- 46Share sekarang!
- Email0
- Facebook46
- Share
Korang perasan tak? Kalau ikut mak atau ayah ke pasaraya, mesti mereka akan memilih barang-barang yang mempunyai logo halal dari JAKIM. Takpun, kalau kita tengah membuat pilihan barang, sama ada logo halal dari JAKIM atau luar negara, mesti kita akan pilih yang JAKIM punya.
Pelik juga kenapa majoriti masyarakat kita sangat yakin dengan logo halal dari JAKIM berbanding logo halal dari negara lain. Adakah disebabkan kita tidak yakin dengan pengiktirafan halal dari jabatan agama luar negara? Takpe, usah pening kepala kerana kami akan cuba menghuraikan tentang isu ini.
122 sijil halal je yang ada di dunia tapi hanya 84 daripadanya tak diterima oleh JAKIM
Masyarakat kita menganggap ‘halal’ sebagai ‘tidak ada babi dan alkohol‘ atau ‘no pork no lard‘, tetapi sebenarnya ia adalah istilah yang digunakan untuk menggambarkan apa yang sebenarnya boleh dilakukan oleh umat Islam dan merangkumi pelbagai aspek dalam kehidupan seperti makan, minum serta penggunaan.
Hal ini kerana dalam proses pembuatan makanan, ia merangkumi segala aspek dari segi kebersihan, pengendalian produk, dan tiada dalil yang mengharamkanya supaya makanan atau produk itu dijamin halal.
Bukan itu saja, terdapat beberapa syarat untuk mendapatkan sijil halal bagi sesuatu premis dan kilang:
- Berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM/Suruhanjaya Koperasi Malaysia/ lain-lain agensi kerajaan.
- Mempunyai lesen perniagaan daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) / surat akuan dari agensi kerajaan.
- Beroperasi sepenuhnya terlebih dahulu sebelum permohonan dibuat.
- Mengeluar dan/atau mengendalikan produk halal sahaja.
- Memastikan sumber bahan ramuan adalah halal dan memilih pembekal yang membekalkan bahan-bahan halal atau mempunyai sijil pengesahan halal yang diiktiraf.
- Memohon semua jenis produk/menu yang dikeluarkan di kilang/premis berkenaan.
- Permohonan bagi pembungkusan semula (repacking) hendaklah mengemukakan sijil halal yang diiktiraf bagi produk tersebut.
Namun, adakah proses sebegini sama seperti di luar negara?
Ternyata, negara luar juga mempunyai jabatan agama sendiri tetapi lebih dikenali Badan Pensijilan Halal (HCB). Sebenarnya ada juga negara yang mempunyai banyak HCB seperti Asutralia yang mempunyai 24 HCB.
Bukan semuanya ialah agensi kerajaan pusat seperti JAKIM kerana beberapa negara seperti China mempunyai badan pensijilan halal di setiap wilayah manakala Badan Pensijilan Halal (HCB) India hanya untuk syarikat swasta atau persatuan sahaja. Untuk pengetahuan korang, kita mempunyai 122 HCB di seluruh dunia pada tahun 2014.
Namun, sebanyak 84 HCB sahaja yang diiktiraf oleh JAKIM, kami akan menyenaraikan beberapa HCB dan selebihnya korang boleh tekan di sini:
- Islamic Food and Nutrition Council of America (IFANCA) (Amerika Syarikat).
- Association For The Inspection And Certification Of Food And Supplies (GIMDES) (Turkey).
- The Central Islamic Council of Thailand (CICOT) (Thailand).
- Taiwan Halal Integrity Development Association (THIDA) (Taiwan).
- The Halal Institute of Spain (Junta Islámica) (Spain).
Kami tahu korang tertanya-tanya HCB mana yang tidak diiktiraf oleh JAKIM. Terbukti sebanyak 50 HCB dari 18 negara yang tidak diiktiraf oleh JAKIM dan korang boleh tekan di sini untuk melihat senarai itu.
Timbul lagi satu persoalan iaitu adakah 50 HCB ini tidak legit? Padahal HCB yang disenarai ini sangat dikenali di negaranya. Jadi, mereka ni tak boleh eksport barang termasuk ehem.. ‘daging‘ ke Malaysia?
Sebenarnya…..
