Bekas ahli BN tubuh parti baru kat Sabah, dan nampaknya dapat sokongan hebat

(This article is a translation. For the original, please visit our sister site, CILISOS)

Ok, cepat jawab! Bagi 3 nama parti politik yang diasaskan di Sabah! Kalau korang berjaya namakan ketiga-tiganya, korang mungkin orang Sabah, atau berminat dengan politik Sabah. Kalau korang boleh namakan satu atau dua je pun, kira baguslah tu sebab ada kawan kitorang dalam office ni tergagap jugalah nak jawab walaupun satu parti.

Macam yang kita semua sedia maklum, pilihanraya dah tak lama lagi dah. Jadi, muncullah macam-macam cerita ceramah tentang Ahli Parlimen, parti, dan pembubaran Parlimen. Tapi kat Sabah, ada satu parti politik baru yang berumur kurang dari dua tahun, tapi nampaknya dah ada aura tersendiri! Parti yang kitorang maksudkan ni ialah  Parti Warisan Sabah (PWS), dan korang boleh tengok perhimpunan agung diorang baru-baru ni:

Para pemimpin parti kat atas pentas.
Anggaran kapasiti ahli: 3000 orang.

Dan ni pula video daripada pintu masuk:

Kalau kita tengok pada gambar dan video kat atas, parti ni betul-betul dapat sokongan kuat orang ramai. Malah, baru-baru ni, Parti Warisan Sabah juga ada umumkan yang diorang akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan untuk menjatuhkan BN di Sabah. Tapi, siapa PWS ni sebenarnya? Diorang datang dari mana, dan macam mana diorang ni macam popular dan nampak macam sangat berpengaruh? Kitorang tengok dengan lebih mendalam!

Ditubuhkan pada 2016, parti itu dipimpin oleh bekas naib presiden UMNO

Shafie Apdal. Imej dari asiaone.com
Parti Warisan Sabah (PWS) ditubuhkan pada Oktober 2016 oleh Mohd Shafie Apdal, Ahli Parlimen Semporna (Sabah), dan bekas pemimpin UMNO. Tapi, Shafie Apdal ni bukan ketua UMNO biasa-biasa je tau. Dia ni adalah salah seorang daripada tiga naib presiden UMNO – dua yang lain pada masa tu ialah Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein. 
Dia juga merupakan orang pertama yang jadi Naib Presiden, dan dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna (dengan Pak Lah) dan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah (dengan PM Najib). Tapi pada tahun 2015, Shafie Apdal dibuang dari kabinet dan digantung daripada UMNO, semuanya sebab dia mempersoalkan Perdana Menteri pasal skandal 1MDB.
Dah berapa tahun pun, tak settle lagi. Imej dari soscili

Bersama-sama dengannya, beberapa lagi wakil Sabah keluar dari parti sebelumnya untuk menyertai PWS, macam Ahli Parlimen Penampang, Darell Leiking (asalnya PKR), Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulabayan, Datuk Jaujan Sambakong (dahulunya UMNO),  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Likas, Junz Wong (dahulunya DAP), Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Moyog, Terence Siambun (dahulunya PKR). Kalau korang perasan, PWS tunjukkan yang diorang ni parti berbilang kaum, sambil menekankan kebajikan Sabah.

 “Untuk pertama kalinya dalam lebih dari dua dekad, umat Islam boleh beralih kepada Shafie dan sebuah parti berpusat di Sabah untuk menjaga kepentingan mereka,” – Timbalan Presiden Warisan Darell Leiking, dipetik dari Straits Times.

Bunyinya menarik, kan? Tapi kalau tengok kepada keputusan pilihanraya yang lepas,  BN ada penyokong kuat di kedua-dua negeri dan kerusi parlimen di Sabah. Dari segi kerusi negeri, BN kini memegang 48 kerusi, manakala pembangkang mempunyai 11, dan satu lagi parti pegang 1 kerusi. Dari segi kerusi parlimen, ada 25 kerusi di Sabah, yang mencakupi 11% daripada jumlah keseluruhan 222. BN memegang 22 daripada 25 buah kerusi tu.

Imej dari straitstimes.com

PWS mungkin dah membentuk pakatan dengan Pakatan Harapan, tapi macam apa yang kita bagitahu sebelum ini, kedudukan tu takkan dapat pegang banyak kerusi pun di Sabah. Jadi macam mana PWS dapat kalahkan BN?

