- 1.4KShare sekarang!
- Email13
- Facebook1.3K
- Share
UPDATE 19/8/2019: Baru-baru ni, sebuah negara nama Chad di benua Afrika dah umumkan darurat apabila berlaku pembunuhan etnik antara kumpulan etnik Zaghawa dan Ouaddian. Kejadian ni dah membunuh 50 orang setakat ni. Ini mengingatkan kita apa yang berlaku berkaitan pembunuhan etnik di tempat lain.
Dulu SOSCILI ada tulis pasal konflik Rohingya di Myanmar dan sebab-sebab di sebalik isu pembersihan etnik tersebut, di mana etnik minoriti ini diseksa dan dibunuh beramai-ramai. Lebih teruk lagi bila perempuan-perempuan di sana turut dirogol oleh tentera Myanmar. Isu ini dilihat seperti tiada jalan penyelesaian walaupun Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sudah mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kerajaan Myanmar. Pemenang anugerah Nobel dorang, Aung Sun Kyii pun duduk senyap je.
Pembersihan etnik atau genocide bermaksud menghalau keluar etnik minoriti dari tempat tinggal sendiri sebab etnik majoriti tak nak kongsi tempat tinggal dengan dorang. Sejarah pembersihan etnik berlaku sejak tahun 1492 di AS dan perkataan Inggeris genocide mula digunakan pada tahun 1944.
Selain daripada isu di Rohingya yang masih lagi berlaku sekarang ni, tahukah korang pembersihan etnik juga pernah berlaku di Turki, Jerman, Rwanda, Bosnia dan Amerika?
1. Di Amerika, sebuah akta pernah diluluskan untuk menghalau orang asli
Ini merupakan sejarah pembersihan etnik tertua di dunia kerana ia berlaku seawal tahun 1492. Orang Eropah sedang berlayar sebelum mendarat di Amerika yang merupakan tempat tinggal orang asli di sana. Tujuan orang Eropah berlayar sebab nak cari emas, nak bebas dari pegangan agama dan nak bina hidup baru.
Kalau korang nak tahu, orang Eropah bawa sekali penyakit macam batuk dan selsema. Disebabkan hal ni, Orang Asli Amerika yang tak imun dengan penyakit ni menjadi lemah dan akhirnya mati.
Berlaku peperangan pada tahun 1776 sehingga 1815 sebab Orang asli Amerika nak pertahankan tanah dorang. Tanpa kira jantina dan umur, orang Asli Amerika mati disembelih, dibiarkan dorang sakit melarat dan kebuluran melampau oleh tentera Eropah. Dorang juga bertindak dengan membakar kampung-kampung Orang Asli Amerika di New York, Ohio, Alabama dan banyak lagi.
Pada tahun 1830, kerajaan Amerika menubuhkan Akta Pembuangan Orang Asli untuk menghalalkan matlamat dorang yang nak buat pembersihan etnik. Dorang target lima puak orang Asli iaitu Cherokee, Chickasaw, Choctaw, Creek dan Seminole. Dorang dihalau keluar dari kampung sendiri dan dipaksa berjalan di kawasan berbahaya untuk ke tempat baru yang dinamakan ‘Kawasan Orang Asli’.
Perlombongan emas di California juga memaksa orang Asli untuk berpindah dan memberi kesan ekonomi pada orang Asli yang kebanyakannya berburu dan bercucuk tanam sebagai punca rezeki. Bertambah teruk lagi, kerajaan negeri California meluluskan akta yang membenarkan penghapusan budaya dan tanah tempat tinggal dorang. Ia juga menghalalkan perhambaan dan jual beli kanak-kanak orang asli Amerika.
Pembersihan etnik ni mulai perlahan pada tahun 1900-an. Presiden AS yang terdahulu iaitu Barrack Obama telah memohon maaf hanya selepas 200 tahun lebih kejadian itu berlaku. Permohonan maaf ni dibuat pun selepas didesak oleh orang ramai. Itupun masih banyak pihak yang tak puas hati sebab permohonan maaf dilakukan tanpa liputan media yang meluas.
