5 tokoh politik yang buka parti baru, kat mana parti tu sekarang?

Keadaan politik Malaysia sekarang ni boleh dikatakan agak menarik. Pertamanya, Dr Mahathir dan Muhyiddin Yassin dah buka parti baru, Parti Pribumi Bersatu (BERSATU). Kemunculan BERSATU dan AMANAH dilihat sebagai satu perkembangan yang menarik kerana dua-dua parti ni muncul lepas pemimpinnya keluar dari dua parti Melayu terbesar di Malaysia iaitu UMNO dan PAS.

Nasib kedua-dua parti ni masih lagi kita belum tahu, tapi dalam Malaysia kita sebenarnya dah lahirkan banyak parti yang diasaskan lepas seseorang pemimpin tu dipecat atau keluar parti. Oleh itu, SOSCILI kali ni akan senaraikan ahli-ahli atau tokoh-tokoh politik yang pernah menubuhkan parti sendiri. Apa yang jadi pada parti-parti tu sekarang?

1. Tubuhkan PAS kerana berlainan ideologi

Sejak lepas merdeka, PAS dan UMNO jadi antara parti pilihan utama orang Melayu. Tapi mungkin ramai yang masih tak tahu yang pengasas PAS sebenarnya dulu adalah seorang pemimpin UMNO, iaitu Hj Ahmad Fuad Hassan.

Pada tahun 1950, Fuad Hassan adalah Pengerusi Badan Agama UMNO. Tapi dia mula rasa tak berapa selesa bila UMNO anjurkan program yang bercanggah dengan ajaran Islam macam loteri dan ‘fun fair’. Tulisannya dalam Suara UMNO yang bertajuk “Ulamak Malaya Belum Bersatu dan Belum Punya Persatuan” mendapat perhatian ramai ahli UMNO.

Imej dari tokoh1038.blogspot
Imej dari tokoh1038.blogspot

Dengan usahanya, satu persidangan ulama diadakan di Kuala Lumpur pada 15 Ogos 1951. Tapi dalam UMNO pulak berlakunya krisis bila Dato’ Onn Jaafar meletakkan jawatan. Disebabkan Fuad berasal dari Terengganu, UMNO Terengganu mencalonkannya untuk mencabar Tunku Abdul Rahman merebut jawatan Yang Di-Pertua UMNO, tapi dia kalah dalam pertandingan itu dengan Tunku Abdul Rahman.

Tak lama lepas tu, Persatuan Ulama Se-Malaya telah ditubuhkan pada 24 November 1951 sewaktu persidangan Muktamar Ulama kali ke-3.

Kongress PAS yang pertama pada 1952. Imej dari Terengganu Today

Akhirnya nama persatuan ni ditukar kepada Persatuan Islam Se- Malaya (PAS). Ahmad Fuad seterusnya dilantik sebagai Yang Di-Pertua PAS pertama. Bermulalah perjuangan PAS dalam arena politik tanah air. PAS menunjukkan prestasi hebat bila parti berjaya menguasai Kelantan dan Terengganu dalam Pilihanraya 1959, dua tahun lepas merdeka!

Sehingga hari ini, PAS masih lagi kekal sebagai sebuah parti yang berpengaruh khususnya kepada orang Melayu dan Islam.

2. Dato’ Onn Tubuhkan parti lain bila cadangannya ditolak

Seperti mana yang kita tahu, ketika pihak British mencadangkan penubuhan Malayan Union, Dato’ Onn Jaafar jadi antara orang terawal yang menentang penubuhan ini. Maka tertubuhlah sebuah parti Melayu yang dikenali sebagai Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu/United Malays National Organisation (UMNO).

Tapi lepas je Malayan Union digagalkan, masalah mula timbul dalam UMNO. Cadangan Dato’ Onn yang nak bagi kerakyatan pada orang bukan Melayu dibantah oleh ahli-ahli UMNO. Kecewa dengan bantahan tu, Dato’ Onn bertindak letak jawatan sebagai Yang di-Pertua UMNO.

