- 435Share sekarang!
- Email34
- Facebook401
- Share
(Untuk korang yang nak semak sesuatu berita atau kenyataan menteri tu betul ke bohong, boleh lah join Group FB Berita Betul Ke Bohong Malaysia ni!)
UPDATE 3/4/2019: Nampaknya, nasib bas dua alam Terengganu dah capai kanser tahap empat menurut Ariffin Deraman, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri tu. Kerajaan negeri akan menolak projek ni atas beberapa faktor keselamatan. Persoalannya, siapa punya idea beli bas ni? Sambung baca artikel ni…
Sila bagi contoh binatang dua alam atau amfibia? Macam biasa, nama binatang yang kita akan petik adalah katak dan salamander. Bagi yang selalu ponteng kelas sains, dua alam ni bukanlah maksudnya dia boleh hidup kat alam bunian dan alam manusia sekaligus. Tapi, binatang ni boleh hidup kat darat mahupun air atau amfibia (amphibia).
Dari jenis binatang amfibia ni, bayangkan kalau kita ada kenderaan yang boleh bergerak kat dua alam terus. Contohnya, naik bas nak ke Pulau Pinang dan tak nak lalu jambatan. Bas tadi mula-mula jalan atas jalan darat, bila nak lalu laut, terus masuk dalam laut dan bergerak macam bot. Mudah kan hidup kita? Rupa-rupanya, bas berkonsep amfibia ni memang wujud kat dunia dan dibeli oleh sebuah kerajaan negeri di Malaysia ni. Tapi….
Negara kedua di Asia yang ada bas ni, tapi nampaknya tak sempurna untuk beroperasi
Di Malta (negara ni kat Eropah), satu tim yang diketuai oleh Scotsman Geroge Smith dah mencetuskan idea untuk bina bas yang boleh bergerak kat atas darat dan air. Maka terciptalah prototaip bas yang dipanggil sebagai Amphicoach dalam tempoh tiga tahun (2004-2007). Kemudian mereka buat pandu uji bas itu di Marsaxlokk, Malta. Atas kejayaan ini, adalah beberapa buah negara tempah dan beli. Setakat ni, 12 dah dibeli dan kerajaan Terengganu adalah yang ketiga belas. Kita juga negara Asia kedua lepas Jepun yang ada bas ni.
Idea pembelian Amphibiacoach ni dicetuskan oleh bekas MB Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang nakkan bas ni digunakan untuk bawa pelancong jalan-jalan kat beberapa tempat sebelum menyusuri Sungai Terengganu. Kalau musim banjir pula, bolehlah digunakan untuk bawa penduduk terjejas dari kawasan yang tak berarus deras ke tempat yang lebih selamat.
Pada tahun 2014, bas ni kemudiannya dah ditempah khas dari Syarikat Amphicoach tadi dengan harga RM3.3 juta sebuah. Bas ni dijangka tiba di Terengganu pada tahun 2015 yang diserahkan akan diserahkan oleh menteri Malta sendiri. Kilang pengeluar akan mengambil masa lapan bulan untuk menepati rekaan dan spesifikasi yang diperlukan. Kerajaan dah pun bayar deposit 50% dari harga betul.
Tapi itulah, tunggu punya tunggu, akhirnya muncul di Terengganu pada pagi hari 18 Februari 2018. Padahal dijangka tiba 2015. Sampai-sampai je tak boleh guna terus, ditayangkan dulu di Ekspo Terengganu 2018, Kompleks Sukan Negeri Gong Badak. Bas ni kemudiannya di uji berjalan atas darat dan Sungai Terengganu. Waktu diuji pandu kali kedua pada bulan Mac, bas ni rosak pulak, maka syarikat pengeluar perlu memperbaiki atas tanggungan sendiri yang dijangka siap pada Julai 2018.
Pada sesi uji pandu oleh Jabatan Laut pada bulan Ogos pulak, ianya sekali lagi gagal apabila berlaku pemanasan melampau dalam bas. Maka, kerajaan negeri tak nak menerimanya lagi sehingga ia diperbaiki. Kerajaan Terengganu bawah PAS tak akan membayar satu sen pun lagi baki RM300,000 sehinggalah bas itu diserahkan dalam keadaan yang baik. Rupanya-rupanya, kerajaan dah bayar RM3 juta dari jumlah sebenar RM3.3 juta.
