Berkuasa eksekutif? Ini asal-usul penubuhan MAGERAN yang dibentuk semasa peristiwa 13 Mei

Semalam, Tun Dr. Mahathir Mohamad berhasrat untuk menubuhkan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Saya bangkitkan kemungkinan mewujudkan badan khusus seperti MAGERAN pada 1969. Saya cadangkan kerana kita dapati MAGERAN yang ditubuh dulu, diketuai Tun Abdul Razak berjaya tangani masalah politik ketika itu.” – Tun M, dipetik dari Berita Harian.

Akan tetapi, ramai dari korang yang masih tertanya-tanya atau tak tahu lagi mengenai MAGERAN ni. Takpe, bagi hilangkan runsing kepala korang, kami akan explain apa itu MAGERAN dan fungsinya.

Ditubuhkan semasa peristiwa 13 Mei 1969 semakin kritikal

Barisan pimpinan MAGERAN. Imej dari The Rocket.

Akibat peristiwa 13 Mei 1969 semakin teruk, darurat di seluruh negara serta peruntukan Fasa 2 Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan dilaksanakan pada 14 Mei 1969 oleh KDYMM Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong Tunku Ismail Nasiruddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Zainal Abidin. Pada masa tu, kedudukan perlembagaan negara, Parlimen dan semua Majlis Undangan Negeri telah digantung.

Selepas darurat disytiharkan, kerajaan telah menubuhkan MAGERAN pada 16 Mei 1969. Ia bertujuan untuk menangani masalah
hubungan kaum semasa peristiwa 13 Mei 1969. MAGERAN juga diberikan kuasa sepenuhnya untuk mentadbir negara.

Tun Abdul Razak dilantik menjadi Pengarah MAGERAN manakala Leftenan Jeneral Tun Ibrahim bin Dato’ Ismail dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAGERAN. Menurut Tunku Abdul Rahman, pelantikan Tun Razak berasaskan pengalamannya.

“Dia adalah orang yang sesuai, muda, aktif dan bersemangat, dan lebih sesuai dengan tugas berat untuk memulihkan negara menjadi normal memandangkan pengalamannya yang luas dalam menangani portfolio Pertahanan dan Pembangunan Nasional.” – Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri yang pertama, dipetik dari MJSSH.

Tun Abdul Razak (kiri) & Leftenan Jeneral Tun Ibrahim bin Dato’ Ismail (kanan) . Imej dari Wikipedia 1 & Wikipedia 2.

Secara dasarnya, Tun Razak mempunyai kuasa eksekutif tanpa batasan (tapi bukan secara keseluruhan). Beliau dibenarkan untuk membuat keputusan sendiri mengenai pemerintahan dan pentadbiran negara selari dengan perisytiharan Darurat tersebut.

Jawatankuasa MAGERAN dipilih daripada wakil-wakil pemimpin pelbagai kaum negara ini. Ia terdiri dari lapan orang pemimpin yang terdiri dari ahli politik dan sektor perkhidmatan & pertahanan iaitu:

  1. Tun Dr. Ismail bin Dato’ Abdul Rahman (Menteri Dalam Negeri).
  2. Datuk Hamzah bin Abu Samah (Menteri Penerangan dan Penyiaran).
  3. Tan Sri Ghazali Shafie (Setiausaha Tetap, Kementerian Luar Negeri).
  4. Tan Sri Abdul Kadir Shamsuddin (Pengarah Perkhidmatan Awam).
  5. Jeneral Tunku Osman Mohammad Jewa (Ketua Turus Angkatan Tentera).
  6. Tun Mohamed Salleh bin Ismael (Ketua Polis Negara).
  7. Tun Tan Siew Sin (Presiden MCA).
  8. Tun V.T. Sambanthan (Presiden MIC).
Barisan Jawatankuasa MAGERAN. Imej dari Wikipedia.

Untuk pengetahuan korang, mereka dipilih oleh kerajaan kerana kemampuan dan kewibawaan para pemimpin tersebut untuk menangani isu yang berlaku pada masa itu.

MAGERAN menyekat laporan akhbar & menguatkuasakan Akta Hasutan

Tun Abdul Razak mempengerusikan MAGERAN di Bangunan Parlimen. Imej dari JPM MyFoto.

MAGERAN bertanggungjawab untuk memastikan pentadbiran negara dapat berjalan dengan sempurna berikutan dengan penggantungan sementara Parlimen dan semua Majlis Undangan Negeri.

Langkah pertama yang dilakukan ialah menangguhkan pilihan raya di Sabah dan Sarawak dan menyekat penerbitan semua akhbar di Malaysia.

MAGERAN telah bekerjasama dengan pasukan polis untuk mendapatkan maklumat perisikan, sertamelakukan tindakan dari segi kawalan dan serbuan ke atas kumpulan subversif (kumpulan yang ingin memusnahkan sistem politik) bagi menjamin keselamatan dalam negeri.

