Suntikan darah cacing pasir? Ini 5 rawatan dibangunkan untuk lawan COVID-19

Dalam keadaan wabak yang belum pasti bila pengkahirannya ini, macam-macam kerisauan yang timbul. Untuk B40 dan M40, pastinya risau memikirkan mata pencarian mereka selepas tamat PKP. Manakala, pemilik syarikat pula memikirkan survival syarikat yang mereka sedang uruskan.

Bagi para saintis dan pakar kesihatan pula, mereka sedang bekerja secepat mungkin untuk mencari vaksin atau penawar kepada wabak COVID-19 ini. Mungkin kita perasan, ada beberapa kes positif COVID-19 yang sebenarnya berjaya dirawat. Apa agaknya rawatan yang digunakan?

Ini antara 5 rawatan yang diuji diseluruh dunia ketika ini.

1) Ubat anti-Ebola sebagai penyelesaian jangka masa pendek

Imej dari Aidshealth

Satu penyelesaian jangka pendek yang berpotensi untuk menangani krisis koronavirus adalah remdesivir, ubat ujikaji antiviral yang sebelum ini digunakan sebagai rawatan untuk Ebola.

Antiviral itu dibangunkan oleh Gilead Sciences, sebuah syarikat bioteknologi. Gilead dah mengusahakan ubat ini sejak tahun 2009, dan para pegawai eksekutifnya mengatakan dalam masa beberapa minggu, kita boleh mengharapkan data sama ada ubat ni berfungsi atau tak untuk melawan COVID-19.

Pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengatakan rawatan ini adalah calon paling boleh diharapkan untuk menjadi penawar. Sekarang ini remdesivir sedang diuji pada pesakit COVID-19 yang mempunyai kes-kes pada tahap teruk. Ubat ini turut digunakan di Malaysia untuk merawat pesakit di sini.

2) Kajian awal ubat HIV agak mengecewakan

Imej dari The Chronicle

Para penyelidik juga ada yang sedang menguji ubat bernama Kaletra yang dihasilkan oleh AbbVie. Ia adalah sebuah ubat bagi penyakit HIV. Walau bagaimanapun, nampaknya kajian awal ke atas keberkesanan Kaletra sebagai penawar koronavirus agak mengecewakan.

Ini kerana para saintis dari China mendapati kajian ini pada bulan yang lepas tak membantu menangani kadar kematian pesakit, mengurangkan jumlah virus yang boleh dikesan dan tak memendekkan masa seseorang pesakit itu duduk di hospital.

Tapi lain pula keputusannya di Australia apabila penyelidik dari Universiti Queensland mengatakan, kalau Kaletra (ubat HIV) ni dicampurkan dengan ubat lain iaitu klorokin, ia mampu memulihkan beberapa pesakit COVID-19 terawal di negara itu.

3) Ubat anti-malaria yang dah wujud lama tapi berguna sekarang

Chloroquine adalah pil anti-malaria yang telah digunakan secara meluas telah diluluskan oleh Food and Drug Administration (FDA) selepas Perang Dunia II. Mengikut sejarah panjangnya, ia pertama kali diluluskan pada tahun 1949 oleh Amerika Syarikat. Maka, ada profil keselamatan yang panjang bagi tahap ketoksikan dan cara pengambilan dadah ini.

Penyelidikan dan laporan awal mencadangkan bahawa ubat itu mampu melawan COVID-19. Ia akan menjadikannya sebagai jalan penyelesaian yang murah dan berskala. Kalau nak tahu, negara seperti China, Korea Selatan dan Belgium dah meletakkan ubat chloroquine sebagai garis panduan rawatan koronavirus secara langsung.

Di Malaysia, ubat chloroquine ni nampaknya ada memberi kesan kepada pesaikit di sini. Namun, lebih banyak ujian klinikal diperlukan untuk mengesahkan lagi keberkesanannya.

