Totoro tu Dewa Kematian? Ini sejarah panjang Miyazaki dan studionya!

Sepanjang hidup kita ni, boleh dikatakan kita dah menonton berpuluh filem animasi dari serata dunia. Antara studio animasi terkenal ni mestilah Walt Disney, Pixar, Dreamworks, Illumination Entertainment dan beberapa lagi. Tapi, kalau korang rasa semua studio animasi hebat ni dari Barat, tu tak kena sebenarnya.

Sebabnya, ada satu studio animasi Asia yang cukup berpengaruh di dunia dan studio tu adalah STUDIO GHIBLI dari Jepun. Hebatnya sudio ni, sampaikan hampir kesemua filem-filemnya pecah panggung dan jadi legenda perfileman animasi dunia. Kalau korang memang peminat filem animasi, korang mesti pernah tengok filem-filem terbitan studio ni seperti – My Neighbor Totoro, Spirited AwayHowl’s Moving CastleGrave of the Fireflies dan sebagainya.

Kalau korang dah tengok banyak filem Ghibli, korang mesti kenal watak-watak ni. Imej dari yumetwins.com

Kalau korang tak tengok filem-filem dari Studio Ghibli ni – korang boleh dikatakan tergolong dalam kerugian jugalah sebab hampir kesemua filem diorang ni dapat pengiktirafan antarabangsa.

Tapi apa yang menarik, rupa-rupanya tak lama lagi Netflix akan tayangkan lebih 20 filem Studio Ghibli bermula 1 Februari ni. Jadinya sesiapa yang ada Netflix boleh lah tengok kalau sebelum ni ada filem Ghibli yang korang terlepas (ni bukan artikel sponsor). Klik sini kalau nak tengok senarai filem.

Mungkin kita boleh mula dulu dengan beberapa fakta menarik pasal studio ni, antaranya…

Satu filem terbitan studio ni terima lebih 30 anugerah dari serata dunia!

Tiga orang kuat Ghibli. Dari kiri: Miyazaki, Suzuki & Takahata (meninggal dunia pada 2018). Imej dari thereelbits.com

Sejarah panjang Studio Ghibli ni bermula pada tahun 1985 bila ia diasaskan oleh dua pengarah animasi – Hayao Miyazaki, Isao Takahata dan penerbitnya – Toshio Suzuki. Apa yang membuatkan studio ni lain dari yang lain adalah, majoriti filem-filem diorang membawa tema kemanusiaan seperti:

  1. Kesan jangka panjang sisa industri (Nausicaa of the Valley of the Wind)
  2. Kesan kehancuran bom atom (Grave of the Fireflies)
  3. Hubungan ecotopia dan artificial intelligence (Castle in the Sky)
  4. Pemusnahan hutan (Princess Mononoke)

Dan reputasi studio ni mencapai kemuncaknya pada tahun 2001 bila mereka hasilkan – Spirited Away. Filem yang mengisahkan tentang perjalanan seorang kanak-kanak berusia 10 tahun di dunia yang dihuni oleh para dewa, ahli sihir dan semangat ni dah dapat penerimaan yang amat menggalakkan sampaikan kutipannya mencecah – US$347.7 juta dari serata dunia.

Antara babak dalam Spirited Away. Imej dari Giphy.

Hal ni dah membuatkan Sprited Away menjadi filem yang menerima kutipan tertinggi di Jepun sehingga tahun 2016. Filem ni juga menang lebih 30 anugerah dari serata dunia seperti – Best Asian Film (Hong Kong Film Awards), Golden Bear (52nd Berlin International Film Festival), Best Animated Feature (75th Academy Awards), Animation of the Year (Tokyo Anime Award) dan banyak lagi.

Spirited Away ni boleh dikatakan sebagai satu-satunya filem animasi Asia yang paling berjaya dalam sejarah. Semua ni jadi sebab keunikan jalan cerita yang dibawa dan keunikan Studio Ghibli tu sendiri. Sebabnya…

Hampir semua filem Ghibli tak ada skrip

Filem Ghibli yang gerenti buat korang menangis. Malangnya filem ni tak tersenarai yang masuk Netflix. Imej dari Animacsoft 101.

Sepanjang perjalanan lebih 30 tahun Studio Ghibli, 19 buah filem dah berjaya dihasilkan dan majoritinya diarahkan oleh Hayao Miyazaki dan Isao Takahata. Apa yang menariknya – Miyazaki mengaku yang kesemua filem yang dihasilkannya tak ada skrip terlebih dulu.

Dalam satu sidang media di Paris, Miyazaki kata – memang betul yang filem-filemnya tak ada skrip dan dia tak ada cerita yang dah siap atau tersedia masa dia mulakan satu-satu projek filem. Puncanya, dia tak ada banyak masa, jadinya jalan cerita tu hanya akan dikembangkan bila dia mula lukis storyboards.

