Lelaki ini menawarkan perkhidmatan berdoa depan Kaabah?

UPDATE 14 FEB 2017: Kitorang masukkan sekali post Valet Doa yang baru je viral minggu ni.

Kita kat Malaysia ni memang tak kurang dengan produk-produk bercirikan Islam. Daripada bank, hotel, air mineral sampailah ke syarikat penerbangan yang patuh syariah.

Kadang-kadang memang ada produk yang berguna. Contohnya Salaam Browser yang boleh block website lucah secara automatik, elok jugak dipasang untuk mengelakkan anak-anak daripada pergi website yang tak elok.

Klik untuk baca artikel tentang Salaam Browser.
Klik untuk baca artikel tentang Salaam Browser.

Tapi ada pulak produk lain yang buat kitorang macam… hmmm… entahlah, tak berapa sure lah pulak. Contohnya, minyak wangi yang boleh membantu korang cari jodoh… (sekali dengar macam minyak dagu pun ada).

1. Servis tolong berdoa depan Kaabah

Benda ni baru je lagi viral bila artikel ni kena update (14/2/2016). Dekat FB Valet Doa, dorang nyatakan khidmat dorang terang-terang kat sticky post, siap dalam Caps Lock:

“DAH BERTAHUN BERDOA TP HAJAT BLM MAKBUL JUGA?”…VALET_DOA BANTU ANDA BERDOA DEPAN KAABAH – CONFIRM MAKBUL CEPAT!…BERMULA MAC 2017.

Korang boleh baca post yang penuh kat sini. Tapi secars ringkasnya, dorang sekarang ada kat Mekah, dan boleh doakan apa yang korang mintak kat depan Kaabah. Bukan kat Kaabah je, bak kata post tadi: “Anda nk doa kat mana? Depan Kaabah? Multazam? Hijir Ismail? Maqam Ibrahim? Bukit Safa & Marwah?”

Siap ada pakej-pakej lagi.

Ni buat gambar guna Power Point ke.

Kat atas ni pakej-pakej yang paling murah. Ada pakej VIP “KING SALMAN” yang bernilai RM1000 ke RM5000, sebelum diskaun. Money-back guarantee pun ada, punyalah serius marketing dia:

“Jika dlm TEMPOH 12 BULAN, SALAH SATU drpd hajat2 anda masih tak dimakbulkan Allah SWT, tlg maklumkan. Hj Arin akan bagi FREE1 lg pakej yg sama. Hj Arin akan BUAT sekali lagi kesemua steps dlm pakej tu…FOC taww… “

Jadi siapa Hj Arin ni? Dia jawab sendiri melalui satu post kat page Valet Doa. Katanya dia “bukanlah ustaz, jauh sekali alim. Apatah lagi ulamak. Cuma Hj Arin berpengalaman dlm ke Tanah Haram.” Jadi dia ni, dibantu oleh ustaz/pelajar maahad tahfiz yang lain di Mekah, ingin membantu orang ramai yang tak mampu ke Mekah, tapi nak berdoa.

Klik untuk post penuh.

Sekali pandang macam troll pun ada, tapi post-post yang ada kat page Valet Doa ni punyalah detail dan panjang lebar, susah kalau tak percaya. So kami try call nombor yang dia letak, tapi tak diangkat. Tapi bila kami Whatsapp, dia balas.

Perbualan kami di Whatsapp. Tiap kali kami cuba tanya lebih, dia suruh bank in atau refer kat Page dulu huhu.

So… troll ke tak? Setakat ni macam ada yang tanya je… kami harap dorang ni buat lawak je kot.

Tapi ramai jugak yang kutuk habis-habisan:

Yang pasti, komen yang paling banyak adalah…

2. Perfume untuk tolong korang cari jodoh?

Sebuah page FB yang dipanggil sebagai Tarikan Rezeki (amboih nama) ada post tentang produk mereka, perfume Aura Rizqin, yang dikatakan boleh membantu korang cari jodoh.

