Saat-saat terakhir 7 tokoh agung dunia…

Kat dalam movie kita selalu tengok scene epik bila hero atau mana-mana watak penting hampir nak mati, time tu jugaklah dorang sempat mengucapkan kata-kata terakhir yang penuh drama. Contohnya dalam Star Wars, siapa yang ingat scene kat bawah ni?

obi-wan-quotes
Imej dari Twitter.

Tapi bak kata Mark Twain, “Truth is stranger than fiction“. Kisah-kisah yang tercatat dalam sejarah lagi gempak jika nak dibandingkan dengan mana-mana movie. Jadi kat dalam artikel ni SOSCILI nak ceritakan 7 kata-kata terakhir daripada tokoh dunia yang sangat epik sampai susah nak percaya betul ke tak. Nak tau kenapa? Jom kita tengok.

1. Pejuang Islam yang menyesal tak dapat mati syahid

Salah satu impian Khalid al-Walid adalah untuk mati syahid di medan peperangan. Jadi bila dia sedang sakit tenat dan bertarung nyawa di atas katilnya, ini yang dia ucapkan:

“Aku telah bertarung dalam sebegitu banyak pertempuran mencari syahid sehinggakan tiada ruang di atas badanku tanpa parut atau luka daripada tombak dan pedang. Namun kini aku di sini, menunggu mati di atas katil bagaikan seekor unta. Semoga mata pengecut takkan tidur.” – Khalid al-Walid, tahun 642, dipetik dari Wikipedia.

Yang belajar sirah (sejarah Islam) dulu mesti familiar dengan nama ni kan? Khalid al-Walid adalah salah sorang general dalam kerajaan Islam. Beliau merupakan salah seorang sahabat Nabi dan juga telah berkhidmat untuk Nabi sendiri sampailah ke zaman pemerintahan Kalifah Umar ibn al-Khattab.

Walaupun dia general, dia berasal dari regimen tentera berkuda. Gambar dari m695.blogspot

Khalid al-Walid memeluk Islam selepas dipujuk abangnya Walid al-Walid, walaupun ditentang oleh Abu Sufyan (time ni Abu Sufyan belum masuk Islam lagi). Oleh kerana Khalid al-Walid mempunyuai pengaruh yang kuat di kalangan masyarakat, peristiwa ini merupakan satu kemenangan besar buat umat Islam ketika itu.

Khalid al-Walid memang power bab-bab perang ni dan antara banyak-banyak perang, perang Mu’tah boleh dikatakan paling simbolik untuknya. Waktu ni Khalid belum jadi general lagi tapi dia berada di bawah kepimpinan Zayd ibn Harith, Ja ‘far Abi Talib, dan juga Abdullah Rawahah. Lepas ketiga-tiganya syahid, Khalid mengambil alih tugas mereka sebagai pemimpin.

Tahniah atas kenaikan pangkat!

Sewaktu perang Mu’tah, askar Islam hanyalah seramai 3 ribu orang manakala askar Byzantine pula seramai 10 ribu, lebih tiga kali ganda! Tapi oleh kerana kepintaran Khalid dalam strategi perang, ia berakhir dengan seri.

Khalid al-Walid terus memimpin askar Islam di zaman Khulafa ar Rashidin (zaman kalifah) Lepas beberapa tahun berperang dengan berjaya dan berkhidmat untuk 3 pemimpin Islam, Khalid al-Walid meninggal dunia kat rumah dia. Mendengarkan Khalid yang menyesal kerana tidak dapat mati syahid, ini yang dikatakan oleh isterinya:

“Kau diberi gelaran “Pedang Allah”, dan pedang Allah sudah tentulah tidak akan dipatahkan, jadi takdirmu bukanlah untuk syahid, tetapi mati sebagai seorang penakluk.” – Dipetik oleh blog MuslimHeros.

