- 4.0KShare sekarang!
- Email148
- Facebook3.8K
- Share
Kematian adalah takdir Tuhan. Tiada siapa yang akan menyangka bila dan di mana dia akan meninggal dunia. Baru-baru ni, Yazit yang merupakan bekas drummer kumpulan Search dah pun meninggalkan kita semua.
Ini dah mengembalikan semula nostalgia kita dengan naik turunnya kumpulan legenda Rock tanah air ni. Tak ramai yang tahu sejarah panjang kumpulan ini dan kesannya kepada muzik Malaysia dan juga rantau Asia Tenggara. Jadi, kali ni kami dari SOSCILI akan berkongsi serba sedikit sejarah tersebut.
“Lu jangan tipu gua. Kalau lu tipu gua mati”
Bila sebut kumpulan Search, nama vokalisnya Amy pasti akan terselit bersama. Namun, mungkin ramai yang tak tahu, bahawa pengasas pertama kumpulan ini bukanlah Amy. Tapi, ia bermula dari detik di mana Hillary Ang mengajak Yazit mencuba nasib di KL untuk bekerja di Red Rooster Club, Medan Tuanku kerana ada kontrak menanti.
Ketika tu kumpulan Search terdiri daripada Hillary, Yazit, Zainal dan Memek dari Indonesia. Mereka mengikat kontrak dengan kelab tu selama 3 bulan. Namun, selepas tu, tiada lagi persefahaman yang menyebabkan hanya tinggal Hillary dan Yazit sahaja. Pihak kelab boleh meneruskan kontrak kumpulan Search tapi dengan syarat mereka mesti cukupkan ahli kumpulan. Jadi, mereka berdua pun balik ke Johor untuk mencari seorang vokalis dan pemain bes.
“Waktu itu duit belanja RM2,000 yang saya bawa sudah habis. Ada tambang balik saja. Kami pulang ke Johor pun naik kereta api,”- Yazit, petikan dari Berita Harian
Waktu di sana, Hillary ada perancangan nak ambil Suhaimi Abd Rahman (Amy) kerana sebelum ni mereka memang ada pengalaman buat persembahan bersama Amy dalam majlis kenduri. Waktu tu Amy kerja sebagai penghantar surat dan tak ada gaya rockers bagi Yazit. Tapi, disebabkan Yazit tak nak timbulkan sebarang konflik dengan Hillary, dia bersetuju.
Waktu tu Amy belum bersetuju untuk masuk kumpulan Search sebab dia pun baru beberapa hari dapat kerja sebagai piano tuner di Yamaha Music. Maka, nak yakinkan tu agak mencabar. Namun, Yazit mula menunjukkan minat selepas ditunjukkan kontrak.
“Kami bagi tempoh sehari saja dan saya maklumkan, lusa kami tunggu dirinya untuk naik bas MARA di stesen bas jam 1 tengah hari. Saya sampai dulu dan beli tiga tiket kerana yakin Amy pasti ikut kami ke KL.
Sehinggalah bas nak bergerak, batang hidung dia masih tak nampak. Lepas naik bas, saya terus campak tiket Amy ke dalam tong sampah.”- Yazit, petikan dari Berita Harian
Tiba-tiba, baru bas nak gerak, kelibat Amy muncul tengah kejar bas berpeluh-peluh. Akhirnya, mereka bertiga menaiki bas ke KL. Sepanjang perjalanan, mereka tidak bercakap sesama mereka hinggalah Amy menoleh ke Yazit dan Hillary sambil berkata,
“Zit (Yazit), lu jangan tipu gua. Kalau lu tipu gua mati. Gua cakap dengan mak gua pergi Kuala Lumpur tiga hari saja”- Amy, petikan dari Berita Harian
Dia pun tunjuk sekali lagi kontrak dengan tertulis gaji RM900 seorang. Kemudian, mereka menyambung melayan perasaan hinggalah sampai ke Puduraya. Dan di KL, mereka diperkenalkan pula dengan Nasir yang direkrut masuk menjadi pemain bes kumpulan tersebut, maka cukuplah ahli kumpulan Search.
Persembahan di New York serta lagu mereka digubah kumpulan rock dunia, Scorpion
Dah lengkap semua, maka persembahan pun dimulakan di Red Rooster Club. Pengunjung terkejut dengan persembahan mereka kerana waktu tu rentak Raggae yang lebih popular. Kelab tu menerima semakin ramai pengunjung.
Selepas setahun, mereka terpaksa mencari pengganti Hillary kerana dia akan ke Jerman menjadi pemuzik pengiring Datuk Khatijah Ibrahim. Maka dari situ, Search dipertemukan dengan Man Kidal yang pada mulanya ahli kumpulan Lefthanded.
“Boleh dikatakan, setiap malam kelab itu penuh dengan pengunjung. Band terkenal tempatan dan luar negara juga ada singgah di situ. Pada masa sama, ramai penerbit tengok persembahan kami.