Headline dia bermula dengan “Malunya Bila Umur Dah Meningkat Tapi Belum Kahwin“, kemudian bercerita tentang seorang gadis bernama Lisa yang segan nak balik raya sebab sampai sekarang takde pasangan (korang boleh baca cerita sepenuhnya dalam status tu).

Kisah yang sangat menyentuh hati. Kalah Romeo and Juliet. Screenshot daripada FB. Klik untuk baca post penuh.

Jadi apa yang speselnya pasal Aura Rizqin ni (ada nama aura je mesti confirm boleh jual punya lah). Mengikut komen yang diberi oleh page tersebut, perfume ni telah dibacakan ayat-ayat suci Al-Quran dan doa-doa khusus.

Soalan yang agak bernas jugak tuh. Sangat afdal ditanya, terutama di depan ibu mertua. Screenshot daripada FB.

Setakat ni status ni dah mendapat sebanyak 149 share, dan sementara ramai yang komen mintak PM harga, ada jugak yang mengkritik perbuatan page ni ‘menggunakan’ agama untuk menjual barang:

Salah satu cara hilang stress. Let it go, let it go…. Screenshot daripada FB.

Tapi sebelum perfume Aura Rizqin ni lagi, mungkin korang dah pernah dengar berita tentang produk-produk lain yang jugak buat benda yang lebih kurang sama…

3. Aiskrim kifayah yang mengikut sunnah, dicampur air zam-zam

Kalau ada suara Yusof Taiyoob menyebut aiskrim mungkin kitaorang beli. Imej dari themalaysiamail.com.

Korang pasti pernah baca cerita seorang usahawan ni yang berjaya mendirikan perniagaan aiskrimnya sendiri, berasaskan makanan sunnah. Antara makanan yang dimasukkan ke dalam eskrim tu yang dikatakan mengikut sunnah ialah kurma, buah tin, air zam-zam dan kismis. 

Beliau ni sanggup berhijrah ke negara Kemboja dan Thailand semata-mata bagi  pelajari teknik dan proses pembuatan eskrim dengan guru berbeza di setiap negara tersebut dan mengasah bakat dengan seorang chef terkemuka negara ni.

Screenshot dari FB.
Screenshot dari FB.

Sebenarnya, makanan sunnah memang sihat, tetapi kurang rasional kalau dicampurkan dengan benda alah macam eskrim ni. Korang kena ingat yang eskrim ni tinggi lemak, gula dan kaloridua scoop eskrim je dah 380 kalori! Sebenanye ia cume makanan junk food je, tak berkualiti untuk badan korang pon.

Imej dari meme generator.

4. Ayam terapi Quran dan ruqyah

Sekali tengok macam memanggil-manggil pun ada jugak nih. Insert song Selena Gomez, come and get me, nanana, nananana. Imej dari Malaymailonline.

Ada seorang perniaga ayam yang menjual ayam terapi dengan alunan bacaan ayat-ayat al-Quran, mengatakan yang ia boleh membuatkan minda jadi lebih tajam. Lepas je ayam ni disembelih dan dibersihkan, perniaga akan simpan ayam-ayam tu kat bilik sejuk beku dan masa tu lah ia akan lalui proses terapi dengan alunan bacaan ayat al-Quran dan ruqyah.

Ada yang kata kononnya ni taktik perniaga menjaja nama agama sebab nak kaut untung lebih je. Harga yang dijual dalam RM14 untuk satu kg. So ni maknanya harga dia dua kali ganda mahal berbanding ayam biasa! Kalau tunjuk student card, agak-agak boleh dapat discount, jadi harga biasa tak?

“Tindakan peniaga yang menggunakan promosi agama semata-mata untuk melariskan perniagaan bertentangan dengan prinsip Islam.

“Keadaan ini boleh menimbulkan unsur penipuan serta terdapat pihak yang mengambil kesempatan.” – Prof. Emiritus Tan Sri Dr Abd Shukor Husin, Pengerusi, Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, dipetik oleh Malay Mail Online.

