Ada satu suku kaum kat Malaysia ni, boleh kena sopak kalau makan pisang merah!

Masa korang kecik-kecik dulu, datuk dengan nenek korang mesti selalu je ada benda yang nak diceritakan, ye tak? Nak lagi kalau atuk korang tu bekas askar, lagi la macam-macam benda yang dorang cerita pasal masuk keluar hutan sebab kena kejar komunis, pasal tentera Jepun, British, dorang boleh nyanyi lagu Kimi Ga Yo dan macam-macam lagi.

Lepas tu pulak, mesti ada cerita pasal pelbagai jenis pantang-larang macam tak boleh duduk atas bantal sebab nanti kena bisul, tak boleh main kat luar sebab nanti kena sorok dengan hantu kopek, tak boleh menyanyi sambil masak nanti kahwin dengan orang tua dan macam-macam lagi.

Kerana terpaksa, aku relakan. Imej dari YouTube

Tapi, kalau korang ni jenis yang darah keturunan yang kuat macam Minangkabau ke, keturunan  raja ke, apa-apa mesti ada cerita pasal pantang-larang yang korang tak boleh makan sembarangan kan?

1. Suku kaum Rawa yang dapat sopak kalau makan Pisang Raja Udang

Buah pisang, dari dulu lagi dah jadi makanan ruji masyarakat Melayu. Tak kisahlah pisang ni nak dimakan begitu saja, direbus, digoreng, dan kadang-kadang juga dibawa belayar dan masak sebiji di atas peti.

Nak tahu dah masak ke belum, warnanya kuning. Yang tak masak pula, hijau muda macam color pokok pisang gitu. Tapi, korang pernah tak nampak pisang warna merah? Pisang ni la yang dinamakan Pisang Raja Udang, yang juga dikatakan ada lebih banyak khasiatnya berbanding pisang kuning yang lain disebabkan kandungannya yang boleh menguatkan sistem imunisasi badan, dan mencantikkan kulit dan mencerahkan mata. 

Pisang merah? Euuwww. Imej dari Lobak Merah

Tapi kalau nak diikutkan cerita orang tua-tua, ada beberapa keturunan mengharamkan anak cucu dorang makan pisang ni disebabkan sesuatu yang pernah berlaku satu ketika dulu. Salah satunya adalah keturunan suku kaum Rawa di Semenanjung Malaysia yang menganggap pokok pisang tersebut sebagai jelmaan puteri bunian.

Mengikut sumber daripada Sejarah Perak dan The Patriots, kisahnya bermula apabila ada peperangan yang berlaku sebab perebutan kuasa dan meluaskan tanah jajahan (eh eh, macam gerrymandering je bunyinya).

Boleh baca kat sini pasal gerrymandering, atau persempadanan semula yang terjadi kepada pengundi kat Selangor. Imej dari soscili.my

Peperangan yang berlaku tu juga menyebabkan seorang putera raja cedera parah, tapi dia bernasib baik sebab berjaya lari dan menyelamatkan diri daripada musuhnya. Dia pun kemudiannya sembunyi dalam hutan, dan berteduh kat bawah pokok pisang. Disebabkan lukanya yang parah sampai darah masih menitik-nitik, dia pun jatuh pengsan.

Tapi bila putera raja tu sedar daripada pengsan, dia perasan yang luka tu nampaknya dah dirawat oleh seorang perempuan. Dia rasa semakin pulih, berterima kasih dan terus balik ke istana. Kat istana tu, dia ceritakan pula kisah tu kepada orang istana, dan dia kemudiannya diberitahu yang perempuan tu sebenarnya adalah roh jelmaan pohon pisang raja udang tu.

Dia pun masuk balik hutan untuk berjumpa dengan perempuan tu, tapi apa yang dia jumpa cumalah pohon pisang yang berbuah warna merah, iaitu kesan daripada darahnya sebelum tu. Disebabkan putera raja rasa terhutang budi, jadi dia pun mengisytiharkan kepada rakyatnya supaya tak makan pisang raja udang atau menebang pohonnya.

Pisang merah. Tapi isi tetap kuning. Imej dari natur.eu

Keturunan Rawa yang terhutang budi dengan roh pokok ni sampai sekarang tak makan pisang ni. Dan kalau ada yang melanggar sumpah, diorang akan kena sejenis penyakit kulit macam sakit sopak, di mana warna kulit jadi bertompok dan warna merah, lebih kurang macam warna pisang tu juga.

Tapi, terbalik pulak kisah keturunan Megat Seri Rama, atau dikenali sebagai Laksamana Bentan. Menurut sumber daripada yang mengaku daripada keturunan ni, diorang menjadikan pisang merah ni sebagai ubat. Contohnya kalau ada mana-mana keturunan Bentan terkena sumpahan sampai muntah-muntah darah sebab menjejakkan kaki ke daerah Kota Tinggi, ubatnya adalah Pisang Raja Udang ni yang boleh menghentikan muntah darah tu.