JAKIM pergi ke luar negara untuk pantau penyembelihan dan pemprosesan makanan
Selain menjadi HCB untuk negara mereka sendiri, HCB berdaftar juga bertindak sebagai wakil JAKIM untuk memantau dan mengesahkan status halal daging dan produk yang dihasilkan di negara masing-masing. JAKIM turut memerlukan kepercayaan HCB untuk tugas-tugas ini. Ini mungkin sebabnya proses pendaftaran HCB di bawah JAKIM sangat ketat.
Terdapat senarai kriteria yang sangat banyak yang terbahagi kepada enam bahagian yang perlu dipenuhi oleh HCB untuk didaftarkan di bawah JAKIM. Korang boleh lihatnya dengan tekan di sini tapi kami bagi lah sikit apa kriterianya:
- Pemilik HCB mesti beragama Islam dan diiktiraf oleh pihak berkuasa negara.
- HCB itu juga mesti memenuhi standard yang diinginkan oleh JAKIM.
- Pekerjanya juga mesti beragama Islam dan mempunyai lembaga syariah serta juruaudit.
- Memastikan adanya catatan terkini kilang penyembelihan atau pemprosesan daging.
- HCB itu perlu menyumbangkan jasa kepada komuniti seperti masjid.
HCB yang memenuhi kriteria ini boleh mendaftar sebagai badan pensijilan halal asing dengan JAKIM. Namun, sebelum permohonan itu diluluskan, JAKIM juga akan melihat keadaan produk seperti daging atau haiwan yang disahkan oleh badan-badan ini.
Dalam isu ini, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia (DVS) membantu JAKIM kerana mereka tidak pakar dalam memerikasa aspek kesihatan dan keselamatan. Mereka bersama-sama akan pergi ke luar negara untuk melawat kawasan penyembelihan dan kilang memproses daging yang disahkan oleh HCB.
HCB yang berjaya melepasi kriteria dari JAKIM, mereka dibenarkan untuk mengeksport barang, daging atau haiwan ke Malaysia dengan menggunakan logo halal masing-masing. Tapi HCB yang diiktiraf JAKIM ini perlu memperbaharui permohonan mereka setiap dua tahun.
Pusat penyembelihan dan kilang memproses daging yang disahkan oleh mereka akan disenaraikan oleh DVS. (Boleh lihat di sini).
Menurut yang mempertahankan JAKIM, isu daging haram yang ada logo halal palsu itu boleh berlaku pada bila-bila masa, di mana pemprosesan daging itu berada di bawah bidang kuasa Kastam, MAQIS, KPDNKK dan sebagainya.
Disebabkan skandal ini, JAKIM berencana untuk mengkaji proses pengesahan halal yang ada, menyusun senarai pengimport daging berlesen, dan bekerjasama dengan agensi kerajaan lain untuk membuat siri inisiatif untuk menyelesaikan masalah kartel daging.
Elakkan diri kita daripada mengambil makanan yang syubhah
Selepas pendedahan kegiatan kartel daging haram yang menyebabkan majoriti masyarakat meragui status halal daging import. Hal ini menyebabkan peningkatan jualan daging tempatan berbanding daging import.
Rasulullah bersabda:
“Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Diantara keduanya terdapat perkara-perkara yang syubhat (samar-samar) yang tidak diketahui oleh orang banyak. Maka siapa yang takut terhadap syubhat bererti dia telah menyelamatkan agamanya dan kehormatannya. Dan siapa yang terjerumus dalam perkara syubhat, maka akan terjerumus dalam perkara yang diharamkan.” – Hadis riwayat Tirmizi, No.1205.
Untuk pengetahuan korang, syubhah bermaksud keraguan atau samar-samar hukumnya sama ada halal dan haram. Contohnya, kalau korang beli barang dapur tapi ragu-ragu samada boleh dimakan atau tidak kerana tiada logo halal maka, ia boleh ditakrifkan sebagai makanan syubhah.
Menurut kitab Ihya’ Ulum ad-Din dari Imam Al-Ghazali, syubhah ditakrifkan sebagai perkara yang samar-samar disebabkan berlakunya pertembungan antara dua pegangan yang timbul daripada dua bukti atau sebab.
Oleh itu, kita disarankan menjaga perut daripada makanan yang syubhah apatah lagi haram kerana ia akan menjadi halangan dalam menerima keredhaan Allah S.W.T.
- 46Share sekarang!
- Email0
- Facebook46
- Share