Tak lama lepas tu, berlaku perarakan ke rumah Dato’ Onn oleh wakil-wakil UMNO, Pemuda UMNO dan Kaum Ibu UMNO untuk memujuk Dato’ Onn kembali menjadi Yang Di-Pertua UMNO. Dato’ Onn terima balik jawatan tu dengan syarat yang dia tak akan dikecam lagi.

Seorang wakil UMNO sedang berucap memujuk Dato Onn. Imej dari .al-azharrisiddiq.com

Tapi masalah belum selesai lagi rupanya, bila cadangan Dato’ Onn untuk membuka keahlian UMNO kepada orang bukan Melayu ditentang ditentang hebat. Melihat bantahan yang semakin meningkat, Dato’ Onn melepaskan jawatannya sekali lagi pada 26 Ogos 1951.

Lepas je tinggalkan UMNO, Dato’ Onn buka parti baru iaitu Parti Kemerdekaan Malaya (IMP). Keahlian parti ni terbuka kepada semua, tanpa mengira kaum dan agama. Pada 1952, Pilihanraya Majlis Perbandaran Kuala Lumpur telah diadakan dan IMP menang satu kerusi. Masa tu IMP jadi parti pertama yang buat kerjasama dengan MIC dan MCA.

Dato’ Onn ketika berikan ucapannya terakhirnya kepada ahli UMNO. Imej dari al-azharrisiddiq.com

Tapi prestasi IMP tak berapa baik dan tak dapat banyak sokongan terutamanya dari orang Melayu. Dato’ Onn buka pulak Parti Negara pada 1953. Tapi malangnya parti ni tak menang satu kerusi pun dalam Pilihanraya 1955. Masa Pilihanraya 1959, Parti Negara menang satu kerusi parlimen di Terengganu yang calonnya Dato’ Onn sendiri.

Akhirnya, pada 19 Januari 1962 apabila Dato’ Onn meninggal dunia, maka riwayat politik Parti Negara juga terkubur.

3. Tubuhkan parti baru lepas disingkirkan dari PAS

Mungkin ramai yang tak kenal nama ni, tapi dia adalah bekas Presiden PAS dan jadi antara orang yang bertanggungjawab membawa PAS menyertai Perikatan (nama lama Barisan Nasional) pada 1973. Dia adalah Dato’ Asri Muda.

Dato Asri Muda. Imej dari flickr

Sebelum sertai PAS, Asri dah mula aktif dalam politik sejak dia masuk Angkatan Pemuda Insaf yang dipimpin oleh nasionalis Ahmad Boestamam. Masa Dr Burhanuddin Al-Helmy ditahan dalam ISA, Asri dilantik sebagai pemangku jawatan Yang Di-Pertua PAS pada 1964. Bila Dr Burhanuddin meninggal pada 1969, Asri secara automatik dilantik menjadi Presiden PAS.

Dia jugak adalah Menteri Besar Kelantan dari 1964 hingga 1972, sebelum melepaskan jawatan tersebut untuk masuk dalam kabinet kerajaan campuran. Asri pernah pegang jawatan Menteri Tanah dan Galian serta Tugas-tugas Khas.

Dato’ Asri dan HAMKA. Imej dari mforum.cari.com

Tapi kareer politik Asri mula goyah bila PAS tersingkir dari Barisan Nasional (Perikatan) pada 1977. Perkara ni ditambah lagi bila PAS kalah kat Kelantan dalam PRU 1978. Keadaan semakin runcing bila kepimpinan Asri mula dipersoalkan oleh ahli PAS sendiri khususnya dari Dewan Pemuda PAS.

Akhirnya, keadaan semakin tak terkawal bila Pemuda PAS bertindak mengadakan Muktamar Tahunan PAS lebih awal dari tarikh yang ditetapkan semata-mata untuk meminggirkan Asri. Dalam ucapan Asri di Muktamar Tahunan PAS Ke-28 pada pagi 23 Oktober 1982, telah berlaku perkara sangat tak disangka.

“Dato’ Mohd Asri Haji Muda telah menyampaikan satu ucapan dasar tanpa tema (kemudian diberikan tema oleh pengikutnya sebagai “Ukhuwah Bukan ‘Adawah”), yang memuji dasar Islamisasi BN dan mengkritikan golongan ulamak dalam PAS.