Antaranya Fauzi Marzuki daripada EMI. Selang beberapa hari, (Datuk) M Nasir yang memang kami ketahui sentuhannya dalam Kembara juga datang. Bagai orang mengantuk disorongkan bantal, semua ahli bersetuju komposer berkenaan menerbitkan album sulung kami.”- Yazit, petikan dari Berita Harian
Tak lama lepas tu, Search menjadikan M. Nasir sebagai penerbit album pertama serta kemudiannya menandatangani kontrak rakaman dengan Polygrams Record sebuah syarikat rakaman di Singapura. Kumpulan ni dah menghasilkan tiga album studio terawal bersama Polygram. Iaitu Cinta Buatan Malaysia (1985), Langit dan Bumi (1986) dan Mentari Merah Di Ufuk Timur (1987).
Dari situ, nama kumpulan ni meningkat naik sehingga menerima anugerah Penyanyi Berkumpulan Paling Popular Berita Harian beberapa kali dari tahun 1987, hinggalah dirampas kumpulan IKLIM pada tahun 1990.
Selepas ada sedikit konflik dengan Polygram Record, Search beralih ke Pacific Records sebagai label edaran. Mereka juga menubuhkan syarikat rakaman sendiri, Go-Search Sdn. Bhd. serta membuat rakaman album di sini. Maka, bermulanya detik fenomena kumpulan Search dirasi apabila album hit pertama mereka, Fenomena dikeluarkan pada tahun 1989 serta termuatnya lagu ‘Isabella’.
“Di Malaysia, ia dijual lebih 250,000 unit manakala di Indonesia jualannya mencecah dua juta unit!“- Petikan dari Harian Metro
Selain membuat persembahan live dan jelajah ke seluruh negara termasuk Indonesia, dua buah filem berkaitan mereka turut dihasilkan iaitu filem Fenomena (1990) dan Isabella (1990) yang dibintangi sendiri oleh Amy Search. Namun filem Fenomena menjadi kontorversi kerana ada adegan bercium.
Di peringkat antarabangsa, kumpulan Search pernah berpeluang membuat persembahan di New Music Nights di Cat Club, New York. Apa yang menarik, pada tahun 1996 , mereka menghasilkan album bertajuk Rock N Roll Pie bersempena ulang tahun ke-15, serta ada lagu mereka yang digubah oleh Klaus Meine dan Rudolf Schenker dari kumpulan legenda Jerman Scorpion. Lagu itu bertajuk Panggung Khayalan dan Mengundur Waktu.
Semua membuat haluan masing-masing, tinggallah Yazit keseorangan
Dalam masa beberapa tahun, ahli kumpulan Search silih berganti. Ada yang keluar dan masuk balik. Ada juga yang keluar dan tak masuk masuk. Pada tahun 1998, kumpulan Search mengalami saat getir apabila Amy meninggalkan kumpulan tersebut di saat dalam proses merakam album baru. Ini kerana dia ingin fokus kepada kerjaya solo dengan menyertai label Sony Music.
Akhirnya, ahli ketika itu Kid, Noordin dan Fauzi meninggalkan kumpulan tu yang menjadikan Yazit satu-satunya ahli kumpulan yang tinggal. Pada tahun 1999, Yazit berjaya mengumpul dan membina line up baru kumpulan yang terdiri daripada Moq (vokalis), Shah (gitaris), Zam (basis) dan Yazit sendiri sebagai drummer. Kemudiannya, album bertajuk ‘Selepas Banjir’ dihasilkan yang mana sambutannya sangat mengecewakan.
Maka, pembubaran sebenar semakin dekat apabila Yazit, Moq dan Sham meneruskan usaha dalam industri muzik dengan kumpulan baru bernama Rampage. Manakala, Amy terus giat dengan kerjaya solo hingga menghasilkan beberapa album. Pada 16 Januari 2001, kumpulan Search secara rasminya dibubarkan.
Namun begitu, sepanjang tahun 2003 hingga 2009, berlaku penyatuan semula kumpulan Search yang terdiri daripada Amy, Hamzah Taib, Noordin Taib, Nasir Daud dan Lola bekas pemain drum XPDC. Beberapa jelajah dan konsert besar dah disertai. Apa yang menarik. sekalipun tiada lagi kelibat pengasasnya Yazit, kumpulan ni tetap membahagikn hasil kewangan kumpulan kepada Yazit sebagai tanda penghargaan.
Dunia seni muzik tanah air penuh ranjau berduri hingga hujung nyawa
Kisah kumpulan Search ni adalah salah satu contoh bagaimana susah payah sesebuah penggiat seni dalam industri muzik negara. Apa yang menarik, kumpulan Search juga ada membuat impaknya yang tersendiri dalam industri dalam bentuk kritikan dan teguran. Ini berlaku apabila Amy Search menegur radio-radio tempatan yang lebih banyak memainkan lagu Indonesia berbanding lagu tempatan.
Namun begitu, jasa dan inspirasi yang dah diberi oleh kumpulan ni kepada industri perlulah dikenang. Kisah kehidupan arwah Yazit pengasas Search yang pernah tak terbela dulu, harapnya tidaklah berulang kepada artis veteran lain. Janganlah seperti habis madu, sepah dibuang.
- 4.0KShare sekarang!
- Email148
- Facebook3.8K
- Share