Bangunan bawah tanah ini menghadap Mekah, ia mungkin MASJID TERTUA di Eropah

Bila kaitkan empayar Islam dan Eropah, dalam fikiran kita mesti teringat bandar Cordova dan kawasan Andalusia. Memang mengaggumkan kerana Islam berjaya berkembang hingga ke benua Eropah.

Hingga sekarang, tinggalan tempat sejarah seperti di Cordova masih lagi menjadi perhatian seluruh pelusuk dunia sama ada orang Islam sendiri mahupun penganut agama lain. Mazqueta-Catedral atau Great Mosque of Cordoba memang sangat terkenallah dan merupakan salah satu struktur tertua yang masih berdiri teguh dari era Sepanyol diperintah orang Islam.

Kerajaan Umayyah ketika tu termasuk hampir ke semua kawasan Sepanyol, Portugal dan juga sebahagian kecil kawasan Selatan Perancis hari ini.

Paderi melawat masjid Cordova. Imej dari Foreign Policy

Tapi…rupa-rupanya ada kajian tergempar yang menunjukkan ada masjid yang dah wujud dulu sebelum yang ada kat Cordova. Sebelum tu kita cerita dulu pasal…

Satu kerajaan yang korang jarang dengar wujud di Sepanyol dan Eropah

Semua pun tahu, bahawa kawasan negara Sepanyol hari ni pernah diperintah oleh pelbagai kerajaan dan empayar. Termasuklah empayar Islam dan Kristian.  Namun, mungkin ramai yang kurang dengar mengenai kerajaan Visigothic (orang Jerman) yang pernah menguasai beberapa kawasan di Sepanyol.

Terdapat beberapa bandar tinggalan yang pernah menjadi penempatan dan pemerintahan orang Visigoth. Apa yang lebih menarik, kerajaan Visigoth ni juga bebas dari taklukan kerajaan Byzantine yang besar ketika itu.

Wilayah mereka suatu masa dulu. Imej dari The Middle Ages

Kerajaan Visigoth ni juga pernah menguasai suatu kawasan bernama Reccopolis di Sepanyol yang kini merupakan kawasan pinggiran di Madrid. Ia jauh dari Cordova yang kita biasa dengar ada kesenian dan kesan binaan Islam di sana. Namun, sekarang kawasan bandar orang Visigoth di Reccopolis ni hanyalah tapak tinggalan semata-semata.

Ada satu binaan yang menghadap arah Mekah menurut ahli arkeologi dari Universiti Harvard

Kalau ada tapak tinggalan ni memang makanan ahli arkeologi untuk gali dan kaji. Setakat ni hanya 8% sahaja kawasan kota tinggalan yang berjaya digali, maknanya ada lagi 92% kawasan kota tinggalan tu yang terbenam bawah tanah.

Namun, pada tahun 2015, para pengkaji dan ahli arkeologi dari Universiti Harvard mengambil keputusan untuk guna teknik geomagnetic survey supaya tahu apa bentuk binaan yang masih ada dalam tanah kawasan tersebut. Kalau korang nak tau, geomagnetic ni adalah teknik pemetaan anomali magnetik. Tak faham juga, boleh tengok gambar bawah ni.

Scan dulu. Imej dari Geophysical

Dan ini rupa bentuk yang ada di bawah tanah tapak tinggalan Kota orang Visigoth tadi…

Banyak binaan rupanya bawah tanah ni…

Apa yang mengejutkan, dalam banyak-banyak binaan tu ada suatu binaan besar yang mempunyai kedudukan dan arah binaan berbeza berbanding bangunan lain. Ia menghadap ke arah Mekah serta pelan lantai bangunan tu juga menyerupai binaan lantai masjid di Timur Tengah. Jadi, jika penggalian dilakukan dan betul-betul ia adalah masjid, maka, ia akan menjadi masjid tertua yang masih tinggal di Eropah.

Kenapa boleh ada masjid di kota yang dibina orang Jerman dulu?

Sebenarnya, bandar Reccopolis yang didirikan oleh orang Visigoth pada kurun ke-6 ni pernah ditawan empayar Ummayyah yang muncul pada  pertengahan abad ke-7 di Syria. Bukti geofizikal juga menunjukkan tanda-tanda kehadiran orang Islam di kota tu.

Kisah kedatangan Islam ke kawasan Sepanyol biasanya dikaitkan dengan nama pahlawan agung Islam, Tariq Bin Ziyad. Dia telah mengetuai misi menguasai Sepanyol dengan 7,000 tenteranya. Kerajaan Islam memerintah Sepanyol dan sekitarnya lebih kurang 700 tahun.

Diabadikan dalam duit kertas negara Gibraltar. Imej dari Islam21c

Ia berakhir pada 2 Januari 1492 apabila Sultan Muhammad XII (dikenali juga sebagai Boabdil),  Sultan terakhir empayar Nasrid menyerahkan kunci kota Alhambra, Granada kepada Ferdinand II of Aragon dan Isabella I of Castille. Maka, mestilah akan ada tinggalan dan kesan orang Islam yang amat banyak di negara Sepanyol hari ni.

Sepanyol dan sekitarnya adalah kunci syurga

Mungkin ramai yang tak tahu kisah ni, sewaktu Sultan Muhammad XII menyerahkan kunci kota pemerintahannya kepada Ferdinand, dia ada menyebut sesuatu kepada Ferdinand. Tapi dalam bahasa Arab lah, iaitu,

“Tuhan sangat mencintaimu. Tuan, ini adalah kunci kepada syurga ini. Saya dan semua di dalamnya adalah milik kamu.”

Bayangan suasana ketika penyerahan kunci. Imej dari The Conversation

Pemerintahan empayar yang silih berganti di Sepanyol dan sekitarnya dah menyebabkan ia menjadi suatu negara yang kaya dengan pelbagai budaya. Ia juga bukti bahawa orang Islam, Kristian dan agama lain boleh duduk aman damai di bawah satu pemerintahan jika saling hormat menghormati.

 

About A. Zahid Amran 207 Articles
Selamat datang semua. Ini masa kita. Tunduk berhemah. Bukannya lemah - FT