- 63Share sekarang!
- Email4
- Facebook59
- Share
Minggu ni berlangsungnya kejohanan Piala Airmarine 2019 yang mana Malaysia menjadi tuan rumah. Kenapa nama piala dia macam tu? Ini kerana sebuah syarikat logistik terkemuka, Airmarine (Malaysia) Sdn. Bhd. dah menaja kejohanan ni untuk tujuan merancakkan saingan bola sepak negara.
Selain tu, kejohanan Piala Airmarine ni juga menjadi platform untuk pasukan negara memanfaatkan kalendar perlawanan antarabangsa FIFA bagi meraih seberapa banyak mata untuk memperbaiki kedudukan dalam ranking FIFA. Pasukan yang sertai adalah pasukan-pasukan yang lebih tinggi ranking-nya dari Malaysia (167) iaitu Singapura (165), Oman (90) dan Afghanistan (147). Perlawanan berlangsung pada 20 dan 23 Mac 2019.
Namun, laporan Stadium Astro bagitau bahawa jualan tiket tak berapa mendapat sambutan kerana ramai peminat yang tak berpuas hati dengan harga tiket berkenaan.
FAM cakap harga ok, Ultras Malaya jawab ianya alasan untuk ketamakkan
Harga tiket yang dikatakan melampau tu dah menyebabkan penyokong paling terkehadapan pasukan negara, Ultras Malaya memilih untuk memboikot perlawanan tersebut. Tindakan ni juga dibuat kerana tak bersetuju dengan sebarang eksploitasi ke atas skuad Harimau Malaya untuk kepentingan pihak tertentu.
“Piala Air Marine ini sebenarnya hanyalah satu perlawanan persahabatan kelas A yang akan memberikan mata FIFA sebagai aksi persahabatan.
Persoalannya di sini mengapa dan apa rasionalnya pihak penganjur ProEvents mengenakan caj tiket(RM35) yang melebihi dari harga tiket perlawanan persahabatan yang biasa iaitu RM20?”- Petikan dari Twitter UM’07
Mereka juga membezakan harga tiket beberapa lagi kejohanan di peringkat Asia Tenggara yang boleh didapati serendah RM20 yang setaraf dengan kiraan mata FIFA seperti Piala Airmarine. Selain tu, Ultras Malaya juga highlight nama ProEvents sebagai syarikat yang pernah mempergunakan skuad Harimau Malaya untuk mengaut keuntungan dengan kebenaran FAM.
Timbalan Presiden FAM dah menjawab isu ni dengan mengatakan bahawa harga tiket ni mahal sebab ia melibatkan dua perlawanan dalam sehari. Jadi, beli satu tiket akan dapat tengok dua perlawanan iaitu perlawanan Oman lawan Afghanistan serta Malaysia lawan Singapura. Namun, pihak Ultras Malaya dah mempertikaikan dengan mengatakan,
“Harga RM35 untuk 2 perlawanan? Satu perkara yang b********! Jelas sekali majoriti kita tidak akan menonton perlawanan pasukan lain, ini hanya alasan untuk menutup ketamakkan mereka.“- Twitter UM’07
Isu ni dah menyebabkan kami dari SOSCILI nak buat sikit perbandinganlah, harga-harga tiket kejohanan besar yang pernah Malaysia anjurkan. Kita mulakan dengan…
1) Harga tiket Piala AFF Suzuki
Siapa yang tak tahu pasal Piala AFF Suzuki? Memang betullah duduk dalam gua. Piala inilah yang menjadi platform untuk pasukan-pasukan Asia Tenggara menunjukkan kehebatan masing-masing. Kira macam Piala Dunia untuk Asia Tenggara. Selain tu, kejohanan ni bagi peluang kepada pasukan-pasukan Asia Tenggara termasuk Malaysia untuk merebut mata bagi ranking FIFA.
Kalau ikut sistem kiraan baru ranking FIFA, kejohanan seperti Piala AFF Suzuki akan beri lebih banyak mata berbanding perlawanan taraf persahabatan seperti Piala Airmarine. Persoalannya, berapakah harga tiket kejohanan ini?
Walaupun Piala AFF Suzuki ni dipertandingkan sejak 2008, namun kita nak tengok harga tiket dalam edisi terdekat. Pada edisi 2014, pernah ada isu apabila harga tiket perlawanan akhir kedua Piala AFF Suzuki di Stadium Nasional Bukit Jalil dijual pada harga RM50. Namun, perkara ni dah dijawab oleh Pengerusi Jawatankuasa Tiket dan Pintu Masuk, Datuk S. Sivasundram bahawa harga berkenaan dah ditetapkan sejak 2012 lagi.
Dia juga menerangkan harga standard bagi perlawanan melibatkan negara dalam setiap kategori perlawanan:
- Perlawanan persahabatan: RM20
- Perlawanan peringkat kumpulan: RM30
- Peringkat kalah mati (suku akhir, separuh akhir): RM40
- Perlawanan akhir: RM50
Pada kejohanan Piala AFF Suzuki edisi 2018, format perlawanan telah bertukar di mana tiada tuan rumah khas. Setiap negara akan ada perlawanan di gelanggang sendiri di peringkat kumpulan. Waktu tu Malaysia ada dua perlawanan kat tempat sendiri di peringkat kumpulan. Harga tiket ketika tu adalah RM30 (grandstand), RM20 (terbuka) dan RM5 (kanak-kanak). Kiranya ok lagilah.