2. Seorang ahli politik Rome yang asyik-asyik menyokong pihak yang kalah

Apabila Cicero berhadapan dengan pembunuh upahan yang telah dihantar oleh musuh-musuhnya, dengan selambanya dia berkata:

“Tiada apa yang elok dengan apa yang kamu ingin buat ini, wahai perajurit, tapi cubalah bunuh saya elok-elok.” – Cicero, 43 SM

Cakap boleh tahan gangster, tapi siapa sebenarnya Cicero ni? Marcus Tullius Cicero lahir pada 106 Masihi dan merupakan seorang ahli falsafah, peguam, pemidato, dan ahli politik di Rome. Dia juga dikenang sebagai individu yang sangat memberi impak terhadap bahasa Latin (sampaikan ada gaya pidato yang diberi nama sebagai Ciceronian Style).

Selepas dilantik menjadi seorang consul (kira macam ahli Parlimen di Rome), dua kuasa besar di Rome iaitu Julius Caesar dan Pompey telah berperang dan Cicero telah memihak kepada Pompey. Pada tahun 49 sebelum Masihi, Julius Caesar berjaya menakluk Rome selepas mengalahkan Pompey. Bila Julius Caesar jadi maharaja Rome, dia telah mengampunkan Cicero dan membenarkan Cicero masuk semula ke dalam dunia politik.

Macam ni lah rupa Dewan Rakyat waktu zaman Rome  dulu. Yang kat dalam ni semua consul. Gambar dari emaze.com

Sewaktu Julius Caesar jadi maharaja, ramai ahli politik tak puas hati dengan dia terutama sekali geng consul ni sebab dilayan macam batu. Bila dah tak puas hati, Julius Caesar dikhianati oleh geng consul dan bermulalah semula perang saudara Rome. Tapi waktu ni anak angkat Julius Caesar iaitu Octavius telah bergabung dengan Mark Antony dan juga Marcus Lepidus untuk menubuhkan sebuah parti baru.

Zaman dulu takde instagram, jadi dorg ukir muka kat batu. Gambar dari fredsullivan.com

Cicero yang menentang parti ni telah memihak kepada Decimus Albinus dan ini telah membawa kecaman hebat dari Octavius dan geng dia. Cicero yang time tu berumur 63 tahun cuba melarikan diri daripada pembunuh upahan Mark Antony. Tapi apalah daya sorang pakcik tua nak larikan diri dari tentera professional, Cicero mati kat situ juga, dan dikatakan kepala dan tangan kanannya telah dipotong dan dipamerkan di Rome, sebagai membalas dendam Antony atas ucapan dan tulisan Cicero.

Pada hari ni Cicero dianggap sebagai tokoh yang paling memberi impak terhadap bahasa Latin. Menurut kata Quintillina, Cicero adalah “bukan (hanya) nama seorang lelaki, tetapi melambangkan kefasihan itu sendiri.”

3. Tokoh matematik yang dibunuh ketika sangat khusyuk dengan kerja

Sebagai sorang sangat berdedikasi dalam bidangnya, Archimedes memang pantang kena kacau waktu dia buat kerja. Walaupun benda tu membabitkan hidup dan mati dia sendiri.

“Jangan kacau bulatan saya!” – Archimedes, 212 SM

Bukan macam orang lain dalam senarai ni, Archimedes bukannya sorang ahli politik mahupun general tapi adalah sorang ahli matematik, ahli fizik, astronomoer, pencipta dan juga engineer. Korang mungkin ingat dia ni daripada kisah ‘Eureka!’ dalam buku teks sekolah dulu. Sumbangannya terhadap sains sangatlah besar sehinggakan Galileo sendiri mengatakan yang Archimedes ni adalah seorang superhuman.

Muka Archimedes yang telah dilukis oleh artis bernama Fetti.

Pada tahun 214 -212 Sebelum Masihi, Syracuse (yang merupakan tempat tinggal Archimedes time tu) kena kepung dengan tentera Rome. Tentera ni diketuai oleh Jeneral Marcus Claudius Marcellus yang tengah berperang dengan kerajaan Syracuse. Selama dua tahun bandar ni kena kepung dan bila akhirnya bila tentera Rome dapat masuk, Jeneral Marcus suruh budak-budak dia pergi cari Archimedes.

Archimedes yang berumur umur 75 tahun tak sedar pun tentera Rome dah masuk bandar Syracuse, bukannya sebab nyanyuk tapi tengah khusyuk buat kerja. Jadi bila askar nak bawak Archimedes jumpa Jeneral Marcus, dia kata “Jangan langgar bulatan aku tu!”.

