6 pengalaman paling syahdu yang budak asrama je boleh paham

Pepatah Melayu moden ada mengatakan, “Ko memang akan tinggalkan asrama, tapi asrama tidak pernah meninggalkan engkau.” #puitis

Mana taknya, tanyalah sesapa pun yang pernah masuk asrama, mesti dorang takkan lupa segala pengalaman yang dirasa. Dah lah time tu kali pertama tinggalkan rumah dan mak bapak, pastu kena pulak duduk sebilik dengan manusia-manusia pelik yang suka campak stokin merata-rata.

Sekolah asrama ni ada banyak jenis, yang paling femes adalah Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM). Pastu ada jugak yang masuk Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) atau Sekolah Menengah Teknik sebab nak fokus kepada minat masing-masing sejak awal lagi.

Tapi tak kiralah jenis asrama mana pun korang masuk, pengalamannya mesti lebih kurang sama, antaranya ialah:

1. Tidur bila-bila masa, di mana saja

budak-asrama-tidur
Apesal tak kapankan je budak tu. Imej dari Twitter @kucingbertweet.

Kat asrama, waktu tidur adalah sangat berharga sebab paling lama yang korang boleh dapat pun enam jam je. Mana taknya, sepanjang hari korang dah diisi padat dengan kelas, dari 5.30 pagi sampai la 12 malam!

Setadi je la memanjang. Berhenti pun untuk solat dan makan. Imej dari SEMESTI.

Itu belum kira kerja sekolah yang setinggi KLCC lagi. Lepas lampu bilik tutup pukul 11 ke 12 malam, kalau ada apa-apa kerja, terpaksalah bergerak ke bilik study. Lepas tu esoknya wajib bangun sebelum azan subuh berkumandang kalau nak mandi. Kalau korang jenis bangun time langit dah cerah, alamatnya pergi sekolah tak mandi lah.

Jadi lepas ni kalau korang tengok budak tersengguk-sengguk dalam kelas macam ayam patuk padi, kasihanilah mereka, nak lagi time kelas Sejarah.

2. Asalkan boleh telan, apa pun dorang makan

Ikan jaket asrama, kebal di luar, hambar di dalam. Imej dari VITDAILY.

Kalau korang dapat pengusaha DM (Dewan Makan ye, bukannya Direct Message) memang sejuklah hati dan perut korang sepanjang semester. Tapi bagi yang kurang bernasib baik tu… redha je lah, sebab memang biasa dapat ayam liat, kuah tawar dan kadang-kadang ada ulat. Malah ada pengusaha yang punyalah pengotor sampai terpaksa ditutup Jabatan Kesihatan.

Sebenarnya menu untuk sekolah asrama ni dah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan untuk memastikan budak-budak dapat nutrien yang secukupnya, siap ada checklist untuk memastikan makanan yang dihidangkan sihat dan bersih. Tapi siapa sangatlah yang ikut kan.

Menu seimbang untuk tumbesaran kanak-kanak terlebih dewasa. Imej dari MOE (link ke fail DOC).

Sebagai pelajar, pasrah je lah. Kalau memilih sangat, korang pegi la masak megi guna baldi.

3. Belajar sampai muntah warna warni

Imej dari Quickmeme.

Pembelajaran kat sekolah asrama ni tak jauh beza pun dengan sekolah biasa, cuma ofkoslah, lagi kompetitif. Masing-masing nak kejar ranking SBP terbaik setiap tahun yang dibuat berdasarkan keputusan SPM. Time ni lah cikgu di SBP akan buat banyak kelas tambahan untuk memastikan ranking yang baik.

Yang bestnya pasal duduk SBP, biasanya korang dapat belajar bahasa tambahan seperti Bahasa Jepun, Perancis, Jerman dan lain-lain. Nanti bila murah rezeki dapat travel ke luar negara, baru la syok sikit bersembang dalam bahasa dorang!

Kalau korang ingat budak-budak SBP ni pulun sebab ambik satu subjek lebih, tunggu bila korang dengar pasal budak sekolah agama yang ambil sampai… 10 subjek tambahan! Ini termasuklah Bahasa Arab, Al-Quran, Tauhid, Feqah, dan banyak lagi… @_@

Fenomena biasa waktu kelas prep. Imej dari Twitter @linlin.

Jadi sebelum korang komplem pasal PMR dan SPM yang banyak sangat subjek, ingatilah mereka di Sekolah Agama yang lebih sengsara…

4. Zaman freshie adalah zaman neraka

Kes-kes buli dan ragging ni memang dah sebati sangat dengan kehidupan berasrama. Kes pukul beramai-ramai (sebab tak cuci bilik je pun) memang dah biasa, tapi ada yang ekstrim sampai menyebabkan kematian.Budaya ni biasanya berkait rapat dengan rasa senioriti, Asalkan senior dorang boleh buat apa yang dorang suka terhadap junior. Yang sedihnya bila junior yang selalu kena buli tu jadi senior, benda yang sama dilakukan.