Ini telah menyebabkan beliau menerima kritikan dan di ‘boo’ oleh sesetengah ahli PAS. Beliau mendakwa ada pihak tertentu yang melaung slogan ‘Marakbar Asri!’ (Pergi Mampus Asri!).” – dipetik dari Harakah Daily.

Imej dari azlantaib.blogspot

Rentetan dari itu, pada petang tu jugak Asri hantar surat peletakkan jawatannya. Jawatankuasa Kerja Agung PAS yang buat mesyuarat hari tu jugak akhirnya terima peletakan jawatan Asri. Maka tamatlah perjuangan Dato’ Asri dalam PAS.

Setalah itu, Asri masih lagi berusaha untuk kembali dalam politik dengan tubuhkan Parti Hizbul Muslimin Malaysia (HAMIM) pada 1983. Tapi parti ini bukanlah parti yang kukuh dan ada kekuatan tersendiri. Akhirnya pada 1988, Asri tinggalkan parti ni dan sertai UMNO. Maka, parti ni pun akhirnya hilang begitu saja dari arena politik Malaysia. Dato’ Asri Muda meninggal dunia pada 28 Ogos 1992  akibat sakit jantung.

4. Tubuh parti baru lepas UMNO diharamkan

Pada pemilihan parti 1987, Tengku Razaleigh dah mencabar Dr Mahathir sebagai Presiden UMNO. Disebabkan tu jugak, UMNO dah terbahagi kepada kepada Team A dan Team B.

Team A diketuai oleh Dr Mahathir dan Team B dipimpin oleh Tengku Razaleigh. Tun Musa Hitam yang ketika itu menjadi Timbalan Perdana Menteri bertindak meletakkan jawatan pada 1986 untuk bersama Tengku Razaleigh mencabar kepimpinan Dr Mahathir (rujuk fail PDF).

Musa Hitam kata yang dia letak jawatan sebab dituduh cuba gulingkan Dr Mahathir. Imej dari thekl-chronicle.blogspot

Keputusannya, Dr Mahathir menang dalam pertandingan itu mengalahkan Tengku Razaleigh dengan majoriti tipis 43 undi. Musa Hitam pulak kalah dengan Ghafar Baba (bekas Timbalan Perdana Menteri) dengan 40 undi.

Perkara ni jadi lebih serius bila tindakan undang-undang diambil terhadap UMNO yang akhirnya membuatkan UMNO diharamkan pada 4 Februari 1988. Setahun lepas tu, Tengku Razaleigh dan penyokongnya mengasaskan satu parti baru yang dikenali sebagai  Parti Melayu Semangat 46 (S46).

Nama parti ni dipilih bersempena dengan semangat UMNO yang ditubuhkan pada 1946. Tengku Razaleigh bertindak sebagai Presiden, Rais Yatim (Timbalan Presiden) dan Ibrahim Ali (Ketua Pemuda). Bekas Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman jadi antara penyokong kuat parti ni, malah merasmikan penubuhan parti ini.

Parti ni jugak mulakan kerjasama dengan HAMIM (pimpinan Dato’ Asri Muda), PAS dan BERJASA. Pada PRU 1990, hasil kerjasama Semangat 46 dengan PAS, Kelantan berjaya dirampas dari Barisan Nasional. Semanagat 46 menang 15 kerusi dan PAS menang 24 kerusi.

Tengku Razaleigh & Tuan Guru Nik Aziz. Imej dari ditelanzaman.blogspot

Tapi beberapa tahun kemudian pengaruh parti ni semakin menurun. Malah Ketua Pemudanya sendiri, Ibrahim Ali mula balik pada UMNO. Keadaan bertambah parah bila Rais Yatim (Timbalan Presiden) kalah dalam Pilihanraya 1995.

Akhirnya pada 1996, Semangat 46 dibubarkan. Ketika itu dikatakan S46 masih ada 200,000 ahli. Tengku Razaleigh dan sebahagian besar ahli S46 masuk balik UMNO selepas itu.

Imej dari The Malaysian Times

5. Parti yang lahir dari gerakan reformasi

Mungkin krisis di antara Dr Mahathir dan Anwar Ibrahim adalah salah satu peristiwa paling bersejarah dalam arena politik tanah air. Segalanya bermula apabila Anwar Ibrahim dipecat dari jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO.

