Adakah LRT dan MRT ni betul-betul kerap rosak? Atau kita je rasa macam tu?

Kalau korang selalu guna pengangkutan awam sekitar KL, besar kemungkinan korang pernah ada pengalaman at least sekali untuk satu pagi yang buat korang rasa tak best. Punca? Tren lambat….lagi. Dan waktu tu korang dah betul-betul lambat nak pergi kerja. Nak naik Grab? Harga mahal. Tapi, lama-lama benda ni rasa macam… dah biasa?

Dari situ timbul lah soalan dalam kepala kami, tren kita ni memang tak boleh diharap ke, atau kita je yang rasa tersakiti sebab masa tu kita tengah berpeluh, stres, dan dah lambat? Macam dunia ni tak berpihak pada kita dalam timing yang sangat tak kena.

Untuk cari jawapan, kami pun selongkar semua pengumuman gangguan perkhidmatan kat Twitter rasmi Rapid KL sepanjang tiga tahun lepas, dari November 2022 sampai Oktober 2025, merangkumi lima laluan tren utama. Kami rekodkan punca setiap kelewatan dan masa paling kerap berlaku. Daripada situ, kami jumpa beberapa dapatan yang agak menarik, antaranya…

Sebenarnya kerap ke tren kita rosak?

Untuk lima laluan tren utama, MRT Putrajaya, MRT Kajang, KL Monorail, LRT Ampang dan LRT Kelana Jaya, kami dapat kumpulkan sebanyak 272 pengumuman gangguan dalam tempoh tiga tahun, maksudnya, lebih kurang 7 hingga 8 isu sebulan, atau 1 ke 2 kali seminggu.

Yang mengejutkan, bulan paling teruk sepanjang tiga tahun tu bukan yang lama-lama dulu, tapi Oktober tahun ni. Dalam sebulan tu je, ada 18 pengumuman gangguan, dan Laluan Putrajaya wakilkan 8 daripadanya, pegang takhta laluan paling bermasalah bulan tu.

Separuh kedua Oktober memang agak huru-hara. Laluan Putrajaya ada tiga masalah isyarat berturut-turut pada 25, 26 dan 27 haribulan. Lepas tu, pada 31 haribulan, dua masalah berlaku dalam hari yang sama: mula-mula ada orang ceroboh trek, jadi punca kelewatan… dan tak sampai sejam lepas benda tu selesai, muncul pula masalah suis trek yang lambatkan perkhidmatan sekali lagi.

Tapi bukan sentiasa teruk camni. Ada juga tempoh yang sistem berjalan dengan agak baik. Contohnya Ogos 2023, yang hanya rekodkan satu isu isyarat di Laluan Kelana Jaya, dan September 2024, yang takde satu pun masalah dilaporkan. Kami sampai semak balik berita untuk pastikan… dan satu-satunya gangguan bulan tu rupanya berlaku di Singapura.

Kalau dipecahkan ikut hari pula, lagi menarik corak dia. Kat sini, Isnin yang selalu kena fitnah sebagai hari paling teruk, sebenarnya bukanlah hari yang paling teruk. Dan sebenarnya hari paling “malang” untuk naik tren ialah Selasa, dengan 58 daripada 272 isu dilaporkan. Jadi kalau hari Selasa korang selalu rasa takde luck, sekarang korang tahu kenapa. 

Jumaat di tempat kedua dengan 46 insiden, mungkin sebab dah nak masuk hujung minggu, jadi tren pun nak  cepat-cepat habis kerja. Sabtu pula adalah hari yang paling tenang dengan hanya 26 isu sepanjang tiga tahun lepas.

Tren hari Jumaat camni la…

Laluan mana paling kerap rosak?

Mungkin korang sendiri pun dah boleh agak. Kalau korang teka Laluan Kelana Jaya , jawapannya ya. Laluan Kelana Jaya pegang takhta laluan paling bermasalah, dengan 90 insiden sepanjang tiga tahun tu, kira-kira sepertiga daripada semua gangguan dalam rekod ni. Tapi kalau kita tengok semula, Kelana Jaya antara laluan dengan penumpang paling ramai, jadi mungkin sebab tu juga laluan ni la yang paling kerap masalah. 