2. Sewaktu pemerintahan seorang sultan Uthmaniyyah, etnik minoriti ditindas
Etnik Armenia merupakan minoriti Kristian di Turki. Konflik berlaku sebab etnik Armenia ni dikatakan berasal dari Rusia tapi tempat tinggal dorang pulak ada dalam kawasan Turki. Etnik Armenia dulu hidup bahagia pada zaman empayar Uthmaniyyah dengan etnik-etnik lain sehinggalah Sultan Abdul Hamid yang memerintah. Dia telah mengarahkan pembersihan etnik Armenia.
Etnik Armenia ditindas dan tak mendapat perlindungan daripada kerajaan. Pernahlah parti politik Armenia bersuara dan minta hak dorang tapi tak dilayan. Sultan buat-buat macam pekak dan biarkan ia berlalu. Selepas kejatuhan Turki Uthmaniyyah, muncul pulak golongan Orang Muda Turki (Young Turks) yang nak kuasai Turki maka tertubuhlah Jawatankuasa Kesatuan dan Kemajuan (CUP).
Bila dah berlakunya revolusi Young Turks, orang-orang Armenia mula nampak sinar harapan. Kerajaan baru ni nakkan kemodenan dengan mengambil negara Barat sebagai contoh ikutan tapi dorang ni rupa-rupanya rasis. Dorang menyebarkan ideologi yang percaya bahawa negara Turki hanyalah untuk bangsa Turki sahaja. Masa ni banyak pelarian Armenia yang lari berlindung di negara Islam seperti Jordan, Mesir dan Iran.
Masalah etnik Armenia terus berlarutan sehingga Perang Dunia Pertama (1914-1918) dan pada masa ini kerajaan baru bijak mengambil kesempatan. Dorang jadikan perang sebagai alasan untuk menyuruh etnik Armenia yang masih tinggal di Turki untuk keluar dari Turki.
Pembunuhan kejam berlaku semasa dorang konon-kononnya sedang dipindahkan keluar. Satu pasukan khas yang terdiri daripada bekas banduan disuruh untuk menyerang konvoi orang-orang Armenia dan kemudiannya menyembelih dorang. Kejadian ni secara luarannya nampak seperti orang-orang Armenia mati dibunuh sebab diserang sekumpulan penjenayah.
Tindakan kejam dorang ni tak bertahan lama sebab lepas Perang Dunia Pertama kerajaan AS membantu etnik Armenia dengan membawa pesalah-pesalah (ahli CUP) ke muka pengadilan. Walaupun ada yang melarikan diri tapi mastermind dorang iaitu Talaat berjaya dibunuh di Berlin semasa menyorok di sana.
Masalah etnik Armenia tak selesai lagi kat sini. Kerajaan pimpinan Kemal Attaturk pula ambil alih dan teruskan pembersihan etnik ni. Daripada populasi dorang yang pada awalnya dianggarkan sebanyak 2 juta lebih sehinggalah sekarang hanya tinggal saki-baki sahaja.
“Saya teringin nak jadi kanak-kanak semula. Saya tak pernah rasa manisnya zaman kanak-kanak.” – Survivor Armenia. Dipetik dari The Guardian.
3. Disebabkan ‘kekosongan politik’, etnik-etnik mula bergaduh sesama sendiri
Sebelum Bosnia menjadi sebuah negara yang merdeka, dorang berada di bawah jajahan kerajaan Yugoslavia yang mengamalkan pemerintahan dasar komunis. Korang mesti dah tahu komunis melarang mana-mana rakyat negara dorang mengamalkan ajaran agama. Atas dasar itu, banyak madrasah yang ditutup dan sistem syariah seperti mahkamah syariah digantikan dengan mahkamah sivil.
Ujian yang menimpa dorang seperti sudah jatuh ditimpa tangga pula. Selepas kematian pemerintah komunis, negara Yugoslavia tak ada kerajaan tetap jadi kat situ berlaku kekosongan politik. Masing-masing berebut nak tubuhkan kerajaan sendiri.
