- 6.0KShare sekarang!
- Email7
- Facebook6.0K
- Share
Pada bulan Ramadhan yang lepas, kita sebagai umat Islam disyariatkan untuk menjalankan ibadah puasa. Selain itu, kita juga diperintahkan untuk menunaikan zakat yang dikenali sebagai zakat fitrah. Kewajiban dan pentingnya ibadah zakat ini telah ditetapkan dalam ajaran Islam, sehingga ia menjadi rukun Islam yang keempat.
Seperti yang kita tahu, kuasa berkaitan urusan-urusan agama Islam di Malaysia ni terletak dalam bidang kuasa negeri termasuklah hal berkaitan kutipan dan agihan zakat. Kerana itu juga setiap negeri mempunyai institusi-institusi agama mereka yang tersendiri. Walaupun begitu menurut kajian, majoriti masyarakat muslim di negara ini masih lagi tak berpuas hati dengan pengurusan zakat yang dijalankan.
Oleh itu, kali ini SOSCILI cuba untuk menyingkap sedikit sebanyak berkenaan isu ini. Ini kerana, masyarakat kita juga nampaknya masih lagi tak berapa faham mengenai siapa yang layak menerima zakat.
Zakat bukan untuk fakir dan miskin sahaja
Zakat dari istilahnya bermaksud membersihkan diri dan harta. Terdapat dua bentuk zakat yang diperintahkan dalam Islam iaitu zakat fitrah dan zakat harta. Zakat fitrah adalah zakat diri yang diawajibkan kepada setiap individu muslim yang berkemampuan mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan. Manakala zakat harta pula terbahagi kepada beberapa jenis seperti zakat pendapatan, zakat perniagaan, zakat pertanian, zakat perternakan, zakat emas & perak, zakat saham dan sebagainya.
Walaupun begitu penerima zakat taklah terhad kepada golongan fakir dan miskin sahaja. Ini kerana, sesuai dengan firman Allah SWT:
“Sesungguhnya zakat-zakat itu hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, pengurus pengurus zakat, para muallaf yang dibujuk hatinya, untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, orang-orang yang berhutang, untuk jalan Allah dan orang-orang yang sedang dalam perjalanan, sebagai sesuatu ketetapan yang diwajibkan Allah, dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.” — Surah at-Taubah: ayat 60.
Dalam ayat ini jelas menyatakan 8 golongan yang layak mendapat zakat (asnaf). Mereka adalah orang fakir (al-fuqara’), orang miskin (al-masakin), amil (pengutip zakat), maallaf yang perlu dijinakkan hatinya, hamba (al-riqab), orang berhutang (al-gharimin), orang yang berjuang di jalan Allah (fisabilillah) dan musafir yang berada dalam perjalanan (ibn sabil).
Dalam hal ini, amil, muallaf, gharimin, fisabilillah dan ibn sabil tak disyaratkan miskin ke atas mereka. Walaupun begitu, masih terdapat golongan yang diutamakan iaitu golongan fakir dan miskin melalui sabda Rasulullah SAW:
“Zakat itu hendaklah dikutip daripada orang-orang kaya dan diagihkan kepada orang miskin di kalangan mereka.” — Riwayat al- Bukhari.
Oleh kerana itulah, agihan zakat di Malaysia ini (ambil contoh di Selangor) tak menghadkan zakat hanya untuk golongan fakir dan miskin je. Sebaliknya, zakat jugak diberikan kepada orang yang berhutang, melanjutkan pelajaran, muallaf dan sebagainya.
Kerana tu jugaklah, kita jangan terkejut kalau golongan kaya dan bukan miskin pun boleh dapat zakat. Antara orang yang boleh dapat zakat tu adalah…
“Zakat tidak dihalalkan bagi orang kaya kecuali lima golongan ini, iaitu: (1) amil; (2) orang yang memberi zakat dengan hartanya sendiri (muallaf); (3) orang yang ikut berperang di jalan Allah SWT; (4) orang yang berhutang dan (5) orang miskin yang menerima zakat daripada seorang kaya (dan) kemudian dia menghadiahkannya kembali kepada orang kaya itu.” — Riwayat Abu Daud, Ibnu Majah dan Imam Ahmad.
Bagaimanapun, jika melihat pada situasi di Malaysia pada hari ini, sudah pasti golongan fakir dan miskin yang diberikan keutamaan. Manakala, golongan yang lain pulak masih lagi boleh menerima zakat, tetapi mengikut peraturan yang telah ditetapkan.
Ada yang kata zakat ni senang nak masuk susah nak keluar, betul ke?
Seperti yang dinyatakan di pendahuluan tadi, kajian mendapati majoriti masyarakat Islam di Malaysia tidak berpuas hati dengan pengurusan zakat di negara ini. Antara alasan yang dibagi adalah diorang tak puas hati dengan cara agihan zakat yang tak jelas.