Laluan Kajang berada di tempat kedua dengan 74 isu, yang agak mengejutkan sebab laluan ni lebih baru dan mula beroperasi pada 2016. Tapi sebab laluan ni juga ada jumlah penumpang yang tinggi, penggunaan harian yang berat, jadi mungkin sebab tu juga dia bermasalah, sama macam Laluan Kelana Jaya. 

Graf: Jumlah penumpang MRT Kajang berbanding laluan lain.

Laluan Ampang, walaupun paling lama (beroperasi sejak 1998), berada di tempat ketiga dengan 45 insiden, lebih kurang separuh daripada jumlah Kelana Jaya.

Yang paling “tenang” pula, Laluan Putrajaya (33 insiden) dan KL Monorail (30 insiden). MRT Laluan Putrajaya masih baru, manakala Monorail pula laluan dia lebih pendek, jadi angka gangguan diorang kekal rendah.

Pendek kata, laluan yang paling ramai orang KL bergantung tu lah jugak laluan yang paling kerap buat perangai.

Jadi, apa sebenarnya punca semua gangguan ni?

Bila kami teliti sebab-sebab gangguan, kami jumpa corak yang agak jelas. Punca paling biasa ialah masalah berkaitan tren tu sendiri, komponen rosak, isu brek atau tekanan udara, pintu yang degil tak nak tutup, atau tren yang langsung tak boleh bergerak sampai kena tunda. Semua ni menyumbang 61 kes, kira-kira 22% daripada keseluruhan gangguan.

Belakang sikit dari tu, dengan jumlah yang lebih kurang sama banyak, masalah trek, dengan 60 kes (22%). Ni termasuk suis trek rosak, penggera halangan, pokok tumbang atas landasan… dan ya, termasuk juga penumpang yang entah kenapa decide nak lintas trek.

Untuk keselamatan semua orang, jangan berlari, berjalan, berenang atau sewaktu dengannya atas trek macam diorang ni. 

Seterusnya ialah masalah isyarat, dengan 51 kes (19%). Bila sistem isyarat bermasalah, tren akan bergerak lebih perlahan dan berhenti lebih lama, yang secara automatik menyebabkan kesan berantai kelewatan.

Masalah lain yang jadi punca adalah masalah pintu platform dan bekalan kuasa masing-masing menyumbang 8%. Kejadian besar macam kebakaran atau kilat pula jarang berlaku, bawah 3%. Gangguan disebabkan kerja penyelenggaraan contohnya naik taraf atau potong dahan pokok pula bawah 2%.

Info yang sama, cuma dalam bentuk carta pai.

Akhir sekali, ada 47 kes (17%) yang sebabnya agak kabur atau langsung tak sebut kenapa, cuma dilabel sebagai “isu teknikal”, buat semua orang tertanya-tanya apa yang jadi sebenarnya. 

Semua faktor ni cukupkan 272 gangguan yang direkodkan sepanjang tiga tahun lepas.

Biasanya, berapa lama kelewatan ni berlaku?

Untuk anggaran tempoh gangguan, kami bandingkan tweet pertama yang kami jumpa untuk setiap isu yang umumkan masalah tu, dengan tweet yang sahkan isu dah selesai.

Contoh tweet isu bermula.
Tweet isu dah selesai.

Berita baiknya, kebanyakan isu sebenarnya selesai agak cepat. Daripada 272 gangguan, 149 kes (55%) selesai dalam masa kurang sejam, dan daripada jumlah tu, 39 kes diselesaikan dalam bawah 15 minit. Selebihnya biasa selesai dalam beberapa jam.

Tapi, memang ada pengecualian. Laluan Kelana Jaya pernah problem teruk pada November 2022, bila masalah isyarat berulang memaksa tren dikendalikan secara manual selama tujuh hari, tu sebab perkhidmatan jadi sangat perlahan.

