- 365Share sekarang!
- Email5
- Facebook360
- Share
Jika ada di antara korang yang pernah menonton filem Korea arahan Bong Joon-ho, Memories of Murder – mesti korang akan tahu tentang kisah pembunuhan bersiri Hwaseong yang menjadi inspirasi filem berkenaan. Apa yang mengejutkan, pada tahun lepas – pihak polis Korea Selatan dah membuat permohonan maaf kerana kesilapan siasatan sehingga menyebabkan seorang lelaki tak bersalah dipenjara selama 20 tahun.
Hal itu berikutan dengan pengakuan seorang lelaki yang mendakwa dialah orang yang bertanggungjawab melakukan pembunuhan tersebut. Lelaki berusia 50-an itu sebenarnya memang dah dipenjara seumur hidup atas kesalahannya sebelum ini. Dengan pengakuannya tu, maka selesailah kes pembunuhan bersiri yang terjadi dari tahun 1986 hingga 1994 itu.
Tapi sebenarnya, bukan kes ni saja yang pernah menimbulkan misteri dan penahanan orang tak bersalah. Kalau kita melihat Jepun pula, negara tu pun pernah berdepan keadaan yang sama. Hal itu adalah berkenaan dengan kes pembunuhan seorang Penyelidik Ekonomi Kanan Tokyo Electric Power Company (TEPCO), Yasuko Watanabe pada Mac 1997.
Walaupun seorang yang bekerjaya, Yasuko terlibat dalam aktiviti gelap
Walaupun seorang yang bekerja di sebuah syarikat besar, tak ada sesiapa yang menyangka Yasuko menyimpan rahsia gelap. Ini kerana, selain menjadi seorang penyelidik, Yasuko juga terlibat dalam dunia pelacuran selepas waktu bekerja di Shibuya. Dikatakan, dia terlibat dalam dunia hitam tu selepas berasa kecewa dengan kerjanya.
Ini kerana, pada masa tu – pekerja wanita di Jepun dilayan secara kurang adil berbanding pekerja lelaki. Yasuko dikatakan wajib memakai uniform, sedangkan pekerja lelaki tak perlu. Dia juga kena buat air untuk rakan sekerja dan bos, sedangkan tu bukan tugasnya.
“Kejatuhannya dilihat semakin kelihatan akibat rasa cemburunya terhadap pemilihan saingan wanita lain bagi mengikuti program di Universiti Harvard.” – Dipetik dari Los Angeles Times.
Jadinya, dikisahkan Yasuko akan berjalan di lorong Maruyamacho yang dipenuhi dengan love hotel (hotel untuk tujuan seks), dan akan melayan pelanggannya sama ada dalam kereka, tempat parking ataupun bilik hotel. Apa yang menarik perhatian, Yasuko ni seorang yang cukup berdisiplin dan sebab itulah dia akan catat dengan terperinci setiap maklumat pelanggannya, termasuklah nama, tarikh, masa dan jumlah yang dibayar.
“Dikatakan bahawa dia adalah pelacur Robin Hood yang akan mengenakan bayaran kepada ahli perniagaan Jepun hingga £300, tetapi hanya sepersepuluh dari jumlah itu kepada pelanggan dari negara-negara membangun.” – Dipetik dari The Guardian.
Bagaimanapun, keadaan mula berubah sama sekali selepas Yasuko ditemui mati di bilik 101, Pangsapuri Kijyu-so pada 19 Mac 1997. Dari keadaan mayatnya, siasatan percaya Yasuko dah mati sekurangnya 10 hari sebelum itu dan meninggal dunia akibat dijerut. Perkara ni memaksa pihak polis menyiasat butiran semua pelanggannya (yang dicatatkan Yasuko) dan sampel air mani di kondom dalam bilik berkenaan. Selepas siasatan dijalankan…
Seorang warganegara Nepal menjadi suspek utama
Sebenarnya, di pangsapuri yang sama – tinggal seorang pelayan restoran dari Nepal bernama Govinda Mainali. Pada mulanya, Mainali tak mengaku yang dia mengenali mangsa, tapi kemudiannya mengaku kenal dan pernah melanggan mangsa sebanyak dua kali. Syak itu bertambah lagi bila polis menemui dua bahan bukti utama iaitu kondom berisi air mani dan bulu kemaluan yang didakwa milik Mainali berdekatan mayat.
Faktor-faktor ini membuatkan pihak berkuasa Jepun menahan Mainali sebagai suspek pembunuhan dan mula menjadi tajuk utama di akhbar-akhbar Jepun dan Nepal ketika itu.
“Mainali dituduh menjerut dan merompak Watanabe untuk $324. Dia akhirnya mengaku melakukan hubungan seks dengannya dan membayar wang mangsa, tetapi menafikan membunuhnya.” – Dipetik dari AP News.