Jika kita lihat kutipan zakat di negeri Selangor pada tahun lepas sahaja, ia telah mencecah lebih dari RM 600 juta. Malah kutipan zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dari tahun 1991 hingga 2013 adalah mencecah RM 2.2 bilion. Jadi purata setiap tahun kutipan zakat MAIWP adalah sebanyak RM 100 juta. Maka muncullah persoalan macam ni:
Dalam hal ini, institusi-institusi zakat negeri ada bagi penjelasan. Antara penjelasan yang diberikan adalah kemiskinan merupakan satu perkara yang bersifat subjektif. Oleh itu, pembasmian kemiskinan bukanlah satu perkara yang boleh dikawal dan dijangka. Ini kerana, kemiskinan boleh jadi dalam beberapa keadaan seperti:
- Ketua keluarga yang tak bertanggungjawab – Keadaan ini berlaku bila ketua keluarga gagal memberikan nafkah, meninggalkan tanggungannya, terlibat dalam jenayah sehingga di penjarakan atau sebagainya.
- Ekonomi – Seperti kehilangan pekerjaan, muflis, peningkatan kos sara hidup dan sebagainya.
- Kematian – Kematian ketua keluarga yang menjadi tunjang ekonomi keluarga juga akan menyebabkan sesebuah keluarga itu terjerumus dalam kemiskinan.
- Perceraian – Keruntuhan institusi kekeluargaan juga menyebabkan sesebuah keluarga itu boleh menjadi asnaf fakir atau miskin.
- Musibah – Seperti penyakit kronik, kemalangan, kebakaran dan sebagainya.
Oleh itu, kemiskinan memang susah nak dibasmi secara 100%, tapi apa yang boleh dilakukan oleh pihak pengurusan zakat adalah mengurangkannya. Walaupun begitu, masih lagi muncul rasa tak puas hati di kalangan masyarakat mengenai sistem agihan dan pengurusan zakat. Hal ini seperti asnaf kena isi borang dan melalui macam-macam proses tapisan yang rumit.
“Masalah birokrasi dan serakan geografi turut menjadi halangan pengagihan yang cekap (Muhammad Syukri, 2006). Ini kerana terdapat golongan asnaf yang duduk di ceruk kampung dan kawasan pedalaman yang tidak pernah dikunjungi oleh pegawai zakat ataupun wakil-wakil yang telah dilantik seperti ketua kampung ataupun ahli jawatankuasa masjid.” — Dipetik dari jurnal Impak Agihan Zakat Terhadap Kualiti Hidup Asnaf di Selangor.
Selain itu, pendakwah bebas Prof Ridhuan Tee Abdullah juga pernah melahirkan rasa kecewanya bila dia mendakwa muallaf yang mohon bantuan zakat dilayan seperti peminta sedekah.
“Saya adalah antara tumpuan para mualaf mencurahkan perasaan mereka. Berapa ramai yang begitu kecewa apabila mereka dilayan seperti peminta sedekah apabila memohon bantuan zakat. Apakah duit zakat itu kepunyaan bapak kita? Apabila memungut zakat penuh dengan senyuman. Tetapi apabila ada asnaf datang meminta bantuan, seolah-olah mereka peminta sedekah. Nak jawab apa depan ALLAH nanti?” — Prof Dr Muhd Ridhuan Tee Abdullah, dipetik dari Sinar Harian.
Dalam hal yang macam ni, pusat zakat dah bagi penjelasan yang panjang lebar. Antaranya adalah agihan zakat tak boleh dibuat dengan sewenang-wenangnya. Oleh itu, banyak syarat-syarat kena dipenuhi sebelum bantuan zakat diberikan.
- Penerima – Penerima zakat mestilah tergolong dalam kalangan mereka yang betul-betul termasuk dalam golongan asnaf.
- Jenis bantuan – Bantuan yang diberikan juga mestilah sesuai dengan keperluan penerima dan bukan semata-mata wang ringgit.
- Jumlah bantuan – Pihak pengurusan bertanggungjawab memberikan bantuan bersesuaian dengan keperluan penerima.
- Tempoh bantuan zakat – Pihak pengurusan zakat wajib memantau dan menghadkan tempoh bantuan dengan merancangkan sesuatu kepada penerima. Macam bagi kursus keusahawanan, modal perniagaan dan sebagainya.
- Perancangan jangka panjang – Pihak pengurusan zakat bertanggungjawab membuat perancangan dan persiapan jika ditakdirkan kutipan zakat tiba-tiba merosot di masa akan datang.
Akan tetapi memang tak dapat dinafikan berlakunya kelemahan di peringkat pengurusan zakat. Hal ini terjadi bila definisi asnaf yang lapan juga menimbulkan masalah. Ini kerana, definisi asnaf di setiap negeri hampir berbeza antara satu sama yang lain. Selain itu, tak ada penyelarasan antara institusi zakat, jabatan dan agensi kerajaan juga menambahkan lagi masalah dalam pengurusan zakat.
