Kalau korang pernah pandu melalui Ipoh atau kawasan Lembah Kinta, mesti korang perasan sesuatu. Dulu, bukit batu kapur yang hijau dan cantik. Tapi sekarang, ada yang sampai orang bergurau nampak macam ayam goreng tanpa kulit.

Perubahan ni sebenarnya bukan benda baru. Kalau bandingkan imej satelit dari awal tahun 2000-an dengan imej sekitar 2015, dan lepastu dengan imej tahun 2025, perbezaannya memang ketara. Banyak bukit batu kapur di sekitar Ipoh yang dah tak macam dulu.
Jabatan Pertanian pernah pasang papan tanda bertulis “Tanah sumber yang tak boleh diganti” menghadap sebuah bukit yang dah tak macam bukit. Tapi papan tanda tu akhirnya dibahan kat media sosial sebab ramai rasa mesejnya agak ironik, bukit dah hilang, tapi baru nak ingatkan tentang kepentingannya. Akhirnya, papan tanda tu diturunkan.
Bila nampak perubahan besar macam ni, satu soalan besar timbul: Siapa sebenarnya yang bertanggungjawab terhadap kemusnahan bukit batu kapur di Ipoh? Berbaloi ke untuk Perak? Dan apa yang kita boleh buat selain tengok saja?
Siapa yang buat aktiviti kuari ni semua?
Kalau korang buka Google Maps dan zoom ke kawasan bukit batu kapur sekitar Ipoh, sebenarnya agak mudah untuk nampak kawasan kuari. Siap ada label lagi syarikat mana yang miliki kawasan mana.
Kebanyakan syarikat ini melombong batu kapur daripada bukit-bukit tu semua. Batu kapur tu pulak diproses jadi bahan penting dalam industri pembinaan contohnya simen.
Selain tu, ia juga digunakan dalam marmar dan granit untuk permukaan dapur. Dan banyak barangan harian kita guna tanpa sedar pun dari batu kapur, contohnya ubat gigi, kertas dan cat.
Tapi persoalannya: adakah syarikat-syarikat ini patut dipersalahkan sepenuhnya? Semua aktiviti ni sah di sisi undang-undang. Projek skala besar macam ni bukannya boleh dibuat curi-curi macam geng plastik hitam. Ni ada libatkan permit, pelan operasi, mesin sebesar alam dan kilang pemprosesan.
Syarikat-syarikat tu kena bagi cadangan projek kepada kerajaan negeri. Pastu perlu jalankan Penilaian Kesan Alam Sekitar (Environmental Impact Assessment atau EIA). EIA dihantar ke Jabatan Alam Sekitar dan banyak agensi yang akan semak dokumen tu seperti Jabatan Tanah dan Galian, Jabatan Mineral dan Geosains. Ada kes yang buka untuk maklum balas orang awam jugak.
Lepas semuanya diluluskan, barulah syarikat diberikan lesen untuk jalankan aktiviti perlombongan atau kuari oleh kerajaan negeri.
Jadi secara teknikal, memang ada sistem yang mengawal selia macam mana bukit-bukit ni dilombong.
Maka persoalan sebenar bukan lagi siapa yang melakukannya, tapi sama ada sistem yang ada sekarang betul-betul bagi manfaat kepada negeri, atau tak.
“Bayaran” sebenar
Ramai orang mungkin nampak bukit batu kapur sekadar sebagai pemandangan atau tempat bergambar. Tapi dari sudut sains, bukit-bukit ini sebenarnya antara kawasan biodiversiti yang sangat unik.
Menurut Dr. Lim Teck-Wyn dari University of Nottingham, banyak spesies yang hidup di bukit batu kapur telah berevolusi secara terasing selama berjuta-juta tahun. Disebabkan tu, ada spesies yang hanya wujud di satu bukit tertentu je dan tak ditemui di mana-mana tempat lain di dunia.
Contohnya ialah siput mikro yang hidup di habitat batu kapur di Malaysia, Sumatera, dan Thailand. Punyalah susah nak jumpa sebab dia hanya ada kat bukit batu kapur je.
Masalahnya, bila bukit tu semua dimusnahkan untuk kuari, habitat dia pun hilang sepenuhnya. Dalam erti kata lain, spesies tu mungkin pupus sebelum sempat kita kaji atau kenal pun.
Selain haiwan, tumbuhan di kawasan batu kapur pun sangat unik. Dalam satu kajian, penyelidik menemui lebih daripada 1,200 spesies tumbuhan yang hidup dalam ekosistem ni. Daripada jumlah tu, kira-kira 21% adalah endemik kepada Semenanjung Malaysia, manakala 11% hanya wujud dalam habitat batu kapur.
Isu biodiversiti jarang diberi keutamaan
Malaysia sebenarnya dah tandatangan pelbagai perjanjian antarabangsa berkaitan pemuliharaan biodiversiti. Namun dalam praktiknya, perlindungan terhadap ekosistem macam bukit batu kapur bukan keutamaan.
Antara sebabnya ialah tekanan kewangan yang kerajaan negeri hadap.