“Kami tak pernah tahu di mana cerita itu akan pergi tetapi kami hanya terus bekerja pada filem itu kerana ia berkembang.

Ini cara yang berbahaya untuk membuat filem animasi dan saya juga mahu ia menjadi berbeza, tapi malangnya, itulah cara saya bekerja dan orang lain terpaksa menundukkan diri mereka untuknya.” – Hayao Miyazaki, dipetik dari Midnight Eye.

Inilah antara storyboard untuk filem Spirited Away. Imej dari Halcyon Realms.

Selain tu, kebanyakan filem Ghibli juga sebenarnya adalah hasil dari animasi tangan (hand-drawn animation) dan kurang sangat teknologi CGI yang digunakan (kira-kira 10% je). Hal ni kerana, Miyazaki percaya yang ‘lukisan tangan di atas kertas adalah asas animasi’ dan sebab itulah dia tetap setia dengan cara tu.

Tapi dalam keadaan tertentu ada juga filem Ghibli yang gunakan lukisan digital macam dalam filem Princess Mononoke (1997) untuk mempercepatkan proses filem tu. Manakala, My Neighbors the Yamadas 1999 (arahan Takahata) pula adalah satu-satunya filem Ghibli yang sepenuhnya dihasilkan menggunakan animasi komputer.

Dari kejayaan dan keunikan Miyazaki ni, maka tak hairanlah dia dah dianggap sebagai salah seorang juruanimasi lagenda dunia. Tapi, karya-karnya tak terlepas juga dari khabar angin, bila…

Ada filem Ghibli yang dikaitkan dengan teori konspirasi juga

Totoro yang menjadi lagenda anime dunia. Imej dari Giphy.

Selain Spirited Away yang jadi filem wajib tonton Ghibli, korang juga mungkin boleh tengok filem-filem hebat Ghibli yang lain seperti My Neighbour Totoro (1988). Filem ni mengisahkan tentang – dua orang adik beradik (Satsuki & Mei) serta ayah mereka yang berpindah ke rumah baru berhampiran hospital tempat ibu mereka dirawat. Di sana, mereka berjumpa dengan satu makhluk mistik bernama Totoro dan bas kucing (Catbus).

Filem ni menjadi cukup berjaya sehingga ditempatkan dalam kalangan ‘The 100 Best Films Of World Cinema’ oleh Majalah Empire pada 2010. Malah sehingga ke hari ini, penghasilan pelbagai permainan dan cenderahati Totoro terdapat di serata dunia tak kiralah – patung permainan, key-chain, sarung bantal/kusyen, figura, cawan dan sebagainya. Studio Ghibli sendiri mengambil imej Totoro sebagai simbol mereka.

Catbus yang Satsuki dan Mei naik. Imej dari Giphy.

Tapi, di sebalik kecomelan dan penerimaan terhadap watak Totoro ni, ada pula teori konspirasi yang dikaitkan dengannya. Benda ni jadi bila Totoro dikatakan sebagai Dewa Kematian dan sesiapa yang dapat melihatnya menandakan ajal mereka semakin dekat ataupun dah meninggal dunia.

Mengikut teori ni – di babak yang hampir akhir filem, Satsuki mencari adiknya Mei dan terjumpa selipar adiknya tu. Jadinya, Satsuki pun cari Totoro dan berjumpa denganya. Dengan bantuan Totoro – Satsuki dapat berjumpa dengan adiknya dan mereka pun bersama-sama pergi berjumpa ibu mereka di hospital. Tapi…

“Di babak akhir, sesetengah orang kata, tak ada bayang-bayang dari watak Satsuki dan Mei.” – Dipetik dari Kotaku.

Kalau Totoro tu Pokemon. Imej dari Giphy.

Teori ni tak berhenti di situ je, sebabnya ada satu kes pembunuhan yang pernah jadi di Jepun digelarkan sebagai The Sayama Incident, yang menyebabkan dua orang adik beradik terbunuh. Apa yang menarik perhatian – latar cerita Totoro ni di Sayama juga.

“…Insiden Sayama berlaku pada bulan Mei dan kedua-dua adik beradik dalam Totoro itu namanya adalah ‘Mei’. Satsuki bermaksud ‘Mei’ dalam bahasa Jepun, dan ‘Mei’ adalah sebutan Jepun untuk bulan ‘Mei’.” – Dipetik dari Kotaku.

Suspek yang ditahan untuk kes Sayama ni. Imej dari Dazed.

Bagaimanapun, khabar angin ni dah ditolak sepenuhnya oleh Studio Ghibli dan diorang kata segala teori konspirasi tu tak ada kene mengena dengan filem Totoro. Tambah Ghibli lagi, Satsuki dan Mei tak ada bayang-bayang masa babak akhir sebab juruanimasi anggap bayang-bayang tu tak penting.

