- 476Share sekarang!
- Email9
- Facebook467
- Share
Kebiasaanya, kita yang suka melancong ni akan tahu apa barang yang tak dibenarkan bawa masuk ke Malaysia sejak di lapangan terbang lagi.. Atau pun kita sebelum naik flight dah tahu awal-awal apa benda nak kena buang kat lapangan terbang tu.
Tapi, mungkin ramai tak tahu, bahawa kita tak boleh suka hati je bawa buah mangga dari negara luar tanpa permit. Inilah yang berlaku kepada seorang warga Myanmar yang dah dirampas 20 kg mangganya di Lapangan Terbang Bayan Lepas, Pulau Pinang.
Kenapa buah mangga kena ada permit?
Untuk elak kemasukan sejenis kumbang ni…
Buah mangga merupakan salah satu komoditi kawalan pertanian yang berisiko dan dilarang dibawa masuk tanpa dokumen yang lengkap. Apa yang korang kena tahu, perbuatan import buah mangga tanpa permit juga merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].
“Jika disabit kesalahan , boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali,”- Petikan dari Utusan
Hanya kerana mangga, korang boleh kena sumbat dalam penjara. Semua usaha ni adalah untuk mengelak risiko kemasukan perosak seperti kumbang pengorek buah mangga atau spesies Sternochetus mangiferae.
Aktif waktu malam, kerjanya mengorek buah untuk anaknya
Mula-mula sekali, kenapa nama dia khas kumbang pengorek buah mangga (mango seed weevil)? Sebab ia hanya boleh jadikan buah mangga sebagai perumahnya (host). ini terbukti melalui kajian di makmal, apabila telur cuba ditanam di dalam buah lain termasuk kentang, peach, epal dan kacang, semuanya tak berjaya mencapai kematangan.
Pada waktu pagi ia akan bersembunyi di celah-celah kulit pokok. Ia cari makan pada waktu malam dengan menjadikan cairan dari buah yang ditorehnya sebagai makanan. Semasa diluar musim buah mangga, ia akan bersembunyi di celah-celah kulit pokok atau tempat lain tanpa makan.
Jangka hayat mereka taklah panjang sangat, kumbang dewasa boleh hidup sampai 2 tahun. Selain toreh buah untuk makan dan bersembunyi, hidup kumbang ni juga adalah untuk melahirkan zuriat seterusnya. Maka, selepas mengawan, kumbang betina ni akan membuat aktiviti torehan lagi, tapi bukan untuk makan. Kali ni, untuk bertelur.
Buah mangga separuh masak berwarna hijau akan menjadi pilihan untuk diletakkan telur. Telur diletakkan dalam buah mangga. Berdekatan telur tu akan ditoreh sedikit buah mangga biasanya berbentuk bulan sabit sehalus 1/4 mm hingga 1/2 mm. Torehan ni tadi akan menyediakan satu aliran cecair yang akan melindungi dan menyalut telur tu.
Kumbang betina akan bertelur 15 biji sehari dan maksimum 300 biji dalam tempoh tiga bulan. Kalau 300 biji, maknanya akan ada 300 torehan pada buah mangga. Dalam masa 5 hingga 7 hari, telur ni akan menetas dan Larva hidup di dalam buah selama beberapa hari sebelum menjadi kumbang dewasa.
Mangga nampak cantik pada luaran, isinya sudah rosak teruk
Di luar, buah mangga akan nampak cantik, namun di dalam ia akan rosak dengan banyaknya lubang-lubang yang terhasil termasuk pada biji. Semua ini boleh jadi datang dari Larva bersaiz 1 mm yang hidup di dalam buah . Ia dengan bergerak melalui cara mengorek lubang.
Kerosakan yang terhasil ni hanya akan dikesan apabila dibelah. Dari situ akan kelihatan terowong, kerosakan dan sisa buangan dalam isi buah. Dan salah satu cara kawalan yang perlu dibuat adalah dengan mengumpulkan dan membuang semua buah yang diserang ni dengan cara menanam dalam tanah atau dibakar. Kan dah rugi tu.
Setakat ni masih tiada laporan serangan teruk dari kumbang ni di Malaysia. Mungkin sebab pihak Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) mengawal ketat kemasukan mangga dari luar.
Semua spesis mangga kena ada permit, demi kualiti makanan negara
Bagi kita orang awam, memang nampak benda macam serangga perosak ni biasa. Tapi, bagi para peladang dan pekebun, ianya sangat penting kerana ia akan mendatangkan kesan kepada pengusahaan tanaman. Sebagai contoh, pada tahun 2018 pernah dilaporkan bahawa 13,000 pekebun kecil kat seluruh negara mengalami kerugian apabila 33,000 hektar ladang diserang ulat bungkus. Ia mendatangkan kerugian sebanyak RM120 juta. Nampak tak, dari ancaman serangga perosak ni dah mendatangkan kesan terhadap pengeluaran minyak sawit Malaysia.
Untuk mengelak risiko sebegini, pihak MAQIS memang dah ada keluarkan senarai bahan-bahan tanaman yang dikawal pengimportan. Bila kami tengok, semua spesis mangga nak bawa masuk Malaysia kena permit import, Sijil fitosanitasi dan PEQ (Kuarantin Lepas Masuk). Bukan senang-senang tau.
Apa yang penting, usaha ni bukan untuk nak elak kerugian kepada ekonomi dan tanaman sahaja, tetapi nak pastikan keselamatan makanan negara tidak mempunyai perosak dan penyakit serta berkualiti untuk kesejahteraan rakyat.
- 476Share sekarang!
- Email9
- Facebook467
- Share