Jom check out produk keempat lak.

5. Kismis yang telah dibacakan doa oleh Tok Guru untuk perkembangan minda.

Imej dari blogspot.my.

Tak dinafikan kismis memang makanan sunnah dan mempunyai khasiatnya tersendiri. Antara khasiat yang terdapat padanya ialah meningkatkan daya tahan tubuh, baik untuk jantung, tinggi kalori, mencegah kanser dan banyak lagilah. Malah menurut Pakar Pembangunan Kanak-Kanak pun ada cakap yang kismis ni bagus untuk kanak-kanak kerana mempunyai kandungan gula daripada buah yang asli dan ia mampu memberi tenaga sepanjang hari.

Tapi ada pulak peniaga yang lebih advanced dengan menghasilkan kismis minda. Menurut blog Nawawi, kismis-kismis ni semuanya dah didoakan oleh Tok-tok Guru yang hebat dan alim orangnya. kononnya boleh membantu adik-adik untuk senang terima pelajaran, terang hati, kuat ingatan dan hindar dari penyakit (tapi ni memang antara khasiat kismis pun sebenarnya).

Menurut Dr MAZA, beliau turut berasa hairan dengan sesetengah ibu bapa yang sanggup membeli pelbagai kismis doa hanya kerana kat botol tu ada tampal gambar ustaz, walaupun harganya mahal. Konon-konon nak anak jadi cerdik.

“… bagaimana seseorang ustaz boleh berdoa pada berlori-lori kismis. Perkara-perkara itu hanya akan menyebabkan orang Islam terperangkap dalam ‘ketidakcerdikan’ sehingga menjadikan mereka malas berusaha.” – Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, Mufti Perlis. Dipetik oleh Utusan.

Makanan yang bernutrien tinggi adalah baik untuk kesihatan kerana telah dibuktikan daripada segi saintifik, bukannya sebab nama produk yang ‘too good to be true’ ataupun sebab ada dakwaan yang menjanjikan pelbagai kemanisan dan kebaikan.

6. Kit anti histeria yang datang dengan jaminan sekali.

Sediakan kit sebelum histeria. Imej dari Harian Metro.

Kalau korang rajin membaca, atau rajin mendengar perbualan orang yang rajin membaca, mungkin korang pernah terdengar tentang kit anti-histeria hasil kajian Universiti Malaysia Pahang (UMP) ni. SOSCILI pernah cover pasal produk ini. Klik link ni untuk lebih lanjut.

Masalah histeria ni selalunya menyerang sekolah-sekolah, ataupun skrin-skrin di pawagam yang tayangkan cerita Melayu (confirm box office!). ‘Penghidap histeria’ ni selalunya di kalangan wanita, sebab lelaki perlu mengawal kemachoannya. Dan nampak gayanya, histeria adalah ‘produk’ buatan Malaysia sebab kita tak dengar pun perkara ni jadi kat luar negara, kan?Jadi, wujudlah Kit anti histeria ni yang dijual pada harga RM 8,750.

“Kit ini dibuat mengikut kaedah Pusat Rawatan Al-Manarah, Rawang merawat pesakit histeria dan rasukan. Kaedah ini sudah digunakan pusat berkenaan lebih 20 tahun,” Dr Mahyuddin Ismail, Pengarah Pusat Islam dan Pembangunan Insan, Universiti Malaysia Pahang, dipetik oleh Sinar Harian.

Kit ni dikatakan telah berjaya menyelesaikan sakit histeria di 11 sekolah di seluruh negara. Tapi menurut pandangan pakar dari segi perubatan, Persatuan Psikiatri Malaysia pulak, dorang menasihatkan agar orang ramai perlu mendapatkan rawatan yang menepati standard Dokumen Panduan Dadah Yang Telah Didaftarkan di bawah Agensi Regulatori Farmasi Negara.