Kira dari ditempah dari 2014 sampai sekarang 2018, bas yang dibeli tak mampu mencapai matlamat untuk tujuan pelancongan. kerajaan negeri juga bertegas tak akan guna bas ini untuk tujuan banjir sebab nampaknya tak tahan lasak. Selain tu, kerajaan negeri dah memulakan denda kepada syarikat pengeluar sebab tak dapat serahkan bas dalam keadaan sempurna seperti dijanjikan. Ianya dikira dari 6 Oktober 2017 dengan bayaran RM1,100 sehari. Dan ianya akan terus meningkat dan melebihi RM400,000.
Teruk betul ya pengurusan pembelian bas canggih ni. Jom kita tengok negara lain yang beli. Apa jadi pada bas diorang?
Bawa masuk sungai selepas merasai hiruk-pikuk jalan bandar
Bas yang ditempah kerajaan Terengganu ni panjangnya 12 meter. Kalau berjalan atas darat boleh bergerak dengan kelajuan 110km sejam manakala 8 knot kalau dalam air. Jumlah orang yang boleh ditampung adalah lebih kurang 50 orang. Jumlah penumpang yang boleh dimuatkan ni lebih samalah spesifikasinya macam bas Amphicoach pertama yang dibeli kat dunia ni oleh negara Hungary.
Ianya digunakan untuk aktiviti melancong sambil cuci-cuci mata (sightseeing) di sekitar ibu negara, Budapest. Mula-mula akan bawa merasai hiruk-pikuk jalan raya kat tengah bandar sebelum pergi bertenang jalan kat atas Sungai Dunabe. Lepas tu, keluar balik dari sungai tu dan merasai semula kesesakan jalan di Budapest. Ni nak bagi stress ke gembira?
Apa-apa pun, harga tiket untuk naik bas ni bagi orang dewasa adalah 28 Euro (RM133.26) manakala yang berumur 6 hingga 14 tahun perlu membayar 20 Euro (RM95.19). Semestinya untuk kanak-kanak bawah 6 tahun adalah percuma.Jadi, bayangkan kalau bas Amphicoach ni dah boleh beroperasi sepenuhnya. Berapa harga tiket?
Tapi, kenyataan kerajaan negeri untuk tak guna masa bencana banjir ni masuk akal jugalah. Tengok macam negara Asia pertama, Jepun yang beli bas ni di mana kita tahu negara ni selalu juga banjir. Setakat maklumat yang kami jumpa, tak ada diorang nak guna untuk misi selamatkan banjir. Operasi bas ni di Jepun hanya untuk bagi pelanconga merasai keunikan Tasik Biwa di Kyoto, Jepun.
Jadi, eloklah penggunaan bas ni di negara lain dijadikan contoh supaya tak merugikan duit kerajaan negeri.
Moga Amphicoach bawa kejayaan seperti bas elektrik
Penggunaan bas Amphicoach ni kalau menjadi kenyataan untuk digunakan, diharapkan biarlah mendatangkan hasil kepada negeri mahupun negara kita semula. Tengok macam mana operasi Sistem Bas Rapid Transit (BRT) laluan Sunway yang menggunakan bas elektrik (guna bateri) sebagai produknya. Sistem bas ni dah berjaya bawa 6,000 penumpang sehari hanya dengan 8 bas elektrik serta tak melepaskan gas diesel ke udara. Maka terselamatlah alam sekitar kita.
Selain penggunaan bas yang berteknologi, Terengganu juga masih mempunyai banyak lagi produk pelancongan yang boleh terus diperkukuhkan. Contoh yang terbaik adalah penggunaan Houseboat di Tasik Kenyir yang makin hari makin dapat sambutan pelancong dalam dan luar negara. Tak perlu modal banyak-banyak sangatkan kalau yang sedia ada dipromosikan lagi. Bak kata pepatah, ‘Yang dikejar tak dapat (bas Amphicoach), yang dikendong berciciran (produk pelancongan sedia ada)’.
(Untuk korang yang nak semak sesuatu berita atau kenyataan menteri tu betul ke bohong, boleh lah join Group FB Berita Betul Ke Bohong Malaysia ni!)
- 435Share sekarang!
- Email34
- Facebook401
- Share