Pernah tak bila korang tengok berita, dengar orang sembang pasal bajet, atau tengah scroll TikTok terkeluar video pasal ekonomi?
Lepastu diorang ada sebut pasal tariff naik, barangan kena duti import, atau kerajaan kenakan cukai baru?

Tapi… apa beza tiga benda ni sebenarnya? Tak sama ke semua tu? Bukan ke semua benda yang kerajaan ambil dari duit poket rakyat tu kiranya macam cukai? Lepas buat research kami dapat jawapan. Ya. Semua benda ni berbeza walaupun secara konsep benda ni nampak macam sama.
Cukai. Benda yang kita semua tahu (Dan tak suka)
Cukai ni secara ringkasnya adalah pendapatan utama negara yang dikutip dari rakyat dan syarikat. Dengan duit cukai kita ni, kerajaan boleh sediakan kemudahan macam sekolah, hospital dan bayar gaji penjawat awam. Kerajaan juga gunakan duit cukai ni untuk bagi subsidi dan bantuan kepada kita. Kiranya, duit yang kita bagi tu akan dapat dekat kita balik.
Ada dua jenis cukai yang ada kat negara kita:
Cukai langsung ni jenis cukai yang kita bayar terus kat kerajaan, biasanya bila kita ada pendapatan atau buat untung. Contohnya macam cukai pendapatan yang kena bayar kalau gaji korang dah lepas jumlah tertentu, korang kena buat e-filing dan bayar ikut kadar yang ditetapkan. Ada juga cukai keuntungan harta tanah (CKHT), kalau kita jual rumah atau tanah dan dapat untung, sebahagian keuntungan tu kena bagi kat kerajaan.
Cukai tak langsung pulak jenis yang kita bayar tanpa kita sedar dan selalunya masa beli barang atau guna perkhidmatan. Contohnya cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sebanyak 6%, yang menggantikan GST dulu. Cukai ni dah termasuk dalam harga makanan kat restoran macam fast food atau barang kat kedai.
So, bila korang beli beli KFC ke Mcd ke, harga tu dah termasuk cukai. Kau mungkin tak perasan, tapi kerajaan dah ambik sikit dari situ.
Duti. Macam cukai tapi untuk barang tertentu je.
Duti ni adalah sejenis cukai yang dikenakan kepada barangan je. Biasanya, duti dikenakan bila barang dibawa masuk (import) atau dihantar keluar (eksport) dari sesebuah negara, atau bila korang beli barang tertentu yang dikenakan duti ni.
Duti ni sebenarnya untuk kawal perdagangan, tambah pendapatan negara, dan lindungi industri tempatan. Ini contoh duti yang ada. Ada tiga jenis duti yang dikenakan kat Malaysia ni, iaitu Duti Import, Duti Eksais dan Duti Eksport.
Duti import ni dikenakan bila kita bawa masuk barang dari luar negara. Contohnya, kalau kita beli kereta dari luar atau barangan macam pakaian dan elektronik, kita kena bayar duti import sebelum barang tu boleh masuk ke negara. Duti import ni penting untuk kawal jumlah barang yang masuk, dan juga untuk lindungi industri tempatan.
Duti eksais ni dikenakan ke atas barang-barang yang dianggap mewah atau ada kesan buruk macam minuman bergula, rokok, arak, dan kereta. Selain untuk kawal penggunaan barang-barang ni, duti eksais juga membantu kurangkan kesan negatif pada masyarakat. Dalam kes kereta pula, duti ni dikenakan supaya kenderaan tempatan macam Proton dan Perodua boleh bersaing dengan kereta import terutamanya dari Jepun.
Duti eksport dikenakan bila kita hantar barang keluar negara. Walaupun tak semua barang kena bayar, ada barang-barang tertentu yang memerlukan duti eksport, contohnya komoditi utama negara macam minyak sawit dan petroleum. Tujuan duti eksport ni adalah untuk kawal jumlah barang yang dieksport dan pastikan negara dapat manfaat dari situ.
Tarif. Benda yang tengah panas sekarang
Haritu satu dunia jadi kecoh bila Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump umumkan senarai tarif kat semua negara. Kononnya sebagai timbal balas ke tarif yang negara negara lain kenakan kat diorang. Masa artikel ni ditulis, dia u-turn balik dan tangguh pula pelaksanaan benda ni.
Bagi korang yang baru pertama kali dengar dan tak tahu apa makna tarif ni, tarif ni pun cukai jugak tapi dalam konteks ni, dikenakan kepada sesebuah negara atas barang dan perkhidmatan yang diimport masuk ke dalam negara.
Tujuan tarif ni apa?