Bagaimanapun, Mainali tetap berkeras menafikan dirinya yang membunuh Yasuko, sehinggalah dia dibicarakan di Mahkamah Tokyo pada tahun 2000. Mahkamah kemudiannya membuatkan keputusan membebaskan Mainali dari pertuduhan tersebut.
Mainali yang dibebaskan pun mula rasa dirinya dah tak sesuai lagi bekerja di Jepun dan buat keputusan untuk kembali ke Nepal. Tapi malangnya, masa bersiap nak balik ke negara asalnya, pihak pendakwaraya Tokyo sekali lagi menahannya selepas memfailkan rayuan kepada mahkamah. Perkara tu membuatkan Mainali dipenjara, sementara menunggu dibicarakan.
Perkara ni kemudiannya mendapat reaksi negatif daripada aktivis hak asasi manusia yang menganggap tindakan itu sebagai tak adil dan diskriminasi terhadap pekerja asing dari negara membangun. Menjelang 22 Disember 2000, Mahkamah Tokyo sekali lagi bersidang dan kali ni membuat keputusan Mainali dijatuhi hukuman penjara seumur hidup.
Setelah 15 tahun dipenjara, Mainali dibuktikan tidak bersalah
Tapi, dalam masa sama – perkara ni juga mendapat perhatian seorang penulis Jepun, Shinichi Sano yang nampak macam ada yang tak kena dengan kes ni. Bagi Sinichi, dia anggap Mainali bukanlah pembunuh sebenar atas beberapa faktor. Antaranya adalah mengikut siasatan polis, Yasuko kemungkinan besar dibunuh pada 8 Mac 1997 sebelum mayatnya dijumpai pada 19 Mac 1997.
Ini bermakna, ada 11 hari sebelum mayat Yasuko dijumpai pihak berkuasa. Kalau Mainali yang membunuh Yasuko, dia boleh je lari ke negara asal atau ke tempat lain dalam tempoh tu. Sebaliknya, Mainali tetap tinggal di Bilik 401 pangsapuri berkenaan sehinggalah mayat tu ditemui.
“Tiga hari selepas mayat ditemui, Govinda (Mainali) secara sukarela pergi ke Balai Polis Shibuya untuk disoal siasat, (sedangkan) sedar sepenuhnya risiko akan ditahan kerana tinggal lebih masa dari visanya. Ini kuat menunjukkan bahawa dia tidak bersalah.” – Shinichi Sano, dipetik dari Nepali Times.
Pada 4 November 2003, Shinichi ada berjumpa dengan Mainali di penjara dan masa tu, Mainali masih lagi sekeras-kerasnya menafikan dia yang membunuh Yasuko. Tapi, Shinichi tak mampu nak buat apa-apa sebab kuasa mahkamah di luar bidangnya.
Walaupun begitu, setelah 15 tahun Mainali dipenjarakan – kes pembunuhan Yasuko dibuka balik dan berdasarkan ujian DNA, ia membuktikan Mainali tak bersalah. Perkara tu sekaligus membuatkan Mainali dibebaskan pada Jun 2012 setelah lebih sedekad dipenjara.
“…setelah bukti DNA yang baru membuktikan penyiasatan asal telah mengabaikan fakta bahawa air mani yang terdapat di dalam (Yasuko) Watanabe bukan miliknya. Air mani di kondom juga bertarikh tepat sebelum kematiannya.” – Dipetik dari South China Morning Post.
Pihak pendakwaraya juga kemudiannya membuat permohonan maaf atas penahan secara tak adil terhadap Mainali.
“Kami sangat memohon maaf kerana menahannya untuk waktu yang sangat lama.” – Takayuki Aonuma, Timbalan Ketua Jabatan Pendakwaraya Tokyo. Dipetik dari ABC News.
Mainali terima pampasan ¥68 juta
Setelah dibebaskan, Mainali terus dihantar pulang ke negara asalnya oleh pihak imigresen Jepun sebab visanya yang dah lama tamat tempoh.
“Saya terpaksa menjalani 15 tahun masa yang mengerikan dan menyeksakan di penjara walaupun tidak bersalah. Sekiranya ujian DNA tidak dilakukan, saya akan dipenjarakan dan mungkin akan mati di sana.” – Mainali, katanya ketika sudah berada di Kathmandu. Dipetik dari South China Morning Post.
Setahun selepas dibebaskan, Mainali menerima pampasan sebanyak ¥68 juta (sekitar RM2.7 juta nilai sekarang) akibat penahanan secara tak adil dan kecuaian tersebut. Apa yang menimpa Mainali juga membangkitkan respon dari pertubuhan antarabangsa seperti Amnesty International yang menggesa Jepun melakukan reformasi terhadap sistem tahanan polis.
Apa yang pasti, kes pembunuhan Yasuko masih kekal misteri sehingga ke hari ini. Kisah pembunuhan ini juga pernah diterbitkan dalam bentuk buku tulisan Shinichi Sano bertajuk Tokyo Electric Power Co. Office Lady Murder Case.
- 365Share sekarang!
- Email5
- Facebook360
- Share