Speedy Video ditutup? Ini perkara yang akan dirindui oleh remaja 90-an

Sebelum adanya Netflix, Iflix, Viu dan Aflix (kalau korang layan), mesti korang akan ada memori mengumpul CD filem atau album. Walau bagaimanapun, memori ini mungkin tidak akan dapat lagi dirasa kerana Speedy Video Malaysia telah mengumumkan penutupan operasi syarikat di seluruh Malaysia setelah 30 tahun beroperasi.

Kalau korang yang ada pengalaman membeli CD di Speedy Video, mesti video ini membuatkan korang mengimbau kembali ke zaman remaja :

 

Kalau korang tak tahu Speedy Video Malaysia, mereka merupakan syarikat yang menjadi pengedar salinan filem, drama dan muzik dalam bentuk fizikal yang mempunyai lesen sejak tahun 1989. Konsep mereka ialah memberikan hiburan filem dan muzik untuk seisi rumah dengan menawarkan produk original dalam harga yang berpatutan. Pada awalnya mereka mempunyai 90 buah cawangan di Malaysia tetapi disebabkan arus pemodenan, mereka sekarang hanya mempunyai 14 buah cawangan sahaja.

Pada 13 jun 2020, mereka telah membuat jualan secara besar-besaran di semua cawangan sebelum penutupan operasi dan harga yang ditawarkan sangat tidak masuk akal. Ramai orang telah membanjiri untuk membeli CD sambil mengamalkan SOP yang ditetapkan oleh kerajaan. Penutupan operasi ini akan memberikan kesan mendalam kepada remaja atau kanak-kanak 90-an yang pernah hidup di zaman CD.

“Saya merupakan seorang yang suka mengumpul CD dan piring hitam dan penutupan Speedy Video ini merupakan satu berita yang sedih untuk saya kerana nostalgia dalam kalangan remaja 90-an akan hilang di mata masyarakat.” – Muhamad Zakaria, pelanggan yang ditemu ramah di Speedy IOI City Mall

 

Korang tengok betapa murahnya harga yang ditawarkan. Imej diambil oleh penulis.

Sanggup bertukar CD album dengan member

Kalau masih ingat benda ini, korang legend. Imej dari Unwritten.

Sebelum adanya muzik dalam talian seperti Spotify, Joox, Apple Music dan Deezer, majoriti remaja yang pernah hidup di zaman 90-an akan mendengar lagu melalui CD player ataupun radio. Membawa CD player ke mana-mana sama ada berjumpa dengan kawan atau pergi ke pusat membeli-belah merupakan trend bagi remaja 90-an.

Walaupun ia menjadi trend tetapi harganya sangat mahal sehingga ramai remaja sanggup mengumpul duit belanja untuk membelinya. Selain itu, bertukar CD album dengan kawan-kawan merupakan nostalgia yang tidak dapat dilupakan kerana ia sebagai ikatan silaturahim.

Contohnya, Ahmad ada CD Ning Baizura dan kawannya ada CD Sheila Majid, jadi mereka melakukan pertukaran kerana Ahmad mahu mendengar lagu Sheila Majid dan kawannya mahu mendengar lagu Ning Baizura. Kadangkala kita perlu pergi ke rumah kawan kita untuk mendengar CD album kerana ada sesetengah kawan kita yang tidak bagi pinjam.

Bila kawan korang kedekut nak bagi pinjam CD. Imej dari giphy

Walaupun mengumpul CD album merupakan satu hobi bagi remaja 90-an, tetapi ia juga menjadi perkara wajib bagi peminat muzik indie. Hal ini kerana walaupun majoriti orang sekarang mendengar lagu melalui Spotify dan Apple Music, tetapi ada segelintir peminat muzik indie masih mengumpul CD album kerana sesetengah kumpulan muzik indie masih mengeluarkan album dalam bentuk fizikal. Jika penjualan album dalam bentuk fizikal mencapai tahap yang diiginkan, mereka akan keluarkan album dalam Spotify dan Apple Music.

Ini merupakan senarai kedai CD yang popular dikalangan peminat muzik indie :

  1. Teenage Head Records (SS14, Subang Jaya)
  2. Sputnik Rekordz (TTDI, Kuala Lumpur)
  3. Tandang Store (Kampung Attap, Kuala Lumpur)

Cuba korang layan salah satu episod dari ‘KAMI The Series‘ ni, dalam episod dua ada menunjukkan situasi di kedai CD dan mendengar lagu di radio :

 

Imej dari Youtube TV3MALAYSIA

Ada juga sesetangah artis luar dan dalam negara yang masih mengeluarkan album fizikal sama ada CD atau piring hitam. Hal ini kerana mereka juga ingin fokuskan peminat-peminat yang suka mendengar lagu dalam bentuk fizikal. Contohnya, Liam Gallagher masih mengeluarkan album fizikal iaitu CD dan piring hitam walaupun albumnya telah dimuat naik di Spotify, Apple Music, dan Joox.

