Ada Augusta: Wanita pertama yang memperkenalkan ‘computer programming’ kepada dunia

Zaman sekarang ni ramai orang cuba menceburi bidang komputer dan boleh dikatakan agak popular di kebanyakan universiti di Malaysia. Selain minat dan peluang kerja yang luas, bidang komputer juga menerima sambutan yang hangat di kalangan pelajar terutama golongan lelaki.

Pengaturcara atau bahasa yang kita faham, computer programmer merupakan salah satu pekerjaan yang termahal dalam bidang komputer. Kenapa boleh jadi termahal? sebab bidang ni memerlukan kepakaran yang tinggi dan kebolehan untuk menguasai beberapa bahasa programming.

Tengok je dah pening. Gif dari Giphy

Kalau korang nak tahu, computer programmer pertama di dunia merupakan seorang wanita dan banyak berjasa dalam perkembangan teknologi sekarang. Namanya kurang dipopularkan pada zaman dulu sebab kaum wanita selalu didiskrimasi oleh masyarakat. Jadi… siapakah wanita tersebut?

Ada Augusta/Ada Lovelace — golongan bangsawan yang bijak mencipta sejarah 

Ada Augusta Byron merupakan anak tunggal yang dilahirkan dalam keluarga bangsawan dan bijak pandai. Bapanya, Lord Byron merupakan seorang bangsawan, penulis puisi dan ketua dalam peperangan. Selain itu, ibunya, Anne Isabella Milbanke merupakan seorang ahli matematik yang mempelajari matematik sendiri serta berpendidikan tinggi. Amat malang buat Ada Augusta apabila kedua ibu bapanya bercerai semasa dia masih bayi, malah dia tak pernah jumpa atau melihat bapa kandung sendiri.

Gambaran Ada Augusta Byron/Lovelace. Imej dari sciencefocus.com

Dari kecil, Ada Augusta mempunyai penyakit dan dikuarantin dalam rumah agam milik ibunya. Boleh dikatakan Anne Isabella amat menitik beratkan pendidikan anaknya jadi setiap hari Ada Augusta disuruh belajar dari pagi sampai malam. Ada Augusta belajar pasal sastera, bahasa Perancis serta beberapa bahasa lain, sejarah, muzik, kimia, geografi, menjahit dan yang paling dia minat — MATEMATIK.

Pada tahun 1835,  Ada Augusta berkahwin dengan Lord William King Lovelace semasa dia berumur 19 tahun dan menukar nama kepada Ada Lovelace. Walaupun mempunyai tiga orang anak dan menjadi suri rumah sepenuh masa tetapi dia masih belajar pasal ‘Spherical Trigonometri’ serta ‘Calculus’ dari seorang ahli matematik terkenal, Augustus De Morgan.

Suami Ada Augusta, Lord William King Lovelace. Imej dari Wikipedia

Tambahan pula, Ada Augusta selalu membayangkan macam mana kehidupan dia pada masa akan datang. Dia mempunyai matlamat untuk mengembangkan teknologi dan meninggalkan hasil kerja yang hebat dalam sejarah!

“Intelektual, moral, keagamaan pada saya seolah-olah secara semula jadi terikat dan saling berkaitan dengan satu yang hebat dan harmoni.” — Ada Augusta Lovelace. Dipetik dari stylist.co.uk

Selepas beberapa tahun, Ada Augusta bekerjasama dengan seseorang yang dianggap sebagai “bapa komputer dunia”.

Menulis program komputer pertama di dunia sebelum komputer wujud

Kalau korang baca sejarah pasal Ada Augusta ni, nama dia akan sebaris dan saling berkait rapat dengan Charles Babbages. Siapa Charles Babbages sebenarnya? Dia ni seorang ahli matematik, ahli falsafah, jurutera mekanik, pencipta dan membuat kajian pasal The Analytical Society.

Pengaturcara wanita yang pertama dan Bapa komputer dunia. Imej dari Alamy

Charles Babbage juga mencipta pengiraan mekanikal yang dipanggil Enjin Analitik tetapi tak dibina sepenuhnya sebab banyak kekurangan.

Apa yang kami faham, ia adalah mesin untuk proses complex calculation (pengiraan rumit) dalam menjawab permasalahan dalam matematik.

