AEON agih lebih 30,000 bubur lambuk sempena Ramadan tahun ini

AEON menyemarakkan suasana sambutan Ramadan tahun ini dengan mengedarkan lebih 30,000 pek bubur lambuk di 34 cawangan seluruh negara. Acara yang dilaksanakan secara berperingkat ini bermula dari 23 Mac hingga 31 Mac 2024.

Program bubur lambuk AEON ini merupakan acara tradisi yang telah dilaksanakan oleh AEON sejak sekian lama. Ia bertujuan mendekati masyarakat di samping berkongsi kemeriahan dengan orang ramai khasnya pengunjung pasar raya AEON dan juga kepada mereka yang memerlukan.

Menurut Dr. Kasuma Satria bin Mat Jadi, Ketua Pegawai Sumber Manusia dan Pengarah Komunikasi Korporat AEON,

“Di samping mendekatkan diri kami dengan masyarakat, aktiviti ini juga mampu menceriakan silaturrahim di kalangan warga AEON. Kami amat bersyukur kerana tahun ini merupakan tahun ke-40 AEON berada di hati pengguna negara ini. Jadi kami ingin menyambut Ramadan tahun ini dengan lebih kesyukuran. Program ini merupakan tanda terima kasih AEON kepada semua pelanggan yang telah bersama AEON selama ini.” – Dr. Kasuma Satria bin Mat Jadi

Setiap proses penyediaan dan agihan bubur lambuk untuk program ini dilakukan sendiri secara gotong royong oleh warga AEON bersama komuniti setempat dan pihak berkuasa tempatan.

Dr Kasuma Satria (berbaju hijau) turut sama membantu mengagihkan bubur lambuk kepada pengunjung AEON Mall Kota Bharu.
Dr Kasuma Satria (berbaju hijau) turut sama membantu mengagihkan bubur lambuk kepada pengunjung AEON Mall Kota Bharu.

Antara program yang telah berlangsung ialah Program Kembara Ramadan yang diadakan di AEON Mall Kota Bharu Kelantan pada 23 Mac 2024. Di dalam program ini, AEON Mall Kota Bharu telah mengagihkan 1,500 pek bubur lambuk kepada pengunjung dan juga keluarga yang memerlukan.

Program ini merupakan kolaborasi AEON Mall Kota Bharu bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Kelantan, Koperasi Pengilang Produk F&B Berhad, Kelab KB Underground dan beberapa rakan niaga AEON yang lain.

Sementara itu, Yayasan AEON Malaysia (MAF) juga akan mengagihkan 1,000 pek bubur lambuk kepada pesakit, pelawat, dan petugas barisan hadapan di Hospital Tunku Azizah di Kuala Lumpur melalui program AEON Mesra Ramadan.

Bubur lambuk AEON disediakan oleh sukarelawan AEON dan komuniti setempat

MAF merupakan cabang tanggungjawab korporat AEON yang melaksanakan pelbagai program bantuan dan sokongan untuk komuniti yang memerlukan.

“DI AEON kami sentiasa mengutamakan kesejahteraan masyarakat sekiling kami. Kami ingin menjadikan AEON bukan sahaja sebagai tempat membeli belah tetapi juga sebuah syarikat yang sentiasa menyantuni ekosistemnya melalui program kelestarian dan kemasyarakatan yang sihat. Kami amat bersyukur kerana dapat terus beroperasi selama 40 tahun dan ingin meraikan kejayaan ini bersama pelanggan dengan terus mengukir senyuman dan mengikat hati.” – Dr. Kasuma Satria bin Mat Jadi