- 11.1KShare sekarang!
- Email14
- Facebook11.1K
- Share
Peristiwa Pencerobohan kat Lahad Datu tahun 2013 menunjukkan betapa seluruh warga Malaysia ambil tahu dan sayang tentang Sabah. Ramai yang prihatin, menyumbang keperluan asasi, dan berdoa agar semua penduduk Sabah selamat. Selaku rakyat Sabah, penulis melihat peristiwa ni sangat mengharukan dan penulis nak ucapkan terima kasih!
Tapi selain daripada tu, sebagai seorang Sabahan di negara ni, bukanlah sesuatu yang aneh bila ditujukan soalan-soalan yang kami cannot brain! Kalau soalan ni datang daripada pelancong asing boleh faham jugak la, tapi bila datang daripada rakyat Malaysia sendiri rasa nak menitis air mata. Rasa nak marah tu memang ada, tapi memandangkan kita sebuah negara yang harmoni dan bertoleransi, maka kami jawab dengan senyuman.
Jadi dalam artikel ni, kami akan himpunkan tujuh soalan yang penulis dan kawan-kawan Sabahan selalu kena apabila kami datang ke Semenanjung. Semoga anda sendiri tak ulang soalan-soalan yang sama! Bak kata kumpulan lawak Senario dalam siri sitkom mereka – “Don’t let banana fruits two times”.
1. “Berapa kali dah datang Malaysia?”
Ini bukan soalan rekaan semata-mata, ada lagi segelintir rakyat Malaysia yang penulis rasa dorang terlupa nak ambil subjek geografi masa di sekolah menengah sampai tak tahu Sabah adalah sebahagian daripada Malaysia. Kami orang Malaysialah!
Perbualan ni terjadi masa penulis mengambil Grabcar di ibu kota untuk ke Pejabat SOSCILI;
Aku: Haiiiiiiiii
Pemandu: Hai… Kelana Jaya, Pejabat Cilisos kan? Ini pejabat buat sosc cili erk?
Aku: Eh, bukanlah. Ini syarikat penulisan maya.
Pemandu: Ohh, kerja sana? Asal mana?
Aku: Tak adalah, nak pergi dengar penerangan. Saya asal Sabah, belajar di Kelantan.
Pemandu: Ohhh.. orang luar, macam mana rasanya tinggal Malaysia?
Aku: Bagus, bagus. Sangat bagus.
Untuk pengetahuan semua, pembentukan Malaysia berlaku pada tahun 1963. Proses pembentukan Malaysia hasil gabungan Tanah Melayu, Sarawak, Sabah dan Singapura melalui proses yang panjang dan kompleks.
Bermula dengan Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia (MSCC) dan membawa kepada Suruhanjaya Cobbold di Sabah dan Sarawak dan juga Referendum Singapura kat kota singa tu. Apabila hasil yang memberangsangkan diperoleh, Jawatankuasa Antara Kerajaan pun dibentuk untuk merealisasikan hasrat penggabungan 4 wilayah ini. Akhirnya, tadaaaa! Malaysia dibentuk!
Ini adalah pengetahuan umum yang kita kena tahu, sekurang-kurangnya bolehlah jadi bukti yang menunjukkan kita cinta sejarah tanah air kita. Sedang kita meluangkan masa membaca sejarah dan keunikan budaya negara-negara asing, apa salahnya juga kita menambahkan ilmu berkenaan negara yang menjadi tempat kita berteduh kita ini.
2. “Dekat Sabah boleh online?”
Kalau anda nak tahu, 7.9% daripada keseluruhan penggunaan Internet di Malaysia datang dari Sabah! Ini adalah satu jumlah yang tinggi memandangkan kita mempunyai 14 negeri termasuk Wilayah Persekutuan. Kadar Purata kelajuan internet di Malaysia adalah 8.2 Mbps, dan di Sabah di kebanyakan kawasan bandar, anda boleh menikmati kelajuan yang hampir 8.2 Mbps. Kami juga sudah terdedah dengan media sosial pada tahun yang sama penduduk semenanjung mula download aplikasi Facebook, Twitter dan Instagram pada smartphone anda.
Mitos tidak boleh online di Sabah sering datang dengan soalan – Sabah ada shopping mall, atau pergi sekolah naik sampan?
Ya, di Sabah kami ada banyak shopping mall yang tak ada banyak beza dengan semenanjung di mana kami boleh beli pakaian, makanan, dan gajet sama dengan orang Semenanjung.
Dari segi pengangkutan pula, meskipun Sabah merupakan sebuah negeri yang kurang maju berbanding Semenanjung, tapi dah tentu kami ada jalan raya dan kenderaan dengan 300 kuasa kuda. Lebuhraya Pan Borneo yang akan disiapkan nanti dijangka mencapai 2,083 km! Panjangkan? Cuba ukur guna pembaris.
3. “Selamat Sore, Saya pun selalu melawat Indonesia!”
Sabah kaya dengan pelbagai dialek mengikut daerah masing-masing. Bahasa Sabah di bahagian Timur seperti daerah Tawau, Semporna dan Lahad Datu adalah bahasa yang dituturkan baku yakni sebutan ikut ejaan.
Masa penulis pertama kali menjejakkan kaki kat menara gading, lebih kurang 30 kali orang anggap penulis datang dari Indonesia. Penulis adalah anak jati Tawau, sebutan-sebutan penulis bila bercakap adalah baku dengan tempo yang agak laju. Jom saksikan video kat bawah untuk melihat perbezaannya!
Bagi yang suka dengar bahasa Indonesia, penulis sarankan untuk menonton sinetron Indonesia, pasti anda akan menyedari bahawa Bahasa Sabah dan Indonesia jauh berbeza.