BN pernah je kalah di Sabah sebelum ni! (Lebih kuranglaaa)

Imej dari deviantart by Anthony Pismarov.

Untuk memjawab persoalan ni, kita kena belek balik pasal sejarah pilihan raya Sabah, dan cari pasal Pilihan Raya Umum Ke-7 pada tahun 1985. Masa ni, BN mengalami kekalahan secara MENGEJUT di Sabah, apabila kehilangan 25 daripada 48 kerusi kepada Parti Bersatu Sabah (PBS). Perkara ni mengakibatkan rusuhan Sabah 1986 dan selepas beberapa ahli PBS buat rundingan dengan BN, pilihan raya yang dikenali sebagai Pilihan Raya Negeri Sabah 1986 telah dibuat. PBS akhirnya memenangi lebih banyak kerusi (34 daripada 48), tetapi akhirnya membentuk gabungan baru dengan BN.

Imej dari selangortimes.com

Pada pilihan raya yang berikutnya (pilihan raya negeri 1990), PBS berjaya memenangi semula untuk kali ke-3, memperolehi lebih banyak kerusi daripada sebelumnya (36). Tapi kali ni, PBS keluar daripada gabungan BN pada malam pilihan raya, dan menyertai Gagasan Rakyat, gabungan parti pembangkang pada masa tu. Jadi pada masa tu, Sabah sebenarnya diperintah oleh pembangkang!

Kemudian pada pilihan raya tahun 1994, PBS memenangi pilihan raya negeri SEKALI LAGI, dengan margin hanya 2 kerusi. Tapi kali ni, ADUN PBS buat bantahan beramai-ramai kepada BN, dan menyebabkan PBS kehilangan kawalan negeri itu. Akhirnya pada tahun 2002, PBS menyertai semula BN untuk menjadi salah satu parti komponennya, dan macam tu je la sejak perkara tu jadi. Pointnya sekarang ni ialah kita nak tunjukkan yang BN memang bertungkus-lumus nak memenangi Sabah sejak dulu. Tapi nampaknya…

Parti Warisan ni dah betul-betul dapat sokongan kuat dalam masa kurang dari dua tahun ke?

Macam yang kita nampak tadi, ramai betul yang datang ke perhimpunan agung parti tu. Tapi macam mana pula dengan sebelum-sebelumnya? Kitorang ada jumpa beberapa video masa dia menghadiri ceramah dan bila dia buat lawatan ke pelbagai daerah di Sabah, dan memang ramai betul pengikutnya. Ni salah satu video pada November 2016, iaitu masa parti ni baru je terbentuk:

https://www.youtube.com/watch?v=9LgmRAc1xes

Kitorang tak pasti pula video tu kat mana. Tapi yang ni pula di Keningau, Sabah, iaitu tempat asal bekas Ketua Menteri Sabah, Joseph Pairin Kitingan. (Langkau ke minit 10:59 untuk tengok apa yang jadi)

https://www.youtube.com/watch?v=E1_RwtJKy34

Mesti korang terfikir, Shafie Apdal ni macam mana sebenarnya masa dengan UMNO dulu? Jadi kitorang pun carilah mana-mana berita pasal dia masa tak terlibat dalam PWS, atau masa dia ditendang keluar dari UMNO. Tapi last-last, kitorang tak jumpa pun mana-mana cerita yang tunjukkan dia ada karakter yang berkontroversi. Masa dia masih dalam kabinet pun, mesti la dia pernah juga bersuara bagi pihak kerajaan, tapi dia tak pernah terlibat dalam pertengkaran atau drama yang di jabatannya. Tapi yang pasti, dia ada terpalit juga dengan skandal yang berlaku.

Sebelum Shafie Apdal keluar dari UMNO, satu-satunya penglibatannya dalam skandal (yang tak disahkan) adalah tuduhan dia membelanjakan sejumlah wang kepada seorang perempuan simpanan. Selepas peletakan jawatannya, SPRM melancarkan siasatan terhadap tuduhan rasuah melibatkan projek pembangunan luar bandar bernilai RM1.5 bilion di Sabah. Projek-projek tu adalah masa dia menjawat jawatan sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, dan dia ditahan selama 8 hari.

