Batu terbelah dua kerana terkena hentakan kepala Badang

Baru-baru ni kita ada superhero baru dalam filem Badang, filem ni mendapat pelbagai reaksi daripada orang ramai. Ramai jugak yang kutuk filem ni, sampai hero filem ni mengamuk dan kata filem Badang lebih baik daripada Black Panther. Bagi sesiapa yang membesar pada zaman kanak-kanak main bola sepak sampai azan Maghrib berkumandang, kami yakin korang pernah dengar cerita tentang Badang.

Kalau korang nak tahu, rating filem Badang dalam Internet Movie Database (IMDb) adalah 1/10. Masa artikel ni kami tulis, dah 376 orang undi filem ni kat sana. Apabila pengarah filem ini ditanya berkenaan kualiti filem yang teruk, dia mengatakan filem ini sebenarnya sesuai untuk kanak-kanak. Dia juga percaya ada orang kutuk filem tu sebab tak suka dengan perangai Aliff Syukri.

“Ramai yang mengutuk sebenarnya belum menonton filem itu, dan membuat komen berdasarkan andaian saja. Jalan cerita Badang tidak boleh berat dan perlu mengandungi elemen disukai kanak-kanak. Apabila menyaksikan filem itu, cuba letak diri (anda) sebagai kanak-kanak.” Dato Prof. Dr. A Razak Mohaideen, dipetik dari HMetro

Sebenarnya kisah tentang Badang ni menarik untuk korang ketahui. Hari ni kami cuba bawakan korang beberapa cerita tentang Badang. Sekurang-kurangnya kalau lepas ni korang nak bercakap tentang Badang, adalah poin-poin yang korang boleh sediakan.

Cerita Badang yang makan muntah jin

(Bahagian ni dan “bahagian Jin tu tak tipu badang” banyak merujuk tulisan Helmi Effendy yang bertajuk Kerajaan Melayu Purba Singapura yang Hilang Ditelan Zaman pada laman web The Patriots)

Mengikut kisah dulu-dulu, Badang ni anak Melayu yang kecil dan lemah. Dia berasal dari Sayong Pinang yang terletak di negeri yang dah menang Piala AFC. Dia bekerja dengan orang kaya yang berasal dari Salung, Acheh. Oleh sebab masa tu belum ada gaji minima, dia hanya diberikan upah segenggam beras sehari. Kalau kita fikir logik, manalah cukup untuk bekalan seharikan?

Mungkin macam nilah comel badang masa dia umur 3 tahun. Imej dari Giphy

Oleh sebab satu genggam nasi tak cukup, Badang pun buatlah parti time job, dia buat kerja menangkap ikan. Pada satu hari, ikan hasil tangkapan Badang dimakan oleh jin yang mendiami kawasan hutan. Apa lagi, Badang pun marah lalu menangkap jin tu. Apabila jin tu berjaya ditangkap, Badang berniat untuk membunuhnya. Jin tu pun panik dan berjanji akan menunaikan permintaan Badang jika dilepaskan.

Memandangkan Badang ni bertubuh kecil dan sering dipandang rendah, dia pun minta supaya dapat tenaga yang luar biasa, kuat macam Superman gitu. Mendengar permintaan Badang, jin tu pun meminta Badang untuk memakan muntahnya. Kalau kami, tak lalu kami nak makan muntah, lebih-lebih lagi muntah jin. Badang pun makan muntah jin sebab percaya jin tu tak berbohong.

Jin tu tak tipu Badang, dia betul-betul jadi “Superman”

Kepercayaan Badang untuk makan muntah jin ni tak sia-sia, dia berjaya memiliki kekuatan yang luar biasa. Dia pun bantu tuan dia untuk bersihkan kawasan hutan yang luas untuk dijadikan kawasan tanaman. Apa lagi, tuan dia pun gembiralah, lalu Badang dibebaskan daripada menjadi hamba. Oleh sebab dia dah bebas, Badang pun mengembara mencari pengalaman sampailah ke Singapura Purba.

Kacak juga lakaran wajah Badang ni. Imej dari Berita Harian

Semasa tengah menggembara, Badang terlihat 50 orang cuba menolak kapal yang besar ke laut, namun gagal. Dia pun cubalah nak membantu, oleh sebab fizikal badang ni agak kecil, orang yang ada kat situ tak percaya dan tak nak bagi peluang. Pemerintah Singapura Purba masa tu  Raja Sri Rana Wikrama, Raja tu pun hantarlah 300 orang untuk tolak kapal yang sama, tapi masih gagal.

Badang pun berkeras kata cuma dia je yang mampu tolak kapal ni. Dah Badang masa ni confident gila dia boleh tolak kapal yang 300 orang tak boleh tolak tu, Raja Sri Rana Wikrama pun berilah dia peluang. Sebab Badang ni ada kuasa macam Superman, dia relaks je berjaya tolak kapal besar tu. Kita ni nak tolak kereta yang tak boleh start pun dah sakit pinggang, Badang selambe je tolak kapal laut.