“Histeria adalah digelar sebagai ‘conversion disorder,’ simptom gabungan antara pskiatri dan neurologi. Setiap serangan histeria dirumitkan dengan fenomena psikologi yang boleh menerangkan puncanya. Kesimpulannya, hanya rawatan yang melalui ujian klinikal sahaja yang  perlu diberikan kepada pesakit.” – Professor Dr Nor Zuraida binti Zainal, Presiden, Persatuan Psikiatri Malaysia, dipetik dari laman web Persatuan Psikiatri Malaysia.

7. Bukan sekadar air biasa, malah ia dipercayai memiliki sejuta khasiat

Bukan sekadar air biasa. Imej dari hadlinelin.com.
Korang mesti tau pasai air anugerah yang orang dok habaq kononnya air ni bagus untuk penawar. Menurut blog hadlinelin, air anugerah ni telah dibacakan ayat-ayat Al-Quran oleh pelajar tahfiz yang teruji bacaannya dan thiqah.  Antara kebaikannya adalah… (tarik nafas dulu korang…)
• penyakit luaran dan dalaman semakin pulih
• wajah semakin ceria dan berseri
• hati menjadi lunak dan mudah menerima perkara yang baik
• badan semakin bertenaga dan bersemangat
• rumahtangga semakin harmoni dan gembira
• terlindung dari gangguan ilmu hitam dan makhluk halus
• hati semakin lembut dan mudah menerima nasihat (untuk kanak-kanak)
• daya ingatan semakin kuat dan cerdas
• mudah untuk melahirkan anak (untuk wanita hamil)
Dan yang paling penting, ada yang kata ia boleh murahkan rezeki orang yang minum air ni.
Imej dari Politicalgags Facebook.

“Tiba-tiba jampi menjadi cerdik pula yang mendapat publisiti dan dijual secara komersial. Tidakkah kita merendahkan Islam apabila orang bukan Islam melihat anak orang kita yang minum air jampi ‘ustaz’ tidak lebih cemerlang atau jauh ketinggalan dibandingkan anak ‘orang lain’ yang berbekalkan air mineral?. Janganlah kita lelongkan agama kerana bisnes kita.” – Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, Mufti Perlis. Dipetik dari drMAZA.com

Hmm masyarakat Melayu terutama kat Asia ni dah sinonim dengan jampi, mentera serapah dalam rawatan dan dah jadi amalan pun sebenarnya. Malah ianya dah wujud sejak zaman jahiliyyah lagi. Tapi dari segi Islam macam mana pulak?

Menjual agama demi mengaut keuntungan semata

Tegas Dr MAZA, kepercayaan ‘pelik’ orang Islam terhadap keajaib­an benda-benda jampi ni perlu ditentang. Islam adalah matlamat yang dituju, bukan alat ataupun ‘vehicle’ untuk dipergunakan atas kepentingan peribadi semata-mata. Tapi kebelakanan ni, ramai orang pergunakan agama sebab nak kaut keuntungan sebagai pelaris jualan

Dr MAZA, dan pandangan beliau terhadap ‘trend’ terbaru di Malaysia. Imej dari sokmo.net.

“Baginda Nabi s.a.w pernah menjampi penyakit seperti mana baginda juga berubat dengan bahan-bahan perubatan yang lain. Ini disebut dalam hadis-hadis yang sahih.

Namun dakwaan bahawa dengan air atau kismis atau apa bahan-bahan jampi orang yang tidak pintar pun boleh dipintarkan, suami atau anak yang tidak baik perangainya boleh dipulihkan, ini sudah luar biasa lagi mengatasi Nabi s.a.w. sendiri.” -Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, Mufti Perlis. Dipetik dari Facebook beliau sendiri.

Ruqyah atau jampi ini sepatutnya dibacakan oleh orang yang selayaknya dan mengikut kaifiat serta syarat tertentu. Tapi bila ia dijual pada orang ramai, ia jadi amalan yang tak dibenarkan, wajib dilarang kerana ia termasuk pada helah untuk memakan harta orang dengan cara bathil.

About Irma Musliana 73 Articles
Saya budak baru belajar, kalau salah tolong tunjukkan :)