- Untuk lindungi industri tempatan. Kalau barangan luar lebih murah dan boleh kalahkan produk dalam negara, maka kerajaan akan kenakan tarif supaya barang luar tu jadi mahal. Bila jadi mahal, orang akan beli produk tempatan jadi kilang dalam negara tak gulung tikar.
- Untuk balas dendam (dalam bahasa ekonomi: retaliation). Contohnya, kalau negara luar kenakan tarif tinggi atas barangan kita, kita pun boleh buat benda sama. Inilah yang berlaku masa perang dagang antara Amerika Syarikat dan China dulu. Dua-dua negara kenakan tarif antara satu sama lain sampai pelabur pun pening kepala.
So, beza dia dengan duti? Duti biasanya lebih berasaskan undang-undang cukai dalaman, manakala tarif pula lebih berasaskan polisi perdagangan antarabangsa dan rundingan dua hala atau dalam blok ekonomi.
Nak lagi senang faham…
Katakan korang ada bisnes jual laptop dan korang import laptop dari China.
Harga asal sebuah laptop ialah RM1000.
Bila barang sampai kat Malaysia, kastam akan kenakan duti import 10% (contoh sahaja). Jadi korang kena bayar RM100 duti.
Sekarang, kos sebenar untuk korang bawa masuk satu laptop ialah:
RM1,000 (harga asal) + RM100 (duti import) = RM1,100
Kebetulan pulak, laptop ada tarif. Jadi korang kena bayar tarif 15% lagi:
RM1,100 (harga asal+duti) + RM150 (Tarif) = RM1,250
Kemudian, bila korang jual laptop dengan harga RM1250. Harga ni akan dikenakan cukai jualan (SST) 6%.
Jadi pelanggan korang akan bayar:
RM1250 + RM75 (SST 6%) = RM1352
Kesimpulannya:
- Kos korang untuk satu laptop = RM1250
Pelanggan bayar = RM1352
Tapi ni cuma contoh kasar jelah. Harga ni harga bagi sedekah sebab tak ambik untung langsung. Sebenarnya, barangan elektrik tak kena duti, jadi korang boleh check sendiri barang apa yang ada duti kat pautan ni.
Kalau korang masih tak faham jugak, boleh tengok jadual kat bawah ni:
Cukai | Duti | Tarif | |
Definisi | Bayaran kepada kerajaan oleh individu atau syarikat berdasarkan pendapatan atau perbelanjaan | Cukai khusus ke atas barang, sama ada import, eksport atau barang tertentu dalam negara | Cukai atas barangan/perkhidmatan yang diimport, biasanya dalam konteks perdagangan antarabangsa |
Jenis | – Cukai langsung (cukai pendapatan, CKHT) – Cukai tak langsung (SST) | – Duti Import – Duti Eksais – Duti Eksport | Tiada pecahan rasmi, biasanya ditentukan mengikut negara atau blok perdagangan |
Tujuan | Untuk hasil negara, sediakan kemudahan awam, subsidi, dan bantuan | Kawal perdagangan, tingkat hasil negara, lindungi industri tempatan | Lindungi industri tempatan dan sebagai tindakan balas dalam perdagangan |
Siapa kena bayar? | Individu dan syarikat dalam negara | Pengimport, pengilang, atau pengeksport yang terlibat dengan barang berkaitan | Negara pengimport kenakan pada barang dari negara pengeksport |
Contoh situasi | Beli KFC atau bayar cukai pendapatan | Beli kereta import (kena duti import), beli arak/rokok (kena duti eksais), eksport minyak sawit (kena duti eksport) | Malaysia kenakan tarif 15% ke atas barang elektronik dari China |
Asas Perundangan/Dasar | Undang-undang cukai negara | Undang-undang cukai negara berkaitan barang tertentu | Dasar perdagangan antarabangsa, perjanjian dua hala atau blok perdagangan seperti ASEAN, WTO |
Semua benda ni berkait dengan kehidupan kita tau
Sama ada kita sedar atau tak, tarif, duti dan cukai ni semua adalah sebahagian dari kehidupan kita. Dari gaji kita, sampai barang kita beli, sampai ke barang yang masuk ke negara kita, semua tu ada ‘bahagian’ untuk kerajaan.
Jadi lepas ni bila dengar orang sembang pasal cukai, duti atau tarif, bolehlah korang angguk-angguk tanda faham sikit. Tak adalah rasa blur sangat. Semua ni bukan sekadar istilah ekonomi semata, tapi benda yang bagi kesan terus pada harga barang, gaji, kos hidup dan juga peluang bisnes dalam negara.
Lagi faham pasal benda ni, lagi senang kita nak faham kenapa harga barang naik, kenapa kerajaan buat keputusan tertentu, dan macam mana ekonomi negara bergerak.