Sewaktu kekosongan politik, tentera Yugoslavia yang majoritinya puak Serbia telah mengambil alih kerajaan dan sadisnya meneruskan penghapusan etnik Muslim Bosnia. AS yang mewakili PBB membantu Bosnia untuk satu perjanjian damai ditandatangani. Perjanjian tersebut dikenali sebagai Perjanjian Damai Dayton. Pelarian Muslim Bosnia dijamin hak dorang untuk pulang semula ke Bosnia tapi tak semua yang nak balik.
“Tentera Serb bunuh lelaki dan campak mayat ke Sungai Drina untuk bagi ikan makan. Perempuan pulak dibebaskan supaya dorang menderita.” – Sadic Selemovic, survivor Bosnia. Dipetik dari Al-Jazeera.
Survivor Muslim Bosnia mungkin dapat sedikit keadilan bila PBB menubuhkan jawatankuasa Tribunal Jenayah Antarabangsa untuk Bekas Yugoslavia (ICTY) untuk membawa pesalah-pesalah ni semua ke muka pengadilan. Hampir 160 orang didakwa dan dorang ni terdiri dari ahli politik, polis dan tentera.
4. Kebencian kaum digunakan nazi Jerman untuk meraih sokongan politik
Perkataan Holocaust berasal dari Greek yang bermaksud korban pembakaran. Pada abad ke-19, perkataan itu digunakan untuk pembunuhan beramai-ramai menggunakan api. Pembunuhan yang dilakukan tentera Nazi dinamakan sebagai Holocaust di parlimen British pada tahun 1943.
Penderitaan orang Yahudi di Jerman bermula pada tahun 1930 selepas parti yang diwakili oleh Hitler iaitu German Worker Party (NAZI) memenangi pilihanraya. Hitler memperkenalkan slogan anti-Jewish dan rakyat Jerman mula terpengaruh. Orang Yahudi diganggu di tempat awam.
Selepas Hitler dilantik menjadi Canselor (Perdana Menteri), Hitler telah menubuhkan Gestapo bertujuan untuk mengintip, menyoal siasat dan menahan sesiapa yang menentang kerajaan termasuklah orang Yahudi walaupun dorang tak bersalah.
Bisnes orang Yahudi diboikot dan pekerja-pekerja Yahudi dalam sektor kerajaan mahupun swasta dibuang. Akhirnya, kesemua orang Yahudi menganggur dan bila orang Yahudi kena tangkap, mereka akan dicampak ke satu penempatan khas yang bernama Ghetto. Dorang kena kurung di tempat yang padat dan kotor. Kat tempat tu juga dorang dilayan seperti hamba dan dipaksa buat kerja-kerja berat.
Sewaktu Perang Dunia Kedua, Hitler berjaya menawan beberapa negara seperti Poland, Perancis, Belanda, dan Norway. Disebabkan lambakan orang Yahudi bertambah selepas Hitler menang, dia perkenalkan Penyelesaian Terakhir (Final Solution). Ada banyak kem tahanan Nazi dan yang paling besar sekali adalah di Auschwitz, Poland. Kat situ tentera Nazi bunuh orang Yahudi guna gas beracun. Teknik ni dikatakan lebih senang mati daripada tembak tapi teknik ni gagal membunuh ramai orang dalam tempoh singkat. So dorang pun guna balik cara lama iaitu tembak je.
Nampaknya Hitler and the gang tak mudah putus asa. Dorang buat lagi sekali kem tahanan berunsurkan penggunaan gas beracun di tempat-tempat berbeza di Poland. Orang-orang Yahudi semua kena tipu dengan tentera Nazi konon-kononnya dorang akan dihantar ke penempatan baru dan akan diberi peluang pekerjaan. Sampai je kat sana, masa orang-orang Yahudi nak mandi dan keadaan padat gila, gas beracun dilepaskan. Dianggarkan hampir 6 juta Yahudi yang mati dibunuh sepanjang Hitler berkuasa.
Selepas kekalahan Jerman, Tribunal Tentera Antarabangsa ditubuhkan di mana beribu penyokong Nazi telah dihadapkan ke mahkamah termasuk 19 pegawai tertinggi Nazi. Ada yang kena hukum mati, penjara seumur hidup dan hukuman penjara.