Agak-agak Badang boleh buat macam ni tak? Imej dari Giphy

Kepala Badang terhantuk pada batu, batu tu terbelah dua

(Bahagian ini banyak merujuk artikel Malayan Literature dan Blog Cerita Rakyat Melayu)

Kisah ni dikatakan terjadi apabila raja teringin nak makan ulam pucuk Turas. Ketika raja bertanya kepada bendahara tentang bagaimana nak dapatkan pucuk Turas tu, baginda diberitahu pucuk Turas berada pada pokok tinggi yang tak ada siapa berani nak panjat. Pokok tu berada di Kuala Sayung. Raja pun berhajat nak mengutuskan Badang untuk pergi mengambil pucuk Turas tu.

“Apa pendapat datuk kalau kita titahkan Badang pergi mengambil pucuk kuras itu? Beta percaya Badang yang gagah perkasa itu berani memanjat pokok kuras yang tinggi itu!” – Raja Singapura Purba, dipetik dari Blog Cerita Rakyat

Aku Badang, aku boleh baling pokok! Imej dari Giphy

Bendahara pun setuju dengan cadangan raja, dan Badang pun pergilah cari pokok tu. Apabila dia sampai ke Kuala Sayung, dia pun tengok satu pokok yang amat tinggi, cecah awan gitu. Tinggi macam Korin Tower dalam Dragon Ball kot. Dia pun mulalah panjat, tengah-tengah panjat, tiba-tiba ada dahan pokok yang patah. Badang pun jatuh dan kepalanya terhantuk di batu. Punyalah power Badang ni, batu tu yang terbelah dua.

Macam ni kot batu tu terbelah dua. Imej dari Mirror Reading

Dia pun panjat pokok tu sekali lagi dan akhirnya dapat pucuk dan buahnya sekali. Apabila Badang kembali ke istana, raja memuji-muji kehandalan Badang. Dia pun diberikan sepasang baju tanda terima kasih raja kepadanya.

Badang Ketua Angkatan Tentera Singapura Purba

Siapa je tak kagum kalau tengok seorang lelaki dapat tolak kapal besar atau kepalanya mampu pecahkan batu. Raja Sri Rana Wikrama pun lantiklah Badang ni jadi Ketua Tentera Singapura Purba. Nama Badang sebagai lelaki yang mempunyai kuasa luar biasa pun tersebar kat seluruh dunia. Ada seorang raja dari India ni dengar kehebatan Badang. Dia rasa tercabar dan bawa pahlawan dari India untuk beradu tenaga dengan Badang. Nama pahlawan dari India tu adalah Nadi Bijaya.

Macam ni kot mereka lawan. Imej dari Giphy

Raja India tu bukan setakat ajak Badang lawan Nadi Bijaya, dia siap letakkan pertaruhan siapa yang menang akan diberikan tujuh buah kapal yang diisi penuh dengan barang-barang. Dua pahlawan ni pun bertarunglah untuk cari siapa yang paling hebat, macam-macam pertandingan mereka buat. Akhirnya mereka dapat keputusan seri, tak sangka ada orang mampu saingi Badang.

Nadi Bijaya pun dapatlah satu idea untuk tentukan siapa yang patut menang. Dia cadangkan siapa yang boleh angkat batu besar kat tepi istana masa tu, dialah yang akan jadi pemenang. Nadi Bijaya berjaya angkat batu tu sampai lutut je. Kemudian tibalah giliran Badang, apa lagi dia pun angkat batu tu melebih kepala dia. Dia baling batu tu dan ia mendarat dekat muara Sungai Singapura. Akhirnya Badang diangkat sebagai pemenang.

Singapore Stone yang dipercayai berasal daripada serpihan batu yang diangkat oleh Badang. Imej dari Blog SG200

Kisah Badang melawan Benderang

(Bahagian ini banyak menggunakan rujukan Journal The Malay Annals yang diterbitkan pada tahun 1952 dan Blog Cerita Rakyat Orang Melayu)

Cerita tentang kejayaan Badang kalahkan Nadi Bijaya menjadi popular, sampailah satu masa cerita tu sampai kat telinga Raja Perlak. Kerajaan Perlak masa tu ada seorang pahlawan yang disenangi, namanya Benderang. Ketika bercerita tentang Badang, punyalah utusan tu beria-beria macam Badang ni power gila. Benderang pun cemburu dan berkata;

 “Ampun tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik harap diampun. Pada fikiran patik, hulubalang Raja Singapura itu tidaklah sehebat mana pun dan patik percaya dia tidak akan dapat menandingi kekuatan patik sendiri. Oleh itu, jika ada izin tuanku, patik mohon izin pergi ke Singapura. Biar patik buktikan kepada tuanku yang patik jauh lebih gagah daripada hamba Raja Singapura itu.” – Dipetik dari Blog Cerita Rakyat