Laluan Ampang pula pernah jadi krisis besar dan lama, dari Januari hingga Mei 2023. Retakan pada jejambat berhampiran Stesen Bandaraya buatkan beberapa stesen terpaksa ditutup, dan akses ke depot disekat. Sampai satu tahap, laluan ni cuma beroperasi dengan dua tren je, sampailah pembaikan sementara siap.

Stesen LRT Bandaraya. Imej dari mrt.com.my.

Masa juga main peranan besar. Waktu puncak memang paling teruk contohnya 5 pagi sampai 9 pagi: 94 insiden (kira-kira satu pertiga), pastu, 5 petang sampai 9 malam: 73 insiden (lebih kurang suku). Waktu 9 pagi sampai 1 petang rekodkan 43 insiden, manakala 1 petang sampai 5 petang ada 44. Waktu malam, dari 9 malam sampailah tengah malam, tak banyak hal, dengan hanya 18 gangguan.

Nak lagi senang faham, tengok graf ni. 

Jadi kalau korang rasa macam selalu jadi mangsa bad timing bila naik tren, data ni buktikan apa yang korang rasa tu valid.

Jadi, RapidKL ada tambahbaik apa-apa ke?

RapidKL nilai prestasi tren guna satu metrik yang dipanggil MKBF (Mean Kilometers Between Failure), ringkasnya, jarak yang tren boleh bergerak sebelum berlaku masalah teknikal yang buat dia berhenti lebih daripada lima minit. Lagi tinggi nilai MKBF, lagi boleh dipercayai sesuatu laluan tu.

Sasaran yang ditetapkan memang agak tinggi. Laluan Kelana Jaya, Ampang dan Kajang masing-masing target 1 juta kilometer, manakala KL Monorail, sebab laluannya lebih pendek, sasarkan 150,000 kilometer. Setakat Oktober 2024, hanya Monorail yang berjaya lepasi sasaran, dengan sekitar 240,000 kilometer. Laluan Ampang hampir capai sasaran lebih kurang 800,000 kilometer, Kajang sekitar 520,000 kilometer, manakala Kelana Jaya masih ketinggalan dengan lebih kurang 400,000 kilometer. Walaupun laluan-laluan lama ni masih jauh dari sasaran asal, trend keseluruhannya dah tunjuk peningkatan secara berperingkat.

Dan pemenangnya Laluan Putrajaya, dengan angka MKBF mencecah 2.8 juta kilometer, jauh beza dengan laluan lain. Menariknya, angka ni tetap dicapai walaupun ada beberapa gangguan pada bulan Oktober, yang buktikan bukan semua kelewatan dikira sebagai kegagalan teknikal sepenuhnya. Kadang-kadang tren masih bergerak, cuma lebih perlahan daripada biasa.

Jadi, tren kita ni akan kurang rosak dalam masa terdekat ke?

Sejujurnya, nak baiki semua isu ni adalah proses jangka panjang. Kerja naik taraf memang ambil masa, termasuk rombakan besar sistem isyarat di Laluan Kelana Jaya, yang dijangka boleh panjangkan jangka hayat laluan tu sehingga 20 tahun lagi.

Berita baiknya, RapidKL sedar kawasan mana yang bermasalah, diorang pantau secara aktif, dan perlahan-lahan tingkatkan kebolehpercayaan keseluruhan sistem. Untuk ramai pengguna, sekurang-kurangnya ni lagi okay daripada hadap jem waktu puncak. Jadi diorang akan masih setia guna tren untuk kemana-mana. 

Sementara semua ni belum betul-betul selesai, mungkin ada baiknya korang simpan artikel ni, mungkin boleh tunjuk kat bos kalau lain kali LRT buat korang lambat. Harapnya perjalanan korang lepas ni lebih lancar, atau sekurang-kurangnya… tak pening kepala.

About Amalisa Pedzil 5 Articles
currently in the aquarium sorry