“Di mata pelajar yang tinggal di asrama, ia budaya yang diterima dan diturunkan oleh senior kepada junior. Junior belajar dari persekitaran, dari apa yang dialami dan diwarisi selain akan melakukan perkara sama apabila tiba waktunya,” – Pakar Psikoterapi, Azman Shah Aziz, dipetik oleh Sinar Harian.

Ni kirab buli tahap bawah sekali la ni, jangan mengada nak komplen.

Oleh kerana budaya ni dah biasa sangat, apa yang korang boleh buat adalah ambik langkah berjaga-jaga. Contohnya, jangan kerek sangat dengan orang lain. Pastu rajin-rajinkanlah diri untuk aktif dalam aktiviti yang ada kat asrama. Kirnaya hidup kat asrama ni adalah latihan asas untuk tinggal dalam komuniti sebelum korang keluar ke dunia nyata nanti.

5. Kawan di asrama adalah kawan dunia akhirat

Imej dari Twitter.

Bila dah duduk jauh daripada keluarga dan kena mengadap muka member yang sama 24 jam, macam-macam pengalaman korang kongsi bersama termasuklah kongsi shower, kongsi makan megi, sampai katil pun boleh kongsi (sebab nak ber-pillow talk di malam hari).

Siapa ada tshirt asrama memang lejen. Komik daripada Komik Ronyok.

Sebab tu lah, kalau korang perasan banyak aktiviti reunion ni budak-budak sekolah asrama je yang buat. Tambah-tambah sekolah asrama yang ada alumni yang hebat-hebat. Bayangkan dah empat puluh tahun tak jumpa, konfem la bila berkumpul ada sesi Jejak Kasih sikit.

6. Environment paling sesuai untuk belajar!

Dalam asrama pun ada mart! Patutla budak-budak semua smart!

Kebanyakkan sekolah asrama ni dibina di kawasan luar bandar atau tempat yang agak terpecil. Tak kampung sangat, tak la bandar sangat. Benda-benda basic seperti klinik kesihatan, kedai runcit, masjid dan sebagainya ada la sekeliling sekolah tersebut. Kiranya, kalau korang sakit ke apa, masih ada tempat untuk korang berubat.

Kayuhlah basikal tu sampai ke negeri China.

Environment dalam kawasan sekolah pula memang sesuai untuk korang belajar. Bab fasiliti, tak payah lah korang risau sebab sekolah asrama ni cukup lengkap sebab ada dana daripada kerajaan sendiri. Benda-benda basic seperti makmal kimia, makmal fizik, makmal biologi, padang dan lain-lain semuanya ada. Dan sekarang dah banyak sekolah asrama yang buat mini gymnasium untuk student.

7. Macam-macam jenis cerita hantu yang korang akan dengar

Hantu entreprenur. Imej dari SAYS.com.

SAYS.com ada tulis koleksi cerita hantu paling legend yang korang selalu dengar kat asrama, termasuklah “Dah ingat ke, dah tahu” (versi bilik studi dan versi tandas) dan jugak “1 dah tidur, 2 dah tidur, 2 belum lagi…”. Hah kalau korang ada darah tinggi ke lemah semangat ke jangan la klik kat link kat atas tu ye.

Biasanya kisah-kisah seram ni bertujuan nak menakutkan junior je, lagi syok kalau korang kumpul ramai-ramai dalam bilik, tutup lampu, dan mula sesi penglipur lara. Tapi berdasarkan pengalaman kami, lagi banyak orang yang perangai mengalahkan hantu ada lah.

Walaupun cuma beberapa tahun, pengalaman di asrama takkan korang lupakan…

Dah banyak artikel yang ditulis pasal faedah hidup di sekolah asrama, jadi kalau ada antara pembaca SOSCILI ni golongan adik-adik, janganlah lepaskan peluang kalau ada rezeki (melainkan kalau korang kena duduk rumah jaga famili, tu lain cerita lah). Dan banyak jugak tokoh-tokoh yang disegani serta personaliti terkenal pernah belajar di sekolah asrama, contohnya Rafizi Ramli yang merupakan bekas pelajar MCKK, Vivi Yusof yang merupakan alma mater Seri Puteri, dan juga Neelofa yang menuntut di MRSM Langkawi.

Korang ada pengalaman asrama yang korang nak kongsi? Jom cerita kat kami di ruangan komen!