“Semua ni politik je,” – Shafie Apdal memberitahu wartawan ketika dia kembali ke Parlimen selepas pembebasannya, dipetik dari The Star

Imej dari mysuara.net

Musuh terbesarnya adalah Ketua Menteri Sabah yang paling lama, iaitu Tan Sri Musa Aman. Kedua-duanya memang menentang satu sama lain sejak zaman Shafie Apdal dengan UMNO lagi. Malah, pentadbiran negeri Sabah melihat Shafie Apdal sebagai pilihan utama UMNO untuk menggantikan Musa Aman. Pertolongan dari kerajaan persekutuan boleh satu perkara buruk untuk politik Sabah, sebab ia dilihat sebagai percubaan untuk merebut Sabah menggunakan kedaulatan.

“Ambil Sarawak sebagai contoh, Ketua Menteri dipilih dengan persetujuan para pemimpin BN di sana, bukan keputusan Perdana Menteri. Hak-hak Sabah dalam semua aspek, termasuk pilihan Ketua Menteri, mesti dihormati.” – Presiden Gerakan Akar Umbi Malaysia (GAUM), Zulkarnain Mahdar, dipetik dari Free Malaysia Today

Bila cakap pasal hak-hak kerajaan negeri Sabah dan Sarawak, diorang tak main-main. Contohnya masa diorang hantar satu pasukan peguam ke London untuk mengesahkan butiran Perjanjian Malaysia, perjanjian Sabah, Sarawak dan Malaya yang ditandatangani untuk membentuk Malaysia, dan perkara tu adalah sentimen yang  PWS ambil kira dalam pilihan raya akan datang.

Orang Sabah dan Sarawak memang tak main-main bab penggabungan Sabah Sarawak dengan Malaysia. Klik untuk baca. Imej dari Soscili.my.

Ada perasaan kuat yang rakyat Sabah akhirnya mahu mengawal nasib mereka sendiri

Kebanyakan pengundi di Sabah dah mula berubah sejak PBS mula memenangi pilihan raya negeri Sabah. Selain menggariskan garis pemisah, kerajaan BN juga dah siap bagi kewarganegaraan kepada pendatang beragama Islam untuk mewujudkan asas pengundi bagi kerajaan negeri yang sedang memerintah.

“Pada tahun 2004, terdapat 3.3 juta orang Sabah manakala Sarawak hanya mempunyai dua juta. Sekiranya kita naikkan pertumbuhan  kepada kadar Sarawak, kita sepatutnya ada lebih kurang cuma 1.3 juta orang. Yang selebihnya datang dari mana? Pendatang tanpa izinlah,” – Bekas Setiausaha Kerajaan Negeri, Simon Sipaun kepada Free Malaysia Today

Pada tahun 2013, pendengaran Suruhanjaya Siasatan Diraja, bekas pengarah Jabatan Pendaftaran Negara Sabamengakui yang diorang mengeluarkan kad pengenalan sementara kepada pendatang untuk membolehkan mereka mengundi dalam pilihan raya negeri 1994. Tun Mahathir sendiri mengaku pasal pemberian kewarganegaraan kepada pelarian Filipina di Sabah, tapi menegaskan yang diorang serahkannya secara sah. Ramai yang merasakan Sabah dah sedia untuk buat revolusi sekali lagi.

“Ada satu perasaan yang rakyat Sabah selalu dipandang ringan dalam pelbagai bentuk, contohnya bermula daripada mereka menginginkan autonomi yang lebih besar daripada bahagian kecil sumber negeri yang mereka dapat, dan juga dalam pengabaian sosio-ekonomi.” – Bekas Ketua Menteri Yong Teck Lee, Presiden Parti Progresif Sabah, kepada The Straits Times

Pakatan Harapan juga nampaknya boleh rasa yang PWS mungkin boleh menang, dan Sabah akan jadi satu-satunya negeri di mana PH tak boleh ketuai pembangkang untuk pilihanraya akan datang. Walaupun diorang ni dah buat satu pakatan, PWS tak termasuk dalam salah satu parti dalam PH, dan timbalan presiden PWS, Darell Leiking bagi alasan yang merumuskan tujuan parti tu dengan baik:

“Kami takkan sertai sebab misi kami adalah untuk memastikan Sabah bebas sepenuhnya daripada cengkaman pihak lain yang akan membuat keputusan untuk kami, ia bukanlah apa yang kami mahukan untuk Sabah.” – Timbalan Presiden PWS Darell Leiking kepada MalaysiaKini