdebat di Parlimen.
Malar Rajaram kata Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) “tidak membenarkan” calon mereka pada PRK Semenyih dan Cameron Highlands untuk bercakap semasa berkempen. Yang sibuk berkempen adalah orang-orang besar dalam parti politik.
“Ramli Mohd Nor (Cameron Highlands) adalah ahli Parlimen dan berbahas dan bercakap di Parlimen. Kenapa dia tidak melakukannya semasa berkempen? Itu tidak boleh dikira, ia sudah terlambat. Saya mahu dengar apa yang ditawarkannya ketika dia bertanding,” – Malar Rajaram, calon bebas DUN Rantau, dipetik dari FMT
Dia juga panas hati sebab masa PRK lepas, ada calon yang tak dapat hadir dalam perdebatan. Dia percaya yang calon-calon pilihan raya sepatutnya menghadirkan diri pada sesi debat supaya rakyat boleh mendengar apa yang diorang boleh tawarkan. Selain daripada menyepit bibir, dia jugak letakkan nombor akaun bank pada kad kempen yang diedarkan kepada pengundi.
Sebabnya calon yang bertanding boleh dapat sumbangan kewangan sebab tu dia letakkan nombor akaun bank kat kad kempen yang dia sebarkan. Macam yang kitorang kata awal-awal tadi, calon bebas ni akan kekurangan dana dan jentera. Sebab tu selalunya diorang bergantung pada duit sendiri atau sumbangan awam.
2. Azwan Ali, calon bebas yang bertanding semata-mata untuk kalahkan abangnya
Siapa yang tak kenal Azwan Ali? Diva Malaysia yang terkait dengan banyak kontroversi. Setiap kali dia muncul kaca TV – tak kisahlah dia jadi hos, juri atau artis jemputan, selalu mesti dia akan buat komen-komen nakal. Tapi itulah keunikan yang dia ada, yang menyebabkan dia kekal dalam industri seni tanah air. Tapi pernah tak korang terfikir dia ni ada cita-cita politik? Pada PRU14, dia bertanding sebagai calon bebas.
Apa yang pelik dengan calon bebas seorang ni, dia bertanding dengan hajat untuk jatuhkan abang dia sendiri a.k.a Azmin Ali. Katanya, dia akan bertanding kat mana-mana je Azmin akan bertanding. Selalunya calon yang nak bertanding akan kenal pasti siap-siap kat mana dia akan bertanding, bukan suka-suka je nak ikut orang.
Dia kata tak kisah pun kalau orang lain kata dia nak jatuhkan darah daging sendiri. Sebabnya dia kata Azmin adalah ahli politik yang ada banyak aib dan dia pegang rahsia tu. Kalau dia menang, dia tekad nak jadi ahli politik yang bukan setakat muncul masa ada pilihan raya je. Bila dia ditanya tentang duit – dia kata dia ada banyak duit kat bank, dan kalau kalau, dia anggap duit deposit tu macam sedekah je kat SPR.
Dan macam korang semua dah tahu, dia gagal dalam PRU14 apabila dia hanya menerima 90 undi je.
“Siapa pun yang memimpin negara, ‘biaq pi’… yang penting kita semua sudah melalui peristiwa warna-warni sepanjang PRU-14. Dan paling penting, Diva AA tetap akan menunaikan janji untuk membelanjakan rendang kepada pengundi kawasan itu,” – Azwan Ali, dipetik dari BH
3. Seorang nenek pernah bertanding pada usia 94 tahun
Boleh dikatakan setiap pekerjaan kat Malaysia ni akan ada had umur tersendiri. Tapi apa yang takde? Sudah tentulah menjadi ahli politik. Lebih-lebih lagi negara kita sekarang diketuai oleh seseorang yang berumur 93 tahun. Wala-weh. Kitorang nak kongsikan tentang satu kisah nenek tua yang bertanding dalam PRU13 masa tahun 2012 dulu. Cuba teka berapa usia nenek ni? 94 tahun weh!
Nenek Maimun Yusof masa tu buat ramai rakyat Malaysia terkejut. Walaupun dia kalah, semangat tidak berputus asa yang diperlihatkan tu buat ramai yang kagum dengan dia. Tok Maimun sebenarnya memiliki 19 orang cucu, dan tinggal bersendirian di rumahnya. PRU13 tu bukan kali pertama dia bertanding, pada tahun 2008 pun dia pernah bertanding tapi akhirnya kalah.
Rumahnya daif, periuk di dapurnya berselerak dan kain baju pula bertaburan di dalam rumahnya kerana dia hanya tinggal seorang diri di rumah itu. Maimun juga sebenarnya seorang penerima bantuan bulanan sebanyak RM200 dari Jabatan Kebajikan Masyarakat Terengganu.