Kalau ikut kata mereka di pihak Anwar, pemecatan itu jadi sebab berlakunya krisis di antara Dr Mahathir dan Anwar Ibrahim ketika krisis ekonomi 1997. Dikatakan yang Dr Mahathir tak setuju dengan beberapa perubahan dan langkah penjimatan yang dilakukan oleh Anwar ketika krisis tersebut. Oleh itu, Anwar dipecat pada dari semua jawatannya pada  2 September 1998.

Anwar berucap di hadapan penyokongnya selepas dipecat. Imej dari mir.com

Tapi di pihak lagi satu pulak mendakwa yang Anwar dipecat kerana isu moralnya. Apa yang pasti, pemecatannya itu dah menyemarakkan gerakan reformasi di Malaysia.  Pada 20 September 1998, telah berlaku demonstrasi mendesak Dr Mahathir meletakkan jawatan.

Gerakan Reformasi yang dipimpin oleh Dr Wan Azizah ini akhirnya membentuk Pergerakan Keadilan Sosial (Adil). Tapi cubaan untuk mendaftar pertubuhan ni jadi parti politik gagal. Lepas tu, gerakan ni ambil alih pulak satu parti iaitu Ikatan Masyarakat Islam dan tukar namanya jadi Parti Keadilan Nasional.

Habis je Pilihanraya 1999, Parti Keadilan Nasional ni bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia (PRM), maka lahirlah Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 3 Ogos 2003.

Imej dari Economist

Prestasi parti ni mula naik masa PRU 12 bila hasil kerjasama PKR, PAS dan DAP berjaya menggagalkan majoriti 2/3 BN dalam parlimen. PKR jugak diberikan kepercayaan mengetuai pentadbiran negeri Selangor sejak 2008.

Dalam satu kajian dari Institut Darul Ehsan (IDE), mereka mendapati jika berlaku pertandingan tiga penjuru di Selangor, hanya calon dari PKR je yang boleh menang. Ini menunjukkan yang penubuhan PKR nampaknya tak sia-sia.

Tapi tindakan Rafizi Ramli yang meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Agung PKR baru-baru ni dapat dilihat sebagai satu usaha untuk mengukuhkan parti. Nampaknya PKR satu parti yang unik kerana masih dapat mempertahankan penubuhannya.

Undilah PKR, untuk masa depan anda. Imej dari Free Malaysia Today.

Boleh ke parti-parti baru yang muncul sekarang ni bertahan?

Setelah apa yang jadi pada IMP, Parti Negara, S46 dan HAMIM, mungkin kita akan tertanya-tanya sama ada parti-parti baru sekarang ni boleh bertahan atau tak. Kemunculan Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dalam politik Malaysia hari ini mungkin masih tak dapat kita tahu pengakhirannya.

Ada dakwaan yang menganggap parti-parti ini hanya akan memecah undi Melayu. Tak kurang jugak yang anggap parti-parti ni akan terima nasib sama macam parti-parti yang gagal suatu masa dulu. Tapi masih ada mereka yang tak pandang rendah kat parti- parti ni macam Khairy Jamaluddin dan Tengku Razaleigh.

“Kedua-dua pemimpin ini (Dr Mahathir & Muhyiddin) mempunyai pengaruh, berpengalaman dan kita tidak boleh memandang rendah terhadap mereka.” – Tengku Razaleigh, dipetik dari Berita Harian, juga tersiar di Malaysiakini.

AMANAH & BERSATU sekarang dah duduk semeja. Imej dari mysuara.net

Kita boleh ambik contoh PAS yang masih kekal sampai sekarang. PAS sendiri dah buktikan pengaruhnya yang masih kuat dengan pegang Kelantan selama 26 tahun setakat ini.

Walau apapun, nasib AMANAH dan BERSATU hanya akan dapat ditentukan oleh rakyat dalam PRU akan datang. Rakyat akan menggunakan kebijaksanaan mereka dalam memilih parti mana yang dapat menjalankan tugasnya dengan ikhlas dan amanah. Kita tunggu hingga ke saat itu.

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.