Pahlawan dulu-dulu pantang betul dicabar. Imej dari Giphy

Raja Perlak setuju untuk hantar Benderang ke Singapura bagi melawan Badang. Ketika Raja Seri Rana Wira minta Badang bersiap-siap untuk melawan Benderang, tiba-tiba Badang kata nak uji kekuatan Benderang dulu. Lain betul bunyinya, siap main test power. Raja Seri Rana pun tanya, macam mana Badang nak uji kekuatan Benderang? Badang menjawab;

“Malam nanti, Tuanku undanglah orang-orang Perlak itu ke sebuah majlis. Dalam majlis itu nanti, patik akan duduk di sebelah Benderang. Pada masa itulah nanti, patik akan menguji kekuatannya.” – Dipetik dari Blog Cerita Rakyat

https://www.youtube.com/watch?v=IUEmTfgRILk

Ketika majlis itu berlangsung, Benderang cuba menindih lutut badang. Badang dengan selamber je mengalihkan lututnya daripada tindihan Benderang. Apabila Badang pula menindih lutut Benderang, panglima Perlak tu tak mampu lepaskan tindihan Badang. Badang pun memberitahu rajanya yang dia sedia nak lawan Benderang. Pahlawan Benderang pula beritahu pengiringnya yang dia tentu kalah kalau melawan Badang.

Untuk memastikan Raja Perlak tidak malu, pengiring Benderang masa tu terus berjumpa Raja Seri Rana dan berkata;

“Pada pendapat patik, jikalah kita adukan kedua-dua hulubalang itu, akan buruk padanya, tuanku. Takutkan nanti terjadi selisih faham antara tuanku dengan raja patik pula.” – Dipetik dari Blog Cerita Rakyat

Raja Seri Rana pun tersenyum dan batalkan pertandingan itu. Kemudian Raja Seri Rana minta Badang dan Benderang bentangkan rantai di perairan Singapura supaya boleh menjaga keadaan persisiran pantai.

Cerita Orang Asli Sayong Pinang tentang Badang

Menurut penduduk Orang Asli di Sayong Pinang, Badang memiliki dada bidang bersaiz tujuh hasta. Terdapat kisah yang lucu tentang Badang, cerita dia marah dengan Burung Enggang. Badang dikatakan tengah buat empangan dari batu untuk tangkap ikan, tiba-tiba ada Burung Enggang berbunyi dengan kuat. Badang fikir burung tu sedang cakap “renggang”, ia buatkan badang jadi marah kerana dia ingin menyusun batu secara rapat, bukan renggang!

“Ada satu kisah yang saya dengar dari orang tua di sini mengatakan ketika Badang menyusuri ke Sungai Linggiu tidak jauh dari Sungai Sayong, dia membuat empangan menggunakan bongkah batu besar bertujuan untuk memasang lukah (alat menangkap ikan) di situ. Ketika menyusun bongkah batu, ada seekor burung enggang berbunyi dengan kuat sehingga Badang menyangka burung itu menyebut perkataan ‘renggang’ menyebabkan dia marah dan menendang bongkah batu itu sehingga berserakan dan sehingga kini masih boleh dilihat.” – Antoi, dipetik dari Berita Harian

Kalau ikut kisah ni, punyalah gagah Badang ni. Sehingga hari ni apa yang dia lakukan masih meninggalkan kesan. Tapi kami nak ingatkan korang, kalau tengok binatang tengah bising-bising, janganlah korang terasa marah sampai tahap nak tendang batu.

Badang hero Melayu yang perlu dikenang

Selepas mengalahkan banyak pahlawan dari pelbagai tempat, Badang kekal setia berkhidmat dengan Raja Seri Wana sehinggalah dia bersara. Badang dikatakan meninggal secara normal akibat sakit tua.

“Mengenai kematian Badang, diceritakan sama seperti orang biasa lain kerana mati disebabkan sakit tua dan kuburnya terdapat di sebuah kawasan hutan di pinggir Desa Kandis, Pulau Buru di Karimun, Kepulauan Riau, Indonesia.” – Dipetik dari Berita Harian

Ikut cerita yang kami baca, semua orang hormati Badang ketika dia meninggal. Imej dari Giphy

Menurut seorang ahli sejarah dari Riau, kisah Badang ni sebenarnya telah diubah oleh orang Barat untuk memperlihatkan orang Melayu ni mempunyai sikap yang buruk. Korang rasa macam mana? Adakah kisah Badang ni boleh dipercayai?

“Kata Syarif, kisah Badang diubah pihak Barat untuk memberi gambaran buruk kepada sikap orang Melayu tetapi beliau mahu masyarakat Melayu percaya bahawa kisah Badang bukan cerita dongeng.” – Dipetik dari Berita Harian

 

 

 

 

 

About Man Hamka 74 Articles
Man Hamka