Bunyi macam dongeng, tapi dekat makam ni tertulis kisah Laksamana Bentan cuba untuk bunuh Sultan Mahmud sebab dia mengarahkan supaya isterinya, Dang Anum yang mengandung supaya dibunuh. Imej dari amirulhakim.blogspot

Sedutan daripada kisah sumpahan Sultan Mahmud Mangkat Dijulang terhadap Laksamana Bentan sehingga 7 keturunan.

2. Keturunan Tuk Kaduk yang diharamkan makan atau aniaya ikan Tapah lepas dapat emas daripada perutnya

Pernah dengar pepatah yang berbunyi ‘menang sorak, kampung tergadai’? Kisah tu banyak dikaitkan dengan Pak Kaduk, orang Melayu lama yang dikatakan bermain sabung ayam sampai tergadai kampung sendiri. Kisah tu banyak dijadikan cerita hikayat, seloka dan kisah pengajaran dalam buku cerita kanak-kanak. Bunyinya macam cerita dongeng, tapi macam mana kalau kita bagitahu yang Pak Kaduk ni ada pewarisnya di Perak?

Siapa pulak Tuk Kaduk ni? Menurut cerita zaman dulu, Kaduk ni adalah seorang pemuda berketurunan raja dari Negeri Siak di Sumatera yang belayar ke negeri Perak. Kaduk bermusafir dan diterima baik sampailah bertemu jodoh dengan gadis di kampung yang sama.

Zaman dulu mana ada syarikat besar-besar. Jadi, diorang semua mencari rezeki untuk keluarga dengan masuk ke hutan. Malah, dia juga memikat burung, mencari rotan, menangkap ikan darat dan macam-macam lagi. Malah, disebabkan takde gajet untuk main game Candy Crush, orang kampung juga menjadikan benda sekeliling sebagai hiburan. Salah satu permainan popular pada zaman dulu adalah permainan menyabung ayam, yang selalunya mempertaruhkan barangan dan harta peribadi (kira berjudi juga la ni). Dan Kaduk merupakan antara yang paling jaguh di kampungnya.

Satu hari, Sultan dapat berita tentang kehebatan ayam Kaduk yang handal menyabung, dan terus datang mencabar Kaduk. Kalau Raja menang, pertaruhannya adalah rumah dan semua isi dalam rumah tersebut. Manakala kalau Kaduk menang, dia akan diberikan sebahagian kuasa memerintah dan kawasan negeri tu. Disebabkan Kaduk konfiden dengan ayam dia yang selalu menang, dia pun terima cadangan tu, apatah lagi dengan hadiah yang lumayan. Tapi sebelum tu, dia bersetuju untuk bertukar ayam dengan raja.

Orang tua kata, kalau tamak selalu rugi

Malangnya nasib Pak Kaduk pada hari tu apabila raja menang, dan janji pulak perlu ditepati. Dalam masa sekelip mata je, Kaduk terpaksa menyerahkan kampung halaman serta keluarganya kepada raja, dan dia tinggal cuma sehelai sepinggang. Kaduk terpaksa berpindah ke tempat lain, dan memilih untuk tinggal berhampiran sebuah sungai. Dia terfikirkan nasibnya yang malang disebabkan salah sendiri.

Tapi, cerita Pak Kaduk tak habis sampai situ je. Satu hari, dia terjumpa seekor ikan Tapah sebesar manusia terdampar di tepi tebing di atas pasir. Ikan Tapah tu masih hidup, dan perutnya pula nampak kembung macam ada sesuatu. Dalam keadaan ikan tu yang masih nyawa-nyawa ikan, Pak Kaduk pun membelah perut ikan tu secara berhati-hati. Terkejutlah Pak Kaduk bila dia ternampak emas yang ada dalam perut ikan tu. Dia kemudian ambik ketulan emas tu, dan menganggapnya sebagai rezeki kurniaan Tuhan.

Apa yang lagi besar daripada ikan Tapah sebesar manusia? Ikan Tapah besar dua orang manusia. Imej dari wzwh.blogspot

Disebabkan terhutang budi dengan ikan Tapah tu, Pak Kaduk menjahit semula perut ikan tu dengan jarum patah berbenangkan urat benang batang pisang. Dia kemudian melepaskan semula ikan tu ke dalam sungai dan terus bersumpah yang dia takkan menyabung (berjudi) lagi. Selain tu, Pak Kaduk juga berjanji yang dia dan keturunannya takkan makan atau mengkhianati ikan Tapah. Mana-mana keturunannya yang langgar sumpah ni akan dapat penyakit kulit macam gatal, melecur dan bengkak-bengkak.

“Mulai hari ini dan kehadapan, aku tidak menyabong lagi, dan aku, anak isteri aku, cucu-cicit aku, piyat-piyut aku, empas-empas endaun, entahkan ia entahkan tidak, tidak boleh memakan, menganiaya atau mengkianati akan Ikan Tapah. Barang siapa melanggar sumpah ku, akan mendapat sakit gatal, melecur dan bengkak-bengkak, kiranya tahan badan tidak selamat hidupnya…” – sumpah Pak Kaduk, dipetik dari suaraperak.com

Emas yang Kaduk dapat tu kemudiannya dibawa menghadap raja untuk menebus kampung halaman, dan terutama sekali keluarganya. Setengahnya disimpan dan ditempa menjadi barangan perhiasan untuk anak dan isterinya.