4. “Ada India dekat Sabah meh?”
Selain ada pelbagai dialek, Sabah juga kaya dengan pelbagai adat dan etnik. Jadi sekiranya anda fikir Sabah hanya didiami oleh bangsa orang asli, ini adalah satu stigma yang kurang tepat. Kewujudan bangsa Cina dan India di Sabah melalui penghijrahan telah menjadikan mereka sebahagian daripada warga Sabah. Selepas ni anda tidak perlu buat muka terkejut bila ada Chinese atau Indian yang memperkenalkan diri mereka sebagai Sabahan.
Jika anda berhasrat untuk melawat Sabah nanti, jangan terperanjat apabila anda sedang makan di restoran, tiba-tiba ada meja yang pelbagai bangsa dan etnik duduk makan sama-sama. Ini adalah perkara biasa di Sabah, kami selesa untuk makan dengan sesiapa sahaja tanpa mengira bangsa dan agama. Paling seronok adalah apabila tiba waktu untuk membayar makanan, semua berebut-rebut untuk membayar makanan, siapa tak nak makan free kan!
Masyarakat kat Sabah hidup dengan harmoni walaupun ada pelbagai latar yang berbeza. Sikap rasisme dan prejudis dengan bangsa atau agama yang berbeza jarang dapat kita lihat.
Tidak hairanlah jika kita pernah mendengar cerita Masjid dan Gereja bersebelahan di Borneo. Bila tiba solat Jumaat, penganut agama Islam dibenarkan untuk meletakkan kenderaan mereka di ruangan parkir gereja, manakala bila tiba hari Ahad, penganut agama Kristian dibenarkan parkir di ruangan parkir masjid!
5. “Bah. Apa Bha?”
Perkataan bah sememangnya sinonim dengan masyarakat Sabah. Dan kebiasaannya orang Semenanjung akan mula menggunakan perkataan bah tanpa meletakkan sebutan bah di tempat yang betul.
Orang kat sekeliling kami akan cuba berbah-bah dengan meletakkan bah di setiap akhir ayat. Kami menghargai kesungguhan kebanyakan orang untuk menggunakan bah, tapi alangkah indah dan moleknya jika anda semua belajar meletakkan bha di tempat yang betul, seperti yang ditunjukkan dalam video di bawah ini:
6. “Jom daki Gunung Kinabalu di Kuching!”
Masalah yang selalu dihadapi oleh kebanyakan orang yang mungkin tak pernah berkunjung ke Kepulauan Borneo adalah mereka akan sering tertukar-tukar bandar diantara Sabah, Sarawak dan Labuan. Contohnya, masih ada yang fikir Gunung Kinabalu terletak di Sarawak dan Kuching itu adalah ibu kota negeri Sabah.
Di Sabah dan Sarawak, terdapat dua Universiti Awam iaitu Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS). Kedua-dua universiti ni pun sering tertukar dalam borak kosong mahasiswa. Selepas ni, boleh anda cuba berkenal-kenalan dengan setiap bandar yang ada di Sabah dan Sarawak kerana setiap satunya memiliki keunikan masing-masing.
7. “Sabah ni penuh hutan je ke?”
Sabah bukanlah Hutan Amazon. Sabah pun ada pembangunan dan kemajuan sama macam yang berlaku kat Semenanjung. Ada banyak tempat yang anda boleh lawati di Sabah, terutamanya jika anda seorang pencinta alam. Penulis nak cadangkan anda pergi melawat ke beberapa pulau yang ada di Semporna, keindahan alam yang ada kat pulau-pulau ni pasti akan membuatkan anda terfikir yang anda sedang bercuti di luar negara!
Pakej-pakej percutian yang ada di kebanyakkan tempat di Sabah adalah murah dan berbaloi. Sekiranya anda peminat Seafood, maka Sabah adalah syurga makanan untuk anda.
Untuk menjawab mitos yang paling popular, adakah orang Sabah Tinggal di atas pokok? Penulis akan jawab dengan gambar ni.
Keadaan perumahan di Sabah hampir sama dengan situasi perumahan yang ada di semenanjung. Bagi mereka yang datang daripada keluarga yang berada, mereka akan tinggal di rumah-rumah besar dan eksklusif. Bagi keluarga yang berpendapatan sederhana, terdapat perumahan-perumahan yang terancang mampu milik yang tersedia. Bagi keluarga yang kurang berkemampuan, Sabah ada pelbagai jenis rumah seperti rumah kayu dan rumah flat kos rendah. Masih terdapat juga masyarakat orang asli yang tinggal di rumah panjang di kawasan pendalaman Sabah.
Jom datang ke Sabah!
Pertama sekali, penulis ingin memohon maaf sekiranya melalui artikel ni ada sahabat-sahabat dari Semenanjung Malaysia yang terasa hati.Tujuan artikel ni ditulis adalah untuk membetulkan prespektif sesetengah orang kita tentang Sabah. Setiap negeri di Malaysia pasti ada keunikan masing-masing, kita seharusnya berbangga dengan keunikan-keunikan yang ada dengan saling menghormati dan mempelajari antara satu dengan yang lain.
Anda boleh belajar mengenai Sabah melalui pelbagai laman web yang ada, tapi cara yang paling mudah, cubalah berborak dengan Sabahan, kami tak makan orang!
Sikap saling mempelajari antara satu sama lain akan menjadikan kita seorang warganegara yang baik dan menyumbang kepada keharmonian Malaysia! Ingat, ini untuk segelintir sahaja, kepada yang telah mengenali Sabah, kau juga bha yang paling manang!
- 11.1KShare sekarang!
- Email14
- Facebook11.1K
- Share