Pada PRU14 yang lepas, dia rasa kecewa kerana tak dapat bertanding. Sebabnya pada masa tu dia takde duit nak bertanding. Apa yang buat kami lagi sebak – dia siap kata nak kumpul lagi duit untuk bertanding pada PRU15 pulak! Itupun kalau dia masih dipanjangkan umur. Sedihnya bila baca ayat ni…
4. Wong Seng Yee calon bebas yang gunakan kasut Phua Chu Kang
Biasanya calon-calon yang bertanding dalam pilihan raya akan memulakan kempen mereka sejurus diumumkan akan bertanding dalam pilihan raya tu. Berbeza dengan Wong Seng Yee yang terlibat dalam Pilihan Raya Kecil Cameron Highlands beberapa bulan lepas, dia ambik keputusan untuk mulakan kempen seminggu selepas diumumkan sebagai calon. Hmm…mungkin dia ambik masa untuk fikir strategi kot.
Dia jugak ambik pendekatan yang berbeza apabila mulakan kempen dia dengan cara membawa sekumpulan wakil media ke ladang bunga kekwanya di Habu. Tujuan utama dia buat macam tu adalah untuk bagi peluang kat orang ramai untuk tengok rutin harian dia. Agak-agak orang media yang ikut dia masa tu dapat bunga free tak?
“Beginilah saya setiap hari dan inilah uniform yang saya pakai,” katanya yang tampil berseluar kargo, bertopi mengkuang dengan but kuning “Phua Chu Kang,” – Wong Seng Yee, dipetik dari Bernama
Masa dia bertanding hari tu, ada jugaklah kekecohan yang berlaku. Tapi kitorang lebih tertarik tengok topi jerami yang dia gunakan semasa berkempen. Dah macam Luffy dari One Piece tengah nak bertanding PRK. Macam korang dah tahu, dia juga kalah dalam PRK Cameron Highlands yang dimenangi oleh Ahli Parlimen orang asli pertama di Malaysia.
5. Dari PAS, ke AMANAH dan akhirnya menjadi calon bebas
Oleh sebab kitorang bukak artikel ni dengan sembang tentang calon PRK DUN Rantau, kitorang rasa ada eloknya kalau kitorang tutup artikel ni dengan seorang lagi calon bebas dari DUN Rantau. Tak lain, tak bukan – Mohd Nor Yassin. Bagi yang tak tahu, sebenarnya Mohd Nor Yassin ni pernah bertanding di bawah bendera PAS pada PRU13. Dia bertanding di DUN Gemencheh time tu.
Apa yang lebih menarik dia kata nak bertanding kali ni sebab nak teruskan perjuangan Allahyarham Nik Aziz – untuk perjuangkan Islam yang sebenar. Kalau korang nak tahu, PAS dan BN melakukan kerjasama kali ni. Oleh sebab tu, macam tak patut ada ahli PAS yang bertanding disebabkan Tok Mat dari BN dah bertanding. So, orang ramai pun mula bising. Bila dah bising, PAS laju-laju keluarkan kenyataan yang dia bukan lagi ahli PAS.
Alih-alih, rupanya dia adalah ahli AMANAH. Sebaik je AMANAH tahu yang sebenarnya dia tu ahli diorang, diorang pun macam PAS-lah – cepat-cepat pecat dia. Kepimpinan AMANAH jugak bagi amaran kepada mana-mana ahli yang bantu dia dalam berkempen dalam PRK ni mungkin akan dipecat dari AMANAH. Memandangkan calon dari PKR dah bertanding kat tempat tu.
“Saya ada urusan kerana saudara meninggal dunia pagi ini di Mambau. Saya tak dapat bercakap kerana masih terkejut atas kematian saudara. Minta maaf, ada masa kita jumpa ya,” – Mohd Nor Yassin, dipetik dari HMetro
Apa sebenarnya yang berada di hati abang? PAS? AMANAH? atau bebas?
Undilah calon yang boleh dipercayai dan pandai buat kerja
Macam biasalah, kitorang akan bagi nasihat yang agak klise – yang akan dikumandangkan setiap kali orang nak pergi mengundi. Kalau korang bakal terlibat sebagai pengundi kat DUN Rantau – pesanan kitorang simple je, pilihlah orang yang boleh diharapkan selama sepenggal. Sebab selalunya ramai ahli politik ni akan nampak batang hidung ketika dekat dengan pilihan raya je.
Untuk korang pulak, kalau ada cita-cita nak bertanding dalam politik dan perasan diri tu tak ada potensi akan diambik oleh mana-mana parti politik – korang kenalah kumpul duit siap-siap. Apa-apa pun, korang kena pastikan yang hajat utama korang bertanding tu bukan sebab nak dapat pangkat semata-mata, tapi nak berkhidmat untuk rakyat.
- 110Share sekarang!
- Email6
- Facebook104
- Share