4) Rawatan antibodi monoklonal untuk elak yang tak kena jangkitan, terkena jangkitan

Lukis dulu, kalau tak faham. Imej dari tebu-bio

Disebalik memanfaatkan ubat sedia ada, pelbagai syarikat lain juga sedang berusaha untuk membangunkan rawatan pencegahan koronavirus dalam bentuk antibodi monoklonal. Monoklonal ini adalah sejenis protein yang menggunakan fungsi sistem imun semulajadi untuk meneutralkan virus.

Rawatan pencegahan ini maknanya ia akan disasarkan kepada populasi mereka yang berisiko tinggi terkena jangkitan seperti pekerja kesihatan, ahli keluarga pesakit COVID-19. Bila mereka ini diberi antibodi monoklonal, maka mereka terlindung daripada dijangkiti.

Pada bulan Januari lalu, saham syarikat Vir Biotechnology melonjak naik kerana mereka mengumumkan sedang menguji rawatan ini bagi membendung koronavirus. Sebenarnya, penyelidikan ini masih di fasa awal dan tiada ujian klinikal dibuat serta masih dibangunkan di makmal. Namun, penyebaran koronavirus yang pantas menyebabkan ia diuji dengan lebih cepat.

5) Dua hospital Perancis, doktor akan suntik darah cacing pasir untuk bantu pesakit COVID-19

Imej dari EOL

Dua hospital Perancis bersedia untuk memulakan rawatan eksperimen dengan menyuntik  darah cacing pasir kepada pesakit yang menghidapi masalah pernafasan disebabkan oleh COVID-19. Hospital yang terlibat adalah Hospital Pitie-Salpetriere dan Hospital Georges Pompidou di Paris.

Suntikan secara langsung ke dalam darah manusia ini, akan diuji selamat atau tak dengan harapan ia mampu membantu meningkatkan paras oksigen dalam tisu pesakit yang dijangkiti. Menurut penyelidik biologi dari syarikat Hemarina, cacing pasir ini dapat bertahan di darat dan dalam air.

Sewaktu di laut, cacing ini akan bernafas. Manakala, apabila berada di pasir, ia akan berhenti bernafas selama 6 jam. Didapati bahawa cacing ini mempunyai molekul yang merupakan tangki oksigen kecil yang membolehkannya terus bertahan selama enam jam sehingga air pasang. Sebenarnya, teknik rawatan ni telah pun dimanfaatkan pesakit pemindahan buah pinggang dan ia berjaya memperbaiki tahap oksigen organ-organ.

Rawatan ini akan digunakan buat permulaannya kepada 10 pesakit yang hampir mati yang mana ahli keluarga mereka beri kebenaran untuk diuji. Rawatan ni akan dimulakan tak lama lagi.

Sesuatu vaksin itu akan ambil masa setahun atau lebih untuk disahkan selamat digunakan

Berapa lama vaksin betul-betul boleh guna? Berdasarkan Pegawai Tertinggi Kesihatan US, tempoh masa untuk pastikan sesuatu vaksin itu betul-betul boleh digunakan dengan selamat dan berkesan melawan COVID-19 adalah selama 12 bulan atau lebih.

Maka, semestinya ia masih lama untuk menjumpai vaksin yang tepat. Sekarang ini, semua saintis dan pakar kesihatan sedang bertungkus-lumus untuk mencari formula yang tepat. Dalam masa sama, Malaysia adalah salah satu negara yang dipilih WHO untuk melakukan kaji selidik beberapa ubat merawat COVID-19. Ini termasuklah menggunakan kombinasi Remdesivir, Lopinavir/Ritonavir, Interferon beta, Chloroquine dan Hydroxychloroquine.

Imej dari The Malaya Post

Sembilan hospital di Malaysia akan terlibat untuk memberi data kepada Kementerian Kesihatan Malaysia dan kemudiannya kepada pihak WHO. Ini adalah satu berita baik dan bukti kepercayaan dunia kepada sistem kesihatan negara kita. Semoga semuanya berjalan lancar!

 

 

 

 

 

 

About A. Zahid Amran 207 Articles
Selamat datang semua. Ini masa kita. Tunduk berhemah. Bukannya lemah - FT