Bagaimanapun sehingga kini, khabar angin tu masih lagi menjadi perbincangan masyarakat. Sama ada korang percaya atau tak – ia bergantung kepada tafsiran masing-masing. Apa yang pasti – setiap filem Ghibli membawa tema kemanusiaan yang cukup kuat dan sebab itulah…

Miyazaki tak datang ke Oscar sebab protes serangan AS ke atas Iraq

Miyazaki masa terima Honorary Award dari Governors Awards, 2014. Imej dari Studio Ghibli Movies.

Pada tahun 2003, Miyazaki yang sepatutnya menerima anugerah Best Animated Feature dari Oscar untuk filem Spirited Away-nya tak hadir ke majlis berkenaan. Tindakan Miyazaki tu membangkitkan banyak persoalan dan akhirnya terjawab pada 2009. Miyazaki secara terus terang kata – yang dia tak datang sebab protes terhadap tindakan Amerika Syarikat (AS) menyerang Iraq.

“Sebab saya tidak berada di sini (pada 2003) untuk Anugerah Akademi kerana saya tidak mahu melawat negara yang mengebom Iraq.” – Katanya kepada LA Times.

Sebenarnya, bantahan keras Miyazaki terhadap perang ke atas Iraq tu juga pernah diterjemahkannya dalam filem Howl’s Moving Castle (2004) yang mengandungi tema anti-perang yang kuat.

Itulah dia moving castle-nya. Imej dari Giphy.

Dalam pada itu, Miyazaki juga pernah mengkritik majalah satira Perancis, Charlie Hebdo yang secara sengaja memprovokasi masyarakat muslim dengan menerbitkan kartun menggambarkan Nabi Muhammad SAW. Hal tu sehingga menyebabkan berlakunya serangan bersenjata di ibu pejabat majalah berkenaan.

Miyazaki ketika mengulas hal ni berkata:

“Bagi saya, saya fikir ia adalah satu kesilapan untuk membuat karikatur mengenai budaya agama yang berbeza. Adalah idea yang baik untuk berhenti berbuat demikian.” Miyazaki, dipetik dari The Guardian.

Bantahan terhadap Charlie Hebdo di Britain. Imej dari AFP.

Walaupun begitu, tak bermakna Miyazaki menolak sebarang bentuk satira atau kritikan, tapi menurutnya – satira tu patut fokus kepada negara itu sendiri dan patut dilakukan dengan beradab. Malah, Miyazaki juga pernah mengkritik negaranya sendiri sehingga digelarkan sebagai pengkhianat apabila minta kerajaan Jepun membuat permohonan maaf kepada ‘comfort women’ Korea yang menjadi hamba seks ketika penjajahan negara tu.

Bagaimanapun, dunia animasi dikejutkan apabila…

Miyazaki umumkan persaraannya pada 2013

Miyazaki & rakan baiknya Takahata (mendiang). Imej dari ghiblicon.blogspot

Setelah sekian lama menghasil pelbagai karya hebat, sejurus selepas terbitnya The Wind Rises pada 2013, Miyazaki buat pengumuman persaraannya dari menghasilkan filem. Pengumuman Miyazaki tu mengejutkan dunia animasi antarabangsa, sebab maknanya dunia tak akan dapat lagi menonton karya hebat Miyazaki.

Bercakap kepada media, Miyazaki kata – persaraannya tu disebabkan era animasinya dah tamat.

“Saya sentiasa mahu mencipta filem animasi yang panjang, dan itulah yang saya lakukan. Walau bagaimanapun, tidak ada apa yang boleh saya lakukan mengenai masa yang lebih lama dan lebih lama yang telah berlalu antara (terbitan) filem.

Dengan kata lain, saya hanya menjadi lebih perlahan dan perlahan di tempat kerja.” – Miyazaki, dipetik dari The Asahi Shimbun.

Bagaimanpun, menjelang 3 tahun lepas tu pada 2016 – Miyazaki menarik balik persaraannya dengan datang bersama projek terbarunya bertajuk How do you live?. Karya ni berdasarkan novel Genzaburo Yoshino dengan tajuk sama yang diterbitkan 1937.

Kimitachi wa dō ikiru ka (How Do You Live?). Imej dari Nippon.

Pada asalnya, karya ni dijangka keluar sebelum Sukan Olimpik tahun ini, tapi nampaknya mungkin tertangguh dan hanya ditayangkan pada tahun 2021 atau 2022. Walaupun pada usia 79 tahun, pihak Studio Ghibli percaya yang Miyazaki tak akan bersara dan ini bukanlah filem terakhirnya.

Jadinya, pada korang yang belum tengok atau nak tengok sekali lagi filem-filem dari Studio Ghibli tunggulah bulan Februari sampai April ni bila lebih 20 buah filem dari studio ni akan ditayangkan di Netflix. Apa pula filem Ghibli kegemaran korang? Kongsikanlah di bahagian komen!

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.