Kedai DVD muncul seperti cendawan tumbuh selepas hujan tapi lingkup disebabkan aktiviti cetak rompak

Kalau yang ada bekas CD ni lagi memang legend! Imej dari LDLC

Pernah tak korang mempunyai hobi untuk mengumpul DVD filem dan menyimpannya di dalam bekas CD? Sekiranya ada, korang merupakan insan yang paling bertuah kerana tidak terlepas dari nostalgia ini. Sebelum era Netflix , DVD player merupakan benda yang wajib ada di dalam rumah kerana ia merupakan hiburan untuk seisi keluarga. 

Jika korang masih ingat, mengumpul DVD filem juga merupakan satu hobi yang pernah berlaku di zaman era 90-an dan abad ke 21. Kita juga akan cenderung untuk membelinya sama ada malas nak pergi ke panggung wayang atau mahu tengok lagi selepas tengok wayang. Situasi ini telah menjadi satu ‘bandwagon‘ dan ketika ini juga banyak kedai DVD muncul kerana permintaan yang tinggi.

Ia tidak memberikan kerugian kepada panggung wayang kerana salinan filem dalam bentuk DVD akan dijual selepas filem habis ditayangkan di panggung wayang. Mereka yang menjualnya perlu mendapat kelulusan daripada FINAS, kalau tak percaya sila tengok panduan permohonan lesen tred, perniagaan dan perindustrian.

Walau bagaimanapun, terdapat segelintir orang yang cuba membawa kamera ke dalam panggung wayang dan merakam filem secara senyap kemudian video yang dirakam akan diletakkan ke dalam CD dan menjualnya dengan harga yang lagi murah berbanding harga DVD original. Hal ini menyebabkan keuntungan syarikat penerbitan filem, pihak panggung wayang dan kedai DVD terjejas kerana hasil cetak rompak akan dijual sama ada semasa atau sebelum filem ditayangkan.

“Kajian mendapati bahawa harga yang rendah merupakan tarikan utama pengguna membeli VCD/CD cetak rompak. Tarikan harga rendah ini, ataupun “Illegal gain” ini seharusnya diambil perhatian oleh kerajaan.” – Dipetik dari Jurnal Ekonomi Malaysia

Mesti korang pernah tengok situasi di mana akan ada orang datang ke meja makan di restoran menjual CD cetak rompak atau menjualnya di pasar malam tetapi apabila pihak berkuasa datang mereka lari lintang-pukang. Kadangkala orang yang menjual CD cetak rompak ini akan meletakkan video yang tidak di dalamnya samada video lucah atau filem lain.

Cuba korang layan filem Lady Boss ini kerana ada babak orang menjual CD cetak rompak di kedai makan :

Imej dari Metrowealth Pictures

“Bezanya (antara mencuri di kedai dan menstrim video cetak rompak) adalah tiada penjaga kedai dan kamera keselamatan dan pencuri pula salah anggap, menyangka ia adalah jenayah dengan tiada mangsa.” – Louis Boswell, Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Industry Video Asia (AVIA), dipetik dari Astro Awani

Apabila dunia mengalami kemajuan internet, banyak laman web yang memuat naik filem yang digodam oleh orang yang tidak bertanggungjawab dan ia dipanggil sebagai cetak rompak digital. Ada juga orang yang cuba merakam filem menggunakan telefon pintar dan memuat naik di media sosial.

Isu ini pernah berlaku pada syarikat SKOP Production iaitu filem KL Gangster 2 telah dimuatnaik oleh orang yang tidak bertanggungjawab dan telah menjejaskan kutipan. Mereka telah mendapat kerugian yang besar kerana ada seorang yang tidak bertanggungjawab telah memuat naik filem ‘KL Gangster 2’ di internet dan ini merupakan berita sedih bagi mereka kerana filem ini dianggap akan mendapat lagi banyak kutipan dari ‘KL Gangster 1’.

Imej dari giphy

Nostalgia yang sentiasa berada di dalam ingatan remaja 90-an

Imej dari OntheAside

Media baharu telah muncul dan menciptakan era baru untuk masyarakat, memori mengumpul CD album dan DVD filem akan sentiasa diingati oleh remaja 90-an dan penutupan operasi Speedy Video Malaysia merupakan berita sedih bagi mereka. Walau bagaimanapun, terdapat segelintir orang yang masih menggunakan CD ini kerana bagi mereka memori ini tidak boleh hilang di mata masyarakat.

Kita tidak boleh menyalahkan media baharu seperti Netflix, Iflix, Spotify dan Joox kerana manusia akan sentiasa bergerak kehadapan bersama arus pemodenan teknologi. Walaupun kita cuba untuk mengembalikan trend mengumpul CD atau DVD ini, perkara ini tidak boleh dilakukan kerana remaja sekarang selesa menggunakan media baharu kerana lebih mudah dan cepat.

Biarkan remaja zaman sekarang merasai media baharu ini kerana ia akan menjadi nostalgia baru yang boleh diceritakan kepada anak-anak mereka apabila kemajuan arus pemodenan teknologi berlaku lagi. Persoalannya, apakah arus pemodenan teknologi yang kita dapat lihat lagi?