Enjin Analitikal mempunyai empat bahagian:

  • Kilang — bahagian yang melakukan pengiraan (pada dasarnya CPU)
  • Kedai — di mana maklumat tersebut direkodkan (pada dasarnya ingatan)
  • Pembaca, yang akan membolehkan data dimasukkan dengan menggunakan punched card (pada dasarnya keyboard)
  • Pencetak
Enjin Analitik. Imej dari britannica

Pada tahun 1840, Charles Babbages dijemput untuk bagi syarahan dalam bahasa Perancis tentang salah satu kajiannya berkenaan Enjin Analitik di Turin, Itali. Semasa Charles Babbages memberi syarahan, ada seorang budak jurutera tentera — Luigi Manabrea (pernah menjadi Perdana Menteri Itali pada tahun 1867) datang dan menulis banyak nota sepanjang syarahan Charles Babbages.

Kemudian, Luigi Manabrea mula menulis semula kajian yang lebih mendalam pasal Enjin Analitik berdasarkan nota-nota yang dia tulis dalam bahasa Perancis.

Apabila Ada Augusta terbaca hasil kajian ilmiah Luigi yang ditulis dalam bahasa Perancis, dia mengambil keputusan untuk  menerjemahkan dalam bahasa Inggeris serta menerbitkan buku di British Publication. Dannn… selepas beberapa tahun, Charles Babbages terkejut apabila kajian dia, dah ada orang buat kajian lebih mendalam siap terjemahkan lagi!

Nota tambahan Ada Augusta. Imej dari writings.stephenwolfram

Charles Babbages mencari dan meminta Ada Augusta untuk terus menerjemahkan sampai habis, malah Ada Augusta membuat nota tambahan sendiri yang tiga kali lebih panjang dari kajian asal. Dia juga melengkapkan dengan bahagian analitik yang terperinci yang berjudul “Catatan” — Catatan A hingga tujuh nota Catatan G

Hasil dari nota tambahan dan idea, secara tak langsung dia dah perkenalkan kepada dunia tentang algoritma, programming dan dia juga telah… 

Meramal kewujudan komputer pada masa akan datang

Apabila Ada Augusta mati disebabkan kanser uterus pada tahun 1852, ia meninggalkan kesan yang amat dalam pada Charles Babbages yang banyak bergantung pada idea idea bernas dari Ada Augusta.

Kajian yang dilakukan oleh Charles Babbages secara perlahan lahan diberhentikan dan terbengkalai selepas dia mati pada tahun 1871, maka masyarakat pun dah mula lupa pada ciptaannya. Setelah masuk abad baru, tahun 1940-an, ada orang menemui semula hasil kerja Charles Babbages serta nota-nota Ada Augusta. Seterusnya, dikaji dengan jauh lebih mendalam lagi dan menyelesaikan apa yang diorang mulakan.

Manual komputer pertama yang ditulis 175 tahun lalu pernah dijual dengan harga £95,000. Imej dari dailymail.co.uk

Ada Augusta pernah menerangkan algoritma yang akan mengarahkan Enjin Analitik untuk menghitung nombor Bernoulli dengan tepat. Dia juga meramalkan yang mesin pengkomputeran satu hari nanti dapat menerjemahkan segala maklumat — termasuk lah teks, gambar, suara, muzik ke dalam bentuk digital dan berguna untuk sains. Ternyata semua ramalan tersebut menjadi kenyataan sebab terciptanya komputer selepas 100 tahun kemudian!

Gambaran nombor Bernoulli. Imej dari writings.stephenwolfram

Kalau korang nak tahu, sumbangan Ada Augusta kurang diketahui sehingga tahun 1955 semasa “Catatan” kepada Charles Babbage diterbitkan semula oleh saintis dan pendidik Inggeris BV Bowden dalam bukunya yang baru “Faster Than Thought: A Simposium on Digital Computing Machines.”

Jabatan Pertahanan AS menamakan bahasa programming komputer sebagai “ADA” sempena nama dan penghargaan terhadap Ada Augusta pada tahun 1980.

Ada (programming language). Imej dari Wikipedia

Betapa pentingnya ada visi, misi dan matlamat dalam kehidupan

Orang yang berjaya dalam hidupnya ialah orang yang mempunyai visi, misi dan matlamat yang jelas setiap hari. Selain itu, ia membantu memotivasikan diri untuk terus berusaha tanpa putus asa dan membantu kita untuk mencapai apa yang kita nak walaupun banyak cabaran.

Mana tahu visi, misi dan matlamat kita boleh mengubah dunia seperti Ada Augusta! Akan tetapi, matlamat tu biar lah ukur baju di badan sendiri dan jangan pula korang letak matlamat umur 23 tahun nak jadi pengarah eksekutif syarikat… (cabaran yang ni mungkin tak ada kabel).

Gurau je! Gif dari Giphy

Jadi, visi, misi dan matlamat korang masih sama macam tahun sebelumnya atau dah bertukar-tukar?