“Namun begitu aspek pentadbiran zakat di Malaysia dikatakan tidak cekap dan di bawah potensi yang sebenar. Menurut Sadeq (1995), kelemahan ini disebabkan pentadbiran zakat diuruskan oleh mereka yang berlatarbelakangkan pendidikan syariah tetapi kurang profesional. Ini menyebabkan pengagihan zakat tidak diuruskan dengan efisien dan baik.” — Dipetik dari jurnal Pengagihan Zakat oleh Institusi Zakat kepada Lapan Asnaf.
Oleh itu, satu pengurusan yang baik amat-amat diperlukan oleh institusi zakat. Kakitangan yang menjalankan tugas juga mestilah bukan mereka yang hanya berlatarbelakangkan pendidikan agama samata-mata, tetapi juga mereka yang ada kepakaran dalam pengurusan kewangan. Jika perkara ini dilakukan, maka keyakinan masyarakat boleh dipulihkan dan tidaklah masyarakat buat keputusan sendiri macam mengagihkan zakat tanpa melalui pusat zakat.
Boleh ke agihkan sendiri zakat, tanpa melalui pusat zakat?
Sejak kebelakangan ini, nampaknya dah jadi trend masyarakat Malaysia menbayar zakat terus kepada asnaf, tanpa melalui pusat zakat. Hal ini sedikit sebanyak dah menyebabkan berlakunya persoalan tentang status zakat tersebut.
Ini kerana, selama ini zakat diberikan kepada pihak pemerintah (ulil amri) melalui institusi zakat sebelum ia diagihkan kepada mereka yang berhak. Masyarakat pula wajib mematuhi pemerintah selagi mana ia tak bercanggah dengan al-Quran dan hadis.
Sama ada kita kena bayar zakat melalui ulil amri atau terus, ulama mempunyai beberapa pendapat. Antaranya adalah:
- Imam al-Nawawi (ulama besar Mazhab Syafie) – Mengatakan dalam keadaan tertentu, membayar zakat kepada pemerintah adalah lebih afdhal (yang terbaik). Sebabnya pihak pemerintah tahu siapa yang lebih layak mendapat zakat, kadar yang diperlukan oleh mereka dan juga tahu orang tersebut dah dapat zakat sebelum ini atau belum.
- Mengikut qaul qadim (pendapat lama) dalam Mazhab Syafie – Wajib serahkan zakat kepada pemerintah atau naibnya untuk diuruskan.
- Imam Ibn Taimiyyah – Jika pemerintah mengambil 1/10 dari atau zakat perniagaan dan diuruskannya kepada yang berhak maka ianya dibolehkan.
- Syeikh Abdul Aziz bin Baaz – Bila pihak pemerintah meminta zakat diserahkan kepadanya, maka wajib diserahkan. Tapi jika pemerintah tidak memintanya maka agihkan sendiri kepada golongan asnaf yang berhak.
Keputusan yang dibuat oleh badan-badan fatwa di Malaysia pula adalah
- Majlis Fatwa Kebangsaan – Membuat keputusan mengagihkan zakat secara persendirian tanpa melalui pemerintah adalah sah jika diagihkan kepada yang layak. Tapi perbuatan melanggar peraturan dan undang-undang pemerintah dalam perkara kebaikan adalah berdosa kerana kita wajib mentaati pemerintah dalam perkara kebaikan.
- Jawatankuasa Fatwa bagi Negeri Selangor – Sah mengagihkan zakat secara sendiri tanpa melalui pemerintah tetapi berdosa kerana melanggar peraturan dan undang-undang pemerintah dalam perkara kebaikan.
- Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu – Sistem kutipan zakat dikendalikan oleh pemerintah melalui Jabatan Hal Ehwal Agama dengan cara menguatkuasakan pungutan itu menerusi lantikan amil-amil bertauliah.
Oleh itu, walaupun keyakinan masyarakat terhadap institusi zakat masih belum memuaskan, tapi untuk pembayar zakat, tanggungjawab diorang dah pun tertunai bila diorang menunaikan zakat. Bakinya, ia terserah kepada institusi-institusi zakat dalam menguruskan zakat yang telah diamanahkan itu. Selain tu, masih ada banyak kelebihan jika kita bayar zakat kepada pihak pemerintah (institusi zakat) seperti:
- Pengagihan lebih bersifat menyeluruh berbanding dengan pengagihan secara peribadi.
- Pengagihan lebih tertumpu kepada yang benar-benar berhak dan berhajat dan bukan hanya yang layak sahaja.