Beberapa negeri seperti Sabah, Sarawak dan Pahang dah tubuhkan majlis biodiversiti untuk bantu melindungi ekosistem semula jadi. Tetapi Perak setakat ni belum ada badan seumpama itu.
Kesan alam sekitar yang lebih luas
Menurut Sahabat Alam Malaysia, operasi kuari yang tak terkawal boleh menyumbang kepada masalah hakisan tanah dan meningkatkan risiko banjir kilat.
Malaysia sendiri pernah mengalami beberapa kejadian banjir besar dalam dekad-dekad lalu antaranya pada tahun 1971, 2006, 2007, 2010, 2014, 2017, dan yang paling teruk pada Disember 2021.
Walaupun banjir punyai banyak faktor, perubahan landskap seperti pengkuarian dan pembangunan pesat boleh burukkan lagi keadaan.
Kenapa aktiviti kuari masih diteruskan?
Walaupun ada banyak isu pasal alam sekitar, aktiviti kuari tetap diteruskan sebab ada nilai ekonomi yang besar.
Berbanding dengan penebangan hutan, aktiviti kuari sering dianggap lebih efisien untuk ekstrak sumber. Kawasan yang terlibat biasanya lebih kecil, tapi nilai ekonomi yang dihasilkan boleh jauh lebih tinggi.
Negara membangun seperti Malaysia sentiasa perlukan bahan binaan. Rumah, lebuh raya, laluan kereta api, kilang, semuanya perlukan simen dan bahan berasaskan batu kapur.
Ada juga isu kewangan yang lebih besar di sebalik semua ni.
Bajet persekutuan Malaysia cecah sekitar RM420 bilion, manakala bajet negeri Perak hanya sekitar RM1.6 bilion. Jurang yang besar ni bermakna negeri perlu mencari cara sendiri untuk jana pendapatan.
Dalam konteks ni, aktiviti kuari dah jadi salah satu sumber hasil yang orang takleh pejam mata.
Tapi berapa sebenarnya negeri dapat?
Pada tahun 2024, Perak dilaporkan menjana kira-kira RM129 juta daripada semua aktiviti kuari, termasuk batu kapur dan mineral lain seperti nadir bumi.
Namun, jumlah tepat yang datang khusus daripada batu kapur tak begitu jelas dalam data awam.
Apa yang boleh ditemui hanyalah laporan dari tahun 2021 oleh sebuah syarikat pengeluar batu kapur terbesar di Malaysia, GCCP Resources. Berdasarkan dokumen tu, royalti batu kapur yang dibayar kepada kerajaan negeri dianggarkan sekitar RM2.90 bagi setiap tan, manakala cukai eksport sekitar RM5.10 setiap tan.
Sebagai perbandingan, beberapa negara lain seperti China, Filipina dan Myanmar mengenakan cukai berdasarkan peratusan nilai pasaran, biasanya bermula sekitar 2% atau lebih. Ni bermakna apabila harga batu kapur meningkat, hasil kerajaan pun meningkat.
Di Malaysia pulak, kadar tetap bermaksud pendapatan kerajaan tak semestinya meningkat walaupun harga pasaran naik.
Dengan data yang agak terhad, susah nak tentukan sama ada pengkuarian batu kapur betul-betul bagi pulangan yang setimpal kepada negeri atau tak.
Jadi, apa yang boleh dibuat?
Menariknya, ramai pakar yang ditemu bual sebenarnya tak kata aktiviti kuari perlu dihentikan sepenuhnya. Malah Dr Teck-Wyn sendiri pun kata beliau tak sepenuhnya menentang kuari, selagi dikawal. Sama dengan Dr. Jeyakumar Devaraj, pengerusi Parti Sosialis Malaysia. Hujah diorang bukanlah “mengharamkan kuari serta merta.”
Sebaliknya, diorang tekankan keperluan untuk ketelusan dan perancangan yang lebih baik.
Contohnya:
- Orang awam sepatutnya boleh tahu siapa yang luluskan projek kuari tertentu
- Berapa banyak hasil sebenar yang diperoleh kerajaan negeri
- Penduduk tempatan diberi peluang bersuara sebelum bukit berhampiran diorang dimusnahkan
Di peringkat antarabangsa, banyak syarikat kuari terikat dengan piawaian pelaporan global yang lebih ketat, termasuk aspek pemuliharaan biodiversiti. Jadi benda ni boleh pulak buat kat negara lain, tapi kenapa Malaysia tak boleh?
Jadi siapa sebenarnya yang musnahkan bukit batu kapur?
Kalau nak jujur, jawapannya mungkin bukan satu pihak je.
Antara pihak yang terlibat mungkin termasuk: Syarikat kuari tak patuh piawaian pemuliharaan, kerajaan persekutuan tak jadikan biodiversiti sebagai keutamaan, kerajaan negeri yang jual sumber dengan harga sangat rendah, kita sendiri yang jarang persoalkan apa tengah berlaku.
Perubahan mungkin bermula dengan perkara paling asas: kesedaran dan suara orang ramai.
Nanti nak balik musim raya tu, tanya lah ADUN atau MP. Cakap pasal ni kat media sosial untuk minta ketelusan proses kuari. Kalau kita akan hilang bukit, setidaknya fikir dulu, berbaloi ke?