2) Harga tiket Pesta Bola Merdeka edisi 2013
Salah satu kejohanan yang dinanti-nantikan setiap rakyat Malaysia juga adalah Pesta Bola Merdeka. Kalau nak diikutkan, tahun lepas FAM pernah rancang untuk anjurkan Pesta Bola Merdeka pada Mac 2019 kerana ia waktu kalendar FIFA. Tapi, nampaknya, bulan Mac 2019 yang dianjurkan adalah Piala Airmarine. Adakah ini bermakna Pesta Bola Merdeka digantikan dengan Piala Airmarine?
Jawapannya tidak kerana menurut Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi mengatakan tiada yang boleh gantikan Pesta Bola Merdeka. Ia ada nilai sentimental yang tersendiri. Dia juga mengatakan bahawa Pesta Bola Merdeka tak dapat dianjurkan pada Mac 2019 kerana ada kekangan masa. Korang boleh terima alasan ni?
Berbalik kepada Pesta Bola Merdeka, ia dah dianjurkan sejak tahun 1957 lagi. Tapi kita nak tengok harga tiket pada edisi paling terdekat dengan tahun ni. Pada edisi 2013, harga tiket adalah macam ni:
- Bebas: RM38
- Grandstand: RM68
Waktu ni kejohanan diadakan di Stadium Darul Makmur dan Stadium Mini Temerloh, Pahang. Timbalan Presiden FAM waktu tu, Tengku Abdullah mengingatkan penonton supaya menerima harga tiket sebegitu kerana ia pertandingan antarabangsa.
“Kalau nak lebih murah memang sukarlah untuk penganjur kerana saya difahamkan kos penganjuran dan sebagainya pun tinggi.”- Tengku Abdullah, Timbalan Presiden FAM waktu tu, petikan dari Malaysian Review
Namun, sewaktu perlawanan ketiga kejohanan. FAM dah bersetuju dan mengumumkan penurunan harga tiket menjadi RM20 bagi tempat bebas dan RM50 bagi grandstand. Apa yang menarik, waktu ni juga syarikat ProEvents adalah penganjur perlawanan. Penurunan ni berlaku setelah pihak FAM berbincang dengan mereka.
3) Tiket perlawanan Sukan SEA 2017 hingga pagar dirempuh
Semestinya, ramai yang tak boleh lupa dengan temasya sukan SEA 2017 yang menyaksikan kontinjen negara menjadi juara keseluruhan. Kontinjen negara kita berjaya meraih 145 pingat emas meninggalkan negara Asia Tenggara yang lain. Ia juga menjadi hadiah Hari Kebangsaan 2017.
Pencapaian pasukan bola sepak negara ketika Sukan SEA ini juga sangat membanggakan sekalipun tewas di perlawanan akhir kepada Thailand. Macam biasa, bila perform ia akan menarik ramai rakyat Malaysia untuk turun ke stadium dan berikan sokongan. Pada perlawanan peringkat kumpulan, tiket bola dijual melalui online di laman web www.kualalumpur2017.com.my.
Harga tiket untuk beberapa jenis sukan termasuk bola sepak boleh didapati dari RM10 hingga RM20. Tapi, pada perlawanan akhir, tiket tidak lagi dijual secara online. Ia mesti dibeli di stadium dengan harga RM21.20 termasuk GST. Sewaktu ni urusan jualan tiket dilakukan oleh pihak Sekretariat Kuala Lumpur 2017 dan Kementerian Belia & Sukan.
Ketiadaan tiket yang dijual online menyebabkan kaunter stadium sesak dan akhirnya membawa kepada insiden rempuhan pagar oleh penyokong. Ramai peminat tidak berjaya mendapatkan tiket. Ultras Malaya ketika ni juga memboikot perlawanan bagi memberi sokongan kepada penyokong yang bersusah payah nak dapatkan tiket, tapi dikecewakan kerana sistem penjualan tiket yang lemah.
Harga tiket dan sistem penjualan perlu diubah
Sokongan padu penyokong kepada skuad negara memang dah terbukti banyak memberi kesan dari segi psikologi dan moral. Namun, disebalik keghairahan peminat yang ingin membanjiri stadium, pihak penganjur perlu juga bijak dalam percaturannya. Setakat pengalaman di negara kita ini dalam sukan bola sepak, memang ada dua masalah utama yang belum pernah selesai. Iaitu harga tiket melampau serta sistem penjualan tiket yang tidak sistematik.
Di liga tempatan, sistem jualan tiket online dah mula bergerak ke arah yang lebih positif. Jika ia mudah dibeli, maka lebih ramai akan turun ke stadium tanpa perlu bersusah payah beratur. Manakala, harga tiket pula perlu mengambil kira tahap perlawanan yang dianjurkan. Janganlah hanya memikirkan keuntungan semata-mata.
- 63Share sekarang!
- Email4
- Facebook59
- Share