Menjelang hujung minggu pertama, keadaan sudah mula tenteram hingga perintah berkurung dapat digantung di kebanyakan kawasan. Majlis ini mengumumkan 15 surat khabar dibenarkan untuk diterbitkan semula di bawah kawalan MAGERAN.

Pada 9 Oktober 1969, MAGERAN menerbitkan Laporan berkaitan dengan peristiwa 13 Mei 1969. Ia dianggap sebagai laporan rasmi kerajaan tentang kejadian tersebut. Bagi Tun Razak menganggap peristiwa tersebut akan menjadi tragedi nasional dalam sejarah Malaysia.

Berdasarkan laporan MAGERAN, punca tercetusnya rusuhan ini dikaitkan dengan tindak-tanduk pihak tertentu sama ada Perikatan, mahupun parti-parti pembangkang yang menimbulkan isu-isu sensitif sehingga tercetusnya konflik perkauman.

MAGERAN mengakui bahawa peristiwa 13 Mei 1969 telah menggerakkan semua kaum untuk mengambil langkah tertentu bagi mewujudkan keharmonian dan keadilan sosial.

Antara langkah diambil adalah dengan menubuhkan Jabatan Perpaduan Negara dan Majlis Perundingan Negara pada Januari 1970. Tun Razak turut menjemput golongan agama, politik, ekonomi dan sebagainya untuk bekerjasama dalam Majlis Perundingan Negara.

MAGERAN di Dewan Parlimen. Imej dari The Rocket.

Majlis Perundingan Negara bertujuan untuk membincangkan langkah-langkah supaya peristiwa 13 Mei 1969 tidak berlaku lagi dan mengembalikan semula sistem demokrasi berparlimen.

Semasa ulang tahun peristiwa 13 Mei 1969, MAGERAN telah mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengarahkan bahagian keselamatan dan angkatan tentera untuk mengambil tindakan bagi mengelakkan huru-hara tercetus semula.

Bagi memulihkan semula sistem demokrasi berpalimen, kerajaan telah memutuskan untuk mengadakan semula pilihan raya di Sabah dan Sarawak. Ia begitu penting kepada kerajaan kerana lebih dua pertiga kerusi parlimen diperlukan oleh Perikatan susulan kehilangan banyak kerusi dalam pilihan raya 1969.

Sebagai langkah berjaga-jaga, kerajaan telah memperketat tatatertib dan peraturan semasa berkempen dalam usaha membendung permusuhan antara kaum.

Selepas Sabah dan Sarawak, Tun Razak menyelesaikan masalah dengan kerajaan Selangor dan Perak. Beliau menubuhkan semula kerajaan negeri dari Parti Perikatan (nama Barisan Nasional yang dulu). Jadi, ia berjaya meleraikan sebahagian besar kemelut politik perkauman di negara.

 

Pada bulan Ogos 1970, MAGERAN dengan persetujuan Majlis Perundingan Negara secara arbitrari (tidak berasaskan pertimbangan yg tertentu) telah memerintahkan untuk dikuatkuasakan Akta Hasutan.

Logo Parti Perikatan. Imej dari Wikipedia.

Akta ini memperuntukkan bahawa menjadi satu kesalahan kepada sesiapa sahaja yang mempersoalkan secara terbuka isu-isu sensitif yang terkandung dalam perlembagaan negara seperti:

  1. Kuasa dan keistimewaan Yang Dipertuan Agong atau Raja-raja Melayu.
  2. Kewarganegaraan.
  3. Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.
  4. Kedudukan istimewa orang Melayu.
  5. Islam sebagai agama persekutuan.

Menjelang 31 Ogos 1970, MAGERAN memfokuskan perayaan ke arah memupuk perasaan muhibah antara kaum dan cintakan negara dalam kalangan rakyat.

Jadi, Rukun Negara telah dilaksanakan bagi mencapai matlamat itu dan diisytiharkan oleh KDYMM Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong Tunku Ismail Nasiruddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Zainal Abidin.

Sempena ulang tahun kemerdekaan, MAGERAN turut mengisytiharkan tamatnya perintah berkurung di beberapa kawasan negara ini dan menarik balik pengharaman semua aktiviti politik.

Disebabkan kepimpinan Tun Razak dalam MAGERAN, beliau…

Dilantik menjadi Perdana Menteri Kedua & membentuk kabinet baru

Perlantikan Tun Razak menjadi Perdana Menteri merupakan sinar baru bagi Malaysia. Imej dari Negeri Pahang.

Peristiwa hitam yang menyelubungi barisan pemimpin MAGERAN berjaya dipulihkan sepenuhnya. Disebabkan perjuangan Tun Abdul Razak dalam menjadi Pengarah MAGERAN dan Timbalan Perdana Menteri, beliau telah dilantik sebagai Perdana Menteri pada 23 September 1970.

Tun Razak telah membentuk kabinet baru dengan Tun Dr. Ismail Abdul Rahman (Timbalan Perdana Menteri). Di samping itu, peranan kerajaan berparlimen mula dipulihkan semula pada 23 Februari 1971.

Korang yang baca artikel ni, adakah MAGERAN relevan ditubuhkan semula pada zaman sekarang?