- Pengagihan tidak tertumpu kepada seseorang atau sekumpulan yang kecil, sedangkan yang lain tidak dapat apa-apa.
- Kadang-kala berlaku musibah kepada yang ingin mengagih dan akhirnya tidak kesampaian dan lebih parah lagi harta tersebut dipusakakan sedangkan ianya milik Allah untuk asnaf yang ditetapkan.
Sebelum ini Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dan Mufti Kelantan, Datuk Mohamed Shukri Mohamed juga menyarankan masyarakat untuk menaikan zakat di institusi-institusi zakat yang telah dipertanggungjawabkan. Ini kerana bayar zakat terus kepada asnaf dilihat sebagai hanya memperlekehkan institusi agama di negara ini. Mufti Wilayah Persekutuan juga berpendapat agak sama dengan mereka.
“…kami berpendapat amat wajar harta zakat diserahkan kepada Baitulmal atau badan-badan yang dilantik oleh kerajaan dalam menguruskan tadbir harta tersebut dengan lebih berkesan dan benar-benar kepada asnaf yang berhak.” – Datuk Dr. Zulkifli Al-Bakri, Mufti Wilayah Persekutuan.
Perlis jadi negeri pertama berikan zakat kepada bukan Islam
Pada bulan Mac yang lalu, Pejabat Mufti Perlis mengeluarkan kenyataan bahawa golongan bukan Islam di negeri itu berhak mendapat zakat. Walaupun Mazhab Syafie tak membenarkan perkara ini, tapi masih ada pendapat yang membolehkan perkara tersebut. Golongan bukan Islam ini dipanggil sebagai al-muallafah qulubuhum iaitu golongan yang ingin dijinakkan hati mereka kepada Islam.
“Zakat kepada bukan Muslim di bawah asnaf ‘muallafah qulubuhum‘ (golongan yang ingin diharmonikan sikap dan persepsi mereka terhadap Islam) boleh diberikan ke atas kemaslahatan yang ditentukan oleh ulil amri. Ini seperti yang dilakukan oleh Rasullah SAW kepada golongan yang bukan Muslim dari kalangan musyrikin dan pembesar kaum mereka, seperti yang tercatat dalam riwayat-riwayat sirah yang sahih.” – Kenyataan Pejabat Mufti Perlis.
Tak lama lepas tu, Dr Maza sekali lagi keluarkan kenyataan pasal zakat. Kali tentang perokok yang tak layak terima zakat dan derma. Ini kerana, diorang ni boleh disifatkan sebagai orang kaya.
“Apatah lagi rokok sekarang harganya mahal. Maka perokok bukan seorang miskin sehingga dia perlu meminta bantuan zakat ataupun bantuan kewangan yang lain.” — Dr Asri Zainul Abidin, Mufti Perlis. Dipetik dari Sinar Harian.
Institusi zakat kena yakinkan masyarakat
Memang tak dapat dinafikan keyakinan masyarakat terhadap institusi zakat kurang memuaskan. Apatah lagi bila ada pegawai institusi tersebut yang ditahan kerana rasuah. Macam apa yang berlaku kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Zakat Pulau Pinang dan pegawai kanannya yang dituduh menyelewengkan wang zakat.
Oleh itu, institusi zakat perlu memulihkan imejnya di mata masyarakat. Antara cara yang boleh dilaksanakan adalah institusi zakat perlu diaudit oleh Jabatan Audit Negara dan laporannya dihebahkan kepada umum secara tahunan. Dengan cara tu, pihak pembayar zakat dapat lihat ke mana zakat mereka disalurkan.
“…perlunya diwujudkan sebuah badan bebas untuk melakukan ‘semak dan imbang’ kepada institusi ini. Badan ini dicadangkan mempunyai kuasa mempertikaikan segala keputusan yang merugikan, terdiri daripada aktivis masyarakat pelbagai latar belakang, segala belanjawan dibahas dan diluluskan bersama badan ini.” — Nik Aziz Afiq Abdul, AJK Pusat Pemuda Parti Sosialis Malaysia. Dipetik dari Free Malaysia Today.
Selain tu, dengan kemudahan yang disediakan oleh institusi zakat, ia sepatutnya digunakan dengan baik oleh masyarakat. Kemudahan seperti kalkulator zakat, bayaran zakat secara online, borang bantuan zakat dan sebagainya sekarang ni boleh diakses kat hujung jari je.
Kesimpulannya, sebagai umat Islam ibadah zakat itu memang telah diwajibkan oleh agama kepada umatnya. Maka kita sebagai muslim, hendaklah menunaikannya (jika mampu) dan memikirkan cara terbaik untuk menunaikannya. Kritikan yang diberi juga mestilah berserta dengan cadangan dan bukannya hanya cemuhan yang tak mendatangkan sebarang hasil.
- 6.0KShare sekarang!
- Email7
- Facebook6.0K
- Share