Anugerah Pekerja Abad Ini. Lukisan oleh artis Thomas Degeorge.

Askar yang ditugaskan tu bengang dan terus tikam Archimedes, dan tak pasal-pasal mati kat situ juga. Bila Jeneral Marcus tau pasal perkara ini, dia terus jatuhkan hukum bunuh kat askar tersebut sebab melanggar arahan dan juga membunuh orang yang tak bersalah, Jeneral Marcus juga telah meminta maaf kepada keluarga Archimedes atas kesalahan askar dia.

4. Kawan baik Fidel Castro yang berjuang untuk rakyat sehingga ke penghujung nyawa

Ni boleh dikatakan salah satu kes ironi paling famous kat dunia. Mungkin setengah tau kisah sebenar dia tapi kebanyakan orang tau dia sebagai “Oh mamat ni ada kat baju semua orang” itulah kisah Che Guevara.

“Aku tahu kau datang ke sini untuk membunuh aku, tembaklah pengecut, kau hanya membunuh seorang manusia sahaja” – Che Guevara, 1967

Che ni bukan nama orang Kelantan je ok. Che Guevara atau nama sebenarnya Ernesto Guevara merupakan sorang pejuang revolusi dari Argentina. Ya, pejuang revolusi Cuba sebenarnya sorang rakyat Argentina. Nama Che tu pula bukannya datang dari nama dia tapi merupakan satu slang atau nickname dari Argentina yang bermaksud ‘Abang’ ataupun ‘Bro’. So kalau Guevara ni orang Malaysia, nama dia Abang Guevara!

Gambar iconic Che Guevara yang berjudul ‘Guerrillero Heroico’ yang bermaksud Hero Guerrilla telah diambil oleh Alberto Korda.

Dilahirkan pada 1928, Che Guevara kemudiannya menjadi sorang doktor dengan kelulusan dari Universiti Buenos Aires. Lepas grad, dia menjelajah Selatan Amerika dan waktu itulah dia terjumpa dengan Fidel Castro kat Mexico. Selepas menjatuhkan Presiden Batista dengan perang guerrilla Cuba pada tahun 1956-1959, Fidel Castro telah naikkan pangkat Che Guevara sebagai Presiden Bank Negara Cuba dan juga Duta Cuba.

Bila telah dinaikkan pangkat, Che kemudiannya telah pusing satu dunia dan menjalinkan hubungan diplomatik untuk Cuba dan juga memperjuangkan hak-hak orang ditindas. Salah satu peristiwa yang mengangkat nama Che Guevara adalah bila dia menolak PBB kerana enggan menyelesaikan masalah Apartheid di Afrika Selatan.

Mula-mula nak cuti, pastu berhenti jela terus. Gambar dari dailymail.co.uk

Pada tahun 1965 Che Guevara letak jawatan, dan takdir telah membawanya ke Bolivia. Di situ dia ingin menolong rakyat dan juga parti komunis Bolivia melawan kerajaan bersekutu. Tapi disebabkan faktor-faktor tertentu, Che telah kalah dan kemudiannya ditangkap dan dibunuh oleh tentera Bolivia. Fidel Castro terkejut dan juga sedih dengan pemergian kawan baiknya itu.

Hari ni ada yang menganggap Che sebagai pejuang kebebasan dan ada juga yang menganggapnya sebagai pengganas. Apa yang pasti, muka dialah antara yang paling popular kat atas T-Shirt dan selepas Bob Marley.

5. Hero Ireland yang maintain cool sampailah mati

“Cuba ke depan sikit setapak dua, kan lagi senang nak tembak dari situ” – Erskine Childers, 1922

Tahun 2016 ni kita telah menyaksikan sejarah berlaku di depan mata kita bila #Brexit terjadi, iaitu United Kingdom (British) keluar dari European Union dan menjadi negara yang tak terikat dengan persatuan Eropah. Kepada yang tak tau, United Kingdom ni pula terbahagi kepada beberapa negara tersendiri iaitu England, Wales, Ireland Utara, dan juga Scotland.