Bunyi macam dongeng semata-mata, tapi kalau nak tahu, emas tu masih wujud sampai ke hari ni dan merupakan satu-satunya saki baki emas Ikan Tapah tu. Emas tu pulak berbentuk tiga keping emas yang berbentuk empat segi, dan menyerupai keronsang baju wanita yang disimpan oleh salah seorang keturunan Tuk Kaduk di Perak. Emas ni juga dikatakan boleh jadi penawar bagi pesakit-pesakit yang terkena sumpahan ikan Tapah. Bagi mengubatinya, orang yang melanggar pantang tu akan diberi minum air rendaman Emas Kancing Tapah ni.

Old but gold (pun intended). Imej dari Utusan

3. Keturunan Raja Jembal yang tak boleh usik buluh betung

Pernah dengar cerita pasal Anak Buluh Betung? Nampaknya ada dua versi watak yang masing-masing berasal dari Kedah dan Kelantan.

Hikayat Buluh Betung yang pernah difilemkan zaman tv hitam putih. Imej dari google.com

Kisah Putera Buluh Betung dari Kelantan nampaknya lain sikit daripada kisah dari Kedah. Menurut sumber dari rakyat tempatan, kisah tersebut datangnya daripada kisah negeri Raja Jembal yang satu masa dulu dipenuhi dengan buluh betung. Malah, rumpunan buluh betung tersebut membesar dengan sangat besar dan tinggi sampai boleh jadi benteng pertahanan untuk kota tersebut, dari mana-mana ancaman musuh.

Pada masa tu, teknologi pun tak sehebat sekarang sebab takde batu-bata lagi. Jadinya, buluh betung ditanam secara besar-besaran di kota tersebut, terutamanya di tepi sungai dan sekeliling kota istana raja dan pusat pentadbiran. Disebabkan pentingnya buluh betung tu sebagai benteng pertahanan, rakyat jelata tak dibenarkan mengambil mana-mana bahagian buluh tersebut sebagai makanan, mahupun mainan sebab lama-lama nanti habislah dikutip orang sebelum sempat besar.

Orang tua-tua kata, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Rebung buluh ni la yang orang kampung suka ambik buat gulai rebung. Imej dari khalifahgayong.wordpress

Malah, larangan tu juga kononnya diturunkan oleh Raja Bersiong kepada keturunan Raja Jembal, sebab Raja Bersiong tu asalnya adalah daripada buluh betung. Jadi, pantang-larang tu sebenarnya cumalah larangan raja kepada rakyatnya, yang kemudiannya bertukar kepada pantang-larang yang boleh menyebabkan alahan dan kegatalan. Kata-kata arahan raja dianggap benar oleh rakyat disebabkan kepercayaan daulat kepada seorang raja.

Kisah Raja Bersiong yang berasal dari Kedah pun pernah difilemkan pada 1968. Imej dari sejarah2u

Raja Jembal merupakan raja yang memerintah Kelantan pada kurun ke-16, yang salah seorang keturunannya merupakan Puteri Saadung, iaitu anak angkat Cik Siti Wan Kembang. Keturunan ni juga dikaitkan dengan Raja Bersiong sendiri yang (mempunyai pelbagai versi) dan kemudiannya lari ke tempat lain bersama dua orang anaknya, yang salah satunya merupakan anak buluh betung.

Cik Siti Wan Kembang dan kijangnya yang menjadi simbol negeri Kelantan. Imej dari soscili.my

Tak salah kita tengok pantang-larang ni dari sudut saintifik

Selain makanan-makanan yang disebutkan tu, ada lagi beberapa makanan lain yang tak boleh dimakan, contohnya macam kerbau balau yang tak boleh dimakan sesetengah keturunan, suku Cagayan yang tak boleh makan kerapu, kaum Melanau yang tak boleh makan ikan pari, dan macam-macam lagi. Perkara ni buat kami terfikir, betul ke orang zaman dulu terlalu mudah menjatuhkan sumpahan sampai melarat kepada anak cucu? Tapi, mungkin juga tu cara yang diorang buat untuk menunjukkan rasa hormat terhadap sesuatu perkara yang berlaku tu.

Tapi selain daripada sumpahan yang berlaku, mungkin kita juga boleh tengok perkara ni dari sudut sains, di mana darah kita semua ada alergik kepada beberapa kandungan nutrisi sesebuah makanan tu yang tak sesuai dengan beberapa jenis darah. Contohnya macam kebanyakan mat saleh yang ada alergik terhadap kacang tanah, sebab tu la kebanyakan label makanan mempunyai kenyataan “May contain traces of nuts”.

Alergik teruk sangat ni, nak kenyit mata mengorat pun tak perasan

Tapi, apa yang jadi ni cuma tinggal pantang-larang nenek moyang je, selaras dengan peredaran zaman. Perkara ni boleh jadi cerita betul, dan boleh jadi mitos semata sebab perkara ni cuma disampaikan secara lisan dan tak semua ada bukti kukuh. Apa pulak pantang larang yang korang pernah diberitahu?