- 2.1KShare sekarang!
- Email9
- Facebook2.1K
- Share
(Untuk korang yang nak semak sesuatu berita atau kenyataan menteri tu betul ke bohong, boleh lah join Group FB Berita Betul Ke Bohong Malaysia ni!)
Sejak minggu lepas, ada satu kajian dari think-tank ni yang dapat perhatian dari pelbagai media dan masyarakat. Kajian tu datang dari Centre for Governance and Political Studies (Cent-GPS) yang dapati ada unsur-unsur diskriminasi kaum dalam sektor swasta di Malaysia.
Berdasarkan kajian, Cent-GPS dah buat 3,829 permohonan pekerjaan kepada lebih 500 peluang pekerjaan. Untuk setiap permohonan tu, diorang dah hantar 7 resume berbeza, yang setaraf dari segi kelayakan.
Kesemua calon tu ada ijazah perniagaan dan graduan dari Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) terkemuka di negara ni. Apa yang lebih menarik, kesemua calon fasih dalam Bahasa Melayu, Inggeris dan Mandarin. Cumanya, mereka terdiri dari kaum-kaum berbeza iaitu Melayu, Cina dan India.
Calon wanita Melayu pula ada dua jenis penampilan iaitu bertudung dan tidak bertudung. Tapi bila kajian ni siap dijalankan, hasilnya agak mengejutkan bila…
Memang…wujud diskriminasi kaum dalam sektor swasta
Itulah hasil kajian think-tank ni dan itulah yang dilaporkan dalam banyak media di Malaysia. Cent-GPS merangkumkan:
- Graduan berbangsa Melayu didiskriminasi dalam sektor swasta berbanding graduan berbangsa Cina. Apabila graduan berbangsa Cina mendominasi panggilan temuduga.
- Bagi calon wanita, graduan Cina menerima kadar panggilan temuduga sebanyak 43.88%, berbanding calon Melayu (12.80%) dan calon India (8.96%).
- Bagi calon lelaki pula, graduan Cina mendapat kadar panggilan temuduga sebanyak 32.72%, berbanding calon Melayu (7.86%) dan India (3.66%).
- Mandarin jadi antara faktor utama yang membantu graduan untuk dapatkan peluang pekerjaan.
- Pemakaian tudung beri kesan peluang untuk graduan wanita memohon pekerjaan.
“Pada sudut pandangan berbeza, Nicola (Cina) hanya perlu memohon dua pekerjaan untuk mendapatkan satu panggilan temuduga. Sakinah (Melayu), calon wanita berhijab perlu memohon 13 pekerjaan bagi satu panggilan temuduga.
Malangnya, Thiavakar, graduan lelaki India perlu memohon sebanyak 28 pekerjaan hanya untuk mendapat satu panggilan temuduga. Jika Thivakar memohon 200 pekerjaan, satu bulan, beliau hanya akan menerima 28 panggilan temuduga,” – dipetik dari kenyataan media Cent-GPS.
Tambah kajian tu, walaupun ada pekerjaan yang nakkan bahasa Mandarin, dan kesemua calon (ketiga-tiga kaum) fasih dalam bahasa tu, tapi yang dipanggil interview cuma yang berbangsa Cina. Selain tu, calon wanita Melayu yang tak bertudung juga dapat panggilan temuduga lebih tinggi, berbanding dari calon Melayu yang bertudung.
(Klik sini, kalau nak baca laporan penuh dalam PDF)
Kitorang tanya ketua pengkaji siapa yang bayar diorang
Bagi yang tak kenal Cent-GPS ni, diorang adalah firma penyelidikan sains dan tingkah laku sosial untuk Kuala Lumpur. Diorang tengok terdapat keperluan mendesak untuk pusat penyelidikan yang gunakan pelbagai disiplin ilmu. Diorang jugak mengaku yang diorang bukanlah milik mana-mana parti politik, diorang berhasrat untuk berikan penilaian dan perisikan yang betul untuk membantu proses pembinaan polisi yang betul,
Diorang nak sediakan data statistik dan penilaian empirikal ke atas isu-isu tertentu ia harus menjadi panduan yang berharga – untuk bantu kerajaan buat keputusan dan dasar. Macam biasalah, kitorang ni bila jumpa je researcher atau badan-badan macam ni kitorang akan tanya beberapa soalan yang panas, jeng je jeng.