Erskine Childers time dia jadi pejuang kebebasan Ireland. Gambar dari irishtimes.com

England, Wales, dan Scotland ada kat satu pulau yang sama; manakala Ireland Utara ada kat pulau lain, di sebelah Republik Ireland (satu negara lain). Pening kan? Ok, tak faham pun takpe sebab kita bukan nak belajar geografi tapi ingin bercerita pasal Erskine Childers.

Erskine Childers merupakan seorang rakyat UK yang sangat patriotik di mana dia telah berkhidmat dengan angkatan tentera diraja British sewaktu Perang Boer dan juga Perang Dunia Pertama. Tapi lepas perang dia telah berubah menjadi sorang yang tak percayakan lagi kepada kuasa besar British. Dia meletak jawatan sebagai ahli parti politik di UK dan join menuntut kemerdekaan untuk Ireland bersama Michael Collins.

Gambar dari irishtimes.com

Kebanyakan masa Erskine dan Michael telah dihabiskan dengan perang saudara Ireland di mana ada setengah orang Irish nak duduk dalam UK dan ada sesetengah lagi nak berpisah menjadi negara sendiri. Pada tahun 1922, Michael telah dibunuh oleh pihak Ireland Utara dan selang beberapa minggu kemudian Erskine telah dihukum bunuh oleh British atas kesalahan menyimpan senjata haram.

Ni lah kereta kebal yang digunakkan oleh British dalam perang saudara Ireland, comel kan? Gambar dari imcdb.org

Ada ura-ura mengatakan Erskine dibunuh atas sebab politik dan penggunaan senjata haram tu hanyalah alasan semata-mata. Tapi sebelum dia kena tembak, Erskine sempat berjabat tangan dengan askar-askar dan bagitau anak dia (bakal Perdana Menteri Ireland Republik) supaya berjabat tangan dengan orang yang telah mengeluarkan waran membunuh dia.

6. Sultan yang mati tanpa harta kerana mewasiatkan kesemuanya kepada orang miskin

“Ya Allah cukupkanlah aku, tiada tuhan melainkan kau Ya Allah, kepada dia aku percaya. Dia lah yang maha Agung” – Salahuddin Ayoubi, 1193

Dikenali di dunia barat dan juga dalam ketamadunan Islam, Salahuddin Ayoubi ataupun nama sebenarnya Yusuf bin Ayoub ni merupakan seorang sultan dan juga general kepada empayar Ayyubid. Keluasan empayarnya merangkumi beberapa negara seperti Mesir, Palestin, Turki, Libya, Syria, Sudan, Iraq, dan juga Arab Saudi. Salahuddin juga dikenali sebagai orang Islam yang telah menakluk Jerusalem dan mempertahankannya dari tentera Crusaders.

Watak Salahuddin Ayoubi yang telah dimainkan oleh Gassan Masoud dalam cerita Kingdom of Heaven. Gambar dari thecinematicexperiance.wordpress

Tapi sebelum dia jadi ketua kepada semua negara tu, dia pernah bekerja dengan kerajaan Kalifah Fatima dimana dia dinaikkan pangkat jadi penasihat Sultan al-Adid. Benda ni memang jarang sebab Salahuddin merupakan sorang sunni manakala kerajaan tersebut merupakan kerajaan yang banyak pengaruh Syiah. Walaupun dia jadi penasihat sultan dia tetap tak setuju cara kerajaan Fatima mentadbir Mesir, jadi bila Sultan al-Adid meninggal dia ambil alih, maka terlahirlah empayar Ayyubid.

Yes naik pangkat lagi! Gambar dari pinterest.com

Masa dia jadi sultan dia banyak menghabiskan masa menyatukan dunia arab dan sebarkan ajaran sunni Islam kat kerajaan dia. Tapi benda yang membuatkan orang kagum dengan dia adalah sikap dia yang pemurah, baik hati, dan alim. Reputasinya sangat kuat sampaikan musuh dia (Raja Richard ‘The Lionheart’) waktu perang Crusade dulu sangat menghormatinya.