5. Dasar pecah dan perintah penjajah Eropah yang yang menyebabkan berlakunya rusuhan
Rwanda dulu merupakan negara yang aman di mana rakyat mereka yang terbahagi kepada dua etnik majoriti iaitu Tutsis dan Hutu hidup saling bantu-membantu.
Ekonomi dorang berdasarkan pertanian. Walaupun kaum Hutu lebih ramai, kebiasannya Tutsis menjadi tuan tanah dan kaum Hutu pula jadi petani. Dorang dah lama hidup bahagia sehinggalah datang orang Eropah nak kuasai Rwanda. Orang Eropah asingkan kedua-dua etnik ni dan dorang pilih etnik Tutsis untuk jadi etnik yang lebih maju dan berpendidikan.
Keadaan ini menyebabkan etnik Hutu terasa hati dan rasa ditindas. Etnik Hutu pun mula memberontak dan telah menyebabkan 100 ribu orang terkorban dan ramai etnik Tutsis melarikan diri ke negara jiran iaitu Uganda.
Pembersihan etnik berlaku pada tahun 1994 bila pesawat Presiden Juvenal dan kawan dia yang juga etnik Hutu naik kena tembak. Etnik Hutu tuduh parti politik etnik Tutsis iaitu Barisan Politik Rwanda (RPF) yang buat semua ni. Pertempuran pun tercetus dan senjata yang paling banyak digunakan ialah parang tapi ada juga yang guna pistol dan bom tangan.
Bila berlakunya pergaduhan pihak kerajaan biarkan je benda ni berlaku malah terus menyokong lagi etnik Hutu. Lebih kasihan lagi, etnik Tutsis dibunuh oleh orang yang dorang kenal macam jiran tetangga, rakan sekerja, saudara-mara bau-bau bacang dan kawan sendiri.
Walaupun media dah cover cerita ni secara meluas tapi Amerika Syarikat dan pihak antarabangsa buat-buat buta dan tak nampak konflik yang sedang berlaku depan mata. AS mendakwa yang dorang tak ada kepentingan pun nak tolong krisis yang melanda kat Rwanda. Selepas didesak barulah ada inisiatif yang dorang tunjukkan. Bantuan Bangsa Bersatu Misi Rwanda (UNAMIR) ditubuhkan dan askar pengaman dihantar ke sana tapi gagal untuk dikawal.
Selepas pembunuhan berhenti, kerajaan campuran terhasil di mana Pasteur Bizimungu (etnik Hutu) sebagai presiden dan Paul Kagame (etnik Tutsi) sebagai naib presiden. Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menubuhkan Tribunal Jenayah Antabarangsa Rwanda (ICTR) untuk mendakwa pesalah-pesalah di mahkamah. Seramai 20 ribu orang didakwa namun agak sukar untuk menjatuhkan hukuman disebabkan lokasi pesalah di tempat yang tidak diketahui.
Pentingnya kita belajar bertolak-ansur dalam sebuah negara yang penduduknya pelbagai etnik dan kaum
Sepanjang korang membaca kisah-kisah pembersihan etnik di atas mesti korang perasan punca kepada permasalahan ini disebabkan tak ada tolak ansur. Kaum majoriti dengan ego yang menguasai diri merasakan tanah tempat tinggal dorang hanya untuk kaum dorang sahaja.
Malaysia juga merupakan sebuah negara yang didiami oleh pelbagai kaum, etnik dan agama namun kita masih mampu mengekalkan keharmonian selama ini sehingga dipuji negara luar. Tak kisahlah apa warna kulit, pegangan agama dan bahasa yang diguna pakai, pentingnya untuk kita belajar tolak ansur dan belajar memahami sensitiviti perkauman supaya tidak timbul masalah perkauman di kemudian hari. Seperti seperti firman Allah:
“Dan jika dua puak dari orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.” – Surah al-Hujuraat : 09
- 1.4KShare sekarang!
- Email13
- Facebook1.3K
- Share