Pertama kitorang tanyalah – siapa yang bayar diorang untuk buat kajian ni? Diorang jawab; kajian tempoh hari tu tak dapat penajaan dari mana-mana pihak dan ia merupakan hasil kerja penyelidik dalaman Cent-GPS, tapi diorang sebenarnya terbuka untuk bekerjasama dengan sesiapa yang berminat nak buat kajian.
Soalan paling panas kitorang bagi – adakah diorang ni sebenarnya dimiliki oleh Barisan Nasional, sebabnya ada khabar angin yang kata macam tu. Diorang pun jawablah;
“Tidak betul dan saya faham mengapa ada pihak yang menimbulkan perkara ni, ini kerana salah seorang yang berada di belakang Cent-GPS ialah seorang Senator dari BN iaitu Khairul Azwan Harun dan ada di antara penyelidik kami merupakan bekas pemegang jawatan di dalam Pemuda BN. Tidak, Cent-GPS bukan milik BN ataupun laporan ini dikeluarkan kerana hendak membantu BN.” – Zaidel Baharuddin memberitahu SOSCILI
Bukan setakat kajian diskriminasi kerja, ada banyak lagi kajian yang diorang buat
Cent GPS bukan je buat satu kajian ni, ada beberapa lagi kajian yang menarik untuk kita ambil tahu. Antaranya:
- Kajian mengenai pengundi di Pilihan Raya Kecil Sungai Kandis
- Perbandingan awal tiga Pilihan Raya Kecil; Sungai Kandis, Balakong dan Seri Setia
- Analisis Pilihan Raya Port Dickson
Apa yang ramai tak tahu dan perlu bagi perhatian adalah kajian mereka mempunyai pembinaan MRT. Kajian ni dah menjawab secara terperinci serta menjawab persoalan “apakah stesen-stesen MRT ini mesra untuk golongan B40 dan M40?”. Ada jawapan mengejutkan apabila mereka mengkaji nilai hartanah di semua stesen MRT.
“Apabila mengambil kira harga per kaki persegi hartanah yang ada di stesen-stesen MRT, tiada stesen yang memilik hartanah yang mampu dimilki golongan B40.
Hanya 8 dari 31 stesen (kebanyakan berdekatan Kajang) yang disifatkan sebagai mampu dimiliki golongan M40. Kesemua yang lain berada di atas garisan mampu milik.”- Petikan kajian Cent-GPS
Dalam kajian ini juga mengkritik pembinaan stesen MRT yang tak mampu memberi sebab kepada golongan B40 dan M40 untuk menaikinya. Dengan tiada satu pun perumahan PR1MA yang ada dalam lingkungan 1km berdekatan stesen-stesen MRT serta hanya satu hospital kerajaan yang ada berdekatan stesen, maka ia menyusahkan lagi golongan B40 dan M40 untuk menaiki MRT.
Kajian yang muncul dengan data, perlulah dipandang serius
Pusat kajian seperti Cent-GPS samalah juga macam pusat kajian lain. Korang mesti pernah dengan Ihlam Centre, Merdeka Centre, Invoke dan lain-lainnya juga. Ada kajian yang boleh korang setuju dan ada yang tak setuju. Begitu juga, kajian mengenai diskriminasi kaum dalam dunia pekerjaan di Malaysia yang ada beberapa pihak tak setuju.
Apa yang penting, keputusan-keputusan kajian dibuat perlu diambil serius dan dibincangkan bagi mereka yang bertanggungjawab. Sama ada penggubal polisi mahu pun pemimpin atasan. Kita tak perlu takut jika kajian tu tidak menyebelahi pihak kita kerana ia sendiri boleh bantu kita untuk memperbaiki apa yang masih kekurangan.
(Untuk korang yang nak semak sesuatu berita atau kenyataan menteri tu betul ke bohong, boleh lah join Group FB Berita Betul Ke Bohong Malaysia ni!)
- 2.1KShare sekarang!
- Email9
- Facebook2.1K
- Share