Walaupun sering berperang antara satu sama lain, hubungan Salahuddin dengan Richard ni macam main tarik tali. Ada sekali tu kuda Richard hilang, Salahuddin telah menghantar dua ekor kuda sebagai ganti. Selain daripada tu, sewaktu dia mengepung Jerusalem dia masuh lagi seorang pemimpin yang pemurah, di mana sesiapa yang nak keluar kena bayar denda dengan harga yang sangat rendah tapi kalau takde duit boleh keluar secara percuma, tak lupa juga orang Yahudi yang dibenarkan duduk balik kat situ.

Petikan dari movie Kingdom of Heaven

Masa Salahuddin meninggal pada 1193, duit dia ada sebanyak satu syiling emas dan 40 syiling perak je sebab hartanya telah diwasiatkan kepada rakyat dia yang miskin. Jenazah Salahuddin dikebumikan di Masjid Umayyad, Syria dimana dia telah ditanam dalam makam yang sangat sederhana. Beberapa ratus tahun kemudian, Maharaja Wilhelm II sedekahkan lagi satu makam untuk Salahuddin.

7. Biarawati yang sanggup memaafkan pembunuhnya sendiri

“Saya maafkan, saya maafkan” – Sister Leonella Sgorbati, 2006

Kalau korang dah kena tembak, korang sanggup tak maafkan orang yang tembak korang tu di penghujung nyawa? Inilah apa yang terjadi pada Sister Leonella Sgorbati. Wanita Itali yang telah dilahirkan pada tahun 1940 ni memang dari zaman remaja lagi nak jadi seorang biarawati. Sewaktu berumur 20 tahun dia sambung belajar dalam bidang jururawat dan lepas tu terus angkat sumpah menjadi sorang Nun.

Sister Leonella bersama bayi di Kenya. Gambar dari rcmsomalia.blogspot

Dia mula buat kerja ni pada tahun 1970 di Nairobi, Kenya. Lepas beberapa tahun kat sana, Sister Leonolla berpindah ke Mogadishu dimana dia telah diberi tanggungjawab untuk menjadi pengarah di sebuah sekolah kejururawatan. Waktu ni, Sister Leonolla sering berulang-alik dari Uganda dan Mogadishu sebab nak tolong selesaikan hal pelajar-pelajar dia.

Pada tahun 2006, kerajaan Somalia dah mula laksanakan undang-undang baru yang menyukarkan orang untuk keluar masuk ke negara, dan Sister Leonolla tak terkecuali. Tapi akhirnya pada 13 September, Sister Leollona berjaya masuk balik ke Mogadishu, tapi kehadiran dia kat sana tak lama pun.

Sister Leonella bersembang dengan seorang warga Mogadishu di Somalia. Gambar dari sos-childrensvillages.org

Tanggal 17 September, Sister Leonella dan bodyguard dia sedang dalam perjalanan nak masuk ke pejabat di mana mereka diserang hendap oleh dua pengganas. Sister Leonella ditembak kat peha dan belakangnya manakala bodyguard dia telah mati kat situ jugak. Sewaktu kat hospital sebelum menghembuskan nafas terakhir, Sister Leonella sempat memaafkan penembak-penembak tersebut. Insiden ni mencuri perhatian Paus Emeritus Benedict XVI di mana dia telah memuji sikap Sister Leonella dengan mengatakan bahawa beliau telah melawan kejahatan dengan menggunakan kebaikan.

Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama

Dalam Islam, kita digalakkan untuk pergi ke alam barzakh dengan syahadah ataupun berzikir dan bagi yang menganuti agama lain, mereka akan mengucapkan ayat-ayat suci masing-masing. Tapi selain itu, kata-kata terakhir yang dilafazkan mungkin menjadi legasi mereka.

Namun apa yang membuatkan ayat terakhir seseorang itu dikenang bukanlah semata-mata kerana ayat yang puitis macam skrip Hollywood, tetapi disebabkan cerita disebaliknya. Contohnya bagi Mahatma Gandhi, dipercayai yang ayat terakhir dia adalah “Hare Rama” yang bermakna “segala puji bagi Tuhan” kerana dia merupakan seorang Hindu yang alim.

Jadi kalau korang boleh pilih kata-kata terakhir korang, apa agaknya?

About Adly Kiddy 83 Articles
Layari Spotify atau Apple Music dan dengar lagu Selesta - Resistance